Monday, January 5, 2009

Hari Asyura...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Sempena bulan Muharram al Mubarak ini, saya ingin kembali mengingatkan kita semua tentang suatu tarikh yang penting dalam Islam iaitu berkenaan Hari Asyura dan fadilat serta bagaimana untuk kita menyambutnya. Artikel yang saya tulis tiga tahun yang lalu mudah-mudahan memberikan sedikit panduan kepada kita dalam muraqabah kita kepada Allah SWT. Selamat membaca.

Jazakumullah khairan kathiraa...

Fadhilat Hari Asyuraa’

Disaring dari kitab Fadhilat Hari Asyuraa’ Antara Adat dan Istiadat karangan Abu Muhammad An Naqsyabandiy

Maal Hijrah tiba lagi, menandakan bermulanya tahun baru 1430H yang pastinya menjanjikan perbagai dugaan dan cabaran sepanjang mengharungi setahun yang mendatang ini.Muharram sebenarnya suatu bulan yang cukup penting dalam Islam. Selain sebagai bulan pertama dalam Islam, Padanya juga ada suatu hari yang dikenali sebagai Hari Asyura’ yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Hari Asyura’ berasal daripada perkataan ‘Asyara’ yang bermaksud kesepuluh atau merujuk kepada hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram. Sementara hari yang kesembilan daripada bulan Muharram dikenali sebagai Hari Tasua’ (kesembilan).

Pada awal Islam, Hari Asyura’ adalah merupakan hari yang cukup dimuliakan dan diwajibkan bagi orang-orang Islam untuk perpuasa padanya hinggalah turunnya perntah berpuasa fardhu pada bulan Ramadhan maka hukum berpuasa pada Hari Asyura’ bertukar kepada Sunat Muaakad. Namun, sebahagian sahabat masih kekal melaksanakan puasa pada hari tersebut mengenangkan kelebihan dan keistimewaan hari tersebut berdasarkan banyak nas-nas daripada Hadith Rasulullah SAW.

Nas-Nas Berhubung dengan Hari Asyura

1. Daripada Abdullah Ibni Abbas berkata: Telah menyuruh Rasulullah S.A.W. supaya berpuasa pada Hari Asyura’ pada hari kesepuluh pada bulan Muharram. [1]

2. Daripada Abu Qatadah, bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda:Berpuasalah pada hari Asyuraa’ bahawasanya aku berharap diatas Allah S.W.T bahawa ianya (berpuasa itu) dapat mengkifaratkan segala dosa pada tahun yang lalu.[2]

3. Biasanya Bangsa Quraish berpuasa pada Hari Asyuraa’ sejak zaman jahiliyyah, juga Rasulullah S.A.W biasa berpuasa di Makkah dan kemudian selepas berhijrah ke Madinah, dan telah turun perintah wajib berpuasa pada bulan ramadhan maka Nabi S.A.W bersabda: Saya dahulu telah menyuruh kamu sebagai perintah wajib berpuasa Asyuraa’ dan kini terserah siapa suka berpuasa dan yang tidak suka boleh meninggalkannya.[3]

Dan banyak lagi nas-nas yang menunjukkan kelebihan untuk berpuasa pada Hari Asyura ini. Cara untuk berpuasa pada Hari Asyuraa’

Puasa Asyuraa’ pada awalnya dilakukan oleh Rasulullah sendirian dan tidak diperintahkan kepada sahabat-sahabat untuk melakukannya ketika baginda masih berada di Mekah, namun selepas penghijrahan baginda ke Madinah baginda telah meneruskan puasa tersebut dan turut memerintahkan para sahabat untuk mengerjakannya sehinggalah turunnya perintah untuk berpuasa pada bulan Ramadhan maka hukum berpuasa pada Hari Asyuraa’ dimansuhkan.

Hari Asyuraa’ sebenarnya bukan sahaja disambut oleh orang Islam namun dalam masa yang sama golongan Kristian dan Yahudi turut mengagungkan hari tersebut kerana terdapatnya peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari tersebut. Sepertimana yang dinyatakan dalam hadith: “Daripada Ibn Abbas R.A. berkata: ketikamana sampai Rasulullah S.A.W di Madinatul Munawwarah maka bagida dapati golongan Yahudi berpuasa pada Hari Asyuraa’ maka bersabda Rasulullah S.A.W.kepada mereka : Hari apakah ini yang kamu berpuasa?

Maka mereka berkata (yahudi): Hari ini adalah hari yang besar bagi kami, dimana Allah S.W.T. telah selamatkan Nabi Musa A.S. dan kaumnya dan menenggelamkan Firaun bersama kaumnya ke dasar lautan, maka berpuasalah Musa kerana bersyukur maka kami pun berpuasa.

Maka bersabda Rasulullah S.A.W: Sekiranya begitu kamilah yang lebih berpuasa daripada kamu maka berpuasalah Rasulullah S.A.W dan menyuruh sahabat-sahabatnya untuk berpuasa.[4]

Rasulullah S.A.W telah mengajar umatnya untuk berpuasa pada hari yang sepuluh pada bulan Muharram dengan tidak melakukannya sendirian namun turut berpuasa juga pada hari yang kesembilan atau hari yang kesebelas atau ketiga-tiga hari tersebut bagi mengelakkan meniru puasa orang yahudi yang berpuasa hanya pada 10 Muharram.

Sebenarnya berlaku khilaf dikalangan ulama dalam menentukan tarikh sebenar Hari Asyuraa’ samada hari kesembilan atau hari kesepuluh.Namun mengambil sikap cermat dalam melakukan ibadah dengan berpuasa pada kedua-dua hari tersebut adalah terlebih baik agar kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan yang ada pada hari Asyuraa’ tersebut. Selain berpuasa kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amalan-amalan yang lain sepanjang Hari Asyuraa’ tersebut, antaranya:

1. Solat Sunat selain solat Fardhu

2. Menghubungkan Silaturrahim

3. Banyakkan bersedekah

4. Bersihkan diri dari sebarang kekotoran

5. Bercelak Mata

6. Mengziarahi Ulama

7. Mengziarahi Orang sakit

8. Mengusap Kepala Anak Yatim

9. Meluaskan untuk keluarga

10. Memotong kuku

11. dan Membaca Surah Al Ikhlas seribu kali.

Moga panduan yang diberi memberikan kita kesempatan untuk bersedia menyambut suatu hari yang besar di dalam Islam ini. Selamat menyambut Hari Asyuraa’.

[1] Hadith riwayat Imam At Tirmidzi dan ia berkata Hadith ini Hasan lagi Shahih

[2] Hadith Shahih riwayat Imam At Tirmidzi

[3] Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

[4] Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

6 comments:

Unknown said...

Sebab keliru antara awal tahun masihi dan hijri buat saya hampir terlupa esok sudah 9 Muharram, Hari Tasu'aa. Terima kasih kerana mengingatkan!

uShop said...

terima kasih sbb ingatkan benda2 disebalik Hari Asyura' ni..

aku nk amik n linkkn kat entry aku ok. semoga pembace2 aku pon dapat manfaat..

Dr Kadir said...

Salam,

sama-samala mengingati, besok nak kene bermusafir ke Mesir, tak tau la mampu untuk berpuasa ke tak.

Ambillah Ushop, moga bermanafaat ;)

Suhaila S. said...

salam..
abg kadir,
izinkan saya copy entry ni untuk manfaat bersama.. n saya link kan kpd blog abg kadir.. =)

lifeinside said...

saidina husein terkorban ari asyura gak kn?

y.mercury said...

salam..

sheikh yusuf al-qaradhawi dlm fiqh siyam berkata:

tidak warid apa2 perkara2 pada hari asyura selain puasa, dan apa yg diada2kan oleh sebahagian manusia seperti berhias2, mandi, pakai celak, bersedekah, dan menjadikannya sambutan, menyembelih sembelihan, dan berderma pada hari tersebut - setiap perkara ini tidak ada asal-usulnya dlm agama Allah, dan tidak ada dalil yg sahih yg menyokongnya…
imam ibn al-qayyim berkata: hadis2 bercelak pada hari asyura, dan berhias, meluaskan sesuatu perkara (bersedekah), dan solat (khusus) pada hari itu, dan fadhail2 lain, tidak sahih walau satu pun hadis, dan tidak sabit dari nabi sallallhu ‘alaihi wa sallam tentangnya, KECUALI hadis puasa sahaja. dan apa2 yg selain itu adalah batil…
dan ahli sunnah beramal dgn apa yg diperintahkan oleh nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam iaitu berpuasa, dan (ahli sunnah) meninggalkan bid’ah apa yg diperintahkan oleh syaitan. (manar al-munif)

sumber: fiqh siyam li al-qaradhawi
edisi online di:
http://www.qaradawi.net/site/topics/static.asp?cu_no=2&lng=0&template_id=219&temp_type=42&parent_id=12


¬semoga bermanfaat¬