Tuesday, September 16, 2008

PROGRAM NUZUL QURAN DAN IFTAR JAMAII' PERUBATAN 2008.

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam ramadhan buat semua.

Lama saya tidak bersosial, hari ini terasa ingin bersosial pula, justeru membuat keputusan untuk menghadiri majlis berbuka puasa dan malam nuzul Quran PERUBATAN dan JPA di ARMA pada malam ini. Berharap dapat berjumpa dengan kawan-kawan yang masih belum ketemu sekembalinya saya ke bumi Mesir ini. Jadi untuk semua ahli-ahli PERUBATAN datanglah beramai-ramai ya, moga niat mempererat silaturrahim di samping bersama-sama berbuka puasa dikira sebagai amal soleh dan bukti kasih sayang keranaNya.

InsyaAllah berjumpa di sana.

Jazakumullah khairan kathira...

PROGRAM NUZUL QURAN DAN IFTAR JAMAII' PERUBATAN 2008.

TARIKH : 16 September 2008.

TEMPAT : Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK).

TEMA PROGRAM NUZUL QURAN : "Hidupkan Ramadhan Dengan Al-Quran."

OBJEKTIF :

1. Memperingati dan menghidupkan malam nuzul qur'an.


2. Menanam rasa cinta yang mendalam terhadap Al-Quran di kalangan ahli PERUBATAN.
3.
Mengeratkan ukhuwwah di kalangan ahli perubatan dan pegawai di Mesir.

TENTATIF PROGRAM :

4.30 - 4.45 petang : Ketibaan hadirin,tetamu khas, dan penceramah.
4.45 - 4.50 petang : Ucapan aluan pengerusi majlis.
4.50 - 5.00 petang : Bacaan ayat-ayat Al-Quran.
5.00 - 6.00 petang : Ceramah Nuzul Quran.
6.00 - 6.15 petang : Penutup, bacaan doa makan, berbuka puasa (makanan ringan).
6.15 - 6.30 petang : Solat Maghrib berjemaah.
6.30 - 7.30 malam : Makan (makanan berat).
7.30 - 9.00 malam : Solat Isya' dan terawih berjamaah.
9.00 malam : Majlis bersurai.

Saturday, September 6, 2008

Harapan Ramadhan

Sedikit halwa telinga untuk tetamu budiman, teruskan beramal di bulan yang mulia ini ya... :)

Harapan Ramadhan - Man Bai & Raihan

Emm terasa mahu berbuat sesuatu kepada blog ni, tunggu-tunggulah selepas imtihan selesai. Pohon doa dari semua...

Sunday, August 31, 2008

Ballighna Ramadhan...



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Alhamdulillah, Ramadhan tiba lagi, menggamit perhatian seluruh ummat Muhammad untuk mempertingkatkan amal, memperbanyakkan ibadat kerana kehadirannya bukan sekadar kehadiran biasa namun menjanjikan pahala dan ganjaran yang berlipat-lipat ganda.

Alhamdulillah, tahun ini saya kembali menunaikan ibadah di bulan Ramadhan ini di Kaherah, Mesir. Masa yang cukup pantas berlalu tanpa disedari, ini kali keenam saya menyambut Ramadhan di sini. Pastinya diri sendiri tidak rela untuk mempersiakan Ramadhan dan tidak mengendahkan serta melayannya dengan tidak selayaknya. Apatah lagi ia hadir hanya sekali dalam setahun. Walau dalam masa yang sama, saya masih perlu berusaha untuk imtihan yang akan datang dan ketibaan pelajar-pelajar baru juga memerlukan abang-abang dan kakak-kakak yang tinggal di sini bertungkus lumus memastikan kebajikan mereka dapat dijaga dengan sebaiknya. Semoga semua itu dikira sebagai amal soleh buat bekalan ke Sana. Semoga Ramadhan kali ini juga memberikan makna tersendiri kepada diri saya yang baru bergelar suami dan terpaksa melaluinya jauh daripada Isteri. Teruja untuk terus beribadat dan beribadat mengenangkan ibadat orang yang sudah berkahwin adalah sekali ganda daripada mereka yang belum berkahwin. Moga saya mendapat kelebihan itu. InsyaAllah.

Baiklah, sekadar itu sahaja coretan buat kali ini. Mungkin malam ini saya akan ke masjid Rawwas untuk bertarawih di sana. Masjid yang telah bertukar arah qiblatnya kerana dikatakan semasa pembinaannya tidak mengikut arah qiblat yang betul. Katanya kontraktor yang membina masjid ini sebelum ini adalah seorang kristian yang telah memedarkan sedikit arah qiblat supaya menjadi fitnah kepada orang Islam. Macam-macam kan? Moga seluruh ummat Islam pun dapat menghayati kehadiran Ramadhan kali ini dengan penuh penghayatan, rasa menghargai dan berkasih sayang sesama mereka. Lebih-lebih lagi buat diri ini.

Allahumma ballighna Ramadhan, ballighna Ramadhan, ballighna Ramadhan...

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Wednesday, August 27, 2008

Photobucket

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Setelah hampir 2 bulan berada di Malaysia, akhirnya saya selamat pulang kembali ke Mesir. Berbekalkan keazaman untuk memberikan yang terbaik untuk imtihan akhir tahun 5 ini, saya pulang dengan penuh tawakkal agar Dia menentukan yang terbaik buat saya kali ini. Pastinya suatu yang sukar untuk meninggalkan jauh isteri di awal pernikahan ini, namun saya percaya disebalik rasa rindu itu pastinya tersembunyi hikmah dan kenikmatannya tersendiri untuk kami sama-sama rasai.

Moga kami akan terus tabah menghadapinya dengan baik. Saya teringat suatu nasihat yang pernah disebut oleh Aa Gym apabila beliau menyebut, "Si suami harus sentiasa sedar dan mengingatkan isterinya bahawa suatu hari nanti mereka pasti akan berpisah buat selamanya. Justeru jika hanya perpisahan yang sementara membuatkan diri tidak keruan dan tidak tentu arah pastinya sukar untuk menghadapi perpisahan yang abadi itu. Berdikari dan hadapilah perpisahan itu dengan rasa tawakkal yang tinggi kepadaNya"

Ya pastinya mudah untuk mengungkapkannya bukan, sendiri rasa baru tau! Apapun seperti kata Ustaz Syed Kadir, pepatah melayu ada menyebut, "Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan!" Moga perpisahan ini memberikan ruang untuk kasih sayang itu terus subur mekar di taman pernikahan. Buat zaujah yang dikasihi, moga dirimu terus tabah, terima kasih kerana memberikan diri ini peluang untuk memberi, berkongsi dan mengisi hari-hari mendatang dengan rasa kasih dan sayang keranaNya. Moga bertemu di suatu hari nanti, InsyaAllah.

Baiklah, doakan saya hadapi imtihan mendatang ini dengan baik. Ilalliqa' Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Monday, July 21, 2008

Bimillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Lama tidak mencoret apa-apa kan? Sibuk? Ya pastinya agak sibuk membuat persiapan yang sepatutnya menghadapi hari-hari penting dalam hidup. Kebetulan pula akhir-akhir ini kuliah subuh di masjid, kuliah maghrib di surau, rancangan-rancangan agama di TV1, TV2 mahupun Al Kuliyyah di TV3, banyak pula yang bercerita tentang perkahwinan dan institusi keluarga. Pelbagai ingatan diberi, pelbagai teguran diajukan, pelbagai nasihat pula diutarakan bagi memeberikan panduan kepada mereka-mereka yang akan berumah tangga. Agaknya sekarang memang musim orang mendirikan rumah tangga apatah lagi tarikh 080808 yang bakal menyusul, pastinya menjadi tumpuan ramai pasangan untuk memulakan kehidupan bergelar suami atau isteri.

Namun begitulah, walau diri tidak mampu untuk meluangkan masa duduk mendengar, menadah telinga mendengar nasihat-nasihat tersebut dan menuntut ilmu sebagai persediaan melayari kehidupan bekerluarga dengan baik dek kerana pelbagai komitmen dan persiapan yang perlu saya lakukan, namun dalam masa yang sama saya rajin pula untuk menelaah buku-buku berkaitan rumah tangga seperti karangan Ustaz Pahrol Mohd Juoi, “Satu Rasa Dua Hati” serta buku Ustaz Hasrizal pastinya “Aku Terima Nikahnya”. Oleh kerana saya sudah terlalu kerap membaca artikel-artikel Ustaz Hasrizal tentang kekeluargaan di SaifulIslam.com maka buku Ustaz Pahrol lebih menarik minat saya ketika ini untuk mengutip segala pengalaman-pengalaman dan rencah hidup berumah tangga sebagai panduan di hari muka. Banyak yang saya dapati dari buku ini dan apa yang terpenting yang mungkin dapat saya keluarkan daripada buku ini adalah matlamat asas dan utama apabila seseorang memilih untuk mendirikan rumah tangga adalah kemahuannya untuk memberi dan mengasihi pasangannya dan pastinya ia diasaskan atas rasa taqwa dan cinta mereka kepada Allah Subhanahu Wataala. Semoga ia menjadi suatu cara terbaik untuk saya kembali mengingati segala teori-teori dan panduan bait muslim yang pernah dipelajari sebelum ini untuk dipraktikkan dalam kehidupan realiti nanti insyaAllah.

Dalam hidup ini, selain belajar melalui pengalaman sendiri, pengalaman orang lain juga kerap kali menjadi panduan untuk kita membina pengalaman sendiri, justeru saya begitu teruja apabila mak dan ayah banyak bercerita tentang kehidupan berumahtangga dan asam garam yang telah mereka lalui selama ini. Dan sebagai anak yang lahir seawal setahun selepas mereka diijabkabulkan saya dapat melihat sendiri bagaimana peranan yang dimainkan mereka dalam membina keluarga. Ayah sebagai ketua keluarga dan emak sebagai pengurus rumahtangga begitu komited menjalankan peranan masing-masing dalam memastikan kami adik beradik terbela dan mendapat pendidikan yang sebaiknya. Namun begitu, masih banyak yang belum saya ketahui dan banyak pula yang masih perlu saya pelajari daripada mereka terutama berkenaan menjaga perasaan dan mendidik kesabaran dalam perhubungan. Ya, moga saya lebih cepat untuk belajar. Dan yang pastinya pembelajaran itu adalah suatu proses yang lama dan menuntut kesabaran justeru kepada mereka yang masih punya waktu dan masih belum bercadang untuk berumah tangga, tidak jadi masalah untuk anda menambah ilmu dan pengalaman berkenaan hal ehwal rumahtangga, semoga ia dapat membantu anda menyediakan diri dengan sebaiknya menjadi ketua keluarga mahupun isteri yang baik dalam membina usrah muslimah solehah toyyibah yang anda impi-impikan insyaAllah.

Begitulah… apapun pelbagai persiapan yang sedang dilakukan sekarang sedikit sebanyak membuka mata saya bahawa bukan senang untuk melangsungkan sesebuah perkahwinan. Dari memilih hari, membuat kad, menghantar jemputan, mengubah hantaran, mencari lembu, mengikuti kursus kahwin, menyewa khemah, memasak, bermajlis dan lain-lain lagi memerlukan perancangan dan pandangan mereka yang berpengalaman dalam hal ini. Apatah lagi masa yang ada begitu singkat. Ada yang bertanya, “kenapa terlalu cepat untuk kahwin? Sedang belajar pun belum habis.” Pastinya suatu soalan yang sememangnya sukar untuk saya berikan jawapan namun saya hanya meletakkan keyakinan bahawa inilah jalan terbaik yang saya dan bakal isteri telah pilih dan dengan keyakinan itu saya mengharapkan sakinah mawadah dan rahmah dariNya dalam menyusuri jalan yang telah ditentukan ini. Tersenyum saya apabila seorang sahabat telah menelefon dan menyatakan “Tak sangka dahulu senyap je kat sekolah, akhirnya kahwin dulu” Tak sangka pula saya pendiam dahulu di sekolah. Apapun saya agak menyedari sifat pendiam saya itu akhir-akhir ini.

Baiklah, rasanya setakat ini dahulu buat kali ini. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi mencoretkan apa-apa di ruangan komen ataupun shoutbox dalam entry yang lepas. Dan seperti yang saya sebut sebelum ini, ketiadaan talian internet mahupun telefon di rumah menyebabkan ruang dan peluang untuk saya mengakses internet agak terbatas sementara saya sendiri sudah tidak berapa gemar pula untuk ke cc.

Apapun jazakumullah khairan kathiraa sekali lagi diucapkan dan buat sahabat-sahabat saya yang berada di Malaysia, saya kehilangan banyak contact number kalian dek kerana handset lama saya tidak dapat dihidupkan. Justeru harap dapat menghubungi saya ya. Yang nak dapatkan kad jemputan pun boleh hubungi saya, nyatakan pengenalan diri dan alamatnya sekali. Yang tak dapat datang tu, takpe je, mengharapkan doa kalian dari kejauhan. Yang akan datang, moga akan ketemu nanti, pastinya saya amat merindui kalian setelah sekian lama tidak bersua. Moga pertemuan itu menjadi milik kita, insyaAllah… 

Jazakumullah khairan kathiraa…

Sunday, July 13, 2008

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera buat semua.


Saya mulakan entry pada kali ini dengan penuh rasa syukur ke hadratNya atas segala kurnia dan limpahan rahmat yang dianugerahkan kepada saya, keluarga saya, sahabat-sahabat dan sesiapa jua dalam kita meniti hari-hari yang kita lalui saban hari. Pastinya rasa syukur tersebut tidak setara dengan segala kurniaan yang telah dianugerahkanNya kepada kita.

Ramai yang sudah menduga, ramai yang sudah berbicara, ramai yang sudah mengagak-agak dengan pelbagai dugaan dan reka cerita. Yang pasti, kembalinya saya ke pangkuan keluarga pada kali ini bukanlah sekadar untuk melepaskan rindu di hati, pulang ke desa melihat riak-riak air di kali, kembali menghirup udara nyaman di pinggiran sawah padi, di tepi tali air sepanjang bendang yang tidak berapa jauh daripada rumah. Namun kembalinya saya ke tanah air pada kali ini, ketika sahabat-sahabat yang lain sedang bertarung menyediakan diri di ambang peperiksaan di tahun lima. Saya pula dengan segala kedhaifan yang ada sedang merencana pula untuk membina keluarga. Pastinya ia bukan keputusan yang mudah untuk dilakukan tetapi dengan penuh rasa tawakkal saya teruskan rencana tersebut dan pastinya saya cukup mendambakan doa dari kalian agar segala yang dirancangkan akan berjaya dilaksanakan.

Ampun dan maaf saya dahulukan kepada sahabat-sahabat yang mungkin pernah bertanyakan tentang rencana saya ini namun tidak mendapat jawaban terbaik untuk pertanyaan itu, saya terpaksa berdalih dan terpaksa mengelak apabila ditanya memandangkan semuanya masih samar dan di peringkat perancangan, sementara masih belum ada apa-apa ketetapan yang diambil pada masa itu. Mudah-mudahan saya tidak dikira berdusta apabila secara berseloroh mengatakan bahawa kembalinya saya ke Malaysia kali ini adalah untuk menjadi PM apabila ditanya oleh seorang pembaca blog suatu ketika. Ya pastinya PM yang dimaksudkan bukanlah Perdana Menteri, namun terpulanglah kepada sahabat-sahabat untuk membuat apa-apa tafsiran kepada ‘PM’ tersebut sesuai dengan apa yang akan saya lalui nanti.

Justeru, dengan penuh rasa merendah diri dan penuh takzim, saya menjemput semua sahabat-sahabat, yang mengenali diri ini, samada di PERUBATAN, sahabat-sahabat di Mesir, sahabat-sahabat di INTEC, sahabat-sahabat di KMNS, sahabat-sahabat di SMKA Sheikh Abdul Malek, mahupun di SK Ladang dan Tadika Kemas serta siapa sahaja mengenali diri saya. Termasuklah guru-guru yang pernah mendidik saya selama ini, saya dengan penuh hormat menjemput semuanya ke majlis kesyukuran sempena perkahwinan saya ini pada hari Sabtu, 9 Ogos 2008 bersamaan 7 Syaaban 1429 H di rumah saya di alamat, 654, Kampung Kubang Tangga, 20050 Kuala Terengganu. Moga dengan kehadiran sahabat-sahabat memberikan kegembiraan kepada kami insyaAllah.

Akhirnya saya sekali memohon doa dari semua agar majlis aqad dan perkahwinan yang akan berlangsung pada 2 Ogos 2008 di rumah pengantin perempuan dipenuhi barakah dan berjalan dengan lancar dan sebaiknya insyaAllah. Saya suka untuk kita sama-sama kembali mengingati dengan janji dan pernyataan yang pernah dikirimkan Allah melalui firmanNya yang bermaksud “dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa dia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan” (surah Ar Rum ayat 21). Atas keyakinan itulah saya berdoa semoga hubungan suci ini dipenuhi barakah dan rahmat dariNya, InsyaAllah...

Sekian, jazakumullah khairan kathiraa…

PS: Talian saya di Malaysia, 019 9588639.Perkenalkan diri dulu ya.

__________________________________________________________

-Walimatul Urus-

TENGKU HAJI ZAINAL ABIDIN BIN TENGKU HAJI AWANG
dan

HAJJAH WAN NORMAZIAH BINTI HAJI WAN MANSOR

Dengan segala hormatnya mempersilakan Tengku / Engku / Dato / Datin / Tuan / Puan / Encik / Cik

…………………………………………………………………………………..

suami isteri ke Majlis Kesyukuran sempena perkahwinan putera kami,

TENGKU ABDUL KADIR BIN TENGKU ZAINAL ABIDIN
dengan
ZAATIL IFFAH BINTI ASMAWI

Pada hari Sabtu, 9 Ogos 2008 bersamaan 7 Syaaban 1429H

Di kediaman kami beralamat:

654, Kampung Kubang Tangga, 20050 Kuala Terengganu.

Semoga dengan kehadiran tuan puan akan menambahkan lagi keberkatan majlis ini di samping mendapat keredhaan dan rahmat daripada Ilahi. InsyaAllah.

Aturcara Majlis:

Jamuan : 11:00 – 5:30 petang
Majlis sambut menantu : 2:00 petang

Friday, July 4, 2008

Majlis Pemangku Presiden

Assalamualaykum warahmatullah wabarakatuh.

Sedikit makluman buat semua.

Dalam Mesyuarat AJKT PERUBATAN bertarikh 29 Jun 2008 yang lalu suatu majlis pemangku Presiden telah dilantik untuk memangku segala tugas presiden bersempena ketiadaan Presiden PERUBATAN di Mesir bermula 4 Julai 2008 sehingga 26 Ogos 2008.

Majlis ini dianggotai oleh :

1. Ahmad Haikal bin Idris (012-8931237)
- Tahun 5 Universiti kaherah


2. Mohd Husmar Israq bin Husin (010-8693139)

- Tahun 5 Universiti Ain Shams


3. Zawil Farhiha binti Razali (016-7037726)
- Timbalan Presiden II, Tahun 5 universiti Ain Shams


Majlis ini akan diketuai oleh saudara Ahmad Haikal bin Idris. Justeru, majlis ini akan bertanggungjawab melaksanakan bidang tugas dan kuasa presiden sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan PERUBATAN.

Sekian, Wassalam.




Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin
Presiden
Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir
PERUBATAN

Thursday, July 3, 2008

Pergimu buat selamanya...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Saya sedikit tidak menyangka hari itu akan tiba, walau saya percaya setiap yang bermula pasti berakhir, setiap pertemuan itu bakal disusuli perpisahan, namun saya tidak pernah menyangka perpisahan itu akan berlaku dengan begitu pantas. Tidak ramai yang tahu tentang cerita kami, sahabat-sahabat yang rapat juga tidak begitu arif tentang perkara itu, Idil juga mungkin kurang tahu . Selain seorang yang pendiam, saya juga seorang perahsia. Justeru tidak ramai yang tahu.

Pertemuan kami berlaku kira-kira tiga tahun yang lalu, saya terpesona dengannya setelah diperkenalkan oleh Iqbal pada suatu hari. Keayuannya (kecil molek) cukup menarik hati saya untuk lebih mengenalinya. Sikap tegasnya juga adalah suatu perkara yang cukup dekat di hati saya. Akhirnya tidak lama beberapa ketika kami menjadi cukup intim dan begitu akrab sekali. Pada awal perhubungan kami, saya amat menjaga hubungan ini. Saya tidak pernah sesekali melakukan apa-apa perkara yang boleh menyakitkannya. Ya seperti pasangan-pasangan yang baru bertemu dan berkenalan pastinya semuanya dijaga dengan sebaik mungkin. Jangan katakan memukul, menjentiknya pun saya tidak pernah. Kami sentiasa bersama, walau pernah dikatakan bagaikan belangkas kerana selalu bersama, namun itu semua tidak pernah kami hiraukan. Yang penting pada kami, kami tahu kami ikhlas dalam menjalinkan hubungan ini.

Suatu yang sangat saya kagumi adalah kerana kesanggupannya untuk mengejutkan saya setiap pagi di kala subuh. Ya, setiap pagi. Kerana itu jugalah saya sukar untuk terlepas untuk solat subuh berjemaah di masjid. Mengingatkan perkara itu, saya seolah-olah merasakan hubungan ini cukup islamik. Kami sering mengingatkan untuk tidak pernah culas melaksanakan tanggungjawab mengerjakan solat pada setiap waktu.

Namun semakin masa berlalu, semakin waktu berganjak, hubungan kami menjadi semakin kurang serasi. Saya sendiri tidak tahu mengapa lewat perhubungan kami saya semakin berkasar terhadap dirinya. Saya tidak melayannya seperti waktu-waktu dahulu. Mungkin saya sudah berubah, atau mungkin juga dirinya sudah tidak lagi menarik hati saya. Saya semakin sering untuk tidak bangun atau terjaga walau dikejutkannya pada waktu pagi. Saya menjadi culas. Tidak mahu untuk bangun. Namun dia tetap setia. Tidak pernah jemu mahupun bosan untuk terus mengejutkan saya setiap pagi. Sungguh saya sendiri tidak faham mengapa saya sudah tidak menghargai apa yang dilakukan pada saya selama ini.

Hinggalah pada dua hari yang lalu, suatu yang tidak pernah saya jangkakan, dia telah meninggalkan saya buat selama-lamanya. Dia ditemui tidak bernyawa dipercayai lemas setelah tidak dapat dikesan beberapa ketika. Ketika itu saya berada di rumah Abang Ilhan, menunaikan solat Maghrib di situ. Saya cuba berusaha untuk menyelamatkannya dan berharap untuk dia kembali, namun semuanya telah terlewat dan saya terpaksa menerima hakikat bahawa sememangnya dirinya sudah tiada lagi. Ya, suatu yang cukup perit, perpisahan yang tidak pernah terduga namun segala jasa dan pengorbanan yang pernah dia berikan selama perhubungan kami ini suatu yang akan saya kenang sehingga ke akhir hayat. Moga dirimu tenang selamanya…

“Mengenang ‘mati’nya henset Panasonic saya yang telah sekian lama bersama. Moga henset yang baru dapat memberikan saya khidmat yang lebih baik dan menjadi medium yang lebih berkesan dalam meneruskan perjuangan saya di bumi Allah ini. InsyaAllah…”

PS: Ketika ini saya terpaksa menggunakan henset Wafi untuk mengaktifkan simcard saya. Hanya beberapa hari lagi sebelum pulang dan rasanya hanya akan beli handset baru sekembali ke Malaysia nanti. Doakan saya dapat menempuh hari-hari tanpa handset kesayangan itu dengan baik dan selamat untuk pulang ke Malaysia jumaat ini.

Oh ya, dipercayai ‘pembunuh’ henset saya itu adalah sofiy, anak kepada Abang Ilham yang merendamkannya ke dalam air… hisy…

Jazakumullah Khairan Kathiraa…

Tuesday, July 1, 2008

Doakan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.




Indahnya pabila setiap detik, waktu dan ketika, hati sentiasa mengingati Allah, lidah sentiasa menyebut namaNya, seluruh amal perbuatan mencari redhaNya... -puas-

Banyak yang ingin dikongsi, banyak yang ingin dicoret peringatan buat diri dan semua. Hanya padaNya dimohon keluangan waktu dan tenaga.

Doakan exam kami hari ini!

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Sunday, June 29, 2008

Coretan Hari Semalam...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Alhamdulillah, akhirnya dapat melalui imtihan paediatric dengan baik, walaupun sebetulnya saya sendiri tidak sempat untuk menghabiskan pembacaan buku qism yang setebal 350 muka surat itu dan soalan mcq yang lebih daripada 1000 soalan itu. Namun Alhamdulillah 'ala kulli hal. Salah?ya sudah pasti sudah ada yang salah, sekurang-kurangnnya 6 soalan sudah dipastikan kesalahannya. huhu.

Pagi semalam, Syazwan telah selamat bertolak meninggalkan Kota berdebu Kaherah ini diikuti Dzul pada tengahharinya. Dan kini Syazwan sendiri sudahpun sampai di Malaysia dan mungkin sudah berada di rumah gamaknya. Saya bersama Akmal, Abang Ilham dan Haikal meluangkan masa untuk pergi ke airport untuk menghantarkannya pulang. Sedikit kesulitan berlaku di airport menyebabkan kami hanya melangkah pulang sekitar jam 3:00 pagi. Di kala itu, kepala saya terasa cukup berat sambil minda terus mencongak apa la nak jadi dengan exam pediatric nanti ni, pastinya kurang tidur akan memberikan effect kepada prestasi saya di dewan peperiksaan.

Setelah menempuhi perjalanan yang agak jauh, kami hanya menjejakkan kaki ke rumah sejurus ketika azan Subuh berkumandang. Seusai solat Subuh, saya terus pulang ke rumah, merebahkan tubuh di tepi Idil, mengunci handset pada jam 7:00 pagi dan terus melelapkan mata. Saya tidak sedarkan apa-apa lagi sehinggalah terkejut mendapat sms "Salam, good luck exam!! Binnajah...Doakan Idah jugak..."

Saya melihat jam. Oh sudah pukul 8:00 pagi. Nyata loceng handset yang berbunyi sudah tidak mampu mengejutkan saya lagi. Dengan rasa yang amat berat saya cuba untuk bangun. Alhamdulillah akhirnya saya mampu untuk berdiri, mengambil tuala dan terus ke bilik air menyiapkan diri.

Sekali lagi kami masih terkeliru dengan waktu sebenar peperiksaan kami, ada yang mengatakan pukul 9:00pagi dan ada pula yang memberitahu pukul 9:30 pagi. Saya sendiri mengambil jalan selamat dengan bertolak lebih awal untuk sampai ke kuliah sebelum jam 9:00 pagi. Namun sesampai di sana, setelah bertanyakan kepada bawab imtihan, ternyata peperiksaan hanya akan dimulakan pada jam 10:00 pagi. Hai Mesir... mesir...

Apapun alhamdulillah imtihan dapat dilalui dengan baik, dan selepas ini hanya tinggal MCQ untuk Clinical Pathology yang akan dilalui sebelum bertolak pulang pada Jumaat nanti. Itupun sekali lagi saya terkejut apabila tarikh imtihan pada 1 Julai itu telah di radd oleh qoul yang mengatakan ia akan diadakan pada 2 Julai ini. Akan cuba dipastikan daripada kawan-kawan arab nanti.

Yang pastinya, sebelum berangkat pulang ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan dan mengisi padat jadual saya sepanjang 5-6 hari ini. Kesakitan pada belakang Idil juga sedikit merisaukan saya. Moga dia akan cepat sembuh dari kesakitan yang dihadapi. Mohon doa dari semua. Baiklah, saya tidak punya banyak idea untuk teruskan coretan pada kali ini. Moga semua sentiasa dalam rahmat dan petunjuk dariNya. Hingga ke entry lain, doakan semua insyaAllah.

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Saturday, June 28, 2008

Sedikit Iklan...

Sedikit Iklan.... Kalau berkelapangan bolehlah hadirkan diri ya. InsyaAllah selepas majlis, boleh sambung tgk EURO pula... :)

Thursday, June 26, 2008

Mencari Tujuan Dalam Hidup...

Tangisan itu kedengaran,
Bergema mengisi suasana,
Menggamit kegembiraan abi dan ummi,
Menyambut kelahiran kita,
Anak-anak mereka.

Setelah 37 minggu didalam kandungan,
Kurang 42 minggu Ibu mengusung,
Kita lahir ke dunia,
Kita menangis,
Gembira, kerana di sinilah kita bakal menyimpan bekalan,
Bimbang, kira di sini kita gagal mendidik iman,
Takut, jika terhumban dalam hidup penuh gelap dan kehinaan.
Arrgh... Kehidupan dunia yang penuh onak dan ujian.

Detik berlalu,
Selepas 15 minit ibu menyusukan,
Kita minum, kita menyusu,
Kita puas dalam dakapan ibu,
Kita rasa akan kasih sayangnya ibu,
Panas ibu memberikan keselesaan, keselamatan buat diri yang masih terkejut melihat dunia penuh warna keindahan.

Hari demi hari kita membesar,
2 bulan kita mula tersenyum,
3 bulan kita mula mendongak,
5 bulan kita mula duduk
6 bulan kita mula berguling,
7 bulan kita mula kuat berdiri
8 bulan kita mula merangkak,
9 bulan kita sudah mula berdiri sendiri,
Kita mula berjalan dan berlari,
Mengejar itu dan ini,
Meneroka alam,
Kita belajar dan terus belajar.

Dari bayi, kita menjadi kanak-kanak,
dari kanak-kanak kita menjadi budak-budak,
dari budak-budak kita menjadi remaja,
dewasa dan akhirnya tua.

Kita mula berasa suka,
kita mula punya rasa cinta,
Cintakan Allah cintakan insani,
Kita mencari dan memerhati,
Siapa gerangannya yang sesuai,
Siapa gerangannya yang tepat,
Untuk menyemai benih cinta itu,
Moga ia bisa subur di hati si dia,
Yang kita pilih dan sanggupi,
Dengan petunjuk dari Ilahi.
Kita hidup bersama, kita kongsi bersama,
segala suka dan duka, membina generasi pejuang agama.

Hari semakin hari,
Terus berlalu dan berlalu pergi, Kita terus belajar di sekolah kehidupan ini,
Dari lemah, kita kuat dan lemah kembali, (30:54)
Menanti saat dan ketika kita kembali dijemput ilahi.
Berbekalkan bekal yang kita kumpul kini.
Entah cukup entah tidak kita sendiri yang mengoreksi.

Namun kawan,
Kita tidak pasti bila kita akan pergi,
Jangan tertipu pada usia muda,
Kerana mati tidak syaratnya tua,
Jangan tertipu dengan tubuh yang sihat,
Kerana mati tidak syaratnya sakit.
Namun mati itu akan tetap menjemput,
tidak cepat dan tidak lambat,
Sedang kita tidak pernah mengetahui,
Bilakah masa, di manakah tempat.(31:34)

Justeru kawan,
Kira masamu masih ada,
Tika waktumu masih bernyawa,
Muhasabahlah dirimu,
Cari,ikut dan capailah,
Akan tujuan hidupmu...

Mencari Tujuan Hidup
Dr Kadir
Kaherah
6:14 petang.

Wednesday, June 25, 2008

Helikopter...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Pada suatu hari, seorang detektif dikehendaki menyelesaikan satu kes. Kes kemalangan udara yang melibatkan sebuah helikopter yang dipandu oleh dua orang juruterbang. Peti hitam milik helikopter itu ditemui. Detektif tersebut mendengar perbualan yang berlaku antara kedua-dua juruterbang tersebut sebelum nahas itu berlaku.



Juruterbang 1: Cerah cuaca hari ni kan? seronok...

Juruterbang 2: A ah, hari cuaca baik, cuma sejuklah sini.

Juruterbang 1: Oh ya? ....

perbualan itu terputus di situ dan akhirnya helikopter itu pun terhempas. Pada pandangan anda, apakah sebabbya helikopter itu boleh terhempas? Ha jawab, jawab. Katak hari tu tak jawab lagi.



hihi key sambung study...

Jazakumullah Khairan Kathiraa...