Wednesday, March 19, 2008

“Kalau diikutkan agak segan untuk saya berdiri di hadapan antum semua untuk membentangkan kertas kerja yang diminta ini, kerana tidak pernah punya pengalaman sebelum ini. Namun kerana menyedari perlunya untuk saya meruntuhkan tembok yang ada di hadapan saya untuk memungkinkan saya untuk berceramah pada hari ini, saya gagahi juga dan semoga langkah pertama saya ini akan membawa saya kepada langkah-langkah saya yang seterusnya selepas ini.” Ingatan saya kepada satu ucapan pembukaan Idil suatu ketika apabila diminta untuk membentangkan kertas kerja berkenaan I’jazul Ilmi.

Sememangnya memberi ucapan atau ceramah adalah merupakan suatu method dan cara untuk kita menyampaikan dakwah dan pelajaran kepada manusia. Cara untuk kita mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran, sabda Rasulullah yang bermaksud, “Apabila berlaku kemungkaran maka ubahlah ia dengan tanganmu, dan jika kamu tidak mampu maka dengan lisanmu dan jika kamu tidak mampu maka dengan hatimu dan itulah selemah-lemah iman” Dan sebenarnya bukanlah suatu yang mudah untuk seseorang itu tampil ke hadapan, menyampaikan sesuatu ucapan atau pembentangan kecuali bagi mereka yang sememangnya dikurniakan oleh Allah Subhanahuwataala kebolehan semulajadi dapat berucap, menyampaikan ceramah dengan baik. Namun kebolehan berucap ini sebenarnya adalah suatu kebolehan yang boleh digilap dan dilatih dan boleh diperoleh apabila melalui peringkat latihan dan percubaan berulang kali di samping penyampai sendiri mempunyai ilmu berkenaan apa yang ingin disampaikan.

Bukan senang untuk memberikan ucapan


Saya teringat kisah seorang tokoh yang begitu besar sumbangan beliau kepada Islam khususnya dalam bidang penulisan. Seorang ulama kelahiran Mesir yang bernama Syeikh Anwar Jundi. Beliau seorang yang cukup banyak menulis artikel-artikel dan penulisan yang membela Islam dan menyerang tulisan-tulisan yang ditulis oleh orientalis-orientalis yang memberikan gambaran yang tidak sebenar tentang Islam namun dalam masa yang sama beliau bukanlah seorang yang suka bercakap dan berada di khalayak ramai. Beliau lebih suka untuk menyendiri di rumah, bertemankan kitab-kitab, melaksanakan rutin hariannya yang zuhud dan terus menulis dan menulis untuk menyampaikan dakwah kepada orang ramai. Suatu ketika beliau ditanya oleh Dr Yusof Al Qaradhawi berkenaan sikap beliau tersebut, beliau menjawab, “Wahai Qaradhawi, Allah telah mengurniakan engkau dan Ghazali (seorang ulama yang sezaman dengan beliau) lidah yang fasih untuk berbicara dan kebolehan untuk menulis dengan baik, sementara aku dikurniakanNya kebolehan untuk menulis dan tidak mampu untuk berucap di khalayak. Oleh itu, gunakanlah kebolehan mu yang ada dan aku pula menggunakan kebolehan yang ada pada diriku.”

Suatu yang boleh saya simpulkan disini, penting bagi seorang da’ei itu mengetahui kebolehan dan kemahiran yang dikurniakan oleh Allah kepadanya untuk dia menyampaikan risalah dakwah ini dengan sebaiknya. Tidak kisahlah samada dia adalah merupakan seorang yang pandai bercakap, mahir menulis ataupun boleh melukis, semuanya perlu dijuruskan untuk menyampaikan sesuatu yang bermanafaat kepada manusia “sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat” –hadith- apatah lagi keadaan masyarakat pada hari ini yang sangat memerlukan peringatan dan pengajaran.

Namun di situ pastinya ada beberapa panduan dan peringatan buat para da’ei juga dalam menyampaikan sesuatu. Umpamanya wajib menyampaikan sesuatu yang dia sendiri mempunyai ilmu mengenainya, amanah dengan ilmu, tidak membawa kepada kekeliruan dan salah faham, menyampaikan sesuatu sesuai dengan kemampuan aqal yang menerima, dan sebagainya yang pastinya memerlukan para da’ei menyedari dan mengetahuinya dengan baik.

Apapun sekiranya anda merasakan anda bukanlah seorang yang petah berkata-kata atau tidak suka untuk berdiri di hadapan orang untuk menyampaikan apa-apa, jangan sekat diri anda untuk mencuba, dan seperti apa yang saya sebutkan sebelum ini, kebolehan berucap adalah suatu perkara yang boleh dibina dan dilatih untuk satu masa yang tertentu dan bagaimana anda ingin mendapatkannya sekiranya anda sendiri menghalang diri anda untuk memulakannya. Apapun peringatan buat semua, setiap butir percakapan yang kita ucapkan kepada sesiapapun samada di hadapan umum atau sekadar bersembang dengan sahabat-sahabat, semuanya akan disoal oleh Allah. Oleh itu, penting untuk kita menyatakan sesuatu itu dengan ikhlas dan selari dengan apa yang dikehendaki olehNya walaupun kadang-kadang kita sendiri merasa pahit untuk menuturkannya.

Oleh itu, buat akhirnya. Carilah kelebihan diri masing-masing dan carilah kelebihan-kelebihan yang lain yang ada pada diri kita untuk kita gunakan dalam menyampaikan risalah dan ajaran yang ditinggalkan oleh baginda junjungan kita ini untuk kita warisi tugas tersebut dengan sebaiknya. Semoga ia dikira sebagai amal yang soleh yang akan menjadi hujah untuk diri kita mendapat keredhaan daripada Allah di sepanjang perjalanan hidup kita ini insyaAllah. Ameen ya Rabbal Alamin…

1 comment:

Anonymous said...

assalamualaikum, akhi.. saya amat tertarik dgn artikel kali ini.. thanx sbb bg sye smangat untuk lbih berjaya...semoga akhi berjaya.. ingat SHAMS selalu..