Assalamualaikum warahmatullah...
Menemui sahabat-sahabat di laman maya ini :) Moga semuanya pun sihat dan ceria dalam rahmat dan kasih sayangNya setiap waktu dan ketika.
Sudah lama tidak mengupdate dan dalam sedar tak sedar kita sudahpun melangkah ke tahan baru masihi dan hijri untuk beberapa hari yang berlalu namun blog ini tetap sepi daripada apa-apa perutusan bersempenanya :) Bukan sibuk atau apa, cuma memang tidak berkesempatan untuk menaip apa-apa. Tiada mood barangkali.
Apapun, ramai antara kita yang mengatakan dan mungkin berpendapat "Apa ada pada tahun baru? Semuanya pun sama sahaja, setiap hari pun kita akan melalui masa yang berlalu, setiap masa pun kita semakin tua dan setiap detik kita sentiasa menerima pelbagai perubahan pada diri dan persekitaran tanpa perlu adanya suatu yang dinamakan tahun baru". Namun, kekadangnya fitrah manusia, memerlukan suatu masa yang tertentu dan sesuai untuk kembali memuhasabah diri, menilai sejauh mana prestasi dan kejayaan yang telah dihadapi dan kembali merancang untuk mencapai apa yang masih diinginkan dalam perjalanan hidup yang singkat ini, justeru tahun baru ini jugalah yang mungkin menjadi medan sesuai untuk masing-masing kembali mengoreksi diri, melihat apa kesilapan yang telah kita lakukan pada masa yang lalu, dan apa yang ingin kita islahkan kepada diri, masyarakat dan environment sekeliling kita untuk masa-masa yang mendatang. Begitulah yang sentiasa diajar oleh deen ini untuk umatnya sentiasa berubah dari yang buruk kepada yang baik, yang baik kepada yang lebih baik dan sememangnya kita deserve untuk mencapai kedudukan dan kecemerlangan yang tinggi dalam kehidupan kita di dunia ini sebelum meneruskannya di akhirat kelak kerana Islam itu tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Untuk itu, rasanya petikan-petikan dari Kalamullah ini mampu untuk memberikan kita pengertian tersendiri...
Dan bersegeralah kamu kepada ampunan Tuhanmu dan syurga yang keluasannya seluas langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.
Iaitu orang-orang yang menafkahkan hartanya samada di masa lapang ataupun sempit, yang menahan marahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain dan Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.
Dan orang-orang yang apabila mereka melakukan perbuatan yang keji atau menganiayai diri sendiri mereka ingat akan Allah dan memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang boleh mengampuni dosa selain daripada Allah?Dan mereka tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu sedang mereka mengetahui.
Mereka itulah balasannya adalah ampunan daripada Tuhan mereka dan syurga yang di dalamnya mengalir sungai-sungai sedang mereka kekal di dalamnya dan itulah sebaik-baik pahala orang-orang yang beramal. (Surah Ali Imran:133-136)
Tahun baru yang berlalu ini juga bermakna sudah setahun blog
drkadir.blogspot ini berada di laman maya ini menemui pembacanya entah di mana berada. Mudah-mudahan tahun baru ini memberikan kekuatan dan kerajinan untuk saya terus berkongsi dengan sahabat-sahabat walau di mana berada. Dan moga ia juga menjadi wasilah untuk saya menambah kenalan dan berkongsi pandangan tentang pelbagai perkara. Atau paling kurang pun untuk keep in touch dengan sahabat-sahabat yang sememangnya jauh di mata namun dekat di hati...:)
Justeru apa azam tahun baru saya kali ini ya? Cukuplah untuk saya nyatakan di sini, untuk kehidupan yang masih berbaki ini, saya ingin menjadi seorang
anak yang lebih taat dan mengasihi ayah dan ibu, menjadi seorang
abang yang lebih penyayang dan pendidik, menjadi seorang
sahabat yang lebih memahami, menjadi seorang
pelajar yang lebih beradab dan menjadi seorang yang lebih baik untuk semua mereka yang berada disekeliling saya atau jauh daripada saya. Dalam mengejar cita-cita yang masih terlampau jauh dari gampaian dan untuk kembali menemui kejayaan dan kecemerlangan yang pernah saya kecapi suatu ketika dahuu selain tidak lari tujuan hidup yang utama untuk lebih mendekatkan diri denganNya, mengejar rahmat dan kasih sayangNya dalam kerinduan bertemu dengan kekasih-kekasihNya di akhirat kelak. Moga Dia juga yang Maha Mendengar dan Mengabulkan permintaan-permintaan ini. Ameen ameen ya Rabbal Alamin...
Baiklah. hingga jumpa di lain masa insyaAllah.Buat sahabat-sahabat semua juga, jangan cuba untuk meninggalkan sunnah berpuasa di hari kesembilan dan kesepuluh di bulan Muharram ini. Hari ini dan esok untuk di Mesir sedang esok dan lusa untuk sahabat-sahabat yang berada di Malaysia. Untuk melihat fadhilat dan kaifiat melaksanakannya mungkin boleh rujuk kembali entry saya pada tahun lalu
di sini atau di blog us
hafiz sendiri ada membincangkan perkara tersebut dari sumber rujukan yang sama :) Salam ceria dan bitttaufeeq wannajah kepada mereka yang sedang diuji imtihan peperiksaan...
Jazakumullah Khairan Kathiraa