Friday, February 12, 2010

Catatan sebelum pulang (part 3)


SPM 2002


Mungkin tak ramai mengetahui bagaimana perjalanan yang saya lalui sebelum dapat menempatkan diri belajar medik di Mesir. Seingat-ingat saya juga saya pun tak pernah kongsikan cerita tu di blog. Baiklah,yang taknak tahu tu takpalah, yang nak tahu tu, ni ceritanya. :D Ia sebenarnya bermula daripada inspirasi yang dicetuskan oleh Ustazah Hamidah, cikgu Bahasa Arab saya yang pernah bercerita tentang adanya pelajar Malaysia yang belajar Perubatan di Mesir. Kata beliau, selain belajar perubatan, pelajar-pelajar tu juga dapat memperkuatkan Bahasa Arab mereka dan akhirnya Bahasa Arab yang dipelajari di bangku sekolah tak hilang begitu sahaja ditelan zaman sepertimana yang dihadapi oleh ramai pelajar-pelajar lepasan sekolah agama yang mungkin dah lupa kosa kata dan nahnu sorof bahasa arab tu.(Pada saya tak mudah juga untuk kekal menguasai bahasa arab walaupun belajar di Mesir kerana bahasa percakapan kami adalah bahasa pasar. Tapi kedapatan banyaknya kelas bahasa arab dan ramai ustaz-ustaz yang mampu untuk mengajar membolehkan kita mencapai maksud itu. So kene rajin usaha pergi belajar juga la ya) Sejak itu, saya mula menyimpan impian untuk belajar perubatan di Mesir.

Impian itu dikuatkan lagi dengan kejayaan dua orang senior saya sebelum itu yang telah menempatkan diri di Universiti Iskandariah mengambil jurusan perubatan di sana. Merekalah inilah yang menjadi tempat rujukan saya bertanyakan tentang hal ehwal Mesir sebelum berlepas ke sana.

Namun sebelum saya ditawarkan JPA untuk ke Mesir, saya sendiri telah menempuh jalan yang jauh dan penuh warna warni dengan pengalaman yang pelbagai. Sebelum SPM, saya telah pergi mencuba nasib ke temuduga program persijilan Darul Quran bersama kawan-kawan yang lain di SMKA Durian Guling. Saya juga telah mengisi borang ke matrikulasi dan borang UPU untuk ke Universiti tempatan. Ketika itu saya terlupa seketika cita-cita untuk ke Mesir sebaliknya menanam hasrat untuk ke Darul Quran, untuk hafal Al Quran dan kemudiannya menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan di UIA. Wah, hebat bunyinya kan? Macam Protaz gitu.

Namun pasca SPM, saya menjadi keliru dan hilang punca dan tak pasti untuk ke mana-mana. Sebelum keputusan SPM diumumkan saya gagal menempatkan diri untuk ke Darul Quran dengan alasan lemah hafalan.(Memang saya fail la bab hafal menghafal ni) Ketika itu ada kawan yang memujuk saya untuk buat rayuan untuk dipilih dalam kemasukan kedua ke sana, namun hasilnya saya tetap gagal menempatkan diri. Saya begitu kecewa ketika itu. Ketika kawan-kawan sibuk memohon tempat di sana dan di sini saya hanya mengisi borang JPA bagi mendapatkan tempat ke Mesir mengambil jurusan Perubatan. Ketika itu, saya sendiri tak pasti sebenarnya adakah keputusan saya mendapat 6 1A dan 5 2A tu melayakkan saya untuk ke sana ataupun tidak memandangkan pelajar-pelajar SPM batch saya di seluruh Malaysia rata-ratanya mendapat keputusan yang lebih baik berbanding saya.

Tidak lama kemudian saya mendapat tempat ke Matrikulasi UIA untuk jurusan Engineering, jurusan yang saya tak minat nak ambil. Kemudian saya mendapat pula tawaran ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dalam kelas Fizikal. Semua tawaran yang saya perolehi setakat itu tidak membawa saya kepada jurusan perubatan yang saya kehendaki selain ke KMNS dengan menukar ke kelas Sains Hayat. Ke KMNS bermakna saya perlu kembali bertungkus lumus, study gila-gila untuk mendapatkan pointer 4.0 sebelum mendapatkan tempat dalam bidang perubatan di mana-mana universiti dalam negara berdasarkan rekod tahun sebelumnya. Opsyen lain, masuk tingkatan 6 :D

Sedih bila suatu ketika ayah berkata, "Dapat result straight As pun tak boleh juga buat medik" dengan nada simpati kerana saya tak dapat tempat yang saya inginkan.

Saya mengambil keputusan untuk ke KMNS. Ketika itu ada beberapa kawan saya yang terkejut dan tak percaya yang saya nak ke Matrikulasi walaupun dapat keputusan yang agak baik. (Kenapa? Matrik tempat reject ke? ) Saya seronok di KMNS. Saya juga berjaya menukar kelas daripada fizikal ke sains hayat. Sebenarnya inilah kali pertama saya berjauhan daripada keluarga .Kali pertama saya tinggal di asrama. Kali pertama saya mula hidup sendiri dan berdikari.

Saya punya ramai kawan terutamanya dengan kaki-kaki masjid yang rajin berpuasa sunat isnin dan khamis. Setiap minggu kami beriftar di masjid dan dua tiga kali juga saya in charge untuk beli makanan berbuka puasa.

Nama-nama seperti Huzaifah (roomate saya), Al Hafiz (tok bilal subuh setiap pagi), Munzir (Abang gagah, bekas ketua pelajar SMKA Tahan, yang banyak mengajar saya erti tarbiyyah), Hafiz Manan ( Juga pelajar SMKA Tahan) Hafiz Zainal Abidin ( Budak Kisas yang saya tegur sebab banyak cakap sangat dalam masjid. Haha. Tapi warak budaknya), Idzham (Juga pelajar SMKA Tahan yang cukup baik) Zayed (bendahari agung JPP) Amir Aizat (Budak Johor yang rendah dan comel) Hazim (budak Jasin yang sepraktikum dengan saya), Salihin (Member baik saya. Nama timangannya time tu 'Bosan') Ain, Izzati, Hani, dan ramai lagi nama-nama yang lain yang sentiasa saya ingati bila berbicara tentang KMNS. Selain sahabat-sahabat saya seShams seperti Suhaimi dan Azwan. Tak hairanlah bila saya nak meninggalkan KMNS untuk ke Mesir, hati saya begitu berat mengizinkannya, saya menangis mengenangkan kawan-kawan yang saya tinggalkan di sana.

So camana ceritanya saya meninggalkan KMNS untuk ke Mesir? InsyaAllah akan disambung dalam catatan seterusnya.

bersambung lagi insyaALlah...

Wednesday, February 10, 2010

Catatan sebelum pulang (part 2)

Dalam banyak-banyak event yang tidak dapat saya hadiri kerana tidak berada di Mesir, hanya satu event yang saya tak miss. Walau di mana saya berada , saya tetap tak terlepas kerana saya tetap berada di situ. Birthday saya la tu. 6 Februari 2010, genaplah 25 tahun @ suku abad @ jubli perak lamanya saya menjadi warga bumi ini. Dah 25 tahun. Dalam 25 tahun ni ape yang dah saya buat ya? Apa yang telah saya kecapi?



  • 6 Tahun - Saya mula bersekolah tadika. Di akhir tahun ini saya kene demam campak menyebabkan saya tercampak daripada melakukan persembahan akhir semasa majlis graduasi Tabika Kemas Kampung Tanjung Paya.

  • 7 Tahun - Saya mula bersekolah rendah. Sekolah Kebangsaan Ladang dari tahun 1992-1997. Pencapaian terbaik saya di tahun 1 apabila saya mendapat nombor 1 dalam kelas. Kelas 1 Kenanga time tu.

  • 8 Tahun - Saya mula ke pentas mendeklamasikan sajak Anak Bangsa. Sajak tu dikutip dari Majalah Bintang Kecil. Ustazah Hindun yang beria-ia mahukan salah seorang anak muridnya bersajak di perhimpunan. Apalagi, sayalah yang dipilihnya. Pada tahun ini juga saya mula berpuasa penuh bulan Ramadhan setelah gagal untuk puasa untuk satu hari pun pada Ramadhan sebelumnya :D.

  • 9 Tahun - Tahun yang agak menyedihkan bagi saya. Selain kehilangan 2 orang kawan baik (pindah sekolah) saya juga mendapat nombor 3 dalam peperiksaan penggal satu dan dua. Biasanya setiap tahun, pelajar yang mendapat tempat pertama hingga ketiga setiap kelas akan mendapat hadiah buku tulis. Mendapat tempat ketiga bermakna sedikitlah jumlah buku tulis yang saya perolehi untuk digunakan pada tahun hadapan. Mendapat nombor satu, dua atau tiga adalah antara usaha saya mengurangkan beban mak untuk beli kelengkapan persekolahan untuk sesi mendatang. :) Tahun ini juga saya mula mewakili sekolah pertandingan bercerita. Saya pandai bercerita dulu-dulu rupenye. Ha ha.

  • 10 Tahun - Tahun ni saya mula dilantik menjadi pengawas sekolah. Ingat lagi waktu mak marah kerana menjadi pengawas bermakna saya kena beli baju sekolah baru dan seluar sekolah baru padahal saya baru sahaja beli baju sekolah putih dan seluar sekolah biru waktu itu. Saya tak tahu kenapa saya cukup rapat dengan Guru besar, cikgu penolong kanan, dan cikgu-cikgu besar yang lain. Pernah kawan-kawan kene marah sebab tak pakai lencana di perhimpunan tapi saya tak kene marah sebaliknya di nasihatkan je. Mungkin time tu dah pandai cari kroni :D. Atau mungkin cikgu-cikgu mengenali saya sebab selalu wakili sekolah pertandingan itu dan ini.

  • 12 Tahun - Tahun saya menduduki peperiksaan UPSR. Tahun itu juga saya menjadi Ketua Pengawas. Saya tak pasti apa yang saya lakukan sepanjang tahun itu sebagai ketua pengawas cuma saya rasa saya menjadi ketua pengawas yang paling tak buat kerja dalam sejarah SKL. Mungkin time tu saya lebih tumpu perhatian kepada pelajaran dan aktiviti luar sekolah. Alhamdulillah saya mendapat 5 A dalam UPSR.


Time ni mungkin saya tak masuk tadika pun lagi.

  • 13 Tahun - Tahun pertama saya di sekolah menengah. Awalnya saya tak pasti ke mana saya nak meneruskan persekolahan. Saya mendapat tawaran Kolej Sains dan Pengajian Islam Terengganu (KOSPINT) di Serada, Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, dan Sekolah Menengah Sri Budiman. Dalam masa yang sama saya menunggu tawaran daripada SMKA Labu, SMKA Sheikh Abdul Malek dan tunggu kot-kot ada tawaran dari MCKK kerana Cikgu Tuan Kembang selalu memotivasikan kami untuk ke MCKK. Semua nya tak menawarkan apa-apa kecuali SMKA Sheikh Abdul Malek. Bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar tingkatan satu di Shams dari 1998 hinggalah tingkatan 5 pada tahun 2002.

  • 14 Tahun - Saya tiada komitmen lain pada waktu ini selain belajar , bermain dan berpengakap. Saya menjadi ketua kelas namun urusan kelas lebih didominasi oleh Izuan dan Khairul Mustaqim yang menjadi penasihat di belakang saya. Mungkin jika ditanya, siapa ketua kelas 2 Al Ghazali tahu 1999 mungkin orang tak jangka pun saya sebenarnya orangnya. :)

  • 15 Tahun - Tahun ini saya tak mahu jadi ketua kelas. Bila Kamarul datang kat saya cadangkan supaya buat pemilihan ketua kelas, saya mintak dia je conduct pemilihan. Akhirnya dia yang dipilih sebagai ketua kelas. :D Tahun ini mungkin zaman kegemilangan saya di Shams. Walau berada di kelas nombor 2, 3 Ibn Qudamah, saya lebih score dari pelajar-pelajar lelaki 3 Ibn Sina yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sains Pertanian. Hinggalah semasa percubaan PMR saya pelajar lelaki tunggal yang mendapat 9A selain dua orang lagi pelajar perempuan dari kelas 3 Ibn Sina. Alhamdulillah tahun itu kalau tak silap hampir separuh daripada jumlah batch kami mendapat keputusan 9A dalam PMR.

  • 16 Tahun - Saya kekal berada di Shams selepas PMR. Walau ramai antara kawan-kawan baik saya berpindah ke MRSM dan KISAS. Saya lebih selesa untuk kekal di Shams kerana boleh berada dekat dengan keluarga selain pada waktu itu saya memikirkan, belajar di mana-mana pun sama sahaja asalkan rajin. Kan? Saya mula dilantik menjadi pengawas sekolah kembali selepas 3 tahun tak sentuh jawatan tu . Saya mula sibuk dengan hal-hal luar sekolah, mewakili sekolah pertandingan itu dan ini. Saya kembali seronok dengan aktiviti-aktiviti tersebut. Semua itu menjadikan saya cukup sibuk sepanjang tahun dan masa saya terisi dengan pelbagai tugas dan aktiviti. Saya juga mewakili sekolah menjadi wakil pelajar ke perhimpunan pemimpin-pemimpin pelajar di Perak pada tahun itu. Ya, pelajaran saya agak merosot ketika itu.

  • 17 Tahun - Tahun saya menghadapi SPM. Saya berazam untuk kurangkan aktiviti-aktiviti luar selain pelajaran pada tahun ini. Tapi entah kenapa dua tiga orang cikgu nak juga saya mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan yang mereka kena in charge. Ada la juga beberapa orang cikgu lain yang membantah terutama Cikgu Aminah, cikgu Bahasa Melayu saya yang mungkin melihat prestasi saya dalam Bahasa Melayu menurun walaupun mewakili sekolah dalam pertandingan debat bahasa melayu. Saya pun hairan, takkan lah tak ada orang lain yang boleh menggantikan saya mewakili sekolah dalam pertandingan-pertandingan itu. Mujurlah pelajaran saya tidak terjejas mana dan alhamdulillah berjaya mendapat keputusan straight As tahun itu walaupun tak semuanya saya dapat A1.



Patriotiknya saya dulu-dulu.


Selepas peperiksaan SPM pada tahun 2002 tu, maka bermulalah kehidupan saya sebagai graduan sekolah menengah. Saya kembali mencongak dan menghitung peluang untuk melanjutkan pelajaran di dalam ataupun di luar negeri. Bagaimana saya menempuh jalan dari menolak tawaran matrikulasi UIA, ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan sebelum keluar selepas peperiksaan pertengahan sem untuk ke INTEC sebagai persediaan sebelum ke Mesir pada 8 Oktober 2003. Inilah sebenarnya yang ingin saya kongsikan dalam catatan sebelum pulang ini yang mungkin tidak pernah saya catatkan dalam penulisan blog saya sebelum ini. Saat saya mengharungi takdir yang telah ditetapkan Allah untuk saya terbang ke Mesir meneruskan cita-cita, melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di sana.

25 tahun sudah lamanya saya hidup di dunia ini. Catatan di atas adalah sekadar menggambarkan betapa banyaknya kurnia dan nikmat yang Allah kurniakan kepada saya hingga kini. Dan pastinya saya tidaklah mengecapi segala itu dengan hanya bergoyang kaki dan berpeluk tubuh semata sebaliknya disulami usaha dan berkat rahmat kasih sayangNya. Selain faktor-faktor keluarga, kawan-kawan, cikgu-cikgu dan persekitaran yang kita tahu sama-sama membantu ke arah itu. Saya percaya ramai lagi sahabat-sahabat di luar sana yang lebih hebat, lebih cemerlang dan lebih berjaya daripada saya. Justeru marilah kita sama-sama mengucapkan syukur atas segala kurniaaNya yang tak putus-putus mengembirakan kita walaupun kadang-kadang kita selalu culas dan lalai dalam mengingati dan berterima kasih kepadaNya setiap masa dan setiap waktu. Buat kawan-kawan yang pernah gagal mengejar cita, jangan give up, jangan putus asa dari rahmatNya. Ya, kegagalan itu suatu yang pahit untuk ditelan namun ia juga seperti ubat yang mampu mengubat diri.

Moga Allah mengapuni segala dosa saya dan meletakkan diri ini di kalangan hamba yang sentiasa menyukuri nikmatNya.

InsyaAllah akan bersambung...

Tuesday, February 9, 2010

Catatan sebelum pulang (part 1)

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Sumber: Facebook Aniah.


Majlis Apresiasi Graduan...


Dua hari yang lalu, sahabat-sahabat sebatch saya yang masih berada di Keherah berkesempatan menghadiri Majlis Apresiasi Graduan yang dianjurkan JPA dan PERUBATAN. Seronok melihat wajah-wajah mereka bergembira diraikan dalam majlis itu. Sedih pula memikirkan saya sendiri tak dapat menghadirinya. Keberadaan saya di UK tidak memungkinkan saya pergi ke majlis tersebut. Takkan nak beli tiket balik ke Mesir kemudian kembali ke UK semata-mata untuk menghadiri majlis tu kan? Apatah lagi, sekembalinya saya daripada bercuti ke Istanbul, Athens dan Santorini tempoh hari, saya menghadapi sedikit kesukaran untuk masuk kembali ke UK kerana sudah terlalu acap kali keluar masuk ke UK walaupun ketika itu Zaatil berada di sebelah.

Rupa-rupanya peraturan imigresen di sini, free entry visa yang diberi ketika masuk ke UK untuk rakyat Malaysia selama 6 bulan itu bermaksud kita hanya dibenarkan berada di UK selama 6 bulan dalam tempoh 12 bulan walau berapa kali kita keluar masuk ke sana. Jadi kalau dalam masa 12 bulan tu, kita telah berada di UK selama 6 bulan ke atas, kita mungkin boleh disekat daripada masuk ke UK dan perlu memohon dependent visa untuk masuk. Faham ke? Kalau tak faham sila rujuk pejabat imigresen di UK ya. Apapun terima kasih kepada pihak yang telah berusaha dan bertungkus lumus menjayakan majlis itu walaupun tanpa kehadiran diri ini. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar kan? Buat adik-adik yang meminta maaf di Facebook kerana tidak dapat hadir ke majlis tersebut atas keuzuran tertentu takpe. Saya sendiri pun tak ada kat sana. InsyaAllah ada peluang lagi untuk jumpa abang-abang dan kakak-kakak sebelum kami pulang 27 Februari ini insyaAllah.

MAT dan Majlis Kawin Idil...

Dalam tempoh 3 hari sekurang-kurangnya 3 events yang saya terlepas untuk menghadiri atau mengikutinya kerana berada di kejauhan. Selain majlis apresiasi itu, dua hari sebelum itu adalah majlis pernikahan kawan baik saya, Idil yang telah selamat disatukan dengan gadis pilihannya Naimah Zakaria. Semalam, saya ada menelefon adik saya, Zahidah bertanyakan hal-hal semasa di Mesir. Rupa-rupanya ketiadaan saya di majlis Idil menimbulkan bicara berbunyi begini," Abang Kadir tu, mentang-mentanglah Abang Isroq dok mari masa dia kawen dulu, dia pun dok mari masa Abang Isroq kawen."


Sumber: Facebook Aniah


Aku ada jauh la wei! hihi. Memanglah terkilan juga tak dapat hadiri pernikahan Idil, tapi insyaAllah doaku sentiasa mengiringi langkah-langkah kalian mengisi rumahtangga yang telah terbina, Idil. Lepas ni nak kene tinggal dah Naimah kat Mesir. Huaa....

Satu lagi majlis adalah Mesyuarat Agung PERUBATAN kali ke berapa eh? Tak datang kali ni bermakna dah dua kali saya tak dapat menghadiri MAT kerana berada di UK. Satu hujah bahawa Kadir selepas kahwin semakin jauh dengan PERUBATAN. Semakin luput dari perjuangan. Haha. Apapun memandangkan sebelum daripada itu saya tidak pernah miss Mesyuarat Agung PERUBATAN, ketika adik-adik yang menerajui PERUBATAN kini masih belum memegang apa-apa jawatan dalam PERUBATAN, ketidak hadiran saya untuk kali ini mungkin dapat dimaafkan. Hakikat sebenarnya, PERUBATAN tetap di hati walaupun masih banyak pembaikan perlu dilakukan, masih banyak ruang islah boleh dilaksanakan. PERUBATAN tetap merupakan medan tarbiyyah dan kesatuan bagi seluruh pelajar-pelajar perubatan dan pergigian di Mesir.

Emmm sebenarnya panjang lagi nak tulis. Sebab panjang sangat, saya berhenti kat sini dulu dan akan menyambungnya dalam entry selepas ini insyaAllah. Hingga jumpe lagi, Jazakumullah khairan kathiraa.

bersambung...

Wednesday, February 3, 2010

Dr Kadir...

Dr Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin MB Bch (Ain Shams University)
School : 9 Oktober 2003 - 2 February 2010


Hari pertama kami menjejaki Ardu Kinanah. Oh abaikan rupa buruk kebudakan kami tu. :D

Alhamdulillah, Terima Kasih Tuhan,
Terima Kasih kalian yang mendoakan,
Medical degree hanyalah permulaan,
Perjalanan jauh yang belum tentu pengakhiran.

Segala puji dan syukur kepada Tuhan atas kejayaan ini. Walaupun keputusannya tidak seberapa, namun ia tetap suatu kurniaan yang besar bagi hamba yang cukup mengharap. Moga saya tidak akan putus asa untuk melakukan yang lebih baik untuk masa-masa mendatang.

Kejayaan yang dicapai ini memberi makna tidak lama lagi saya akan mengucapkan selamat perpisahan untuk Bumi Mesir ini. 27 Februari 2010 adalah tarikh untuk saya dan sahabat-sahabat berangkat meninggalkan Mesir ke tanah air jika diizinkanNya.

Enam tahun setengah di Mesir pasti banyak memori suka duka yang dilalui dan banyak antaranya saya kongsikan di blog ini. Saya sendiri tidak pasti apa perasaan saya tika ini. Sedih bakal meninggalkan bumi yang kaya dengan sejarah ini, yang banyak berbakti membentuk diri,ataupun gembira kerana bakal terlepas daripada segala kesusahan dan kedukaan yang dihidangkannya. Kedua-duanya sentiasa saling cuba mendominasi.

Tinggal sebulan sahaja lagi saya bakal pulang ke Malaysia dan sebahagian besar waktu itu saya berada di UK dan hanya 4 hari sahaja kembali ke Mesir untuk melunaskan hak-hak yang perlu ditunaikan sebelum pulang ke tanah air. Hak terbesar yang perlu saya lunaskan adalah hak persahabatan menemui sahabat-sahabat dan adik-adik yang bakal dirindui di sana. Pastinya 4 hari di Mesir tidak cukup untuk saya menemui kesemua mereka namun saya berharap dan berusaha menemui seramai mungkin memohon doa agar perjuangan saya di Malaysia dapat saya teruskan dan saya akan tetap teguh dengan pendirian dan kebenaran dalam apa jua yang saya lakukan.

Ampun dan maaf saya pohonkan atas segala silap dan khilaf terhadap sahabat-sahabat di Mesir sepanjang bermusafir di sana. Terima kasih atas persahabatan dan pertolongan yang diberikan selama ini dan hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas segala kebaikan itu.

Kepada PERUBATAN sendiri, saya meminta maaf kerana tidak dapat hadir ke MAT dan Majlis Apresiasi meraikan graduan 2010. Keberadaan saya di UK tidak memungkinkan saya menghadiri program-program tersebut. Terima kasih atas usaha untuk meraikan kami budak-budak yang baru habis belajar kelas 2009/2010.

Banyak yang ingin diluahkan mengoret kembali memori-memori suka duka di Mesir sebelum pulang. InsyaAllah jika diizinkan bakal dipost dalam entry-entry mendatang. Hingga jumpa lagi sahabat. Jazakumullah khair.

Monday, January 11, 2010

The Hero

Sunday, December 20, 2009

Hari ni tersangat gembira kerana dapat uruskan dua urusan serentak dengan baik. Alhamdulillah. Memang selagi tidak diselesaikan dua urusan ni, hati berasa tidak tenteram dan sentiasa mencari-cari waktu untuk melaksanakannya.

Dalam kesempatan yang ada ni ada sesuatu yang saya nak sampaikan di sini. Mungkin sedikit panduan kepada pelajar-pelajar di Mesir samada perubatan mahupun agama. Jika kalian selalu menjadikan travel-travel agensi di Tahrir sebagai alternatif untuk mencari tiket kapal terbang untuk ke mana-mana, cubalah singgah di dua travel agensi ini, Memnoun Tours dan De Castro Tours yang terletak berdekatan dengan American Express di Talaat Harb Street, Downtown di Tahrir itu. Sepanjang pengalaman berurusan di kedua-dua travel agensi tersebut, saya begitu berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan, kesungguhan untuk membantu dan penerangan yang jelas yang saya anggap terbaik.

Memnon Tours


De Castro Tours


Oh tidak, saya tidak mendapat apa-apa komisyen daripada kenyataan ini ya, sekadar tanda gembira dan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan dan sebagai sedikit panduan untuk sahabat-sahabat juga.

Key, hingga jumpa lagi. Doakan exam oral saya pada Khamis ini insyaAllah. Wassalam, Jazakumullah khairan kathiraa.

Friday, December 18, 2009

Bilakah Rasulullah Berhijrah ke Madinah?

Sumber: http://kias.edu.my/gemahijrah1430.htm

Bilakah Rasulullah Berhijrah ke Madinah?

Disediakan oleh:
Ust Tuan Mohd Sapuan bin Tuan Ismail
Pensyarah KIAS

Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Betapa tidak, hijrah telah mengubah corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga hari ini.

Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1429H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1430H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.

Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah (1). Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya'la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy'ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.

Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,

الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها

“ Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.

Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:

“ Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya ”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “ Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid ”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.

Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalh sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.

• Sumber utama artikel ini ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).

(1) Berdasarkan peristiwa ini, kita berpendapat bahawa fadhilat yang dinyatakan dalam membaca doa awal tahun dan doa akhir tahun adalah palsu. Ini kerana pada zaman baginda, belum ditentukan lagi permulaan tahun. Dan tiada yang boleh menyatakan fadhilat sesuatu kecuali Allah dan rasulNya. Dan sesungguhnya agama Islam itu sudah sempurna. Dan amalan tersebut tiada dijumpai asasnya dalam kitab-kitab hadis.

Maklumat Penulis:

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail
Sarjana Muda Syariah & Pengajian Islam, Univ. Mu'tah, Jordan.
tasekpauh.blogspot.com
UPI, KIAS
0136353463

Thursday, December 17, 2009

Salam Maal Hijrah 1431H

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera untuk semua.

Seperti biasa, memandangkan blog ini sudah semakin terbiasa menjadi medan untuk pemiliknya memberikan ucapan, justeru sempena kedatangan tahun baru Hijrah, 1 Muharram 1431 yang bermula Maghrib ini, saya ingin mengucapkan: SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1431H kepada pembaca-pembaca blog ini walau di mana jua berada. (Hihi cam ramai je yang baca blog ni)

Tahun baru hijrah ini juga memberi erti bahawa sudah tiga tahun blog ini beroperasi setelah saya berpindah dari blogdrive ke blogspot. Walaupun saya akui blog ini tidaklah terlalu padat dengan bahan-bahan ilmiah dan perbincangan isu semasa, namun saya tetap berpuas hati menjadikan blog ini sebagai medan untuk saya meluahkan apa sahaja yang saya fikir dan ingin kongsikan di samping menjadi medan untuk saya berlatih menulis.

Justeru, saya ingin berterima kasih kepada pembaca yang sudi bertandang, memberikan komen dan berukhuwwah di sini walaupun sejak akhir-akhir ini blog ini sunyi sepi dari sebarang pengisian daripada pemiliknya. Saya sendiri tidak pasti mengapa saya kurang bersemangat menulis ketika di tahun enam ni. Kerap kali hati tergerak untuk menulis namun jari jemari kaku menaipkan kata. Namun untuk berhenti menulis dan terus menutup blog ini adalah suatu yang amat berat untuk saya lakukan. Hanya doa dan harapan saya panjatkan agar diberikan kekuatan dan semangat untuk terus memberikan buah fikiran dan sesuatu untuk manfaat semua pada masa-masa mendatang insyaAllah.

Exam Surgery.

Alhamdulillah, bermula 8 Disember yang lalu hingga kini, sudah hampir separuh Final Exam tahun enam ditempuhi. Dengan exam surgery hanya berbaki ujian slide dan oral persediaan untuk menempuhi kertas O&G selepasnya sudah patut dimulakan dari sekarang. Ya memang apabila sampai di pertengahan fatrah imtihan ni, perasaan malas dan penat kerap pula menyapa membuatkan diri lalai membuka buku. Justeru diharapkan kawan-kawan seimtihan dapat terus kuat semangat menghadapi baki imtihan yang menjelang.

Seketika tadi, semasa mengambil ujian klinikal surgery, saya melihat kelibat-kelibat doktor-doktor yang menjadi pemeriksa kami. Semuanya segak-segak dan kelihatan begitu luas ilmu mereka dalam bidang masing-masing. Dalam saat itu juga saya terfikir, jika bagi orang-orang agama, Syeikh-syeikh besar, ulama-ulama dan para mujtahidin adalah golongan yang menjadi idola mereka, justeru bagi kami pelajar-pelajar perubatan, mereka-mereka inilah (Doktor-doktor/pakar-pakar) sebenarnya syeikh-syeikh kami, yang tidak jemu-jemu memberikan tunjuk ajar dan mendidik kami menjadi doktor yang baik suatu hari nanti dan merupakan ulama dalam bidang mereka masing-masing.

Seketika itu juga terdetik di hati saya untuk turut menjadi hebat sebagaimana mereka. Moga hari itu akan tiba, dan pastinya ia tidak cukup dengan angan-angan tanpa kelibat usaha.

Apapun sementara imtihan belum kunjung akhirnya lagi ni, sayugialah saya mengharapkan doa dari teman-teman dan sahabat-sahabat mendoakan kami untuk baki imtihan yang akan dilalui. Saya percaya, berkat doa teman-teman semualah alhamdulillah saya dapat melalui imtihan ini dengan baik hingga saat ini. Moga ia berterusan dan memberikan natijah yang baik hingga akhirnya InsyaAllah.

Okey lah, setakat inilah dulu untuk kali ni ya. Hingga jumpa lagi InsyaAllah. Wassalam.

Friday, November 27, 2009

Salam Eidul Adha...

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahi Alhamd!

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah yang masih memberikan kita peluang dan kegembiraan merayakan Aidil Adha untuk tahun 1430H ni.

Justeru saya, Tengku Abdul Kadir bin Tengku Zainal Abidin ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua muslimin dan muslimat, mak, ayah,mak dan abah mertua, adik-adik, adik-adik ipar saudara-mara dan sahabat-sahabat, terutamanya mereka yang bertandang ke blog ini.

Nampaknya blog ni dah jadi tempat untuk pemiliknya ucapkan selamat hari raya je la. :D


Raya last dengan Idil


Saya Encik Jamal dengan ini mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua pengunjung blog ini. Key, bertemu lagi di syurga! Yeah :)



Soalan tipikal hari ini. "Eh Abang Kadir balik bila?" "Semalam!" Ye faham-faham, lama dah tak jumpe kan, rindu la tuh. :D



Okey raya dah habis, ape pulak selepas ni? Ye ye, ingat! Study nak exam la pulak!

Apapun Alhamdulillah, tepat jam 1615 semalam saya selamat mendarat ke tanah Mesir setelah lebih 2 bulan berada di bumi UK. A ah balik sehari sebelum raya Eidul Adha. Ada la pula, spekulasi yang mengatakan saya kembali ke Mesir dengan Cik Zaatil sebab balik sebelum raya, akan tetapi hakikat sebenarnya beliau sendiri tidak bercuti di hari raya. Perlu ke kelas seperti biasa. Maka saya yang bercuti ni saje la yang pulang untuk berhari raya di Mesir.

Ya sedihlah juga memikirkan meninggalkan isteri di hari raya, akan tetapi pelan untuk bereidul adha di Mesir ini telah dibuat lebih awal lagi kerana beberapa sebab.

Pertama, kerana saya sendiri ingin merasakan Eidul adha terakhir saya di sini memandangkan suasananya yang begitu hidup setiap kali merayakannya di sini.

Kedua, kerana saya juga inginkan masa yang cukup untuk mendapatkan mood study di Mesir sebelum peperiksaan yang akan bermula pada 8 Disember ini.

Ketiga, mungkin dengan kehadiran saya bersama-sama melapah daging di pagi raya kali ini memberikan peluang untuk saya bertemu seramai mungkin adik-adik pelajar-pelajar perubatan dan mungkin pertemuan saya yang terakhir dengan mereka sebelum meminta diri untuk bertapa menghadapi jihad terakhir di undergraduate dan seterusnya pulang menabur bakti di Malaysia.

Apapun kemeriahan sambutan Eidul Adha kali ini cukup indah dirasakan. Seronok melihat adik-adik perubatan bergotong royong mengerjakan ibadah korban bersama-sama. Moga ukhuwwah yang dibina dengan taqwa dan keikhlasan ini menjadi asbab untuk ke syurga.

Keyla sampai sini dulu ya, saya mohon diri untuk menghabiskan study saya, mohon doa dari semua agar saya dapat melakukan yang terbaik buat kali ni. Jazakumullah khairan kathiraa...

Tuesday, October 20, 2009

XM Final...

Assalamualaykum warahmatullah.

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya tarikh sebenar peperiksaan akhir tahun enam telah pun diketahui. Peperiksaan yang bermula pada 8 Disember 2009 dan berakhir pada 17 Januari 2010 ini bakal menjadi medan terakhir buat kami pelajar-pelajar tahun 6 Kuliah Perubatan, Universiti Ain Shams selama keberadaan kami di bumi Mesir. Moga peperiksaan kali ini dapat dilalui dengan baik dan sempurna serta memberikan natijah yang cemerlang buat kami semua.

Mohon doa dari semua. Buat Idil, Akmal, Munir, Daing, Zawil, Asma dan K.Laili di Ain Shams serta Hamdan, Iqbal, Dzul,Izwan, Firdaus, Faaiqah, Adlina, dan Aniah, selamat berjuang diucapkan dan semoga semuanya beroleh kejayaan InsyaAllah.

Sunday, September 20, 2009

Eid Mubarak...

Allahu Akbar!

Allahu Akbar!

Allahu Akbar!

Walillahi Alhamdu.

Selamat Hari Raya Eidul Fitri saya ucapkan kepada semua sahabat-sahabat, teman-teman penjenguk blog ini. Mengambil kesempatan di sini untuk memohon ampun dan maaf atas silap dan salah selama pemusafiranku di bumi yang fana ini. Mudah-mudahan sekolah Ramadhan yang telah kita lalui kembali membawa kita kepada fitrah dan menjadikan kita insan yang bertaqwa kepadaNya.

Salamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Daripada Salam Perantauan Utusan Online.



Salam Ramadhan Al-Mubarak buat keluarga di Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Kota Bharu. Juga buat sahabat handai di seluruh dunia dan guru-guru di SMKA Sheikh Abdul Malek, Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, INTEC dan Kolej MARA Banting. Semoga Ramadhan kali ini membawa banyak kebaikan dan keberkatan, dan semoga Shawal yang menjelang memberi kebehagiaan kepada kita semua. Doakan kami di tahun akhir pengajian.





Tuesday, September 8, 2009



“Sesungguhnya telah disempurnakan penciptaan salah seorang dari kalian dalam perut ibunya selama empat puluh hari dalam bentuk sperma, kemudian dia menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian menjadi segumpal daging selama itu pula, kemudian Allah mengutus kepadanya malaikat, kemudian ditiupkan ruh kepadanya, lalu malaikat tersebut diperintahkan untuk menulis empat perkara; untuk menulis rizkinya, ajalnya dan amalannya dan nasibnya (setelah mati) apakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada ilah yang berhak diibadahi selain Dia. Sesungguhnya salah seorang dari kalian benar-benar beramal dengan amalan ahli surga, sehingga jarak antara dirinya dengan surga hanya satu hasta, lalu dia didahului oleh catatan takdirnya, sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga dia memasukinya. Dan salah seorang di antara kalian benar-benar beramal dengan amalan ahli neraka, hingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya sehasta, lalu dia didahului oleh catatan takdirnya, sehingga dia beramal dengan amalan ahli surga hingga dia memasukinya. (HR Bukhari dan Muslim. Shahih dikeluarkan oleh Al Bukhari di dalam [Bid’ul Khalqi/3208/Fath]. Muslim di dalam [Al Qadar/2463/Abdul Baqi]).


Seorang ustaz pernah bercerita kepada saya sewaktu saya masih kecil, perihal kisah dua orang adik beradik. Seorang abang dan seorang adik yang begitu jauh feil dan karektornya. Si abang seorang yang kuat beribadah siang dan malam sementara si adik , seorang kaki maksiat yang hidup dengan melakukan dosa dan kemungkaran.

Namun ditakdirkan tuhan, kedua-duanya mati dan menerima nasib yang jauh berbeza. Si adik ditempatkan di syurga sementara si abang dilontarkan ke dalam neraka. Semuanya kerana nawaitu mereka sejurus sebelum mereka meninggal dunia. Si abang sebelum matinya terdetik untuk menuruti adiknya untuk melakukan maksiat kerana sudah merasakan terlalu lama beribadah sementara si adik pula terdetik untuk bertaubat dan meninggalkan segala maksiat yang dilakukan. Nawaitu itulah yang membawa mereka menerima pembalasan sedemikian oleh Allah Subhanahu wataala.

Begitulah juga apa yang ingin dibawa menerusi kisah Antara Garisan ini. Bagaimana seorang yang pada zahirnya kelihatan alim, warak dan bertaqwa, akhirnya tercabut darinya hidayah daripada Allah menyebabkannya terhumban ke neraka. Sementara mereka yang bergelumang dengan maksiat, sempat pula bertaubat sebelum nyawa diragut malaikat.



Mungkin antara pengajaran yang boleh diambil dari cerita ini ialah;

1. Ramai mereka yang baik-baik ni selalu melihat orang yang tidak berapa baik ini dengan pandangan hina dan mengeji sedangkan pandangan yang sepatutnya diberikan adalah pandangan kasihan dan memohon hidayah buat mereka.
2. Manusia akan mudah meninggalkan soal halal dan haram apabila memikirkan soal mengisi perut. Bahkan seorang muslim boleh meninggalkan agamanya hanyalah untuk mendapatkan rezeki tanpa mengetahui betapa besarnya nilai iman yang dimiliki.
3. Begitu halus bisikan syaitan yang sentiasa menggoda kita walaupun berupa perbuatan yang bersandarkan ‘kerana Allah’.
4. Memahami dan mendengar antara kunci untuk menyelesaikan masalah seseorang.

Akan tetapi jangan salah tafsir pengajaran kisah ini dengan ini ya:

1. Tidak mengapa tidak bertudung asalkan hati baik seperti Cikgu Asyikin.
2. Tidak mengapa melakukan maksiat kerana Allah itu Maha Pengampun dan akan mengampunkan segala maksiat yang dilakukan.

Moga cerita yang dipaparkan dapat menginsafkan kita supaya sentiasa menjaga nikmat hidayah diberikan Allah.

Ya Tuhan kami, janganlah kau palingkan hati kami setelah Engkau tunjuki dan berilah kami dari hadhirat-Mu rahmat karena Engkau adalah Yang Maha Pemberi


Moga sepuluh terakhir Ramadhan yang bakal dilalui akan membawa kita kepada pembebasan daripada api neraka insyaAllah.

Selamat menonton. Ramadhan Kareem...

Saturday, August 22, 2009

Lord Of Ramadhan...



Salam Ramadhan Kareem buat semua. Walau lama tidak berupdate,tetap tidak mahu melepaskan peluang mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua. Juga mengambil kesempatan untuk meminta ampun dan maaf daripada semua insan yang pernah bermuamalah atau mengenali saya. Moga Ramadhan kali ini dapat kita lalui dengan sebaiknya dan tidak gagal pula mendapatkan rahmat dan keampunan dariNya.

Ramadhan kali ini juga adalah Ramadhan ketujuh saya di perantauan dan InsyaAllah menjadi Ramadhan terakhir saya di Perlembahan Nil ini. Moga ada kenangan tersendiri untuk diingati. Dan yang terlebih penting moga madrasah Ramadhan kali ini akan kembali membawa saya dan kita semua kepada tujuan hidup dan menjadikan diri seorang yang bertaqwa kepadaNya.

Selamat bersahur, berpuasa, berbuka dan bertarawikh eh bertarawih buat semua. ;)