Saturday, September 14, 2013

Graduan Mesir.

“Abang tahu tak, sekarang ramai orang duk komplen graduan Mesir bermasalah” ujar isteri kesayangan suatu hari.

“Kenapa?” Tanya saya kembali.

“Ada seorang tu, bla bla bla...” bebel isteri saya seperti selalunya.

Saya tidak pasti apa perasaan saya apabila perkara itu diutarakan kepada saya. Sedih? Bimbang? Marah? Pasrah? Secara jujur saya tidak berhadapan secara langsung, memerhati atau menyelia prestasi HO-HO yang dikatakan bermasalah ini memandangkan jabatan saya sekarang tidak ramai bilangan HOnya dan tiada pula dari Mesir. Namun menurut kata-kata dan bualan sahabat-sahabat memang menyebut bahawa graduan Mesir bermasalah.

Jadi, apa puncanya?

1. Prestasi : Takut untuk clerk kes, takut untuk buat procedure, takut untuk present kes.
2. Chipsmore : Sekejap ada kat wad, sekejap ada kat OT, sekejap ada kat pantry, sekejap ada kat bilik oncall.
3. Praktikal: Tidak reti pasang branula, tidak reti baca CVP, tidak ingat nama ubat.
4. Attitude: Melakukan kesilapan yang sama berulang-ulang. Tidak bertanggungjawab. Lari/mengelak dari melakukan tugas.

Bercakap melalui pengalaman, saya akui sememangnya terdapat beberapa disadvantage yang saya rasakan jika dibandingkan diri saya sebagai graduan Mesir dengan rakan-rakan daripada local university atau negara lain tapi kebanyakannya dapat saya atasi apabila dapat menamatkan posting pertama saya di Medical. Bila mula posting kedua di O&G, saya dapat merasakan bahawa saya tidak berada jauh di belakang kawan-kawan sehouseman yang lain.

Semasa tagging first posting itulah hampir semua benda saya baru nak belajar. Dan sepanjang 4 bulan di posting pertama itu bermacam-macam sindiran yang saya terima hasil dari ketidakretian saya itu. Masih ingat seorang MO bertanya kepada saya pada hari ketiga tagging, “kau dah berapa hari dah tagging? Dah clerk kes belum? Nak tunggu berapa lama baru nak clerk kes?”

Saya pernah dimarahi kerana tidak prescribe ubat-ubat malah tidak baca pun clerking MO yang melihat pesakit MI di ED yang kemudiaannya dimasukkan ke CCU.

Saya pernah disuruh oleh MO untuk menulis sebuah buku kecil dan menyenaraikan semua common drugs yang digunakan di wad medical kerana asyik terlupa dengan ubat dan dose yang sepatutnya diberikan kepada pesakit.

Saya pernah diingatkan oleh MO bahawa pandangan MO terhadap saya akan sedikit sebanyak mempengaruhi keputusan pakar untuk mengextend atau tidak posting saya di medical itu.
Melihat kepada pengalaman yang saya lalui sendiri, apa nasihat yang boleh saya berikan kepada adik-adik yang baru bergelar houseman ini?

Pada saya, kekurangan yang kalian ada itu sebenarnya tidaklah begitu teruk kesannya sekiranya kalian punya sikap dan attitude yang betul sebagai seorang houseman. Houseman posting adalah tempoh untuk kalian belajar dan bersedia menjadi seorang doktor yang selamat (safe doctor). Justeru bersedialah untuk itu. Sikap yang betul termasuklah:

1. Belajar dari kesilapan.
2. Menunjukkan minat melaksanakan kerja.
3. Bersungguh – sungguh bekerja.
4. Berkomunikasi dengan baik.
5. Berbaik-baik dengan rakan sehouseman, MO dan specialist
6. Tidak menyusahkan orang lain (kawan-kawan HO)
7. Tidak mengelat/mengelak dalam melakukan kerja.
8. Terbuka kepada kritikan.
9. Menggilap skill dari hari ke hari.
10. Dan yang paling penting, walau apa yang kalian lakukan, don’t jeopardise your patient’s life.

So, adik-adik. Saya percaya kalian takdelah teruk sangat. Cuma tempoh untuk kalian adapt dengan alam pekerjaan mungkin berbeza. Senior-senior kalian pun tak adalah perform sangat semasa zaman HO dahulu, cuma at the end, Alhamdulillah dan InsyaAllah kami berjaya menjadi MO yang baik dan mudah-mudahan at least a safe doctor. Apa yang penting berbalik kepada sikap korang la ya. So, selepas memberikan yang terbaik semasa zaman undergrad, berusahalah juga untuk memberikan yang terbaik di alam pekerjaan ini. Tak ramai yang dapat menolong kalian selain diri kalian sendiri. Selalu senior-senior sebut, “bila dah dapat survive kat Mesir, campak kat mana-mana pun insyaALlah boleh survive.” So buktikanlah yang itu insyaAllah.

Selain memikirkan kekurangan yang kalian ada, manfaatkanlah juga kelebihan yang kalian ada dari segi teori , kebolehan bercakap bahasa arab (akan dicari bila ada patient sudan admit/nak bersalin etc) dan kemahiran-kemahiran lain yang mungkin kalian dapat sepanjang berada kat Mesir haritu (berpersatuan/IT/bersukan/muzik/penyiaran dll) semuanya adalah nilai tambah yang kalian ada dan perlu pandai mencari channel untuk serlahkan dan tonjolkan dengan sebaiknya. So, don’t tension, think positive and be happy insyaAllah.

Uish, teruknya tulisan saya kali ni. Lama tidak menulis, teramat kekok rasanya, apapun all the best untuk kalian dan moga dipermudahkan segala urusan.

Ps: Kalau refer case or notify case tu kene marah2 dengan Dr Kadir tu jangan simpan dalam hati la ya. Nothing personal :P

Tuesday, October 12, 2010

"TI dapat HUSM. Bodoh!" sms yang saya dapat daripada isteri ketika sedang mengerani seorang pesakit yang baru tiba di kaunter kemasukan bersalin. Geli hati saya membaca sms itu. Yelah, tak pasal-pasal dapat HUSM. Walaupun memang HUSM adalah pilihan di senarai kedua namun apa yang saya tahu, tidak sukar untuk mendapatkan tempat di HSNZ memandangkan tidak ramai yang mahu bekerja di sini malahan mereka yang berasal dari Terengganu pun ramai yang memilih untuk berHO di Kota raya sekitar lembah Klang dan bandar-bandar lain.

Mungkin kali ni ramai yang meminta untuk berada di HSNZ, mungkin. Namun memandangkan masih ada ruang untuk merayu dan memberikan alasan terbaik mengapa mahu bekerja di Terengganu. Moga dipermudahkan segala urusan yang menyusul insyaAllah.

Apapun, berbalik kepada cerita empunya blog. Sudah hampir sebulan saya bertukar jabatan daripada perubatan ke bahagian sakit puan. Setiap hari adalah pengalaman baru bagi saya. Terlalu banyak untuk saya hadam dan proses berkenaan selok belok mengendalikan pesakit di sini. Walaupun ruang lingkupnya tidaklah terlalu besar namun dari aspek management sebelum dan selepas ibu melahirkan anak adalah suatu perkara yang penting untuk didokumentasi apatah lagi kes-kes ibu mengandung yang juga menghidapi masalah kesihatan lain seperti darah tinggi, diabetis dan asthma.

Namun apa yang saya suka bila berada di sini, adalah kegembiraan selepas berjumpa ibu-ibu yang telah selamat melahirkan anak, yang bakal pulang bersama anak kesayangan selain tidak banyak kes-kes yang kritikal yang membawa kepada kematian pesakit seperti yang saya alami di Medical. Bila-bila masa sahaja pesakit boleh collapse.

Apapun masih terlalu awal untuk saya rumuskan O&G secara keseluruhannya. Saya pun baru in charge di Antenatal dan postnatal ward. Lepas2 ni bakal merasa bahang di labour room dan gyne pula. Moga dipermudahkan segala. Ameen... Hingga jumpa lagi ;)

Monday, July 12, 2010

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Seperti biasa, bila dah lama sangat tak mengupdate ni akan rasa malas untuk menaip, kering idea dan kaku jemari nak berketik. Apatah lagi dah hampir 3 bulan lamanya. Blog ni pun bagai hidup segan mati tak mahu. Namun kerana sayangkan rumah yang satu ni insyaAllah akan terus mengupdate selepas-selepas ini. (janji sama yang selalu diulang-ulang) Apapun, cadang saya selepas ini, hanya mahu menulis catatan-catatan pendek sahaja rather than menulis artikel yang panjang-panjang. Bukannya nak publish kat mana-mana majalah kan? :D

So apa dah berlaku dekat 3 bulan ni? Buat list la.

1. Saya pergi induksi di Port Dickson, pada 5-10 Mei 2010.
2. Saya mula bertugas di HSNZ pada 12 Mei 2010.
3. Saya kene tagging selama 2 minggu di Ward 7EF (medical)
4. Saya meneruskan kerja sebagai HO di 7EF hingga 9 Julai 2010
5. Reunion batch.
6. Beberapa orang kawan pakat kawin.

Dan lain-lain lagi la. Apapun yang paling banyak pengalaman untuk diceritakan adalah cerita-cerita di ward la yang masih tak tau nak disusun kata-kata dan bilah perkataan untuk bercerita.Tengok lah nanti ya. Jika Allah izinkan dan permudahkan, akan diceritakan satu persatu.

Mau pergi London...

Apapun, hari ni saya start bercuti setelah penat beroncall pagi tadi. Boleh kata tak tidur langsung la semalam handle lebih 12 kes dengan Abang Ilham. Apapun Alhamdulillah dapat qada balik pagi tadi. Keylah, taknak merapu lagi dah, cuma nak ucapkan penghargaan kepada kawan-kawan yang sudi mengcover saya sepanjang ketiadaan saya bumi Malaysia selama hampir seminggu ni. Dina, Izatul, Sarah, Phon Suee, Ezyan dan lain-lain lagi. Jasa kalian kan sentiasa dikenang...

Jumpa lagi sekembali dari UK!

Wassalam.

Monday, April 26, 2010

Sedang memandu pagi tadi menghantar mak, Iwan, Nabihah, Khadijah dan Tasnim ke sekolah, dengar sketsa ni di radio.


DJ: Baiklah hari ini kita akan menemuramah seorang pakcik yang merupakan seorang pengembala kambing biri-biri yang berjaya.

Baiklah, pakcik, saya nak tanya, emmm kambing pakcik ni biasanya berjalan berapa jauh sehari?

Pakcik : Yang mana? Yang mana? Hitam ke putih?

DJ : Emm yang putih.

Pakcik : Oooh yang putih dalam 6 km sehari.

DJ : Yang hitam?

Pakcik : Emm yang hitam pun sama juga.

DJ : Oooh sama la ye. Baiklah pakcik, saya nak tanya, kambing pakcik ni biasanya makan rumput berapa banyak sehari?

Pakcik : Yang mana? Hitam ke putih?

DJ : Yang hitam, pakcik.

Pakcik : Oooh yang hitam tu dalam 4 kg la lebih kurang.

DJ : Oooh. Yang putih pakcik?

Pakcik : Yang putih jap pakcik pikir. Emm sama la juga.

DJ : Oooh sama la ye pakcik. Key pakcik, kita ada masa lagi. Saya nak tanya pakcik ni.

Pakcik : Tanya, tanya. Jangan tak tanya.

DJ : Kenapa setiap kali saya tanya pakcik bezakan antara yang hitam dan putih ye padahal sama je.

Pakcik : Yang mana? Yang mana? Hitam ke putih?

DJ : Bukan, bukan pakcik, saya tanya kenapa pakcik bezakan yang hitam dan putih padahal jawapan dia sama je.

Pakcik : oooh mestilah kene bezakan sebab yang hitam tu pakcik yang punya.

DJ : Ooooh patutlah. So yang hitam tu pakcik yang punya. Jadi yang putih tu?

Pakcik : Yang putih tu pun sama la, pakcik juga yang punya.

Apa punya biol la pakcik ni. Hihi. Sekian sahaja dari Radio drkadir.blogspot.com. Jumpa lagi. Wassalam. 

Thursday, April 15, 2010

Sebulan di Malaysia.

Sebulan sudah saya berada di Malaysia. Walaupun masih menganggur, blog ini sepi dari sebarang coretan. Malah, catatan sebelum pulang juga tidak bersambung-sambung walaupun kini saya sudah pun pulang ke tanah air. Ngomelan teman-teman di shoutbox pun tidak sedikit pun menjentik hati saya untuk kembali menulis blog. Bukan tidak mahu, tapi kekeringan idea untuk dikongsikan. Malah saya sendiri buntu untuk menyambung tulisan saya berkenaan kisah-kisah lalu di matrikulasi, intec mahupun di Mesir. Di tambah pula perasaan ragu-ragu sejauh mana tulisan saya itu (merujuk kepada catatan sebelum pulang) mampu memberi manfaat kepada pembaca di sini ataupun sekadar imbauan memori saya yang masih terkenang-kenang kehebatan lampau atau dalam kata lain syok sendiri :)

Apapun, biarlah tulisan itu kekal begitu, biarlah cerita itu tergantung di situ, biarlah kenangan itu sekadar bermain-main di kotak ingatan saya yang mungkin dikeluarkan ketika saat-saat yang sesuai dan memerlukan.

Sebulan di Malaysia, tidak sekejap dan tidaklah juga begitu lama. Jika nak dinisbahkan dengan enam tahun setengah belajar di Mesir, apalah salahnya kalau bercuti lebih lama kan? Sekurang-kurangnya cuti lah enam bulan setengah ke? Tapi jika diambil dari sisi keperluan semestinya pengangguran selama itu bakal memberikan impak yang tidak elok kepada diri. Apatah lagi kalau pengangguran itu tidak diisi dengan perkara-perkara berfaedah. Berasa bosan, tidak berguna, rutin harian hanyalah mandi, makan, minum dan tidur sahaja.Terasa sia-sia hidup kan?

Apapun sedikit buah fikir untuk kali ini adalah tentang sebuah peristiwa yang dirakamkan oleh Allah menerusi surah At Taubah ayat 79.

(Orang munafik ialah) orang yang mengejek orang yang beriman yang memberikan sedekah dengan suka rela, dan orang yang tidak sanggup (memberikan sedekah) kecuali sekadar kemampuannya sahaja (pula) dihina oleh mereka (orang munafik). Allah juga akan menghinakan mereka dan bagi mereka adalah azab yang pedih.

Sememangnya surah At Taubah adalah suatu surah yang banyak membicarakan tentang sifat-sifat orang munafiq yang antaranya sepertimana yang diceritakan melalui ayat ini ketikamana Rasulullah Sallallhu Alaihi Wasallam menyeru sahabat-sahabat untuk menginfaqkan harta mereka untuk peperangan Tabuk menentang tentera-tentera Rom, Abdul Rahman bin Auf yang memang dikenali sebagai seorang korporat berjaya dan kaya raya, tampil untuk menyedekahkan sebagahian besar daripada harta kepunyaannya lalu diejek dan oleh golongan munafiq ini dengan kata-kata bahawa apa yang dilakukan itu hanyalah perbuatan riyak dan mahu menunjuk-nunjuk.

Sementara itu, apabila seorang sahabat yang lain pula menyedekahkan segenggam buah tamar iaitu separuh daripada hasil upahnya pada hari itu, diejek dan dihina pula oleh mereka sebagai kedekut dan dikatakan pemberian tersebut tidak memberi kesan dan tidak langsung membantu tentera-tentera Islam. Akibat daripada hinaan dan ejekan mereka itu, Allah telah menurunkan ayat ini dan menyatakan perbuatan itu dihina dan dimurkai Allah dengan azabnya yang pedih di akhirat kelak.

Kalau kita perhatikan ayat tersebut dan kita sesuaikan dengan realiti semasa hari ini pastinya golongan-golongan munafiq seperti zaman Rasulullah ini masih wujud kan? Setiap kali kebaikan dihulurkan dan diinfaqkan pada jalan Islam samada besar ataupun kecil, mesti ada suara-suara yang menuduh pemberiaan itu hanyalah untuk menunjuk-nunjuk dan hanyalah untuk mencari kemahsyuran padahal kita sendiri tidak boleh menilai hati perut si pemberi. Sedangkan jika pemberian itu sekiranya benar-benar ikhlas, dia mendapat bahagiaanya daripada Allah sementara yang mengata itu pula dibalas dengan azab dariNya.

Kadang-kadang antara jemaah-jemaah Islam pun perkara sedemikian berlaku. Apabila suatu jemaah melakukan kebaikan, dituduh kerana mahu menarik ahli, dan mencari populariti sedangkan belum tentu benar tuduhan sebegitu. Benarlah, meminjam istilah yang digunakan oleh Ustaz Kamarulzaman, 'virus nifaq' ini boleh menyerang sesiapa sahaja tidak kira mereka yang sembahyang ataupun tidak tanpa disedari oleh kita sendiri. Terkena ataupun tidak tanyalah dan muhasabahlah diri kita sendiri mudah-mudahan kita sentiasa terpelihara daripada segala sifat kemunafiqan ini.

Baiklah sampai sini dahulu la buat kali ni ya. Moga tulisan ini dapat sedikit mengubat rindu mereka-mereka yang setiap kali menjenguk ke sini namun tak dapat menatap apa-apa entry baru. Hingga jumpa lagi insyaAllah. Wassalam.

Sunday, February 14, 2010

Catatan sebelum pulang (part 4)

Kita Menjana Nilai dan Skor, begitulah motto KMNS. Selama tiga bulan saya di KMNS pelbagai peristiwa dan pengalaman yang saya alami yang hingga kini masih segar dalam ingatan saya seperti semalam baru saya meninggalkannya.

Tidak beberapa lama saya di KMNS, saya dan kawan-kawan di panggil untuk temuduga JPA. Saya pulang ke Kuala Terengganu untuk menghadirinya. Pergi temuduga seolah-olah reunion bagi kami yang telah lama tidak bersua mengikut haluan masing-masing namun masih menyimpan hasrat untuk menyambung belajar di luar negara. Ada yang dah ke UTP, ada yang dah ke universiti-universiti tempatan buat matrikulasi dan diploma, ada yang dah ke kolej matrikulasi seperti saya sendiri dan ada yang hanya duduk di rumah dan memang menunggu-nunggu untuk temuduga JPA dan yakin akan mendapat tawaran ke luar negara.

Yang datang temuduga bukan sahaja dari Shams, tapi pelajar dari semua sekolah yang ada di Terengganu yang layak untuk ditemuduga. Saya mengenali ramai antara mereka kerana pernah berkem bersama sebelum SPM.

Saya memeriksa jadual temuduga. Jadual itu sedikit mengelirukan kerana ada pecahan sessi pagi dan petang di mana saya diletakkan di sessi petang. Sebab saya punya turn pun lambat lagi, saya mengambil keputusan untuk turun ke warung untuk bersarapan pagi sebab tak sempat nak sarapan sebelum datang tadi.

Oleh kerana sessi petang hanya akan bermula pukul 2 petang, saya buat keputusan untuk balik je dulu ke rumah tok yang tak jauh dari pusat temuduga. Hampir pukul 2 petang saya kembali semula ke pusat temuduga. Saya terkejut bila mendapati dah tak ramai orang di situ, kalau tak silap ada 5 orang sahaja lagi yang tinggal yang masih menunggu untuk di panggil masuk.

Apabila saya melihat kembali jadual, rupa-rupanya giliran temuduga saya adalah pada waktu pagi. Saya tetap menunggu di situ, hinggalah giliran group terakhir itu, kami semua berenam di panggil untuk temuduga. Mujurlah saya diterima juga untuk ditemuduga walaupun sepatutnya ditemuduga pada sessi pagi. Tapi sebenarnya kalau saya gagal ditemuduga pada hari tu pun, saya masih berpeluang untuk ditemuduga di pusat temuduga yang lain selepas ini. Tapi bukan di Terengganu la. Di negeri lain pula.

Apapun, sebelum temuduga bermula, kami ditanya tentang pilihan negara yang kami nyatakan dalam borang yang kami isi. Saya telah memilih untuk mengambil kursus perubatan di Mesir atau New Zealand sebelum ini.

"Tengku Abdul Kadir bin Tengku Zainal Abidin"

"Ya, saya"

"Kamu minta untuk kursus perubatan di India, betul ya?" tanya penemuduga tu.

"Eh tak, first choice ke Mesir dan second ke New Zealand" sahut saya.

"Oh, tahun ni kerajaan tak hantar ke Mesir. Mungkin sebab tu komputer divert pilihan awak ke India. So macam mana? Awak nak kekalkan pilihan awak ke India?"

Ha? Saya tak nak ke India. Ada sedikit rasa kecewa di hati saya tika itu. Kemudian saya pun membalas, "Kalau macam tu, letak pilihan pertama saya ke UK la, kedua ke New Zealand."

Penemuduga itu memerhatikan rekod saya mungkin meneliti result saya kemudian berkata, "Emm macam susah kalau awak nak dapat ke UK ni."

"Emm takpalah, letak je UK" memang ketika itu saya tak letak apa-apa harapan pun untuk ke UK mahupun ke New Zealand.

Temuduga itu berjalan dengan baik. Selepas sessi temuduga itu saya kembali membetulkan niat dan berazam untuk kekal sahaja di KMNS walaupun mungkin mendapat tawaran ke UK ataupun New Zealand. Saya pun tak tahu kenapa saya membuat pendirian begitu. Mungkin begitu kecewa kerana tidak dapat buat perubatan di Mesir.

Dua tiga hari kemudian saya kembali ke KMNS. Tidak lama kemudian diadakan pemilihan untuk jawatankuasa pewakilan pelajar untuk KMNS. Pada mulanya saya tidak terlalu mahu involve dalam kepimpinan dan lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran. Maklumlah nak ambil medik kenalah dapat 4.0 kan? Namun saya dipujuk oleh Fuad yang kata ramai nak saya bertanding dan ada potensi untuk menang.

Saya ketawa mendengarkan pujukannya tu sebab saya memang low profile ketika itu. Saya hanya aktif di masjid, pernah sekali memberi tazkirah maghrib dan tak dipilih pun untuk jadi JPP sementara semasa program suai kenal di awal kemasukan kami dulu. Mestilah mereka yang menjadi JPP sementara ini lebih cerah peluang untuk dilantik menjadi JPP kerana semua orang sudah kenal mereka dan nampak mereka buat kerja.

Pendek kata, saya akhirnya mengisi borang calon dan masuk bertanding JPP. Mereka yang berada di MRSM mungkin sudah biasa dengan suasana pilihanraya kampus, tapi bagi saya inilah pengalaman pertama saya menjadi calon untuk dipilih oleh kawan-kawan untuk mewakili mereka. Hari pidato cukup mendebarkan saya. Saya tak tau apa nak cakap. Apa manifesto yang ingin disampaikan dan apa janji-janji manis yang ingin ditaburkan buat rakyat jelata.

Ada kawan yang mencadangkan saya menjanjikan untuk berbincang dengan pentadbiran untuk menyediakan Water cooler di setiap blok bagi memudahkan pelajar menghilangkan dahaga selepas bermain atau bila-bila je la. Saya tak ingat dah cadangan-cadangan lain yang diberikan. Akhirnya dalam pidato itu, saya hanya mengenalkan diri dan menyatakan kesanggupan saya untuk bekerja dan membantu sahabat-sahabat apabila terpilih menjadi wakil mereka kelak. Alhamdulillah, ucapan saya mendapat tepukan dari warga dewan malam itu. Dalam banyak-banyak pidato pada malam itu, pidato Mei Mei paling mencuit hati. Bila nama Mei Mei dipanggil untuk naik ke pentas bising di belakang dewan beberapa orang pelajar menjerit nama Mei! Mei! sebagai tanda sokongan. Ternyata memang Mei Mei sudah ada peminat tersendiri waktu itu.

Saya tak ingat berapa hari jarak antara malam pidato calon dan hari pengundian, tapi semasa di kelas, kawan-kawan praktikum saya yang sebelum ini tidak tahu saya masuk bertanding begitu excited dan bertanya-tanya apa yang boleh diorang bantu memandangkan saya satu-satunya pelajar yang menjadi calon dalam praktikum itu. Mereka sendiri tidak menyangka saya yang begitu senyap dalam kelas tu boleh pula menjadi calon dalam pilihanraya. Haha. Penolong ketua praktikum saya, tak ingat namanya, beria-ia nak membantu saya berkempen kepada kawan-kawan perempuan. Selain mereka, kawan masjid saya Salihin, turut membantu saya untuk berkempen walaupun dia dari praktikum yang lain.

Selama dua tiga hari poster saya terpampang di gajah menyusur, dewan makan, koperasi, sekitar masjid,dekat area kelas dan lain-lain tempat lagi. Saya tak sabar untuk menurunkan poster-poster tu, segan ada, malupun ada. Roomate saya siap bawa satu poster dalam bilik dan melekatkan kat dindingnya. Tak tahulah dia obses dengan saya ke apa. Saya hairan kenapa poster Munzir tak kelihatan. Time tu ada orang kata poster Munzir tak dapat dilihat kerana hanya ditampal di blok perempuan. Siap ada perempuan yang tanggalkan poster dia untuk simpan dan letak dalam bilik lagi. Hai... saya pun tak tahu cerita ni betul ke tak. Ni boleh tanya Munzir sendiri la kot :D

Ops dah panjang dah entry ni. InsyaAllah bersambung di catatan yang lain. :)

bakal bersambung...

Friday, February 12, 2010

Catatan sebelum pulang (part 3)


SPM 2002


Mungkin tak ramai mengetahui bagaimana perjalanan yang saya lalui sebelum dapat menempatkan diri belajar medik di Mesir. Seingat-ingat saya juga saya pun tak pernah kongsikan cerita tu di blog. Baiklah,yang taknak tahu tu takpalah, yang nak tahu tu, ni ceritanya. :D Ia sebenarnya bermula daripada inspirasi yang dicetuskan oleh Ustazah Hamidah, cikgu Bahasa Arab saya yang pernah bercerita tentang adanya pelajar Malaysia yang belajar Perubatan di Mesir. Kata beliau, selain belajar perubatan, pelajar-pelajar tu juga dapat memperkuatkan Bahasa Arab mereka dan akhirnya Bahasa Arab yang dipelajari di bangku sekolah tak hilang begitu sahaja ditelan zaman sepertimana yang dihadapi oleh ramai pelajar-pelajar lepasan sekolah agama yang mungkin dah lupa kosa kata dan nahnu sorof bahasa arab tu.(Pada saya tak mudah juga untuk kekal menguasai bahasa arab walaupun belajar di Mesir kerana bahasa percakapan kami adalah bahasa pasar. Tapi kedapatan banyaknya kelas bahasa arab dan ramai ustaz-ustaz yang mampu untuk mengajar membolehkan kita mencapai maksud itu. So kene rajin usaha pergi belajar juga la ya) Sejak itu, saya mula menyimpan impian untuk belajar perubatan di Mesir.

Impian itu dikuatkan lagi dengan kejayaan dua orang senior saya sebelum itu yang telah menempatkan diri di Universiti Iskandariah mengambil jurusan perubatan di sana. Merekalah inilah yang menjadi tempat rujukan saya bertanyakan tentang hal ehwal Mesir sebelum berlepas ke sana.

Namun sebelum saya ditawarkan JPA untuk ke Mesir, saya sendiri telah menempuh jalan yang jauh dan penuh warna warni dengan pengalaman yang pelbagai. Sebelum SPM, saya telah pergi mencuba nasib ke temuduga program persijilan Darul Quran bersama kawan-kawan yang lain di SMKA Durian Guling. Saya juga telah mengisi borang ke matrikulasi dan borang UPU untuk ke Universiti tempatan. Ketika itu saya terlupa seketika cita-cita untuk ke Mesir sebaliknya menanam hasrat untuk ke Darul Quran, untuk hafal Al Quran dan kemudiannya menyambung pelajaran dalam jurusan perubatan di UIA. Wah, hebat bunyinya kan? Macam Protaz gitu.

Namun pasca SPM, saya menjadi keliru dan hilang punca dan tak pasti untuk ke mana-mana. Sebelum keputusan SPM diumumkan saya gagal menempatkan diri untuk ke Darul Quran dengan alasan lemah hafalan.(Memang saya fail la bab hafal menghafal ni) Ketika itu ada kawan yang memujuk saya untuk buat rayuan untuk dipilih dalam kemasukan kedua ke sana, namun hasilnya saya tetap gagal menempatkan diri. Saya begitu kecewa ketika itu. Ketika kawan-kawan sibuk memohon tempat di sana dan di sini saya hanya mengisi borang JPA bagi mendapatkan tempat ke Mesir mengambil jurusan Perubatan. Ketika itu, saya sendiri tak pasti sebenarnya adakah keputusan saya mendapat 6 1A dan 5 2A tu melayakkan saya untuk ke sana ataupun tidak memandangkan pelajar-pelajar SPM batch saya di seluruh Malaysia rata-ratanya mendapat keputusan yang lebih baik berbanding saya.

Tidak lama kemudian saya mendapat tempat ke Matrikulasi UIA untuk jurusan Engineering, jurusan yang saya tak minat nak ambil. Kemudian saya mendapat pula tawaran ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dalam kelas Fizikal. Semua tawaran yang saya perolehi setakat itu tidak membawa saya kepada jurusan perubatan yang saya kehendaki selain ke KMNS dengan menukar ke kelas Sains Hayat. Ke KMNS bermakna saya perlu kembali bertungkus lumus, study gila-gila untuk mendapatkan pointer 4.0 sebelum mendapatkan tempat dalam bidang perubatan di mana-mana universiti dalam negara berdasarkan rekod tahun sebelumnya. Opsyen lain, masuk tingkatan 6 :D

Sedih bila suatu ketika ayah berkata, "Dapat result straight As pun tak boleh juga buat medik" dengan nada simpati kerana saya tak dapat tempat yang saya inginkan.

Saya mengambil keputusan untuk ke KMNS. Ketika itu ada beberapa kawan saya yang terkejut dan tak percaya yang saya nak ke Matrikulasi walaupun dapat keputusan yang agak baik. (Kenapa? Matrik tempat reject ke? ) Saya seronok di KMNS. Saya juga berjaya menukar kelas daripada fizikal ke sains hayat. Sebenarnya inilah kali pertama saya berjauhan daripada keluarga .Kali pertama saya tinggal di asrama. Kali pertama saya mula hidup sendiri dan berdikari.

Saya punya ramai kawan terutamanya dengan kaki-kaki masjid yang rajin berpuasa sunat isnin dan khamis. Setiap minggu kami beriftar di masjid dan dua tiga kali juga saya in charge untuk beli makanan berbuka puasa.

Nama-nama seperti Huzaifah (roomate saya), Al Hafiz (tok bilal subuh setiap pagi), Munzir (Abang gagah, bekas ketua pelajar SMKA Tahan, yang banyak mengajar saya erti tarbiyyah), Hafiz Manan ( Juga pelajar SMKA Tahan) Hafiz Zainal Abidin ( Budak Kisas yang saya tegur sebab banyak cakap sangat dalam masjid. Haha. Tapi warak budaknya), Idzham (Juga pelajar SMKA Tahan yang cukup baik) Zayed (bendahari agung JPP) Amir Aizat (Budak Johor yang rendah dan comel) Hazim (budak Jasin yang sepraktikum dengan saya), Salihin (Member baik saya. Nama timangannya time tu 'Bosan') Ain, Izzati, Hani, dan ramai lagi nama-nama yang lain yang sentiasa saya ingati bila berbicara tentang KMNS. Selain sahabat-sahabat saya seShams seperti Suhaimi dan Azwan. Tak hairanlah bila saya nak meninggalkan KMNS untuk ke Mesir, hati saya begitu berat mengizinkannya, saya menangis mengenangkan kawan-kawan yang saya tinggalkan di sana.

So camana ceritanya saya meninggalkan KMNS untuk ke Mesir? InsyaAllah akan disambung dalam catatan seterusnya.

bersambung lagi insyaALlah...

Wednesday, February 10, 2010

Catatan sebelum pulang (part 2)

Dalam banyak-banyak event yang tidak dapat saya hadiri kerana tidak berada di Mesir, hanya satu event yang saya tak miss. Walau di mana saya berada , saya tetap tak terlepas kerana saya tetap berada di situ. Birthday saya la tu. 6 Februari 2010, genaplah 25 tahun @ suku abad @ jubli perak lamanya saya menjadi warga bumi ini. Dah 25 tahun. Dalam 25 tahun ni ape yang dah saya buat ya? Apa yang telah saya kecapi?



  • 6 Tahun - Saya mula bersekolah tadika. Di akhir tahun ini saya kene demam campak menyebabkan saya tercampak daripada melakukan persembahan akhir semasa majlis graduasi Tabika Kemas Kampung Tanjung Paya.

  • 7 Tahun - Saya mula bersekolah rendah. Sekolah Kebangsaan Ladang dari tahun 1992-1997. Pencapaian terbaik saya di tahun 1 apabila saya mendapat nombor 1 dalam kelas. Kelas 1 Kenanga time tu.

  • 8 Tahun - Saya mula ke pentas mendeklamasikan sajak Anak Bangsa. Sajak tu dikutip dari Majalah Bintang Kecil. Ustazah Hindun yang beria-ia mahukan salah seorang anak muridnya bersajak di perhimpunan. Apalagi, sayalah yang dipilihnya. Pada tahun ini juga saya mula berpuasa penuh bulan Ramadhan setelah gagal untuk puasa untuk satu hari pun pada Ramadhan sebelumnya :D.

  • 9 Tahun - Tahun yang agak menyedihkan bagi saya. Selain kehilangan 2 orang kawan baik (pindah sekolah) saya juga mendapat nombor 3 dalam peperiksaan penggal satu dan dua. Biasanya setiap tahun, pelajar yang mendapat tempat pertama hingga ketiga setiap kelas akan mendapat hadiah buku tulis. Mendapat tempat ketiga bermakna sedikitlah jumlah buku tulis yang saya perolehi untuk digunakan pada tahun hadapan. Mendapat nombor satu, dua atau tiga adalah antara usaha saya mengurangkan beban mak untuk beli kelengkapan persekolahan untuk sesi mendatang. :) Tahun ini juga saya mula mewakili sekolah pertandingan bercerita. Saya pandai bercerita dulu-dulu rupenye. Ha ha.

  • 10 Tahun - Tahun ni saya mula dilantik menjadi pengawas sekolah. Ingat lagi waktu mak marah kerana menjadi pengawas bermakna saya kena beli baju sekolah baru dan seluar sekolah baru padahal saya baru sahaja beli baju sekolah putih dan seluar sekolah biru waktu itu. Saya tak tahu kenapa saya cukup rapat dengan Guru besar, cikgu penolong kanan, dan cikgu-cikgu besar yang lain. Pernah kawan-kawan kene marah sebab tak pakai lencana di perhimpunan tapi saya tak kene marah sebaliknya di nasihatkan je. Mungkin time tu dah pandai cari kroni :D. Atau mungkin cikgu-cikgu mengenali saya sebab selalu wakili sekolah pertandingan itu dan ini.

  • 12 Tahun - Tahun saya menduduki peperiksaan UPSR. Tahun itu juga saya menjadi Ketua Pengawas. Saya tak pasti apa yang saya lakukan sepanjang tahun itu sebagai ketua pengawas cuma saya rasa saya menjadi ketua pengawas yang paling tak buat kerja dalam sejarah SKL. Mungkin time tu saya lebih tumpu perhatian kepada pelajaran dan aktiviti luar sekolah. Alhamdulillah saya mendapat 5 A dalam UPSR.


Time ni mungkin saya tak masuk tadika pun lagi.

  • 13 Tahun - Tahun pertama saya di sekolah menengah. Awalnya saya tak pasti ke mana saya nak meneruskan persekolahan. Saya mendapat tawaran Kolej Sains dan Pengajian Islam Terengganu (KOSPINT) di Serada, Sekolah Menengah Sultan Sulaiman, dan Sekolah Menengah Sri Budiman. Dalam masa yang sama saya menunggu tawaran daripada SMKA Labu, SMKA Sheikh Abdul Malek dan tunggu kot-kot ada tawaran dari MCKK kerana Cikgu Tuan Kembang selalu memotivasikan kami untuk ke MCKK. Semua nya tak menawarkan apa-apa kecuali SMKA Sheikh Abdul Malek. Bermulalah kehidupan saya sebagai pelajar tingkatan satu di Shams dari 1998 hinggalah tingkatan 5 pada tahun 2002.

  • 14 Tahun - Saya tiada komitmen lain pada waktu ini selain belajar , bermain dan berpengakap. Saya menjadi ketua kelas namun urusan kelas lebih didominasi oleh Izuan dan Khairul Mustaqim yang menjadi penasihat di belakang saya. Mungkin jika ditanya, siapa ketua kelas 2 Al Ghazali tahu 1999 mungkin orang tak jangka pun saya sebenarnya orangnya. :)

  • 15 Tahun - Tahun ini saya tak mahu jadi ketua kelas. Bila Kamarul datang kat saya cadangkan supaya buat pemilihan ketua kelas, saya mintak dia je conduct pemilihan. Akhirnya dia yang dipilih sebagai ketua kelas. :D Tahun ini mungkin zaman kegemilangan saya di Shams. Walau berada di kelas nombor 2, 3 Ibn Qudamah, saya lebih score dari pelajar-pelajar lelaki 3 Ibn Sina yang terdiri daripada pelajar-pelajar Sains Pertanian. Hinggalah semasa percubaan PMR saya pelajar lelaki tunggal yang mendapat 9A selain dua orang lagi pelajar perempuan dari kelas 3 Ibn Sina. Alhamdulillah tahun itu kalau tak silap hampir separuh daripada jumlah batch kami mendapat keputusan 9A dalam PMR.

  • 16 Tahun - Saya kekal berada di Shams selepas PMR. Walau ramai antara kawan-kawan baik saya berpindah ke MRSM dan KISAS. Saya lebih selesa untuk kekal di Shams kerana boleh berada dekat dengan keluarga selain pada waktu itu saya memikirkan, belajar di mana-mana pun sama sahaja asalkan rajin. Kan? Saya mula dilantik menjadi pengawas sekolah kembali selepas 3 tahun tak sentuh jawatan tu . Saya mula sibuk dengan hal-hal luar sekolah, mewakili sekolah pertandingan itu dan ini. Saya kembali seronok dengan aktiviti-aktiviti tersebut. Semua itu menjadikan saya cukup sibuk sepanjang tahun dan masa saya terisi dengan pelbagai tugas dan aktiviti. Saya juga mewakili sekolah menjadi wakil pelajar ke perhimpunan pemimpin-pemimpin pelajar di Perak pada tahun itu. Ya, pelajaran saya agak merosot ketika itu.

  • 17 Tahun - Tahun saya menghadapi SPM. Saya berazam untuk kurangkan aktiviti-aktiviti luar selain pelajaran pada tahun ini. Tapi entah kenapa dua tiga orang cikgu nak juga saya mewakili sekolah dalam beberapa pertandingan yang mereka kena in charge. Ada la juga beberapa orang cikgu lain yang membantah terutama Cikgu Aminah, cikgu Bahasa Melayu saya yang mungkin melihat prestasi saya dalam Bahasa Melayu menurun walaupun mewakili sekolah dalam pertandingan debat bahasa melayu. Saya pun hairan, takkan lah tak ada orang lain yang boleh menggantikan saya mewakili sekolah dalam pertandingan-pertandingan itu. Mujurlah pelajaran saya tidak terjejas mana dan alhamdulillah berjaya mendapat keputusan straight As tahun itu walaupun tak semuanya saya dapat A1.



Patriotiknya saya dulu-dulu.


Selepas peperiksaan SPM pada tahun 2002 tu, maka bermulalah kehidupan saya sebagai graduan sekolah menengah. Saya kembali mencongak dan menghitung peluang untuk melanjutkan pelajaran di dalam ataupun di luar negeri. Bagaimana saya menempuh jalan dari menolak tawaran matrikulasi UIA, ke Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan sebelum keluar selepas peperiksaan pertengahan sem untuk ke INTEC sebagai persediaan sebelum ke Mesir pada 8 Oktober 2003. Inilah sebenarnya yang ingin saya kongsikan dalam catatan sebelum pulang ini yang mungkin tidak pernah saya catatkan dalam penulisan blog saya sebelum ini. Saat saya mengharungi takdir yang telah ditetapkan Allah untuk saya terbang ke Mesir meneruskan cita-cita, melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di sana.

25 tahun sudah lamanya saya hidup di dunia ini. Catatan di atas adalah sekadar menggambarkan betapa banyaknya kurnia dan nikmat yang Allah kurniakan kepada saya hingga kini. Dan pastinya saya tidaklah mengecapi segala itu dengan hanya bergoyang kaki dan berpeluk tubuh semata sebaliknya disulami usaha dan berkat rahmat kasih sayangNya. Selain faktor-faktor keluarga, kawan-kawan, cikgu-cikgu dan persekitaran yang kita tahu sama-sama membantu ke arah itu. Saya percaya ramai lagi sahabat-sahabat di luar sana yang lebih hebat, lebih cemerlang dan lebih berjaya daripada saya. Justeru marilah kita sama-sama mengucapkan syukur atas segala kurniaaNya yang tak putus-putus mengembirakan kita walaupun kadang-kadang kita selalu culas dan lalai dalam mengingati dan berterima kasih kepadaNya setiap masa dan setiap waktu. Buat kawan-kawan yang pernah gagal mengejar cita, jangan give up, jangan putus asa dari rahmatNya. Ya, kegagalan itu suatu yang pahit untuk ditelan namun ia juga seperti ubat yang mampu mengubat diri.

Moga Allah mengapuni segala dosa saya dan meletakkan diri ini di kalangan hamba yang sentiasa menyukuri nikmatNya.

InsyaAllah akan bersambung...

Tuesday, February 9, 2010

Catatan sebelum pulang (part 1)

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Sumber: Facebook Aniah.


Majlis Apresiasi Graduan...


Dua hari yang lalu, sahabat-sahabat sebatch saya yang masih berada di Keherah berkesempatan menghadiri Majlis Apresiasi Graduan yang dianjurkan JPA dan PERUBATAN. Seronok melihat wajah-wajah mereka bergembira diraikan dalam majlis itu. Sedih pula memikirkan saya sendiri tak dapat menghadirinya. Keberadaan saya di UK tidak memungkinkan saya pergi ke majlis tersebut. Takkan nak beli tiket balik ke Mesir kemudian kembali ke UK semata-mata untuk menghadiri majlis tu kan? Apatah lagi, sekembalinya saya daripada bercuti ke Istanbul, Athens dan Santorini tempoh hari, saya menghadapi sedikit kesukaran untuk masuk kembali ke UK kerana sudah terlalu acap kali keluar masuk ke UK walaupun ketika itu Zaatil berada di sebelah.

Rupa-rupanya peraturan imigresen di sini, free entry visa yang diberi ketika masuk ke UK untuk rakyat Malaysia selama 6 bulan itu bermaksud kita hanya dibenarkan berada di UK selama 6 bulan dalam tempoh 12 bulan walau berapa kali kita keluar masuk ke sana. Jadi kalau dalam masa 12 bulan tu, kita telah berada di UK selama 6 bulan ke atas, kita mungkin boleh disekat daripada masuk ke UK dan perlu memohon dependent visa untuk masuk. Faham ke? Kalau tak faham sila rujuk pejabat imigresen di UK ya. Apapun terima kasih kepada pihak yang telah berusaha dan bertungkus lumus menjayakan majlis itu walaupun tanpa kehadiran diri ini. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar kan? Buat adik-adik yang meminta maaf di Facebook kerana tidak dapat hadir ke majlis tersebut atas keuzuran tertentu takpe. Saya sendiri pun tak ada kat sana. InsyaAllah ada peluang lagi untuk jumpa abang-abang dan kakak-kakak sebelum kami pulang 27 Februari ini insyaAllah.

MAT dan Majlis Kawin Idil...

Dalam tempoh 3 hari sekurang-kurangnya 3 events yang saya terlepas untuk menghadiri atau mengikutinya kerana berada di kejauhan. Selain majlis apresiasi itu, dua hari sebelum itu adalah majlis pernikahan kawan baik saya, Idil yang telah selamat disatukan dengan gadis pilihannya Naimah Zakaria. Semalam, saya ada menelefon adik saya, Zahidah bertanyakan hal-hal semasa di Mesir. Rupa-rupanya ketiadaan saya di majlis Idil menimbulkan bicara berbunyi begini," Abang Kadir tu, mentang-mentanglah Abang Isroq dok mari masa dia kawen dulu, dia pun dok mari masa Abang Isroq kawen."


Sumber: Facebook Aniah


Aku ada jauh la wei! hihi. Memanglah terkilan juga tak dapat hadiri pernikahan Idil, tapi insyaAllah doaku sentiasa mengiringi langkah-langkah kalian mengisi rumahtangga yang telah terbina, Idil. Lepas ni nak kene tinggal dah Naimah kat Mesir. Huaa....

Satu lagi majlis adalah Mesyuarat Agung PERUBATAN kali ke berapa eh? Tak datang kali ni bermakna dah dua kali saya tak dapat menghadiri MAT kerana berada di UK. Satu hujah bahawa Kadir selepas kahwin semakin jauh dengan PERUBATAN. Semakin luput dari perjuangan. Haha. Apapun memandangkan sebelum daripada itu saya tidak pernah miss Mesyuarat Agung PERUBATAN, ketika adik-adik yang menerajui PERUBATAN kini masih belum memegang apa-apa jawatan dalam PERUBATAN, ketidak hadiran saya untuk kali ini mungkin dapat dimaafkan. Hakikat sebenarnya, PERUBATAN tetap di hati walaupun masih banyak pembaikan perlu dilakukan, masih banyak ruang islah boleh dilaksanakan. PERUBATAN tetap merupakan medan tarbiyyah dan kesatuan bagi seluruh pelajar-pelajar perubatan dan pergigian di Mesir.

Emmm sebenarnya panjang lagi nak tulis. Sebab panjang sangat, saya berhenti kat sini dulu dan akan menyambungnya dalam entry selepas ini insyaAllah. Hingga jumpe lagi, Jazakumullah khairan kathiraa.

bersambung...

Wednesday, February 3, 2010

Dr Kadir...

Dr Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin MB Bch (Ain Shams University)
School : 9 Oktober 2003 - 2 February 2010


Hari pertama kami menjejaki Ardu Kinanah. Oh abaikan rupa buruk kebudakan kami tu. :D

Alhamdulillah, Terima Kasih Tuhan,
Terima Kasih kalian yang mendoakan,
Medical degree hanyalah permulaan,
Perjalanan jauh yang belum tentu pengakhiran.

Segala puji dan syukur kepada Tuhan atas kejayaan ini. Walaupun keputusannya tidak seberapa, namun ia tetap suatu kurniaan yang besar bagi hamba yang cukup mengharap. Moga saya tidak akan putus asa untuk melakukan yang lebih baik untuk masa-masa mendatang.

Kejayaan yang dicapai ini memberi makna tidak lama lagi saya akan mengucapkan selamat perpisahan untuk Bumi Mesir ini. 27 Februari 2010 adalah tarikh untuk saya dan sahabat-sahabat berangkat meninggalkan Mesir ke tanah air jika diizinkanNya.

Enam tahun setengah di Mesir pasti banyak memori suka duka yang dilalui dan banyak antaranya saya kongsikan di blog ini. Saya sendiri tidak pasti apa perasaan saya tika ini. Sedih bakal meninggalkan bumi yang kaya dengan sejarah ini, yang banyak berbakti membentuk diri,ataupun gembira kerana bakal terlepas daripada segala kesusahan dan kedukaan yang dihidangkannya. Kedua-duanya sentiasa saling cuba mendominasi.

Tinggal sebulan sahaja lagi saya bakal pulang ke Malaysia dan sebahagian besar waktu itu saya berada di UK dan hanya 4 hari sahaja kembali ke Mesir untuk melunaskan hak-hak yang perlu ditunaikan sebelum pulang ke tanah air. Hak terbesar yang perlu saya lunaskan adalah hak persahabatan menemui sahabat-sahabat dan adik-adik yang bakal dirindui di sana. Pastinya 4 hari di Mesir tidak cukup untuk saya menemui kesemua mereka namun saya berharap dan berusaha menemui seramai mungkin memohon doa agar perjuangan saya di Malaysia dapat saya teruskan dan saya akan tetap teguh dengan pendirian dan kebenaran dalam apa jua yang saya lakukan.

Ampun dan maaf saya pohonkan atas segala silap dan khilaf terhadap sahabat-sahabat di Mesir sepanjang bermusafir di sana. Terima kasih atas persahabatan dan pertolongan yang diberikan selama ini dan hanya Tuhan sahaja yang mampu membalas segala kebaikan itu.

Kepada PERUBATAN sendiri, saya meminta maaf kerana tidak dapat hadir ke MAT dan Majlis Apresiasi meraikan graduan 2010. Keberadaan saya di UK tidak memungkinkan saya menghadiri program-program tersebut. Terima kasih atas usaha untuk meraikan kami budak-budak yang baru habis belajar kelas 2009/2010.

Banyak yang ingin diluahkan mengoret kembali memori-memori suka duka di Mesir sebelum pulang. InsyaAllah jika diizinkan bakal dipost dalam entry-entry mendatang. Hingga jumpa lagi sahabat. Jazakumullah khair.

Monday, January 11, 2010

The Hero

Sunday, December 20, 2009

Hari ni tersangat gembira kerana dapat uruskan dua urusan serentak dengan baik. Alhamdulillah. Memang selagi tidak diselesaikan dua urusan ni, hati berasa tidak tenteram dan sentiasa mencari-cari waktu untuk melaksanakannya.

Dalam kesempatan yang ada ni ada sesuatu yang saya nak sampaikan di sini. Mungkin sedikit panduan kepada pelajar-pelajar di Mesir samada perubatan mahupun agama. Jika kalian selalu menjadikan travel-travel agensi di Tahrir sebagai alternatif untuk mencari tiket kapal terbang untuk ke mana-mana, cubalah singgah di dua travel agensi ini, Memnoun Tours dan De Castro Tours yang terletak berdekatan dengan American Express di Talaat Harb Street, Downtown di Tahrir itu. Sepanjang pengalaman berurusan di kedua-dua travel agensi tersebut, saya begitu berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan, kesungguhan untuk membantu dan penerangan yang jelas yang saya anggap terbaik.

Memnon Tours


De Castro Tours


Oh tidak, saya tidak mendapat apa-apa komisyen daripada kenyataan ini ya, sekadar tanda gembira dan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan dan sebagai sedikit panduan untuk sahabat-sahabat juga.

Key, hingga jumpa lagi. Doakan exam oral saya pada Khamis ini insyaAllah. Wassalam, Jazakumullah khairan kathiraa.

Friday, December 18, 2009

Bilakah Rasulullah Berhijrah ke Madinah?

Sumber: http://kias.edu.my/gemahijrah1430.htm

Bilakah Rasulullah Berhijrah ke Madinah?

Disediakan oleh:
Ust Tuan Mohd Sapuan bin Tuan Ismail
Pensyarah KIAS

Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Betapa tidak, hijrah telah mengubah corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga hari ini.

Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1429H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1430H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.

Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah (1). Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya'la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy'ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.

Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,

الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها

“ Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.

Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:

“ Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya ”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “ Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid ”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.

Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalh sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.

• Sumber utama artikel ini ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).

(1) Berdasarkan peristiwa ini, kita berpendapat bahawa fadhilat yang dinyatakan dalam membaca doa awal tahun dan doa akhir tahun adalah palsu. Ini kerana pada zaman baginda, belum ditentukan lagi permulaan tahun. Dan tiada yang boleh menyatakan fadhilat sesuatu kecuali Allah dan rasulNya. Dan sesungguhnya agama Islam itu sudah sempurna. Dan amalan tersebut tiada dijumpai asasnya dalam kitab-kitab hadis.

Maklumat Penulis:

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail
Sarjana Muda Syariah & Pengajian Islam, Univ. Mu'tah, Jordan.
tasekpauh.blogspot.com
UPI, KIAS
0136353463