Wednesday, October 24, 2007

Beratnya suatu taklifan, atas tangungjawab dan di atas timbangan...

Hari itu hari Isnin, Alhamdulillah, setelah 4 hari di tahan di ward, setelah tiga kali cubaan untuk keluar dari hospital pada hari yang sama, saya akhirnya dibenarkan untuk keluar dengan bil yang sememangnya sudah dapat diagak berapa jumlahnya. Pulanglah saya ditemani Idil dan Kudin berjalan kaki ke rumah yang berjarak kira-kira 200meter itu. Alhamdulillah ‘ala kulli hal…

Diri bersemangat untuk berjumpa kembali dengan sahabat-sahabat, pergi beraya di mana-mana rumah terbuka dengan sangkaan diri sendiri sudah cukup kuat untuk kemana-mana. Dan kebetulan pada malam itu, teman se ‘round’ saya, Daing Nurhafidzah mengundang kami, kawan-kawan sebatchnya untuk beraya di rumahnya.

Kata saya kepada Idil, “Ha kene pergi rumah daing ni Israq, kalau boleh pergi malam ni, insyaAllah tandanya boleh ke kuliah esoknya” Kami pergi beramai-ramai menaiki dua buah teksi yang berasingan. Dan Alhamdulillah tidak ada apa-apa perkara yang memudharatkan berlaku cuma kerenah pemandu teksi yang membawa kami jauh tersesat mengambil jalan jauh entah kemana-mana walau sudah ditegur dari mula. Mungkin ini juga ujian buat kami. Apapun terima kasih kepada Daing atas pelawaan rumah terbuka pertama untuk saya hadiri pada tahun ini. Maaf kepada sahabat-sahabat yang tak sempat saya hadiri, jemputlah lagi untuk tahun-tahun depan ni ya. InsyaAllah jika berkemampuan dan berkesempatan akan saya cuba penuhi, dalam masa yang sama, boleh merancang-rancang untuk turut mengadakan rumah terbuka di lain kali, memang tradisi rumah kami, sejak tahun satu hingga sekarang tidak pernah mengadakan rumah terbuka ketika hari raya dengan alasan sememangnya rumah ini yang jug dikenali sebagai Markaz Pembangunan Insan ini, sentiasa tidak putus menerima tetamu dan ter ‘buka’ sepanjang tahun. Itu rasional yang pernah disuarakan oleh Idil dan Akmal yang memang ada kebenarannya…

Kembali ke sekolah…

Keesokan harinya, dengan semangat yang berkobar-kobar, Idil menemani saya ke kuliah. Berjalan kaki, menaiki metro (seperti LRT di Malaysia), kemudian kembali berjalan kaki sebelum kami mula berpisah di tangga Metro untuk dia ke qisim Psychiatry dan saya ke ward Pediatric yang terletak bersebelahan dengan kampus utama Fakulti Perubatan, Universiti Ain Shams. Kerana agak terlewat keluar dari rumah dan terpaksa berjalan perlahan, tidak laju seperti biasa dek kerana tangan yang terpaksa dianduh menyebabkan saya hampir-hampir tidak sempat mendapatkan ghiab (kedatangan) pada hari itu. Nasib baik sempat berjumpa dengan penanda ghiab tersebut sebelum dia meninggalkan ward. Alhamdulillah…

Saya terus mengetuk pintu dan masuk. Dr Magid Asyraf telah memulakan kuliah, meminta maaf atas kelewatan dan saya terus mengambil tempat duduk di barisan kedua. Perbincangan hari ini yang membawa kepada kes riket oleh seorang budak berusia dalam lingkungan 8 bulan dan jangkitan paru-paru (chest infection) yang sebenarnya menarik namun tidak dapat membantu saya untuk fokus kepada perbincangan yang berlaku. Saya terganggu dan tidak selesa dengan kedudukan saya di ‘bench’ bilik tersebut. Tidak tahu hendak merehatkan tangan kemana kerana leher juga berasa sakit terpaksa menanggung simen yang membalut keseluruhan badan saya ketika ini.

Kepala semakin pening, badan semakin bepeluh, leher semakin penat dan akhirnya sessi selama 1 jam setengah itu dapat dihabiskan dengan penuh keringat. Saya mengambil keputusan untuk tidak terus ke muhadharah(lecture) yang akan mengambil masa selama 2 jam lagi.Saya terus pulang dan di sana saya terus terlantar kepenatan. Besarnya ujian ini yer? Impaknya untuk dua hari berikutnya untuk minggu ini, saya tidak menghadiri kuliah tanpa sebarang notis. Sedikit kebimbangan saya rasakan, kalau-kalau saya gagal untuk menduduki ujian untuk round paediatric kerana tidak cukup kehadiran. Pohon doa dari kalian…

Hari-hari seterusnya…

Sebetulnya dalam 4 ke 5 hari ini saya agak stress dan depress melaluinya. Manakan tidak, tanpa kuliah, nak membaca terasa lost dan diserang pening, dan apatah lagi bila keseorangan di rumah dan badan sentiasa berat dan penat minta untuk disorongkan bantal dan tilam empuk. Maaf kepada sahabat-sahabat yang mungkin tidak mendapat layanan yang sewajarnya ketika bertandang ke rumah melawat saya ketika itu, mungkin saya benar-benar stress sehingga tidak dapat menceriakan diri.

Untuk minggu seterusnya saya cuba kembali bersemangat untuk ke kuliah, apatah lagi kuliah saya sudah diubah kepada sessi petang memudahkan saya untuk tidak terlewat ke kuliah seperti sebelumnya. Namun pada tengahhari itu, seusai menunaikan solat Zohor, saya secara tiba-tiba berasa sakit di bahagian ‘groin’ sebelah mungkin akibat enlargement of the inguanal lymph node, kelihatan suatu benjolan di bahagian betis sebelah kiri yang agak ‘tender’ (sakit apabila ditekan) serta badan terketar-ketar kesejukan. Saya cuba untuk menghilangkannya dengan hanya berbaring di atas katil.

“Aaah sakitnya..!” Saya tidak dapat menahan diri lagi lalu mengajak Idil sekali lagi untuk ke hospital. Destinasi pertama, Hospital Hikmah yang sayangnya menggajikan seorang doktor yang langsung tidak berhikmah! Hematoma yang sungguh benjol dikaki ini tidak pernah diendahkannya kerana rasa puas hati dengan ‘percussion’ yang dibuatnya pada abdomen hingga saya menjerit sakit. Sudahnya, saya diperskripsikan ‘spasmogastrin’ atas dasar keyakinan yang cukup angkuh bahawa saya menghidap ‘diarrhea’ walaupun tiada sebarang ‘history of diarrhea’. Sikap apa ini? Sebagai penyembuh luka hati, kami terus keluar dari hospital dengan cas 5LE bagi satu perskripsi tak berakal!

Hihi mungkin bunyinya agak beremosi, namun begitulah mungkin sedikit gambaran untuk sahabat-sahabat tentang apa yang sering kami hadapi sehari-hari di bumi mesir ini apatah lagi apabila ditimpa musibah begini. Tidak hairanlah sekiranya ramai antara pelajar-pelajar di sini terutamanya dalam jurusan agama lebih memilih untuk balik mendapatkan rawatan di Malaysia tanpa mahu terlebih dahulu mendapatkan rawatan di sini. Apapun pohon doa dari sahabat-sahabat agar apa yang dihadapi dapat dilalui dengan sebaiknya…

Menyuarat Agung PERUBATAN KALI KE 5

“Wah…sakit-sakit tangan pun macam-macam yang ditulisnya ya”. Baiklah, sebenarnya part ini yang terlebih penting untuk saya coretkan pada kali ini. Lusa, Jumaat, 26 Oktober 2007 akan bermulalah perletakan jawatan saya dan sahabat-sahabat yang lain AJK PERUBATAN bagi sessi 2006/2007 setelah setahun menerajui persatuan ini. Banyak kejayaan yang telah dikecapi, dan banyak juga kekurangan di sana sini sepanjang setahun sessi ini khususnya bagi Biro Pembangunan Insan yang baru melalui tahun pertama penubuhannya. Justeru, mudah-mudahan Jumaat depan akan menjadi medan terbaik untuk muhasabah dan lontaran cadangan daripada setiap ahli untuk memperkemaskan lagi pergerakan organisasi PERUBATAN yang semakin membesar sehari ke sehari. Mesyuarat Agung inilah sepatutnya digunakan dengan sebaiknya untuk mengetengahkan agenda-agenda kesatuan dan kebajikan ahli yang mungkin tidak diambil perhatian atau telepas pandang oleh kempimpinan yang lalu dengan harapan PERUBATAN yang lebih baik dapat diwujudkan pada sessi seterusnya.

Apapun selaku AJK pada sessi lalu, saya dan mungkin juga mewakili sahabat-sahabat AJK yang lain memohon ampun dan maaf diatas segala kecuaian dan kelalaian kami menguruskan PERUBATAN, sebagai khadam kalian sepanjang sessi ini, semoga semua kesalahan dan kelalaian kami itu tidak menjadi hujah yang membinasakan kami di akhirat kelak. Nauzubillahiminzalik.

Akhirnya, melihatkan fenomena yang berlaku dua tiga hari ini dari hal melobi si anu dan si anu untuk menjadi AJK samada di YM ataupun di perubatan_mesir, saya mengharapkan ia adalah merupakan suatu fenomena yang sihat walaupun suatu perkara yang baru untuk PERUBATAN yang sebelum ini tidaklah begitu mengambil berat tentang siapa AJK yang akan terlantik. Memandangkan PERUBATAN yang semakin membesar dan memberikan impak yang tersendiri kepada sosio budaya pelajar-pelajar yang berada di bumi kinanah ini, PERUBATAN sebenarnya diperhatikan dan menarik minat kawan dan lawan samada di dalam dan luar PERUBATAN itu sendiri.

Dulu kami tak ramai...semua pun dapat berkumpul bersama...:)

Gambar yang kembali menggamit memori. Di rumah lama abe Zuhdi di Asyir

Buatlah pilihan yang sebaiknya sebagai ahli untuk menentukan kepimpinan akan datang. Jika khidmat Hamdan masih ditagih saya pasti dia masih mampu untuk memikul tanggungjawab kepimpinan tersebut, sementara jika masing-masing sedang mencari-cari kelainan dalam teraju kepimpinan PERUBATAN, saya percaya masih ramai yang mampu untuk melaksanakannya. Buatlah pilihan yang terbaik bagi kemaslahatan bersama. Jangan biarkan adanya unsur-unsur lain yang menghasut dan merencana untuk menjadikan PERUBATAN kepentingan yang lain di luar matlamat kesatuan yang dicanang-canangkannya. PERUBATAN bukan milik sesiapa tetapi ia milik kita semua.

Baiklah, terlalu banyak menghabiskan masa di sini,tangan pun dah sengal-sengal. Petang ini insyaAllah akan ke Faransawi Hospital lagi, bertemu Dr Asyraf untuk follow up case hematoma di betis kiri sebelum ini. InsyaAllah akan kuatkan diri pula untuk ke kelas pada keesokan harinya. Mudah-mudahan diberikan kekuatan olehNya. Doakan ya sahabat-sahabat. Oh ya, doakan juga untuk kesejahteraan monyang saya yang kini sedang terlantar dek sakit tua. Moga dia beroleh kesihatan yang baik dan moga dipermudahkan buatnya segala. “Maaf nyang, abang tak balik tahun ni. InsyaAllah diizinkannya kita sempat berjumpa pada tahun hadapan”. Buat sahabat-sahabat yang turut demam-demam, rasailah segala ujian dengan penuh rasa insaf dan syukur kepadaNya. Ilalliqa’

Jazakumullah Khairan Kathiraa dan Selamat Mengundi…

1 comment:

SoalHati said...

panjangnya entry tobib...tapi best d baca...tak dapat mc ke bila sakit2 gitu?