Friday, May 8, 2009

Curi Tulang

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Sedikit perkongsian tentang petikan daripada utusanonline bertarikh 27 April 2009 dan 29 April 2009 berkenaan kes dua orang doktor yang ditangkap Timbalan Menteri WP 'curi tulang' dan jawapan daripada Menteri Kesihatan berkenaan hal tersebut. Saya sendiri berasa terkilan dengan kenyataan Timbalan Menteri tersebut yang terlalu cepat menuduh dan mengarahkan semua pegawai kerajaan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan kepada rakyat sedang kebajikan pegawai-pegawai kerajaan tersebut, doktor khususnya masih tidak dapat ditangani dengan baik. Sememangnya ia hanyalah kenyataan politik untuk menunjukkan beliau sebagai seorang yang prihatin kepada rakyat jelata.

Ya betul, sememangnya kita menyeru semua doktor untuk melaksanakan amanah, kerja mereka dengan penuh dedikasi akan tetapi tanggungjawab kerajaan pula untuk memberikan kerehatan secukupnya untuk para doktor dan mencari mekanisme terbaik untuk mengelakkan para doktor terlalu penat setelah 36 jam bekerja tanpa henti semasa on call. Bagi saya, isu pelajar-pelajar luar negara tidak mahu untuk pulang berkhidmat untuk anak bangsa sendiri bukan sahaja kerana gaji atau insentif yang kecil berbanding bekerja di luar negara tetapi juga kerana sistem yang ada di Malaysia yang kurang mesra.

Wallahu a'lam

Timbalan Menteri WP 'tangkap' doktor HKL

KUALA LUMPUR 26 April - Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan (gambar) hari ini 'menangkap' dua doktor di jabatan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Penemuan yang memeranjatkan Saravanan itu berlaku kira-kira 10.30 pagi ini apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau (Saravanan).

"Saya juga menunggu seketika untuk pelajar perempuan itu mendapat rawatan dan setelah menyedari tidak seorang pun pesakit dipanggil masuk oleh doktor, saya terus membuka pintu bilik rawatan. Saya terkejut apabila mendapati seorang doktor sedang membaca surat khabar dan seorang lagi buat hal sendiri dan melakukan kerja peribadi.

"Ada lebih 20 pesakit yang menunggu di luar untuk mendapat rawatan. Ini bukanlah cara seseorang doktor bekerja. Pesakit sepatutnya diutamakan. Lagipun, ini adalah unit kecemasan, yang sepatutnya pantas dalam memberikan rawatan," kata Saravanan kesal.

Saravanan berkata, beliau menegur doktor terbabit kerana kelakuan mereka dan mendesak untuk berjumpa pegawai atasan mereka, yang muncul 30 minit kemudian.

"Selepas itu, pesakit yang menunggu pun segera diberi rawatan. Tak bolehkah doktor itu melayani pesakit dulu? Ini bukan sepatutnya cara perkhidmatan di hospital kerajaan dilaksanakan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam satu daripada lawatan mengejutnya ke pusat bandar semalam berkata, beliau mahu barisan hadapan institusi kerajaan di ibu negara supaya meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Saravanan berkata, sungguhpun beliau 'menangkap' doktor terbabit secara tidak sengaja, mulai sekarang beliau akan kerap melakukan lawatan mengejut ke jabatan di bawah kementeriannya bagi memastikan kakitangan di barisan hadapan melaksanakan tugas mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Ini adalah pembuka mata. Kami, sebagai pemimpin, tidak boleh hanya menabur janji sahaja dan tidak memeriksa sama ada kerja dilaksanakan oleh kakitangan kerajaan di barisan hadapan. Kami mesti turun ke bawah (ke akar umbi) bagi memastikan penyelesaian segera ditemui untuk masalah rakyat.

"Apatah lagi dalam keadaan ini apabila orang sedang sakit dan menanggung penderitaan akibat kesakitan itu. Jika mereka tidak sakit, mereka tidak akan datang ke unit kecemasan. Ini adalah pengajaran untuk semua hospital. Tolong bekerja untuk rakyat jika anda menganggotai perkhidmatan awam," katanya. - BERNAMA


Aduan doktor 'curi tulang' tidak benar - Liow

PUTRAJAYA 29 April — Siasatan terhadap dakwaan kononnya pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) ’curi tulang’ mendapati dakwaan itu tidak benar, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Beliau berkata doktor yang dikatakan ’membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi’ di wad kecemasan itu sebenarnya merupakan Pegawai Perubatan Siswazah dan baru selesai memeriksa pesakit terakhir.

“Semasa menunggu kad rawatan pesakit seterusnya yang belum dihantar ke biliknya, doktor itu sekadar menyelak akhbar yang ditinggalkan seorang pesakit atas sebuah troli dan hanya mengimbas tajuk utama akhbar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dakwaan kononnya ada 20 pesakit yang sedang menunggu di Zon Kritikal juga tidak benar kerana siasatan mendapati hanya lapan pesakit yang sedang menunggu, selebihnya adalah waris kepada pesakit.

“Tiga pesakit sedang menunggu untuk dirawat dan lima lagi pesakit asma sedang mendapatkan rawatan,” kata Liow.

Ahad lepas, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan mendakwa dua doktor di jabatan kecemasan HKL membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Saravanan berkata peristiwa itu berlaku kira-kira 10.30 pagi apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau (Saravanan).

— BERNAMA

Friday, May 1, 2009

Selamat Hari Pekerja...

"Baiklah pendengar-pendengar sekalian... hari ini hari Jumaat ya... hari ini hari Jumaat, 1 Mei, hari pekerja. Hari pekerja buat kita semua di Malaysia... hari pekerja buat semua di seluruh dunia. Selamat hari pekerja diucap untuk semua.... Baik pekebun, baik nelayan... Baik petani, baik pekerja kerajaan, baik pekerja swasta... Selamat Hari Pekerja buat anda... Sesungguhnya walau kecil, walau besar pekerjaan anda.... Pekerjaan anda itu adalah suatu sumbangan untuk kemajuan negara kita Malaysia yang kita cintai ini." bicara seorang dj radio sambil di selang seli dengan sisipan muzik.

Ya hari ini hari pekerja, hari untuk kita semua yang sentiasa bekerja dan bekerja mengerjakan suruhan Allah supaya kita beramal di dunia ini.Sebagaimana Islam mengajar kita bahawa dunia ini adalah tempat untuk kita beramal, bercucuk tanam sementara di akhirat nanti adalah waktu ketika untuk kita menuai menadah hasilnya. Islam juga menyeru kita untuk melaksanakan semua pekerjaan kita dengan penuh kesungguhan dan mendapatkan natijah terbaik dalam apa jua pekerjaan soleh yang kita kerjakan.

"Sesungguhnya Allah menyukai pekerjaan hambaNya yang dilakukan dengan penuh kesungguhan"

Justeru jika kita amati, orang Islamlah sebenarnya lebih terkehadapan, lebih rajin dan lebih bersungguh dalam melakukan pekerjaan mereka kerana di sana selain mendapatkan bahagiannya daripada kemakmuran dunia, ia juga adalah suatu amal yang disukai oleh Allah dan mendapat pahala apabila melakukannya. Sebaliknya apa yang dapat kita lihat, orang-orang bukan Islam walaupun tiadanya ikatan antara mereka dengan hari akhirat serta persoalan dosa dan pahala, namun mereka cukup rajin bekerja, rajin berusaha sehingga mampu untuk memakmurkan dunia ini dengan apa yang mereka kehendaki.

Oleh itu, bersempena hari pekerja yang disambut ini, saya suka mengajak sahabat-sahabat kembali memuhasabah diri bagaimana pekerjaan yang telah kita lakukan selama ini. Baik belajar, menuntut ilmu, baik berdakwah kepada Islam atau apa-apa jua pekerjaan kita bahkan walau di mana jua bidang kerjaya yang kita ceburi masing-masing. Sejauh mana kita telah melaksanakan pekerjaan kita itu dengan sebaiknya, bahkan sejauh mana pula kita telah melakukan pekerjaan kita itu dengan bersungguh-sungguh semata-mata menyahut perintah Allah dan mengharapkan keredhaanNya dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan.

Sama-samalah kita koreksi dan periksa diri kita sendiri, moga-moga segala yang kita lakukan mendapat tempat di sisi Allah dan dikira oleh Allah sebagai amal soleh yang memberatkan neraca kebajikan kita di akhirat kelak.

Selamat hari pekerja buat semua, wassalam...


ps: Gambar-gambar daripada Facebook dan Flickr

Saturday, April 25, 2009

Islam For All...

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Sekadar ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat video di bawah. Sering kali kita mengatakan Islam itu untuk semua, Islam itu rahmat buat seluruh alam. Islam bukan milik para ulama semata, Islam bukan kepunyaan Ustaz-ustaz, ustazah-ustazah atau mereka yang belajar agama semata-mata. Tetapi setiap manusia yang diberikan nyawa oleh Allah Taala, diberikan keizinan oleh Allah Taala menyedut nafas, berfikir dan mentafsir, Islam adalah hak milik mereka semua. Setiap detik kehidupan mereka perlulah dengan Islam. Setiap amal perbuatan, patah bicara dan tingkah laku adalah mesti berpandukan apa yang diajarkan Islam.

Justeru walau siapa pun kita, ustaz ke, doktor ke, guru ke, askar ke, polis ke, penyanyi mahupun pelakon, sampaikanlah Islam walau di mana sahaja.

"Sampaikanlah daripadaku walaupun sepotong ayat"

Hari Pembebasan Sinai...

Hari ini kami semesir bercuti sempena Tarikh Memperingati Pembebasan Semenanjung Sinai. Peluang yang tidak dilepaskan Idil untuk membersihkan dapur kami yang sudah sekian lama tidak menerima sentuhan pembersihan daripada Idil


Eii kesan degil...

Gonyoh Idil gonyoh

Ha boleh tahan dah ni, sikit lagi je ni.

Walhasil...


Wah berkilat kan?

Dapur ni pun tidak terlepas daripada sentuhan kilatan dari Idil

Kemas tak?

Saya pula...
Lebih berminat untuk memasak...

Siap pun...

Akhirnya sedikit pesanan dari dapur Istana Presiden


Salam Imtihan buat semua, wassalam.

Si Penarik Beca...



Pernah tonton filem ‘Penarik Beca’ arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee? Suatu kisah yang menceritakan perihal percintaan seorang anak muda yang miskin dengan seorang gadis daripada golongan berada yang akhirnya mendapat bantahan daripada keluarga si gadis. Keadaan anak muda yang miskin itu digambarkan dengan cukup dhaif, miskin lagi fakir sehingga dilihat tidak melayakkannya mengahwini si gadis yang datang daripada keluarga bangsawan itu.

Saya seronok menonton filem-filem karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee dari dahulu hingga sekarang dan saya rasa ramai masyarakat di Malaysia turut bersetuju serta meminati Allahyarham sebagai seniman agung dan penghibur nombor satu negara. Filemnya walau di ulangtayang beberapa kali, namun tetap memberikan kesan dan menghiburkan setiap kali menontonnya. Apatah lagi setiap filemnya mempunyai mesej tertentu dan banyak menyindir tentang kehidupan serta feil masyarakat secara umum dan memberikan pengajaran tersendiri.

Cerita ‘Penarik Beca’ tadi walaupun memfokuskan kepada percintaan antara Azizah, anak kepada seorang yang kaya dan Hassan si penarik beca dan bagaimana cabaran dan dugaan yang mereka hadapi sehingga Hassan sendiri berdoa di dalam lagunya kepada Azizah supaya Tuhan mencabut nyawanya kerana tidak dapat bersama orang yang dikasihinya hanya kerana dirinya yang miskin dan papa kedana.

Ini yang saya ingin fokuskan dalam tulisan saya kali ini. Masalah kemiskinan dan kefakiran adalah suatu yang cukup penting dan wajib diatasi sehingga Rasulullah sendiri pernah bersabda, “Hampir-hampir kemiskinan mebawa kepada kekufuran.”

Walaupun ada yang berpendapat kemiskinan itu adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah kepada sesetengah hambaNya, justeru hanya kesabaran dan keredhaan dituntut daripada mereka yang miskin tadi dalam menjalani kehidupan sehari-hari, Dr Yusuf Al Qaradhawi pernah membawa satu perbincangan yang menarik tentang perkara ini apabila beliau menulis buku “Masalah kemiskinan dan bagaimana penyelesaiannya oleh Islam”.

Pandangan-pandangan berkenaan kemiskinan

Dalam buku tersebut, Dr Yusuf Al Qaradhawi telah mengemukakan beberapa pandangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai golongan yang memandang kemiskinan itu dengan pandangan yang pelbagai.

Di sana adanya pandangan yang melihat kemiskinan itu adalah suatu yang mulia yang menjauhkan seseorang daripada penyakit orang-orang yang kaya seperti kedekut, bakhil, dan sebagainya. Di sana juga ada pendapat daripada golongan-golongan yang melihat kemiskinan itu sebagai suatu bala daripada Allah kepada orang-orang tertentu dan tidak perlu dibantu atau diberikan pertolongan. Ada juga di sana yang melihat kemiskinan itu adalah suatu musibah yang perlu diubah dengan pertolongan daripada orang-orang yang kaya. Namun bantuan tersebut adalah berdasarkan ihsan daripada si kaya tanpa perlu ditetapkan sekadar mana bantuan perlu dihulurkan.

Golongan kapitalis dan sosialis pula mempunyai pandangan tersendiri. Kapitalis melihat kemiskinan hanyalah masalah mereka yang miskin dan bukanlah masalah bagi mereka yang kaya. Orang-orang miskin perlu memikirkan sendiri jalan dan cara untuk hidup dan berdikari tanpa mengharapkan apa-apa bantuan daripada yang kaya sementara yang kaya dapat meneruskan kehidupan mereka yang mewah tanpa mempedulikan mereka yang miskin dan papa. Berlainan pula pandangan sosialis yang milihat kemiskinan hanya dapat diubati dengan memberikan hukuman kepada si kaya. Semua harta si kaya adalah milik semua orang dan semua orang mempunyai hak terhadap setiap harta si kaya.

Bagaimana pula pandangan Islam?

Begitulah pandangan sebahagian ideologi-ideologi yang ada di dunia ini secara umumnya. Namun begitu, Islam secara jelas menolak segala pandangan dan ideologi tersebut dengan meletakkan pandangan bahawa kemiskinan adalah suatu perkara yang perlu diubati di dalam masyarakat.

Dalam bukunya juga, Dr Yusuf Qaradhawi menerangkan tentang bahaya-bahaya kemiskinan. Antaranya, kemiskinan boleh mengancam akidah seseorang sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah “Hampir-hampir kefakiran itu boleh membawa kepada kekufuran” (Riwayat Baihaqi dalam kitab As Sya’bi). Dan jika merujuk kepada cerita ‘Penarik Beca’ tadi kita dapat melihat bagaimana kemiskinan membawa kepada rasa putus asa dan kecewa. Kemiskinan juga boleh membawa kepada pembentukan peribadi yang rosak dan akhlak yang buruk serta mengundang sifat-sifat yang keji seperti hasad, dengki, tamak haloba dan memungkinkan seseorang untuk mencuri bagi mencari wang.

Begitu juga kemiskinan adalah suatu yang berbahaya kepada keluarga dan masyarakat dan memerlukan tindakan dan penyelesaian bukan sahaja daripada si miskin atau si kaya malah perlu melibatkan semua, termasuk kerajaan, masyarakat, kaum keluarga, institusi dan lain-lain sesuai dengan apa yang telah ditetapkan oleh Islam selaku agama yang syumul dan satu-satunya agama yang diiktiraf Allah di sisinya.

Apa yang disarankan oleh Islam?

Ada enam perkara yang disarankan Islam untuk menyelesaikan masalah kemiskinan.

Pertama : Pekerjaan

Islam mewajibkan semua umatnya untuk bekerja mencari nafkah dengan segala kudrat, kebolehan serta kemahiran yang ada dengan jalan yang baik dan halal. Seseorang itu dituntut untuk bekerja walau sekecil mana pun kerja yang dilakukan dan sesenang atau sesukar mana pun suatu kerja itu yang boleh membawa kepada rezeki yang halal daripada Allah.

Seseorang itu dituntut untuk menuntut ilmu, mencari kemahiran, merantau jika perlu bagi melengkapkan diri dengan kebolehan-kebolehan tertentu untuk membolehkan dirinya mendapatkan perkerjaan dan berkhidmat kepada masyarakat yang seterusnya mendatangkan kepadanya rezeki yang telah diperuntukkan oleh Allah. Seseorang yang tidak miskin dan tidak bekerja tidak harus untuk mendapatkan zakat kerana dia sebenarnya mampu untuk berusaha dan mencari nafkah sendiri. Begitulah Islam melihat betapa pentingnya seseorang itu bekerja bagi menjauhkan dirinya daripada kemiskinan.

Kedua: Tanggungan daripada saudara yang kaya

Islam juga melihat faktor keluarga adalah suatu yang penting dalam memastikan kemiskinan dapat diatasi dalam masyarakat. Kadangkala kita melihat dalam sebuah keluarga yang besar, ada antara adik beradiknya yang kaya kerana mendapat pendidikan dan pelajaran yang tinggi sementara ada pula adik beradiknya yang lain yang kurang berada kerana tidak berpeluang mendapatkan pendidikan yang serupa, sedang ada pula saudaranya yang lain pula yang miskin mungkin kerana tidak mampu untuk mengurus hidup sendiri. Keindahan Islam menyeru kepada umatnya untuk mengutamakan keluarga dalam apa jua bentuk kebajikan yang ingin diberikan.

Di dalam Al Quran Allah secara jelas menerangkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapa dan ahli keluarga melebihi manusia keseluruhannya. Di sinilah kewajipan terhadap saudara-saudara yang kaya untuk mencukupkan keperluan saudara-saudara atau adik beradiknya yang miskin dan yang memerlukan. Tiada gunanya silaturrahim jika seseorang itu tidak memberikan nafkah kepada saudaranya yang memerlukan.

Di sini, ulama meletakkan kewajipan kepada seseorang yang berada atau berkemampuan untuk mencukupkan keperluan asas kerabatnya yang fakir dan miskin berdasarkan dua syarat; pertama sekadar mencukupkan keperluan asas saudaranya dan bukanlah untuk mengayakan saudaranya atau jika saudaranya itu seorang yang malas bekerja maka seseorang itu tidak wajib untuk memberikan nafkah tersebut. Kedua, terlebih dahulu perlu mencukupkan keperluan keluarganya iaitu anak dan isterinya dan sekiranya keluarganya sendiri tidak terpenuhi keperluannya maka tidak harus untuknya memberikan nafkah kepada saudaranya.

Begitulah indahnya Islam apabila meletakkan kewajipan kepada umatnya membantu dan memberikan nafkah kepada ahli keluarganya yang memerlukan sebagai suatu hak Allah yang wajib ditunaikan dan bukanlah sebagai galakan semata. Namun apa menyedihkan, ramai di kalangan masyarakat Islam hari ini yang mengabaikan kewajipan ini dan tidak mempedulikan nasib adik beradiknya yang miskin atau ahli keluarganya yang tidak berkemampuan sebaliknya hanya memikirkan keluarga dan kesenangan sendiri.

Ketiga: Zakat

Zakat adalah suatu bentuk sistem yang dilihat mampu untuk mengatasi masalah kemiskinan secara menyeluruh. Tidak dapat dinafikan, ia adalah suatu sistem yang unik yang disediakan oleh Allah sebagai saluran kepada orang-orang yang berada dan berkemampuan untuk mengagihkan sebahagian daripada harta mereka, di mana daripada banyaknya harta yang mereka miliki itu, sebahagiaannya adalah hak mereka yang telah ditetapkan oleh Islam berdasarkan asnafnya yang tertentu.

Secara umumnya, Islam menyuruh umatnya untuk mencari harta dan nafkah bagi keperluan dirinya sendiri, keluarganya dan sebahagian yang lain pula untuk diinfaqkan di jalan Allah. Justeru, zakat adalah suatu sistem yang menjurus kepada maksud itu yang mana tujuan utamanya adalah untuk mengayakan fakir miskin (dalam erti kata lain mencukupkan keperluan fakir miskin supaya mereka tidak perlu lagi meminta selepas daripada itu atau sudah tidak perlu lagi mendapatkan zakat). Di sana ada beberapa bentuk dan pembahagian zakat yang diwajibkan kepada orang Islam untuk menunaikannya iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Ia adalah suatu kefardhuan daripada Allah kepada semua orang Islam untuk menunaikannya. Sementara di sana terdapat pelbagai pandangan ulama dalam membahagikan dan menguruskan harta zakat tersebut dengan mengagihkannya kepada fakir, miskin, pelajar-pelajar, malah kepada mereka yang mahu berkahwin juga boleh diberikan harta daripada peruntukan zakat bagi mengelakkan mereka daripada melakukan penzinaan.

Sesungguhnya sekiranya pengurusan zakat ini, jika dapat diuruskan dengan baik dan adil serta pada jalan yang sebetulnya, ia adalah merupakan cara yang ampuh untuk mengubati penyakit kemiskinan dalam masyarakat, namun di sana kita melihat kurangnya kesedaran masyarakat serta keprihatinan mereka terhadap kewajipan ini .

Keempat: Baitul Mal

Kelima : Penunaian hak selain zakat seperti terhadap jiran, korban pada hari raya korban, pembayaran mereka yang melanggar sumpah, pembayaran kafarah zihar, pembayaran kafarah jimak pada siang bulan Ramadhan, fidyah mereka yang dapat berpuasa, dan lain-lain.

Keenam: Sedekah dan ihsan daripada orang-orang yang kaya secara sukarela.

Akhirnya, jika kita perhatikan dengan teliti Islam sememangnya melihat kemiskinan sebagai suatu masalah yang perlu diatasi oleh umatnya dan telah menyediakan jalan serta kaedah terbaik untuk mengatasinya. Tunggu kita sahaja untuk melaksanakan dengan sebaiknya. Mungkin sekiranya kita berjaya untuk melaksanakan apa yang dianjurkan oleh Islam ini dengan baik, umat Islam hari ini akan dapat merasai kesenangan yang dirasai oleh umat Islam ketika pemerintahan Umar bin Abdul Aziz di mana tiada seorang dari kalangan rakyatnya yang fakir serta miskin dan orang seperti Hassan dalam filem ‘Penarik Beca’ tadi mungkin dapat dibela dengan sebaiknya bahkan kedudukan dan taraf hidup orang bukan Islam dalam negara Islam juga turut dapat dibela sesuai dengan konsep keadilan Islam.

Wallahu A’lam

PS: Artikel ini ditulis berdasarkan Buku Musykilah Faqr wa kaifa 'Alajaha Islam karangan Dr Yusuf Al Qaradhawi dan diolah berdasarkan perbincangan bersama Ustaz Fauwaz Fadzil dan kefahaman saya sendiri. Sebarang pembetulan atau komen adalah dialu-alukan.

Thursday, April 23, 2009

Iwan ooo iwan ....

"Ayah, Kak Dah balik bila ayah?" Tanya adik bongsu saya Iwan, dari tempat duduk belakang ketika perjalanan pulang ke rumah suatu petang.

"Bulan 8 Kak Dah balik lah" balas ayah saya.

"Bulan 8 tu bila?" tanyanya lagi.

"Sekarang bulan 4, lagi empat bulan, bulan lapan lah" balas ayah saya, tidak jemu menjawab soalan anaknya.

"Empat bulan lambat lagi lah..." Kata Iwan lalu menangis.

Itulah yang diceritakan ayah ketika saya menelefon ke rumah 3 hari yang lalu, entah kenapa Iwan begitu rindu kepada Kak Dahnya yang sudah 8 bulan tidak ditemuinya. Bila ditanya lagi rindukan Abang Kadir ke tak, tak pula dirinduinya. Iwan...iwan... Apapun saya tidak nafikan keakraban Iwan dan Kak Dahnya.Kak Dahlah yang selalu melayan dan menjaganya semasa Kak Dah belum menjejakkan kaki ke Mesir ni. Kak Dahlah yang membelanya kalau diusik oleh abang-abang atau kakak-kakak yang lain, Kak Dahlah juga yang selalu menyuapkan makan, memberi minum dan membasuh berak kencingnya sedari kecil. Jadi tak mustahillah untuk Iwan terlalu rindu kepada kakak sulungnya itu.

Entah kenapa, mendengarkan hal itu, saya sendiri turut rindu untuk pulang ke Malaysia, rancangan awal untuk pulang pada bulan 8 atau 9 terpaksa dibatalkan kerana cuti saya dan isteri yang frequency resonance tidak sama. Justeru saya hanya akan pulang ke Malaysia setelah tamat peperiksaan akhir pada bulan 3 tahun hadapan. Setahun lagi lamanya. Mudah-mudahan rasa rindu tersebut tidak mematahkan semangat saya mengejar kecemerlangan pada tahun ini dan seterusnya menyediakan diri untuk bergelar doktor tidak lama lagi. Teringat kata-kata Abang Min baru-baru ni bercerita tentang Zuhdi, Abai dan Salman yang asyik diprovokasi "awak takyah jadi doktor la, awak jadi mender lain la" setiap kali tersilap melakukan apa-apa.

Baiklah, memandangkan hari ini sudah pun hari Khamis, dan saya sendiri bakal berweekend selama 2 hari pada minggu ini, (sabtu ini hari peringatan pembebasan sinai) mungkin ada beberapa perkara yang boleh difikirkan untuk mengisinya. Sampai sini dulu. Salam sayang buat Iwan dan semua di Malaysia. Wassalam.

Wednesday, April 22, 2009

Assalamualaykum dan salam sejahtera

Minggu ini sudah masuk minggu kelima Round General Surgery dilalui, tidak sampai sebulan lagi saya akan kembali menduduki peperiksaan untuk round ini. Saya seronok mengikuti perbincangan kes-kes di round lebih-lebih lagi kalau ketua wehdah saya yang mengajar, Dr Abdul Rahman Al Maghaghi. Walaupun dia seorang yang agak cengil dan selalu sound pelajar-pelajar tanpa mengira siapa, tapi gaya beliau mengajar memang menunjukkan beliau begitu mengambil berat pelajar-pelajarnya dan cuba memberikan yang terbaik kepada pelajar-pelajarnya untuk menjadi doktor yang baik dan bukan sekadar lulus periksa. Tambah lagi, dia cukup concern dengan saya, satu-satunya pelajar Malaysia yang ada dalam wehdahnya itu. Minggu lepas saya tak hadir pun dia tanya "where is the malaysian?" haru betul...

Apapun insyaAllah bermula bulan 5 nanti atas usaha beliau berbincang dengan Dr Tohir Farid, kedatangan untuk lecture akan diambil dan sesiapa yang tidak mencapai tahap kedatangan tertentu tidak akan dibenarkan menduduki peperiksaan. Katanya, kedatangan ke kuliah adalah wajib bagi pelajar-pelajar perubatan di mana-mana pun dan itu jugalah yang perlu berlaku di Mesir. Suatu langkah yang baik saya kira, memandangkan daripada sejumlah 1501 pelajar tahun enam, tidak sampai 10% yang hadir ke muhadharah setiap hari. So lepas-lepas ni rajin-rajinlah datang ke muhadharah ya.

Sebetulnya sekarang adalah fatrah imtihan bagi kebanyakan tahun samada pelajar perubatan atau pelajar agama di Mesir ini, justeru diharapkan semua pun dapat melakukan yang terbaik dalam imtihan kali ini, untuk diri sendiri, keluarga, dan yang lebih penting keranaNya sebab niat kita yang pertama untuk menuntut ilmu dalam apa-apa bidang pun adalah keranaNya. So insyaAllah kalau betul niat dan cukup usaha, kejayaan pasti bersama. So buatlah yang terbaik ya, mungkin artikel-artikel lepas seperti ini dan ini dapat kembali dibaca untuk menambahkan semangat kita menempuhi imtihan mendatang.

Baiklah sekadar mencoret sesuatu dengan agak santai untuk mengembalikan semula mood menulis, InsyaAllah diberikan keizinan olehnya kita akan bersua lagi.

Jazakumullah khairan kathiraa wassalam...

Sunday, March 15, 2009

Pengalaman, sekolah hidup.

Experience yang membezakan seseorang dengan seorang yang lain” begitulah antara lain apa yang diucapkan oleh pemandu bas hijau yang membawa kami berenam, saya, akmal, dzul, izwan, iqbal dan Israq menuju ke rumah Ustaz Hairul semalam. Dengan mengenakan blazer hitam, berjanggut putih dan cuba-cuba untuk speaking dengan kami, kata-kata pakcik tadi banyak betulnya.

Kerap kali kita mendengar kalam orang tua-tua yang mengatakan, keberadaan kita di dunia ini adalah sekolah kehidupan, semakin lama kita hidup, berbagai perkara yang kita hadapi dan berbagai ujian yang kita tempuhi. Setiap hari pasti kita akan berhadapan dengan pelbagai perkara yang mengundang ukita melakukan keputusan yang bijak, tindakan yang tepat. Sebab itulah juga apabila kita berbicara tentang suatu perkara dalam sejarah kita akan kerapkali mencari sebab-musabab satu peristiwa itu berlaku dan apakah akibat daripada tindakan yang dilakukan. Ada kalanya suatu keputusan yang dibuat membawa kepada kebaikan dan kebahagiaan dan adakalanya tindakan yang dilakukan itu membawa kepada derita dan penyesalan yang panjang. Tetapi begitulah Tuhan mengajar manusia tentang kehidupan. Sememangnya apa yang berlaku adalah takdir yang ditentukanNya sebagai pencipta dan pemilik manusia, namun di sana perlunya kita sentiasa meneliti dan mengoreksi di mana silap kita di mana salah kita untuk kita perbaiki untuk kita islahkan mana yang perlu. “Semua anak adam itu berdosa dan yang paling baik adalah yang bertaubat setelah melakukan dosa tersebut”

Dari situ pula sebagai seorang Islam, kita diajar untuk menerima segala yang ditakdirkan itu dengan penuh redha dan insaf bahawa kita hanya merancang dan Allah jua menentukan yang terbaik. Sebagaimana sifatnya seorang mukmin susah dan senang adalah baik buat dirinya. Jika dia mendapat kesenangan dia akan bersyukur dan itu baik buat dirinya dan jika dia ditimpa musibah dan ujian, dia bersabar dan itu adalah baik buat dirinya.

Justeru selalulah berfikir hikmah di sebalik sesuatu kejadian, selalulah mengoreksi segala kesilapan kita namun jangan sesekali menyalahkan Dia atau terus-terusan memperlekehkan mereka atas kesilapan yang mereka lakukan, mungkin apa yang berlaku adalah suatu bentuk tarbiyyah dariNya untuk kita manusia, hamba yang Dia kasihi.

Perjalanan masih jauh, penuh onak dan duri namun tidak hanya menjanjikan kepedihan dan kepayahan, mungkin sinar bahagia sedang menanti di akhir mengembaraan.

Jazakumullah khairan kathiraa...



makan...makan...



Sedang tunggu ustaz bawak makanan lagi untuk kami :D

Sunday, February 22, 2009

Muhasabah Cintaku....

Wahai pemilik nyawaku
Betapa lemah diriku ini
Berat ujian dari Mu
Kupasrahkan semua pada Mu

Tuhan baru kusadar
Indah nikmat sehat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini ku harapkan cinta Mu

Reff
Kata kata cinta terucap indah
Mengalir berdzikir di kidung do’a ku
Sakit yang kurasa biar
Jadi penawar dosaku

*
Butir butir cinta air mataku
Terlihat semua yang Kau beri untukku
Ampuni khilaf dan salah selama ini
Ya Illahi Muhasabat cintaku

Tuhan kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
Pertemukan aku dengan Mu

Back to Reff

Back to *

Repeat Reff 2x


Koleksi Edcoustic yang lain.
Download mp3 & lirik lagu Edcoustic Muhasabah Cinta
Free Download MP3

Thursday, February 19, 2009

Hikmat '09

Assalamualaykum dan salam sejahtera...

Saje nak promote program Hari Keluarga Keluarga Penuntut Terengganu bermula 19 Februari hingga 21 Februari ini.

So anak-anak ganu terutamanya pelajar perubatan sama-samalah meriahkan ya. Saya sendiri insyaAllah diminta untuk memberikan sedikit pengisian untuk tazkirah maghrib malam ini. Tak tahulah apa yang nak ditazkirahkan nanti. Doakanlah ya. Untuk tentatif boleh rujuk di sini.

Key wassalam,

Jazakumullah khairan kathiraa...

Wednesday, February 11, 2009

Rakyat Malaysia tidak perlu visa ke Britain

Rakyat Malaysia tidak perlu visa ke Britain

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA @ Utusan Online

KUALA LUMPUR 10 Feb. – Kerajaan United Kingdom (UK) memutuskan untuk tidak mengenakan keperluan visa kepada pemegang pasport Malaysia, menurut Kementerian Luar dalam kenyataannya hari ini.

Sehubungan itu, menurut kenyataan tersebut, Malaysia akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Imigresen dengan UK tidak lama lagi bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang berkenaan.

“Malaysia mengalu-alukan keputusan kerajaan UK itu dan amat gembira atas kerjasama serta bantuan yang diberikan pihak berkuasa UK dalam perkara ini,’’ menurut kenyataan itu.

Kerajaan UK sebelum ini merancang menguatkuasakan syarat visa ke atas rakyat Malaysia yang akan memasuki negara itu dan memberikan tempoh enam bulan dari Disember tahun lalu untuk menyelesaikan masalah rakyat Malaysia yang tinggal melebihi tempoh.

Kementerian Luar bagaimanapun meminta kerajaan UK menangguhkan syarat itu bagi menyelesaikan masalah tersebut. Satu laporan menyebut lebih 30,000 rakyat Malaysia tinggal melebihi tempoh di negara itu.

Kenyataan itu menambah, melalui MoU tersebut, Malaysia akan memastikan tahap keselamatan yang tinggi di semua lapangan terbang antarabangsa bagi menghalang negara ini menjadi pusat transit pendatang tanpa izin yang ingin memasuki UK.

“Malaysia akan menggunakan pengalamannya dalam perkara ini untuk menghadapi cabaran-cabaran baru isu migrasi pada masa hadapan,” jelas kementerian itu.

Kenyataan itu menyebut, pihak berkuasa Malaysia juga akan terus mengenakan hukuman kepada mereka yang tinggal melebihi tempoh dibenarkan dan bekerja secara haram di UK.

“Usaha juga akan terus dilakukan bagi meningkatkan kempen kesedaran rakyat negara ini supaya tidak melanggar peraturan imigresen UK,” tambah kenyataan itu.

PS: Teringat kenangan pahit sukarnya melepasi check in di Cairo airport untuk berlepas ke UK, walau kita katakan rakyat Malaysia tidak perlukan visa ke UK, mereka tetap mencipta masalah itu dan ini.

Tuesday, February 10, 2009

Kelahiran dan kematian...

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera buat semua.

InsyaAllah program Seminar PERUBATAN kali ke-2 akan diadakan seperti berikut:



Emm katanya DMAK tidak boleh digunakan dan terpaksa ke tempat lain, apapun doakanlah kelancaran program dan semoga banyak manfaat diperoleh daripada program ini. Saya sendiri insyaAllah jika diizinkan akan turut membentangkan kertas kerja Pemindahan organ pada perspektif perubatan pada hari Khamis, 12 Februari pada jam 10:15 pagi hingga 12:00 tengah hari. Semoga semuanya dipermudahkan, insyaAllah....

Wassalam wa jazakumullah khairan kathiraa....

Monday, February 9, 2009

"Tugas kita sebagai doktor adalah untuk mengubati pesakit dan menolong pesakit mencapai kualiti hidup yang lebih baik menurut kehendak mereka sendiri" Ujar Dr Mohamed Yahya, ketua Wehda round O n G saya.

Dengan kata lain, seorang doktor itu sebenarnya berperanan dalam masyarakat untuk membawa mereka ke arah cara hidup yang sihat dan mendapatkan tahap kesihatan yang baik namun masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh pesakit mereka tanpa membuat keputusan sendiri membelakangi pesakit. Itulah yang tercatat dalam etika dan moral seorang doktor perubatan.

Tahap perkhidmatan kesihatan mungkin berbeza antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain. Walaupun perubatan itu bersifat universal dan sejagat, namun terdapat perbezaan yang cukup ketara pada sudut tahap kesedaran dan amalan kesihatan di sebuah negara yang maju seperti US ataupun UK berbanding negara membangun seperti Mesir mahupun Malaysia.

Di US atau di UK, terdapat pelbagai akta dan peraturan telah diperkenalkan dan diguna pakai bagi memastikan hak pesakit-pesakit untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik terjamin . Apa yang pernah disebut oleh pensyarah O n G saya sendiri, Dr Mohammed Faris, "Di negara-negara maju, jika seorang doktor tidak melakukan ujian biochemical dan ujian chromosome ke atas ibu yang sedang mengandung dan tidak dapat menceritakan keadaan bayi yang dikandungnya samada mempunyai kecacatan genetik ataupun tidak pada peringkat awal, iaitu sebelum bayi tersebut dilahirkan, doktor tersebut boleh disaman, tapi ini tidak berlaku di Mesir"

Kenapa? Kerana tiada peraturan dan akta yang membincangkannya di sini dan tiada kesedaran masyarakat dalam menjaga dan memperjuangkan hak mereka.

Begitu juga dengan kes kecuaian doktor dalam mengubati pesakit dan pelbagai lagi bentuk malpractice yang dilakukan doktor yang dimaafkan dan disenyapkan oleh pesakit dengan mengganggapnya sebagai suatu lumrah kehidupan dan ketentuan qada' dan qadar Allah Taala.

Saya melihat perkara ini sebagai suatu yang cukup tidak beretika bagi pengamal-pengamal perubatan di Malaysia. Ramai antaranya yang bersikap take for granted dengan kenaifan pesakit-pesakit itu tentang hak-hak mereka ini dengan bersikap sambil lewa merawat pesakit walaupun profesyen mereka sebenarnya melibatkan nyawa manusia, hidup dan mati seseorang. Teruknya pekerjaan sebagai seorang doktor yang terpaksa berkorban masa dan tenaga, mengerah otak untuk merawat seorang pesakit pastinya bukanlah suatu alasan yang bijak untuk kita mengetepikan peranan mulia seorang doktor untuk menyelamatkan nyawa dan jiwa seorang pesakit.

Di dalam terminologi undang-undang terdapat istilah yang disebut, 'act of omission' iaitu satu tindakan betul yang sepatutnya dilakukan oleh seorang doktor untuk menyelamatkan pesakit namun dia tidak melakukannya, maka dia dianggap besalah dan telah melakukan kesalahan. Satu istilah yang lain adalah yang disebut 'act of comission' iaitu suatu tindakan salah yang dilakukan doktor yang menyebabkan kecacatan atau kematian pesakit yang turut dikira sebagai kecuaian dan jenayah.

Kes-kes yang berlaku seperti kesilapan doktor memberikan suntikan kepada bayi menyebabkan kecederaan dan kematian sel pada tangan bayi sehingga perlu dipotong seperti dalam kes adik Lai Yoke Chan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah pada Julai 2007. Kes seorang wanita yang dijangkiti kuman HIV melalui pemindahan darah akibat kecuaian pihak hospital mengesan kehadiran virus tersebut pada darah yang digunakan. Kes seorang perempuan yang telah hadir ke hospital mengadu berkenaan sesak nafas namun diberitakan menghadapi ectopic pregnancy sehingga perlu dibedah segera dan setelah dibedah didapati kesilapan berlaku apabila sampel air kencing pesakit sebenarnya tertukar dengan pesakit lain yang mempunyai nama yang sama sedangkan dalam masa yang sama, sebelum dari pembedahan, keluarga pesakit telah memaklumkan kepada pihak hospital bahawa pesakit belum lagi berkahwin.

Begitulah siri-siri kecuaian dan kesilapan pengamal perubatan yang kadang-kadang mengundang gerun kepada para pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital. Bayangkan hospital yang sepatutnya merupakan rumah untuk mereka yang menderita mendapatkan kesembuhan dan ketenangan ironinya bertukar sebagai detik bermula kisah tragis dan malang buat diri sendiri sepanjang hidupnya.

Namun begitu, di negara-negara maju seperti US atau UK, atas dasar kesedaran dan peruntukan undang-undang yang diberikan, kadar saman terhadap malpractice doktor dan hospital adalah cukup tinggi walaupun kesilapan yang dilakukan mungkin tidak disengajakan atau tidak dapat dielakkan. Perkara ini kadang-kadang memberikan rasa gerun kepada doktor-doktor ini dan kadang-kadang menimbulkan rasa terkilan sekiranya usaha murni ingin menyelamatkan pesakit disalah anggap hanya kerana sedikit kesilapan yang dilakukan. Apapun kebanyakan doktor-doktor ini dilindungi oleh insurans-insurans tertentu bagi menghadapi kes-kes saman sebegini.

Apapun, menjadi tanggungjawab kepada pengamal-pengamal perubatan terutamanya pelajar-pelajar perubatan untuk memastikan diri sendiri bersedia dan mampu untuk memberikan khidmat kesihatan yang terbaik kepada pesakit dengan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya dimiliki. Ingatlah, walau di mana dan apa keadaan sekalipun, pastikan kita adalah doktor muslim/muslimah terbaik yang meletakkan taqwa dan keimanan kepada Allah sebagai teras pekerjaan kita menyelamatkan jiwa insan yang memerlukan...

Wallahu a'lam wa jazakumullah Wassalam...