Monday, February 9, 2009

Al Fatihah

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Al Fatihah buat Allahyarham Roslan Shahrum MP Bukit Gantang yang baru meninggal dunia semalam akibat serangan jantung ketika mengayuh basikal. Moga roh Allahyarham dicucuri Rahmat oleh Allah Taala.



Justeru tidak lama lagi akan ada satu pilihanraya kecil di Perak, cadangan DAP Perak (berita dari NST) yang menyarankan PAS untuk meletakkan YB Nizar sebagai calon bertanding sebagai tanda bahawa rakyat Perak masih lagi mahukan beliau untuk mentadbir negeri mungkin satu perkembangan yang menarik di Perak. Apapun moga Dia mengurniakan yang terbaik buat semua, Wallahu A'lam.

Friday, February 6, 2009

Terima Kasih wahai Tuhanku

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Untuk kesekian kalinya saya merasai sekelumit kekosongan dalam hidup. Perasaan yang selalu mendatangi apabila saya rasakan tiada perkara berfaedah atau bermanafaat yang saya lakukan di kala ini. Berasa malas untuk membaca, malas untuk bekerja, malas untuk bertutur kata, malas segala-gala.

Lumrahnya iman, ada kalanya tinggi, ada ketikanya jatuh menjunam bahkan boleh membawa insan jauh membelakangi dan mengundang murka Tuhan, nauzubillah min zalik.

Pada hari jumaat yang mulia ini sama-samalah memuhasabah diri, tajdidkan iman, bersemangatlah dalam menghadapi perjuangan kehidupan yang penuh ranjau ini.

Ya Allah, berikanlah aku kekuatan, kurniakan aku hikmah dan kesejahteraan, bantulah aku melaksanakan kewajipanku sebagai hambaMU, memberikan manafaat kepada manusia dan insan di sekelilingku. Ameen Ya Allah, Ameen Ya Rabbal Alamin...



Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Thursday, February 5, 2009

Update Kejatuhan kerajaan PR di Perak

Assalamualaykum dan salah sejahtera buat semua.

Semuanya nampak kelam dan tidak memihak kepada Pakatan Rakyat dalam isu yang berlaku di Perak di kala ini. Walaupun YB Nizar masih dengan pendirian untuk tidak meletakkan jawatan sebagai MB walaupun dititahkan sultan melainkan melakukannya di dalam dewan, perlantikan Dr Zambry yang bakal menganggat sumpah sebagai MB baru di Istana Kinta petang esok mungkin akan menamatkan episod-episod cemas dan mendebarkan yang berlaku di Perak pada hari ini.

Kepada YB Nizar, bersabarlah atas apa yang berlaku, pasrah dan redhalah atas segala ketentuan yang Maha Esa, kembalilah memuhasabah dan menilai sejauh mana gerak kerja dan pentadbiran yang telah dijalankan selama ini dan bersedialah untuk menjadi pembangkang yang kuat di Perak bagi memastikan pentadbiran baru yang bakal menerajui kerajaan Perak hari esok akan terus melaksanakan kema'rufan yang diperkenalkan sebelum ini dan menghentikan segala kemungkaran yang ada. Walau tanpa kuasa, seorang pejuang Islam akan terus berjuang dan berjuang bagi memahamkan manusia dengan Islam dan mendekatkan mereka dengan Islam. Teruskanlah berjuang.

Walau apapun, pada saya apa yang berlaku di Perak memberikan pengajaran yang cukup banyak kepada semua pihak. Sekurang-kurangnya kita dapat melihat keletah ahli-ahli politik yang menerajui negara kita pada hari ini, Ya Allah, kurniakanlah negaraku Malaysia, pemimpin-pemimpin yang tulus ikhlas, melaksanakan pentadbiran sesuai dengan apa yang diredhai olehMU ya Allah.

"Kebenaran tanpa strategi dan perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang penuh helah, strategi dan perancangan yang rapi"


Wallahu a'lam

_______________________________________________________

Update tentang isu krisis pentadbiran di Perak melalui Malaysiakini.com

2,000 di rumah Nizar, 'memalukan', kata Ku Li

Feb 5, 09 10:19am

kemaskini 9.16pm Kira-kira 2,000 orang berhimpun di kediaman rasmi menteri besar Perak, menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Mereka melaungkan "reformasi", "jatuh BN" dan "hidup rakyat" sementara menunggu ucapan para pemimpin Pakatan Rakyat mulai jam 10 malam ini.

Mesyuarat barisan pemimpin atasan gabungan pembangkang itu petang tadi memutuskan untuk mempertahankan jawatan menteri besar itu.

kemaskini 8.45pm Tokoh lama Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan perkembangan krisis peralihan kuasa kepada BN di Perak kini sebagai "babak-babak yang memalukan."

Menulis di blog peribadinya awal malam ini, ahli parlimen Gua Musang berkata hanya ada dua cara untuk menguji sokongan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat itu - pillihanraya negeri atau usul tidak percaya di Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Menjatuhkan dan menaikkan sesuatu kerajaan dengan cara-cara lain adalah bertentangan dengan Perlembagaan, menghakis kedaulatan undang-undang dan membawa risiko membentuk sebuah kerajaan yang tidak sah," katanya.

kemaskini 8pm Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkur, Datuk Dr Zambry Abd Kadir, 47, telah dipilih sebagai menteri besar baru Perak.

zambry abdul kadirPengumuman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi malam ini, sejurus tiba dari Perak i Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang.

Dr Zambry yang juga ketua Umno bahagian Lumut itu memang disebut-sebut bakal dipilih sebagai pengganti Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin kerana ketokohannya serta taraf pendidikan tinggi yang dimilikinya.

Berkelulusan PhD dalam bidang politik, beliau sebelum ini pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Dr Zambry - yang pernah ditahan bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) dalam krisis susulan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 - dijadual mengangkat sumpah di Istana Iskandariah jam 3.30 petang esok.

Perdana menteri berkata, Sultan Azlan Shah telah memperkenan pemilihan ambry sebagai Menteri Besar.

Barisan exconya akan mengangkat sumpah Selasa depan.

Wednesday, February 4, 2009

...

Assalamualaykum warahmatullah

UK, 4 Feb, 2:19pm - sehingga kini masih tiada kepastian samada Sultan Perak memberikan perkenan untuk Dun Negeri Perak dibubarkan apabila MB Nizar mengadap meminta perkenan tersebut selepas 4 orang wakil rakyat dari PR telah berpaling tadah menyokong BN walaupun tidak menyertai parti itu.

Namun dari riak dan petanda yang kelihatan, kerajaan PR di Perak bakal jatuh kepada BN adalah suatu yang tidak dapat dielakkan lagi. Sayang sekali buat rakyat Perak, bakal kehilangan seorang MB yang pada pandangan saya seorang yang cukup jernih dan luhur peribadinya.

Moga apa yang berlaku memberikan pengajaran kepada semua pihak dan menjelaskan kepada kita senario politik negara pada hari ini. Moga Allah memelihara negaraku dan memberikan hidayah kepada pemimpin dan seluruh rakyatnya, ameen...

Lagi berita di sini...

Malaysia kini

Abah's blog

MSO

Sunday, February 1, 2009

Kembali lagi... :)

Assalamualaykum warahmatullah...

30 Januari - 14 Februari 2009

Seluruh pelajar-pelajar perubatan di bumi Mesir kembali bercuti 'winter break' oh terkecuali kepada adik-adik di iskandariah, saya sendiri kembali bercuti selepas baru tiga minggu memulakan persekolahan di tahun enam. Ramai yang bertanya mengapa blog ini tidak di'update' walau sudah balik ke Mesir, masih di awal tahun, dan sudah tidak lagi bergelar presiden PERUBATAN. Walau apapun faktor yang memungkinkan saya tidak sibuk lagi pada tahun ini namun pada hakikatnya saya tetap seperti dahulu, masih mahu menggunakan masa yang ada dengan sebaiknya untuk diri dan orang sekeliling. Permulaan di tahun enam memberikan cabaran dan kesibukan yang tersendiri. Kuliah enam hari seminggu hanya memberikan saya hari Jumaat untuk saya melakukan apa-apa perancangan hari minggu, selebihnya saya akan ke kuliah seawal 7:30 pagi dan pulang kira-kira pukul 3 petang.

Apapun, mungkin faktor lain yang tidak memungkinkan saya mengupdate blog ini dengan lebih awal adalah kurang idea di kala ini. hihi macam-macamlah. InsyaAllah saya akan cuba mengupdate sekerap mungkin selepas ini.

So, setakat ini je la buat permulaan ya, buat masa sekarang saya masih sibuk menelaah pelajaran O&G dan Surgery ini. Masih baru berkenalan dan cuba untuk serasi, insyaAllah berkat usaha dan doa dari semua, saya mampu untuk lakukan suatu yang lebih baik berbanding tahun-tahun lalu.

Baiklah, sehingga jumpa lagi, buat adik-adik dan sahabat-sahabat perubatan, selamat bercuti, selamat berjalan-jalan ke sinai, luxor, bahariya, euro mahupun turki (tengah femes kisah keheroan Erbakan di pentas forum ekonomi dunia) dan selamat kembali untuk bersama-sama bersiminar 'kehidupan dan kematian pada 11 & 12 Februari ini. Moga Allah merahmati...

Jazakumullah khairan kathira...

Tuesday, January 6, 2009

Musafir lagi...

Assalamualaykum dan salam sejahtera semua.

Beberapa jam lagi saya akan meninggalkan UK, menuju ke Mesir menaiki penerbangan British Airways untuk kembali menyambung pengajian. Doakan semuanya selamat dan semoga kepulangan ke Mesir ini diberkati.

Buat isteri...

Ayu puteri wajah nan indah,
Baik budi pandai berbahasa,
Beratnya hati untuk berpisah,
Bagai tertusuk buluh berbisa

Mudik ke hulu membawa raga,
Raga dijunjung tiada upaya,
Tinggal saudara tinggal keluarga,
Menuntut ilmu menggapai jaya.

Beratnya hati menanggung resah,
Bagai menanggung gunung bertimpa,
Janganlah sedih jangan gelisah,
Di lain masa kita berjumpa.

Sekali lagi dipohon doa dari semua. Moga kita semua dirahmati dan diredhai.

PS: Al Fatihah buat nyang saya yang baru sahaja kembali ke rahmatullah beberapa jam yang lalu. Moga rohnya ditempatkan di kalangan hambaNya yang soleh dan dikasihi. Ameen...

Monday, January 5, 2009

Hari Asyura...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Sempena bulan Muharram al Mubarak ini, saya ingin kembali mengingatkan kita semua tentang suatu tarikh yang penting dalam Islam iaitu berkenaan Hari Asyura dan fadilat serta bagaimana untuk kita menyambutnya. Artikel yang saya tulis tiga tahun yang lalu mudah-mudahan memberikan sedikit panduan kepada kita dalam muraqabah kita kepada Allah SWT. Selamat membaca.

Jazakumullah khairan kathiraa...

Fadhilat Hari Asyuraa’

Disaring dari kitab Fadhilat Hari Asyuraa’ Antara Adat dan Istiadat karangan Abu Muhammad An Naqsyabandiy

Maal Hijrah tiba lagi, menandakan bermulanya tahun baru 1430H yang pastinya menjanjikan perbagai dugaan dan cabaran sepanjang mengharungi setahun yang mendatang ini.Muharram sebenarnya suatu bulan yang cukup penting dalam Islam. Selain sebagai bulan pertama dalam Islam, Padanya juga ada suatu hari yang dikenali sebagai Hari Asyura’ yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Hari Asyura’ berasal daripada perkataan ‘Asyara’ yang bermaksud kesepuluh atau merujuk kepada hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram. Sementara hari yang kesembilan daripada bulan Muharram dikenali sebagai Hari Tasua’ (kesembilan).

Pada awal Islam, Hari Asyura’ adalah merupakan hari yang cukup dimuliakan dan diwajibkan bagi orang-orang Islam untuk perpuasa padanya hinggalah turunnya perntah berpuasa fardhu pada bulan Ramadhan maka hukum berpuasa pada Hari Asyura’ bertukar kepada Sunat Muaakad. Namun, sebahagian sahabat masih kekal melaksanakan puasa pada hari tersebut mengenangkan kelebihan dan keistimewaan hari tersebut berdasarkan banyak nas-nas daripada Hadith Rasulullah SAW.

Nas-Nas Berhubung dengan Hari Asyura

1. Daripada Abdullah Ibni Abbas berkata: Telah menyuruh Rasulullah S.A.W. supaya berpuasa pada Hari Asyura’ pada hari kesepuluh pada bulan Muharram. [1]

2. Daripada Abu Qatadah, bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda:Berpuasalah pada hari Asyuraa’ bahawasanya aku berharap diatas Allah S.W.T bahawa ianya (berpuasa itu) dapat mengkifaratkan segala dosa pada tahun yang lalu.[2]

3. Biasanya Bangsa Quraish berpuasa pada Hari Asyuraa’ sejak zaman jahiliyyah, juga Rasulullah S.A.W biasa berpuasa di Makkah dan kemudian selepas berhijrah ke Madinah, dan telah turun perintah wajib berpuasa pada bulan ramadhan maka Nabi S.A.W bersabda: Saya dahulu telah menyuruh kamu sebagai perintah wajib berpuasa Asyuraa’ dan kini terserah siapa suka berpuasa dan yang tidak suka boleh meninggalkannya.[3]

Dan banyak lagi nas-nas yang menunjukkan kelebihan untuk berpuasa pada Hari Asyura ini. Cara untuk berpuasa pada Hari Asyuraa’

Puasa Asyuraa’ pada awalnya dilakukan oleh Rasulullah sendirian dan tidak diperintahkan kepada sahabat-sahabat untuk melakukannya ketika baginda masih berada di Mekah, namun selepas penghijrahan baginda ke Madinah baginda telah meneruskan puasa tersebut dan turut memerintahkan para sahabat untuk mengerjakannya sehinggalah turunnya perintah untuk berpuasa pada bulan Ramadhan maka hukum berpuasa pada Hari Asyuraa’ dimansuhkan.

Hari Asyuraa’ sebenarnya bukan sahaja disambut oleh orang Islam namun dalam masa yang sama golongan Kristian dan Yahudi turut mengagungkan hari tersebut kerana terdapatnya peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari tersebut. Sepertimana yang dinyatakan dalam hadith: “Daripada Ibn Abbas R.A. berkata: ketikamana sampai Rasulullah S.A.W di Madinatul Munawwarah maka bagida dapati golongan Yahudi berpuasa pada Hari Asyuraa’ maka bersabda Rasulullah S.A.W.kepada mereka : Hari apakah ini yang kamu berpuasa?

Maka mereka berkata (yahudi): Hari ini adalah hari yang besar bagi kami, dimana Allah S.W.T. telah selamatkan Nabi Musa A.S. dan kaumnya dan menenggelamkan Firaun bersama kaumnya ke dasar lautan, maka berpuasalah Musa kerana bersyukur maka kami pun berpuasa.

Maka bersabda Rasulullah S.A.W: Sekiranya begitu kamilah yang lebih berpuasa daripada kamu maka berpuasalah Rasulullah S.A.W dan menyuruh sahabat-sahabatnya untuk berpuasa.[4]

Rasulullah S.A.W telah mengajar umatnya untuk berpuasa pada hari yang sepuluh pada bulan Muharram dengan tidak melakukannya sendirian namun turut berpuasa juga pada hari yang kesembilan atau hari yang kesebelas atau ketiga-tiga hari tersebut bagi mengelakkan meniru puasa orang yahudi yang berpuasa hanya pada 10 Muharram.

Sebenarnya berlaku khilaf dikalangan ulama dalam menentukan tarikh sebenar Hari Asyuraa’ samada hari kesembilan atau hari kesepuluh.Namun mengambil sikap cermat dalam melakukan ibadah dengan berpuasa pada kedua-dua hari tersebut adalah terlebih baik agar kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan yang ada pada hari Asyuraa’ tersebut. Selain berpuasa kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amalan-amalan yang lain sepanjang Hari Asyuraa’ tersebut, antaranya:

1. Solat Sunat selain solat Fardhu

2. Menghubungkan Silaturrahim

3. Banyakkan bersedekah

4. Bersihkan diri dari sebarang kekotoran

5. Bercelak Mata

6. Mengziarahi Ulama

7. Mengziarahi Orang sakit

8. Mengusap Kepala Anak Yatim

9. Meluaskan untuk keluarga

10. Memotong kuku

11. dan Membaca Surah Al Ikhlas seribu kali.

Moga panduan yang diberi memberikan kita kesempatan untuk bersedia menyambut suatu hari yang besar di dalam Islam ini. Selamat menyambut Hari Asyuraa’.

[1] Hadith riwayat Imam At Tirmidzi dan ia berkata Hadith ini Hasan lagi Shahih

[2] Hadith Shahih riwayat Imam At Tirmidzi

[3] Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

[4] Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

Friday, January 2, 2009

UK dan Mesir...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Tinggal beberapa hari lagi saya akan meninggalkan bumi UK ini untuk kembali ke Mesir meneruskan cita-cita dan tanggungjawab yang belum selasai, sebagai pelajar perubatan. Pastinya saya berasa sedih untuk meninggalkan UK dan segala kenangannya. Walaupun saya tidaklah begitu banyak berjalan atau bersiar ketika berada di sini, namun kedamaian dan keramahan penduduknya sedikit sebanyak memberikan rasa gembira dan tenang di hati ini. Apatah lagi Preston, tempat saya bermukim ini adalah merupakan daerah(bandar) yang sedikit kekampungan.

Pastinya saya akan merindui udaranya yang sejuk dan nyaman, merindui kebersihan tandasnya yang kerap menjadi tempat saya menunaikan kewajipan solat, merindui kecekapan sistem pengangkutannya yang begitu mudah didapati untuk ke mana-mana, merindui keseronokan bershopping yang belum pernah saya rasai sebelum ini, merindui rancangan-rancangan menarik di TV ( di Mesir saya tidak pernah menonton TV kecuali perlawanan bola) dan berbagai-bagai lagi kelebihan yang ada.

Salah satu entiti Universiti Manchester


Sempat juga ke Old Trafford

Haha, nak masuk mahal sangat, bergambar kat dinding kedai je la... :)

Di great hall di Trafford Centre


Falafel? eh Jazaer? eh Jazeera! a ah betul kot... :)

Salji... huhu susah jugak rupanya nak dapat snow kat UK ni.

Bermain dengan Umar semasa di Manchester Airport. Dah balik dah Umar.

Betul ke dulu-dulu ada dinosour?


Nak gie jumpa Harry Potter. tata titi tutu...

Ye ye memang saya pergi ke Harrods, tapi tak beli apa-apa pun.


Apakah ciri-ciri sesebuah kenderaan yang boleh ditempatkan di muzium?


Bersantai di laman Buckingham Palace.


My eye... London Eye...


Emm saya pun tak perasan ada makhluk lain selain saya dalam gambar ini...


Di samping memikirkan untuk kembali ke Mesir dengan penuh kesukaran hidupnya, cuaca yang kadang-kadang cukup extreme dan menyakitkan, apatah lagi bila musim sejuk begini saya begitu tidak tahan berada di rumah ketika waktu malam berbanding di UK yang kebanyakan rumahnya mempunyai sistem pemanasan yang cukup baik, berhadapan dengan karenah pakcik-pakcik dan makcik-makcik di syuun tulab, berhadapan dengan birokrasi itu dan ini (sekembalinya ke Mesir saya perlu memperbaharui visa, fuh...), kebingitan bandar berdebu Kaherah, kekotoran dan kehachingan di mana-mana, dan serba satu perkara yang tidak menyelesakan seperti kata seorang penyarah ketika mengajar tentang depression, "anda bertuah berada di Mesir ini kerana semua faktor-faktor yang boleh membawa kepada depression ada di sini, kesibukan, bising, cuaca yang panas dan stress"

Begitulah, tapi saya tetap bersemangat untuk kembali menuntut Ilmu di Mesir dan menyayangi Mesir seadanya. Di sinilah saya telah menghabiskan 5 tahun untuk menuntut ilmu, belajar tentang kehidupan, mendalami ilmu agama, belajar untuk mengambil mana nilai-nilai yang baik untuk diteladani dan meninggalkan nilai-nilai yang buruk, mengenali manusia dan pelbagai ragamnya, melihat negara sendiri dari luar dan dari kacamata penduduk di luar, mengenali ulama-ulama yang ikhlas dengan ilmu mereka, belajar menghormati ulama dan ilmu, belajar tentang persahabatan dan persaudaraan, belajar erti berjauhan dari keluarga dan erti sebuah kerinduan. Oh, begitu banyak untuk saya ungkapkan selama 5 tahun di sini. Banyak perubahan yang saya hadapi sepanjang saya di sini, dan saya tidak pernah serik untuk berubah ketika mana saya perlu untuk berubah. Ke arah yang lebih baik pastinya.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya sendiri."


Kesimpulannya saya menyukai UK dengan segala kelebihannya serta menyayangi Mesir dengan segala kekurangan yang ada padanya.

Huhu tak sangka langsung dapat jumpa Queen dalam lawatan saya ke UK kali ni... :)


Tower bridge


Nandos... nyum nyum.


Kehidupan sebagai pelajar tahun akhir pastinya menjanjikan kesukaran dan cabarannya yang tersendiri. Dalam masa setahun lebih dari sekarang saya bakal menamatkan degree saya dan kembali ke tanah air untuk mencurahkan bakti dan khidmat setelah 6 tahun setengah dibela oleh JPA menggunakan duit rakyat. Dalam keadaan diri masih belum bersedia secukupnya dan masih terkapai-kapai memahirkan diri dengan segala kemahiran yang diperlukan, pastinya setahun yang mendatangkan ini perlu saya gunakan dengan sebaiknya untuk menyediakan diri. Moga tahun yang baru bermula ini menjanjikan sesuatu kejayaan yang bermakna buat saya dan moga Allah sentiasa merestui dan meredhai segala kerja buat saya dalam menuntut ilmu ini. Mudah-mudahan ameen.

Buat akhirnya, sama-samalah kita berusaha untuk menjadikan hari esok adalah hari yang lebih baik berbanding hari ini, dan masa depan yang bakal dihadapi adalah suatu yang bermakna buat diri kita dan Islam pastinya. Doakan saya kawan-kawan. Doakan kebaikan buat kita semua...

Jazakumullah khairan kathiraa...

Thursday, January 1, 2009

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera buat semua.

Hari ni masuk hari kelima serangan tentera Israel ke atas rakyat palestin yang telah mengakibatkan kematian ratusan sahabat-sahabat kita di sana. Saya terharu melihat kesungguhan ramai daripada kita yang begitu prihatin yang mengganggap isu palestin ini bukanlah sesuatu di luar daripada isu kita tetapi ia adalah isu sejagat yang melibatkan saudara-saudara seagama kita di sana. Pencabulan yang dilakukan oleh tentera Israel pastinya mengundang marah dan geram kita semua dalam keadaan kita masih tidak mampu dan sanggup untuk berbuat apa-apa kecuali berdoa dan mengecam serta berdemo mengutuk apa yang dilakukan oleh Israel itu dan menyeru pihak-pihak yang berkemampuan untuk memainkan peranan mereka dengan sewajarnya berkaitan isu palestin ini

Candlelight vigil di hadapan BBC sebagai protes terhadap serangan Israel terhadap Palestin


Cukup sedih sehingga artikel ini ditulis, pihak kerajaan Mesir masih lagi enggan untuk memberikan bantuan bahkan tidak membenarkan rakyat palestin masuk ke Mesir untuk menyelamatkan diri dan mendapatkan bantuan kemanusiaan.

Saya doakan saudara-saudara kita disana dapat terus bersabar dan berjuang menghadapi segala tentangan ini dengan keyakinan kepada Allah tentang janjinya dan berharap agar negara-negara Islam yang ada dapat melakukan sesuatu bagi membela saudara-saudara kita di sana. Teruskanlah berdoa sahabat-sahabat, pastikan kita turut merasai keperitan dan kesedihan saudara-saudara kita di sana kerana kita dan mereka adalah ibarat satu tubuh yang apabila salah satu anggotanya kesakitan maka seluruh badan pun akan turut merasai dan mengharapkan kesembuhan.

Ya Allah, bantulah sahabat-sahabat kami di palestin, teguhkanlah iman mereka, terimalah kesyahidan mereka, dan tempatkanlah mereka di kalangan hamba-hamba yang istimewa yang menyerahkan jiwa dan raga demi mempertahankan agama dan nyawa mereka ya Allah. Ameen.

PS: Takziah buat keluarga mertua saya yang baru kematian ayahanda tercinta. Moga roh 'ayah' dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang dikasihi. Ameen...

Friday, December 19, 2008

Ujian, sabar dan ikhlas...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Menemui sahabat-sahabat yang sudah sekian lama tidak dikirimi berita, alhamdulillah sudah sebulan lebih saya berada di bumi UK, walau banyak perkara yang ditempuh dan dilalui namun diri sendiri tidak begitu teruja untuk mencoretkan apa-apa serta bercerita.

Cuaca yang tidak menentu, kadang-kadang sejuk dan kadang-kadang berangin membuatkan diri saya sedikit lemah menghadapi situasi begitu. Sebetulnya saya tidak berapa gemar menghadapi musim sejuk kerana cukup mudah untuk ditimpa demam dan cukup lama untuk kembali kebah. Akhirnya pemergian saya dan isteri ke Manchester dua hari lepas untuk menghadiri perjumpaan dengan pegawai MARA dan meraikan Kak Fizatul, senior Zaatil dan juga housematenya yang baru grad menyebabkan saya kembali menghadapi keadaan seperti sebelum-sebelum ini. Bermula dengan rasa pedih di anak tekak (sore throat) saya mulai batuk dan akhirnya sudah tidak bermaya lagi apabila suhu badan meningkat dan melemahkan segala anggota. Saya ditimpa demam lagi. Dan seperti yang dilalui sebelum ini, saya sentiasa mengharapkan apa yang dihadapi ini sebagai kafarah penebus dosa yang saya lakukan sehari-hari.

Seperti kelazimannya saya kurang gemar untuk memakan apa-apa ubatan bagi melawan demam dan batuk yang dihadapi kerana tidak selesa dengan side effect yang bakal diterima, apapun saya tetap menelan dua biji panadol dan ubat batuk kali ini. Itupun mungkin sebab isteri beriya-iya menyuruh saya memakannya. Mudah-mudahan demam kali ini tidaklah terlalu teruk kerana banyak perkara yang telah dirancang sempena cuti 2 minggu yang bakal dilalui isteri bermula besok.

Moga semua yang dirancang diperkenan dan dipermudahkan Allah jua. Doakan ye sahabat-sahabat. Hingga entry seterusnya, sama-samalah muhasabah diri dalam setiap perkara yang kita hadapi...

Wallahu A'lam, Innalillahi wainna ilahi rajiun....

Saya, isteri dan Kak Fizatul selepas majlis

Makan-makan sebelum balik ke preston


" (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Monday, December 8, 2008

Salam Aidil Adha

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Alhamdulillah sekali lagi kita dapat bersama-sama menyambut kedatangan aidiladha dengan penuh rasa muhibbah dan kasih sayang sesama kita. Buat diri saya sendiri alhamdulillah dapat menyambut aidiladha pada kali ini dengan penuh kesederhanaan di bumiUK ini, alhamdulillah bersama isteri. Takpelah. takder ape yang nak dikongsi sangat setakat ini cuma buat adik-adik di Mesir selamat bertungkus lumus merayakan aidiladha dengan sebaiknya dan hayatilah erti pengorbanan yang sebenarnya.

Sekian, jazakumullah khairan kathiraa...

Sunday, November 30, 2008

PERUBATAN 2008/2009

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

"Ingatlah ketika mana TuhanMu berkata kepada Para Malaikat: Sesungguhnya aku telah jadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Para Malaikat menyoal, apakah Engkau Tuhan kami akan jadikan di atas bumi itu suatu makhluk yang sering melakukan kerosakan di atasnya dan saling menumpahkan darah, padahal kami Malaikat ini sentiasa memujiMu dengan pujian dan mensucikanMu. Allah berfirman: sesungguhnya Aku lebih mengetahui menjangkau apa yang tidak kamu ketahui"

(Al Baqarah:30)

"Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.”

(Riwayat Muslim)

Alhamdulillah Mesyuarat Agung PERUBATAN kali keenam dapat dilangsungkan dengan jayanya dan kepimpinan PERUBATAN sesi 2008/2009 telah selamat dilantik. Moga Wafi dan sahabat-sahabat yang lain dapat melaksanakan amanah kepimpinan ini dengan baik dan moga menjadi medan terbaik untuk berkhidmat dan berbakti untuk masyarakat pelajar perubatan di perlembahan nil ini insyaAllah.

Tahniah buat kalian.



Jazakumullah khairan kathiraa...

Saturday, November 29, 2008

Ucapan Takziah

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Hanya mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga YB Dato' Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran yang telah kembali ke rahmatullah dan selamat dikebumikan semalam. Beliau yang juga MP bagi parlimen saya, parlimen Kuala Terengganu, pada hemat saya, adalah seorang yang cukup komited dan dedikasi dalam tugasnya sejak saya pertama kali mengenalinya semasa mengikuti Kem Matematik Tambahan ketika di tingkatan 5 di Maktab Perguruan Batu Rakit. Ketika itu beliau adalah Pengarah Pendidikan Negeri. Saya meminati ucapan-ucapannya yang cukup berisi dan penuh semangat terutama sebelum beliau terjun ke arena politik. Beberapa kali menemui beliau ketika zaman sekolah dan kali terakhir adalah semasa beliau merasmikan program Sihat Sokmo yang dianjurkan oleh Pelajar-pelajar perubatan UK, IJN dan UiTM Kuala Terengganu. Sebelum daripada itu, saya sempat juga berbual-bual dengan beliau ketika beliau bertandang ke majlis pernikahan saya di Kg Gelong Bilal tempoh hari.


Dato' and my father in law.
http://asmawi.blogspot.com


Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-katanya semasa beliau menyuarakan misinya untuk meningkatkan lagi peluang pendidikan dan pelajaran kepada masyarakat luar bandar yang dilihat begitu diabaikan dan jauh ketinggalan daripada pelajar-pelajar di bandar, mungkin inspirasi daripada asal usul beliau daripada mukim Kuala Berang satu kawasan yang agak pendalaman di daerah Kuala Terengganu. Beliau kelihatannya begitu 'passionate' bagi melihat misi tersebut dapat direalisasikan.

Saya bahkan teringat ucapan beliau semasa merasmikan program Jantung Sihat Sokmo ketika itu yang mengatakan bahawa dia sekarang juga sudah tua dan ada penyakit jantung. Mungkin kerana lama tidak bermain badminton sambil mengusik kenalan yang berada dihadapannya yang juga adalah kawannya semasa di maktab dahulu dan selalu bermain badminton ketika di maktab, beliau berkata "Kalu ade mase kita main bedminton smula. boleh?" Siapa sangka akhirnya beliau meninggal dengan mengalami serangan jantung ketika bermain badminton bukan?

Apapun, sepertinya yang telah dijanjikan, ketika ajal menjemput pulang tidak akan terlambat dan tidak akan tercepat. Moga kembalinya beliau ke sisi Allah subhanahuwataala bakal menempatkan beliau di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan sebagai seorang yang telah banyak berjasa kepada agama,bangsa,nusa dan tanah air, InsyaAllah. Takziah sekali lagi buat ahli keluarga beliau.

Lain-lain berita tentang kematian beliau.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Razali Ismail meninggal

Presiden PAS ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Razali Ismail

Tugas terakhir Razali

Rebah ketika bermain badminton

Pemergian satu kerugian besar - PM

Kesederhanaan Razali buat beliau disenangi

Razali Ismail selamat dikebumikan

Ucapan takziah So long, dato'

Razali selamat disemadi



Ziarah juga blog anakanda beliau : Papa.. Berehatlah...

Jazakumullah khairan kathiraa...