Sunday, December 23, 2007

Salam Aidil Adha

SALAM AIDIL ADHA
Selamat Hari Raya Aidil Adha diucapkan buat semua sahabat-sahabat yang selalu datang bertandang ke sini. Afwan kerana lambat mengucapkan Salam. Apapun moga hari-hari yang kita lalui sepanjang Dzulhijjah ini, amalan yang kita lakukan diterima Allah sebagai amal soleh disisinya yang bakal memberatkan mizan kebaikan kita di akhirat kelak. Tak ada entry baru untuk kali ni walaupun banyak yang boleh diceritakan terutama Majlis korban Aidil Adha PERUBATAN 1428H yang kali pertama diadakan. Mabruk kepada adinda Abdul Azim Abrar dan sahabat-sahabatnya yang bertungkus lumus memastikan majlis julung-julung kali diadakan ini berjaya dilaksanakan dengan sebaiknya.

Pada kesempatan yang ada, hari ini juga merupakan hari yang mengembirakan buat diri, ucapan mabruk alaik kepada my schoolmate Hanisah binti Azhari yang selamat diijab qabulkan pada hari ini dengan akhi Shamin bin Mohd Saffian.Barakallahu lakuma dan mudah-mudahan dapat menjadi isteri yang solehah, dalam bersama-sama membina sebuah keluarga yang bahagia dan diredhaiNya. Mabruk...! Mabruk...! Mabruk...!

Akhirnya sempena aidiladha ni, nak kongsi satu cerita dipetik daripada harakahdaily.net untuk renungan dan keinsafan kita bersama... Jumpa lagi,

Jazakumullah Khairan kathira...


Kisah Dari Tanah Suci: Berkat sayang, muliakan kucing
Abdul Wahab Muhammad Nor


Sempena wukuf di Arafah hari ini (18 Disember) dan Hari Raya Korban esok (di Arab Saudi), disiarkan Kisah Dari Tanah Suci ini untuk iktibar bersama. Kisah ini mengenai seorang wanita Muslimah Melayu berasal dari Perak yang menunaikan haji kira-kira enam tahun lalu.

Wanita ini kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.


Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur. Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.


Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.


Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.


Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap.


Maka terkenallah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.


Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.


Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah.


Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan.


Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.


Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah.


Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.


Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda.


Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya. Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong seekor kucing di Makkah yang mulia itu..

Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang solihah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang ke Malaysia.


Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya sewaktu di Makkah dulu.


Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya merenung sayu padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas, kucing tadi ghaiblah daripada pandangannya.

Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing, seperti Nabi kita s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih-lebih besarlah pahala menunggunya di alam akhirat nanti. Amin. - lanh

2 comments:

Nurul 'Izzah said...

Tak sia-sia ana sayang kucing huhu..jadilah pencinta kucing hehe ^_^

'EID MUBARAK ya akhi! ana x jd gi walimah Hanisah huhu..

Sharifah Syahirah TSM said...

bestnyer citer nie...luv cat!!!nak mintak izin nak copy cerita ni utk post kat blog..thanx..