Sunday, December 20, 2009

Hari ni tersangat gembira kerana dapat uruskan dua urusan serentak dengan baik. Alhamdulillah. Memang selagi tidak diselesaikan dua urusan ni, hati berasa tidak tenteram dan sentiasa mencari-cari waktu untuk melaksanakannya.

Dalam kesempatan yang ada ni ada sesuatu yang saya nak sampaikan di sini. Mungkin sedikit panduan kepada pelajar-pelajar di Mesir samada perubatan mahupun agama. Jika kalian selalu menjadikan travel-travel agensi di Tahrir sebagai alternatif untuk mencari tiket kapal terbang untuk ke mana-mana, cubalah singgah di dua travel agensi ini, Memnoun Tours dan De Castro Tours yang terletak berdekatan dengan American Express di Talaat Harb Street, Downtown di Tahrir itu. Sepanjang pengalaman berurusan di kedua-dua travel agensi tersebut, saya begitu berpuashati dengan perkhidmatan yang diberikan, kesungguhan untuk membantu dan penerangan yang jelas yang saya anggap terbaik.

Memnon Tours


De Castro Tours


Oh tidak, saya tidak mendapat apa-apa komisyen daripada kenyataan ini ya, sekadar tanda gembira dan terima kasih atas perkhidmatan yang diberikan dan sebagai sedikit panduan untuk sahabat-sahabat juga.

Key, hingga jumpa lagi. Doakan exam oral saya pada Khamis ini insyaAllah. Wassalam, Jazakumullah khairan kathiraa.

Friday, December 18, 2009

Bilakah Rasulullah Berhijrah ke Madinah?

Sumber: http://kias.edu.my/gemahijrah1430.htm

Bilakah Rasulullah Berhijrah ke Madinah?

Disediakan oleh:
Ust Tuan Mohd Sapuan bin Tuan Ismail
Pensyarah KIAS

Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan dengan peristiwa hijrah Rasul. Ini kerana peristiwa hijrah Rasul merupakan satu perkara yang sangat penting dalam sejarah, bukan sahaja kepada kita kaum muslimin, bahkan juga alam keseluruhannya. Betapa tidak, hijrah telah mengubah corak peradaban dunia. Dan kesannya masih boleh dilihat dan dikecapi sehingga hari ini.

Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1429H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1430H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.

Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram. Sebenarnya hijrah Rasul bukanlah berlaku pada bulan Muharram, bahkan ia berlaku pada bulan Rabiul Awwal. Syeikh Sofyurrahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w. meninggalkan rumah pada malam 27 Safar tahun ke 14 daripada kenabian. Ia bersamaan 12 atau 13hb September 622M. Kemudian, baginda bersembunyi di dalam gua selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad. Dan pada malam Isnin, 1 Rabiul Awwal, bersamaan 16 September 622M, baginda berdua beredar meninggalkan gua bersama dengan Abdullah bin Uraiqith, yang memandu jalan. Baginda sampai di Quba' pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, tahun pertama Hijrah. Ia bersamaan dengan 23 September 622M. Baginda berada di Quba' selama empat hari, iaitu hari Isnin, Selasa, Rabu dan Khamis. Pada hari kelima, iaitu hari Jumaat, 12 Rabiul Awwal, baginda sampai ke Madinah. (Ringkasan kitab ar-Rahiqul Makhtum, m/s 154-166).

Persoalannya, kenapakah hijrah dimulakan pada bulan Muharram, sedangkan hijrah Rasul berlaku pada bulan Rabiul Awwal? Sebenarnya, permulaan bilangan tahun hijrah, sekalipun dihitung bermula dengan hijrah Rasul, namun ia hanya bermula pada zaman pemerintahan Saidina Umar r.a. iaitu pada tahun ke 17 Hijrah. Ada juga yang menyatakan pada Rabiul Awwal tahun ke 16 hijrah (1). Sebelum dari tarikh tersebut, umat Islam sudahpun mempunyai nama-nama bulan, namun mereka tidak menentukan tahunnya.

Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang? Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya'la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy'ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.

Setelah Saidina Umar r.a. mengumpulkan para sahabat untuk menentukan permulaan tarikh, timbul empat cadangan dalam menentukan permulaan tahun Islam. Empat perkara tersebut ialah daripada tarikh kelahiran baginda, atau dari tarikh baginda dibangkitkan menjadi rasul, dari tarikh hijrah atau dari tarikh kewafatan baginda. Lalu akhirnya mereka sepakat untuk menjadikan hijrah Rasul sebagai asas permulaan tarikh Islam. Mereka tidak menjadikan tarikh kelahiran dan kebangkitan sebagai asas, kerana terdapat khilaf tentang bilakah kedua-dua peristiwa tersebut berlaku. Dan tarikh kewafatan pula, sekalipun jelas waktunya, adalah tidak sesuai dijadikan permulaan tarikh, kerana ia merupakan tarikh yang amat menyedihkan. Jadi tidak sesuai tarikh yang sedar diambil untuk diulang-ulangi sebutannya. Kerana itulah peristiwa hijrah adalah peristiwa yang paling sesuai untuk dijadikan asas permulaan tarikh. Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,

الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها

“ Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.

Berkata al-Imam as-Suhaili, para sahabat sebenarnya mengambil asas tahun hijrah berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah Ayat 108 yang bermaksud:

“ Sesungguhnya masjid yang diasaskan di atas ketaqwaan (Masjid Quba') sejak dari hari pertama adalah lebih patut kamu bersolat di dalamnya ”. Surah at-Taubah: 108. Terangnya lagi: “ Ini kerana sudah jelas bahawa hari tersebut bukanlah hari pertama yang sebenar (permulaan umur dunia). Bahkan hari pertama yang disandarkan kepada sesuatu yang tidak dinyatakan dalam ayat tersebut, iaitu zaman pertama kemenangan Islam, dan zaman pertama Nabi s.a.w. boleh beribadah dengan aman (tanpa sebarang gangguan) dan zaman permulaan pembinaan masjid ”. Kerana itulah sepakat para sahabat memulakan tahun Islam dengan tarikh hijrah, iaitu hari pertama Nabi s.a.w. dan para sahabat memasuki Madinah.

Dan setelah para sahabat sepakat untuk menjadikan peristiwa hijrah sebagai asas permulaan tahun Islam, mereka membincangkan pula, tentang dari bulan manakah kita akan mulakan perhitungan tahun. Maka timbullah pelbagai pendapat. Ada yang mencadangkan supaya dimulakan dengan rejab, dan ada pula dengan ramadhan. Namun Saidina Usman mencadangkan supaya dimulakan dengan bulan muharram. Antara alasannya ialah ia adalah bulan haram (bulan yang dihormati oleh masyarakat arab, kerana diharamkan berperang padanya), dan ia juga adalah masa kembalinya para jemaah daripada menunaikan ibadah haji. Dan antara sahabat yang juga mencadangkan bulan muharram ialah Saidina Umar dan Saidina Ali. Akhirnya, mereka telah memilih bulan muharram sebagai permulaan tahun hijrah, dan bukannya rabiul awwal. Dan antara sebab yang mungkin paling tepat kerana memilih bulan muharram dan bukannya bulan rabiul awwal ialah, kerana permulaan keazaman untuk berhijrah adalah pada bulan muharram. Ini kerana perjanjian Aqabah berlaku pada bulan zulhijjah. Dan perjanjian tersebutlah yang membawa kepada peristiwa hijrah. Dan bulan pertama yang muncul setelah zulhijjah ialah muharram, kerana itu sesuai dijadikan muharram sebagai bulan pertama, kalendar tahun umat Islam.

Inilah sebahagian fakta yang berkaitan dengan persoalan tarikh hijrah. Semoga fakta ini, sedikit sebanyak menghilangkan kekeliruan tentang persoalan bilakah sebenarnya berlaku peristiwa hijrah Nabi s.a.w. Hijrah sebenarnya mengingatkan kita tentang pengorbanan dan matlamat perjuangan umat Islam. Hijrah juga menginsafkan kita bahawa kita sentiasa bergerak menuju Allah SWT. Kerana itu kita sentiasa perlu menambahkan kebaikan dan amal soleh kita. Orang yang berhijrah adalah orang yang berusaha meninggalkan dosa-dosa dan maksiat. Dan perkara itu tidak akan tercapai melainkan dengan keazaman yang tinggi. Sama-samalah kita berhijrah kerana Allah untuk sampai kepada Allah. Dan ingatlah bahawa orang yang berhijrah sentiasa memerlukan bimbingan Allah dalam hijrahnya menuju Allah. Hijrah bukan kerana Allah adalh sia-sia,dan hijrah tanpa bimbingan Allah, tidak akan sampai ke destinasinya.

• Sumber utama artikel ini ialah kitab Fathul Bari, Syarah Sohih Bukhari. (Kitab Manaqib al-Ansar, bab at-Tarikh, juz 7, m/s 341, 342).

(1) Berdasarkan peristiwa ini, kita berpendapat bahawa fadhilat yang dinyatakan dalam membaca doa awal tahun dan doa akhir tahun adalah palsu. Ini kerana pada zaman baginda, belum ditentukan lagi permulaan tahun. Dan tiada yang boleh menyatakan fadhilat sesuatu kecuali Allah dan rasulNya. Dan sesungguhnya agama Islam itu sudah sempurna. Dan amalan tersebut tiada dijumpai asasnya dalam kitab-kitab hadis.

Maklumat Penulis:

Tuan Mohd Sapuan Tuan Ismail
Sarjana Muda Syariah & Pengajian Islam, Univ. Mu'tah, Jordan.
tasekpauh.blogspot.com
UPI, KIAS
0136353463

Thursday, December 17, 2009

Salam Maal Hijrah 1431H

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera untuk semua.

Seperti biasa, memandangkan blog ini sudah semakin terbiasa menjadi medan untuk pemiliknya memberikan ucapan, justeru sempena kedatangan tahun baru Hijrah, 1 Muharram 1431 yang bermula Maghrib ini, saya ingin mengucapkan: SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1431H kepada pembaca-pembaca blog ini walau di mana jua berada. (Hihi cam ramai je yang baca blog ni)

Tahun baru hijrah ini juga memberi erti bahawa sudah tiga tahun blog ini beroperasi setelah saya berpindah dari blogdrive ke blogspot. Walaupun saya akui blog ini tidaklah terlalu padat dengan bahan-bahan ilmiah dan perbincangan isu semasa, namun saya tetap berpuas hati menjadikan blog ini sebagai medan untuk saya meluahkan apa sahaja yang saya fikir dan ingin kongsikan di samping menjadi medan untuk saya berlatih menulis.

Justeru, saya ingin berterima kasih kepada pembaca yang sudi bertandang, memberikan komen dan berukhuwwah di sini walaupun sejak akhir-akhir ini blog ini sunyi sepi dari sebarang pengisian daripada pemiliknya. Saya sendiri tidak pasti mengapa saya kurang bersemangat menulis ketika di tahun enam ni. Kerap kali hati tergerak untuk menulis namun jari jemari kaku menaipkan kata. Namun untuk berhenti menulis dan terus menutup blog ini adalah suatu yang amat berat untuk saya lakukan. Hanya doa dan harapan saya panjatkan agar diberikan kekuatan dan semangat untuk terus memberikan buah fikiran dan sesuatu untuk manfaat semua pada masa-masa mendatang insyaAllah.

Exam Surgery.

Alhamdulillah, bermula 8 Disember yang lalu hingga kini, sudah hampir separuh Final Exam tahun enam ditempuhi. Dengan exam surgery hanya berbaki ujian slide dan oral persediaan untuk menempuhi kertas O&G selepasnya sudah patut dimulakan dari sekarang. Ya memang apabila sampai di pertengahan fatrah imtihan ni, perasaan malas dan penat kerap pula menyapa membuatkan diri lalai membuka buku. Justeru diharapkan kawan-kawan seimtihan dapat terus kuat semangat menghadapi baki imtihan yang menjelang.

Seketika tadi, semasa mengambil ujian klinikal surgery, saya melihat kelibat-kelibat doktor-doktor yang menjadi pemeriksa kami. Semuanya segak-segak dan kelihatan begitu luas ilmu mereka dalam bidang masing-masing. Dalam saat itu juga saya terfikir, jika bagi orang-orang agama, Syeikh-syeikh besar, ulama-ulama dan para mujtahidin adalah golongan yang menjadi idola mereka, justeru bagi kami pelajar-pelajar perubatan, mereka-mereka inilah (Doktor-doktor/pakar-pakar) sebenarnya syeikh-syeikh kami, yang tidak jemu-jemu memberikan tunjuk ajar dan mendidik kami menjadi doktor yang baik suatu hari nanti dan merupakan ulama dalam bidang mereka masing-masing.

Seketika itu juga terdetik di hati saya untuk turut menjadi hebat sebagaimana mereka. Moga hari itu akan tiba, dan pastinya ia tidak cukup dengan angan-angan tanpa kelibat usaha.

Apapun sementara imtihan belum kunjung akhirnya lagi ni, sayugialah saya mengharapkan doa dari teman-teman dan sahabat-sahabat mendoakan kami untuk baki imtihan yang akan dilalui. Saya percaya, berkat doa teman-teman semualah alhamdulillah saya dapat melalui imtihan ini dengan baik hingga saat ini. Moga ia berterusan dan memberikan natijah yang baik hingga akhirnya InsyaAllah.

Okey lah, setakat inilah dulu untuk kali ni ya. Hingga jumpa lagi InsyaAllah. Wassalam.

Friday, November 27, 2009

Salam Eidul Adha...

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahi Alhamd!

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah yang masih memberikan kita peluang dan kegembiraan merayakan Aidil Adha untuk tahun 1430H ni.

Justeru saya, Tengku Abdul Kadir bin Tengku Zainal Abidin ingin mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya Eidul Adha kepada semua muslimin dan muslimat, mak, ayah,mak dan abah mertua, adik-adik, adik-adik ipar saudara-mara dan sahabat-sahabat, terutamanya mereka yang bertandang ke blog ini.

Nampaknya blog ni dah jadi tempat untuk pemiliknya ucapkan selamat hari raya je la. :D


Raya last dengan Idil


Saya Encik Jamal dengan ini mengucapkan Selamat Hari Raya buat semua pengunjung blog ini. Key, bertemu lagi di syurga! Yeah :)



Soalan tipikal hari ini. "Eh Abang Kadir balik bila?" "Semalam!" Ye faham-faham, lama dah tak jumpe kan, rindu la tuh. :D



Okey raya dah habis, ape pulak selepas ni? Ye ye, ingat! Study nak exam la pulak!

Apapun Alhamdulillah, tepat jam 1615 semalam saya selamat mendarat ke tanah Mesir setelah lebih 2 bulan berada di bumi UK. A ah balik sehari sebelum raya Eidul Adha. Ada la pula, spekulasi yang mengatakan saya kembali ke Mesir dengan Cik Zaatil sebab balik sebelum raya, akan tetapi hakikat sebenarnya beliau sendiri tidak bercuti di hari raya. Perlu ke kelas seperti biasa. Maka saya yang bercuti ni saje la yang pulang untuk berhari raya di Mesir.

Ya sedihlah juga memikirkan meninggalkan isteri di hari raya, akan tetapi pelan untuk bereidul adha di Mesir ini telah dibuat lebih awal lagi kerana beberapa sebab.

Pertama, kerana saya sendiri ingin merasakan Eidul adha terakhir saya di sini memandangkan suasananya yang begitu hidup setiap kali merayakannya di sini.

Kedua, kerana saya juga inginkan masa yang cukup untuk mendapatkan mood study di Mesir sebelum peperiksaan yang akan bermula pada 8 Disember ini.

Ketiga, mungkin dengan kehadiran saya bersama-sama melapah daging di pagi raya kali ini memberikan peluang untuk saya bertemu seramai mungkin adik-adik pelajar-pelajar perubatan dan mungkin pertemuan saya yang terakhir dengan mereka sebelum meminta diri untuk bertapa menghadapi jihad terakhir di undergraduate dan seterusnya pulang menabur bakti di Malaysia.

Apapun kemeriahan sambutan Eidul Adha kali ini cukup indah dirasakan. Seronok melihat adik-adik perubatan bergotong royong mengerjakan ibadah korban bersama-sama. Moga ukhuwwah yang dibina dengan taqwa dan keikhlasan ini menjadi asbab untuk ke syurga.

Keyla sampai sini dulu ya, saya mohon diri untuk menghabiskan study saya, mohon doa dari semua agar saya dapat melakukan yang terbaik buat kali ni. Jazakumullah khairan kathiraa...

Tuesday, October 20, 2009

XM Final...

Assalamualaykum warahmatullah.

Setelah sekian lama menunggu, akhirnya tarikh sebenar peperiksaan akhir tahun enam telah pun diketahui. Peperiksaan yang bermula pada 8 Disember 2009 dan berakhir pada 17 Januari 2010 ini bakal menjadi medan terakhir buat kami pelajar-pelajar tahun 6 Kuliah Perubatan, Universiti Ain Shams selama keberadaan kami di bumi Mesir. Moga peperiksaan kali ini dapat dilalui dengan baik dan sempurna serta memberikan natijah yang cemerlang buat kami semua.

Mohon doa dari semua. Buat Idil, Akmal, Munir, Daing, Zawil, Asma dan K.Laili di Ain Shams serta Hamdan, Iqbal, Dzul,Izwan, Firdaus, Faaiqah, Adlina, dan Aniah, selamat berjuang diucapkan dan semoga semuanya beroleh kejayaan InsyaAllah.

Sunday, September 20, 2009

Eid Mubarak...

Allahu Akbar!

Allahu Akbar!

Allahu Akbar!

Walillahi Alhamdu.

Selamat Hari Raya Eidul Fitri saya ucapkan kepada semua sahabat-sahabat, teman-teman penjenguk blog ini. Mengambil kesempatan di sini untuk memohon ampun dan maaf atas silap dan salah selama pemusafiranku di bumi yang fana ini. Mudah-mudahan sekolah Ramadhan yang telah kita lalui kembali membawa kita kepada fitrah dan menjadikan kita insan yang bertaqwa kepadaNya.

Salamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin.

Daripada Salam Perantauan Utusan Online.



Salam Ramadhan Al-Mubarak buat keluarga di Kuala Terengganu, Kuala Lumpur dan Kota Bharu. Juga buat sahabat handai di seluruh dunia dan guru-guru di SMKA Sheikh Abdul Malek, Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, INTEC dan Kolej MARA Banting. Semoga Ramadhan kali ini membawa banyak kebaikan dan keberkatan, dan semoga Shawal yang menjelang memberi kebehagiaan kepada kita semua. Doakan kami di tahun akhir pengajian.





Tuesday, September 8, 2009



“Sesungguhnya telah disempurnakan penciptaan salah seorang dari kalian dalam perut ibunya selama empat puluh hari dalam bentuk sperma, kemudian dia menjadi segumpal darah selama itu pula, kemudian menjadi segumpal daging selama itu pula, kemudian Allah mengutus kepadanya malaikat, kemudian ditiupkan ruh kepadanya, lalu malaikat tersebut diperintahkan untuk menulis empat perkara; untuk menulis rizkinya, ajalnya dan amalannya dan nasibnya (setelah mati) apakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah yang tidak ada ilah yang berhak diibadahi selain Dia. Sesungguhnya salah seorang dari kalian benar-benar beramal dengan amalan ahli surga, sehingga jarak antara dirinya dengan surga hanya satu hasta, lalu dia didahului oleh catatan takdirnya, sehingga dia beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga dia memasukinya. Dan salah seorang di antara kalian benar-benar beramal dengan amalan ahli neraka, hingga jarak antara dirinya dengan neraka hanya sehasta, lalu dia didahului oleh catatan takdirnya, sehingga dia beramal dengan amalan ahli surga hingga dia memasukinya. (HR Bukhari dan Muslim. Shahih dikeluarkan oleh Al Bukhari di dalam [Bid’ul Khalqi/3208/Fath]. Muslim di dalam [Al Qadar/2463/Abdul Baqi]).


Seorang ustaz pernah bercerita kepada saya sewaktu saya masih kecil, perihal kisah dua orang adik beradik. Seorang abang dan seorang adik yang begitu jauh feil dan karektornya. Si abang seorang yang kuat beribadah siang dan malam sementara si adik , seorang kaki maksiat yang hidup dengan melakukan dosa dan kemungkaran.

Namun ditakdirkan tuhan, kedua-duanya mati dan menerima nasib yang jauh berbeza. Si adik ditempatkan di syurga sementara si abang dilontarkan ke dalam neraka. Semuanya kerana nawaitu mereka sejurus sebelum mereka meninggal dunia. Si abang sebelum matinya terdetik untuk menuruti adiknya untuk melakukan maksiat kerana sudah merasakan terlalu lama beribadah sementara si adik pula terdetik untuk bertaubat dan meninggalkan segala maksiat yang dilakukan. Nawaitu itulah yang membawa mereka menerima pembalasan sedemikian oleh Allah Subhanahu wataala.

Begitulah juga apa yang ingin dibawa menerusi kisah Antara Garisan ini. Bagaimana seorang yang pada zahirnya kelihatan alim, warak dan bertaqwa, akhirnya tercabut darinya hidayah daripada Allah menyebabkannya terhumban ke neraka. Sementara mereka yang bergelumang dengan maksiat, sempat pula bertaubat sebelum nyawa diragut malaikat.



Mungkin antara pengajaran yang boleh diambil dari cerita ini ialah;

1. Ramai mereka yang baik-baik ni selalu melihat orang yang tidak berapa baik ini dengan pandangan hina dan mengeji sedangkan pandangan yang sepatutnya diberikan adalah pandangan kasihan dan memohon hidayah buat mereka.
2. Manusia akan mudah meninggalkan soal halal dan haram apabila memikirkan soal mengisi perut. Bahkan seorang muslim boleh meninggalkan agamanya hanyalah untuk mendapatkan rezeki tanpa mengetahui betapa besarnya nilai iman yang dimiliki.
3. Begitu halus bisikan syaitan yang sentiasa menggoda kita walaupun berupa perbuatan yang bersandarkan ‘kerana Allah’.
4. Memahami dan mendengar antara kunci untuk menyelesaikan masalah seseorang.

Akan tetapi jangan salah tafsir pengajaran kisah ini dengan ini ya:

1. Tidak mengapa tidak bertudung asalkan hati baik seperti Cikgu Asyikin.
2. Tidak mengapa melakukan maksiat kerana Allah itu Maha Pengampun dan akan mengampunkan segala maksiat yang dilakukan.

Moga cerita yang dipaparkan dapat menginsafkan kita supaya sentiasa menjaga nikmat hidayah diberikan Allah.

Ya Tuhan kami, janganlah kau palingkan hati kami setelah Engkau tunjuki dan berilah kami dari hadhirat-Mu rahmat karena Engkau adalah Yang Maha Pemberi


Moga sepuluh terakhir Ramadhan yang bakal dilalui akan membawa kita kepada pembebasan daripada api neraka insyaAllah.

Selamat menonton. Ramadhan Kareem...

Saturday, August 22, 2009

Lord Of Ramadhan...



Salam Ramadhan Kareem buat semua. Walau lama tidak berupdate,tetap tidak mahu melepaskan peluang mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua. Juga mengambil kesempatan untuk meminta ampun dan maaf daripada semua insan yang pernah bermuamalah atau mengenali saya. Moga Ramadhan kali ini dapat kita lalui dengan sebaiknya dan tidak gagal pula mendapatkan rahmat dan keampunan dariNya.

Ramadhan kali ini juga adalah Ramadhan ketujuh saya di perantauan dan InsyaAllah menjadi Ramadhan terakhir saya di Perlembahan Nil ini. Moga ada kenangan tersendiri untuk diingati. Dan yang terlebih penting moga madrasah Ramadhan kali ini akan kembali membawa saya dan kita semua kepada tujuan hidup dan menjadikan diri seorang yang bertaqwa kepadaNya.

Selamat bersahur, berpuasa, berbuka dan bertarawikh eh bertarawih buat semua. ;)

Saturday, July 11, 2009

Jika kita mengetahui...

Semalam saya dan idil ke rumah Ustaz Fauwaz untuk meneruskan pembacaan hadith-hadith daripada kita Muktasar Abu Jamrah.Akhirnya kami sampai kepada hadith yang berbunyi:

Daripada Abu Hurairah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya manusia mengetahui kelebihan pada seruan memenuhi saf yang pertama sehigga tidak dapat diperoleh hanya dengan mengundi, maka merekakan mengundi. Jika mereka mengetahui kelebihan mendatangi masjid seawalnya untuk Solat Jumaat, maka mereka tidak akan melambatkannya. Dan jika mereka mengetahui kelebihan mendirikan Solat Isyak dan Subuh berjemaah, maka mereka akan menunaikannya sekalipun terpaksa merangkak.


Ya, jika mereka mengetahui.

Baru-baru ini kita disensasikan dengan berita terjumpanya ketulan-ketulan emas di Kampung Jelutong di Pendang yang menyebabkan ramai penduduknya berduyun-duyun untuk mencari emas di sana. Hingga ada ibu bapa yang pada awalnya tidak membenarkan anaknya untuk mencari emas di situ kemudiannya rambang mata apabila melihat anaknya membawa balik ketulan emas tersebut dan akhirnya turut sama mencari

Begitulah halnya jika kita mengetahui, bahkan yakin dengan apa yang kita lihat dengan mata kepala kita sendiri. Rasulullah sebagai seorang yang dekat dengan Allah pastinya diberikan kelebihan dengan diperlihatkan kelebihan-kelebihan yang diperoleh oleh ummatnya apabila melakukan ibadah kepada Allah. Hanya kita sebagai ummatnya ini yang mahu percaya bahkan yakin dengan apa yang diberitakan baginda itu.



Kalaulah kita bayangkan kelebihan-kelebihan itu sepertinya ketulan-ketulan emas yang berkilauan menanti mereka yang sudi mendapatkannya, pastinya kita tidak hairan kalau ada yang sanggup pergi mendapatkannya walaupun terpaksa merangkak.

Friday, July 10, 2009

Alhamdulillah semalam saya baru sahaja menamatkan round masalik (Urosurgery), round special terbaik setakat ini kerana mengikut jadual, doktor sentiasa datang walaupun tidak semua yang menepati waktu. Berbanding round-round yang lain sebelum ini yang selalu lompang dan tidak punya jadual!

Justeru besok akan bermulalah round ortho buat saya selama 2 minggu. Idil pula yang sedang melalui round O & G sudah tidak ada round lagi bermula minggu ini. Minggu ini juga tiada lagi lecture untuk O & G dan lecture surgery pula akan berterusan selama 2 minggu lagi.

Rupa-rupanya saya sudah semakin hampir dengan penghujung pengajian. Rakan-rakan arab sudah ramai yang mula membawa kamera ke kuliah untuk menangkap gambar bersama untuk dijadikan kenang-kenangan. Mungkin selepas masing-masing menamatkan pengajian, peluang untuk kembali bertemu bersua muka sudah sukar untuk dimiliki lagi. Hanya gambar-gambar tersebut menjadi tanda bahawa kita pernah bertemu, bersahabat dan mengenali suatu ketika di alam pengajian tinggi.


Terasa cepat pula enam tahun masa yang berlalu. Saat ketika keluarga melepaskan pemergian saya ke Mesir.


Sebetulnya saya tidaklah begitu berkawan rapat dengan pelajar-pelajar tempatan. Persahabatan kami hanyalah bertegur sapa ketika tutorial, bertanya khabar dan bercerita. Kekadang bergurau senda dengan bergelak ketawa dengan lawak-lawak dalaman yang mungkin saya sendiri sukar untuk memahami. Tidak pernah terlintas untuk bersahabat rapat, ziarah menziarahi atau keluar bersama. Mungkin itu antara kekurangan saya ketika berada di sini. Saya tidak pasti, adakah puncanya dari saya sendiri yang agak tidak mesra dengan mereka, tidak suka bersahabat atau malu untuk memulakan bicara. Atau mereka sendiri yang tidak terlalu berminat untuk berkawan lebih jauh setakat mengenali dan senyum apabila berjumpa.

Atau adakah saya seorang yang sombong?

Wallahu a'lam, apapun sebenarnya saya mula makin rapat dengan kawan-kawan segroup saya apabila memasuki tahun 5 dan 6. Kawan-kawan yang sebelum ini tidak pernah bertegur sapa dengan saya mula bertegur sapa dan baru cuba untuk berkenalan walaupun kami telah 4 tahun sekuliah sebelum ini. Hairan juga bukan? Isteri saya sendiri menyedari akan hal itu dan saya sendiri tidak dapat memberikan alasan terbaik untuk itu.

Apapun memandangkan tempoh masa yang tinggal untuk kami bersama semakin suntuk, saya cuba untuk menghargai masa yang ada ini untuk semakin mendekati mereka dan memesrai mereka. Mungkin kami tidak berkesempatan untuk berkawan rapat selama 6 tahun setengah sekuliah bersama, namun mungkin pada suatu masa nanti kami akan kembali bersua, mungkin berjuang bersama di arena kedoktoran yang sama-sama kami ceburi ini untuk ummah keseluruhannya.

Wallahu a'lam. Untuk adik-adik yang masih di tahun satu, dua dan tiga. Atau empat mahupun lima. Cubalah berkawan dengan kawan-kawan arab ini dan cubalah mendapatkan apa-apa yang baik daripada mereka dan semoga persahabatan itu mampu untuk membuahkan suatu yang baik untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti.

Saya sendiri tidak pasti mengapa saya menceritakan ini semua. Sekurang-kurangnya tulisan ini menunjukkan saya semakin sayu untuk meninggalkan Mesir tidak lama lagi. Pohon hanya yang terbaik dariNya. Sekian, jazakumullah khairan kathira...

Cerminan sejati...

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Suatu ketika Rasulullah makan dengan sahabat-sahabat baginda dan yang ada bersama baginda pada waktu itu adalah Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah. Mereka makan kurma sambil berbual-bual. Apa yang dilakukan oleh baginda, setiap kali baginda menghabiskan kurma baginda,bijinya diletakkan di hadapan Ali sehingga tiadalah biji kurma dihadapan baginda sebaliknya menimbun di hadapan Ali.

Lalu Rasulullah berbicara kepada Ali, "Ya Ali, kuatnya kamu makan, hingga begitu banyak biji-biji kurma di hadapan kamu" dengan nada berjenaka.

Lalu Ali menjawab dengan berkata, " Ya Rasulullah, orang yang kuat makan itu sebenarnya yang memakan kurma hingga biji-bijinya sekali sehingga tiada lagi biji di hadapannya"

Mungkin tidak begitu banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah tadi, cuma apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah untuk menceritakan keperibadian Rasulullah yang cukup mesra dengan sahabat baginda. Baginda bergurau, baginda berjenaka namun pastinya tidak secara berlebihan serta keterlaluan. Baginda cukup mengasihi sahabat-sahabat baginda sementara sahabat-sahabat juga turut menyintai dan mengasihi baginda sepenuh hati.

Pernah Abu Sufian berkata, "aku tidak pernah melihat seseorang menyayangi seorang yang lain seperti sahabat-sahabat Muhammad menyayangi Muhammad".

Sanggup berkorban harta, jiwa dan raga demi junjungan nabi yang kita kita cintai ini. Begitulah keadaan sahabat-sahabat di zaman baginda.

Hari ini, mungkin kita perlu kembali menilai dan muhasabah sejauh mana tahap persahabatan kita selama ini. Sejauh mana kita telah menepati seruan baginda yang mahu kita menyayangi sahabat kita seperti menyayangi diri kita sendiri. Memuliakan sahabat, membantu ketika kesusahan, memberikan senyuman ketika mana bersua dan menjadikan diri sahabat-sahabat kita itu salah satu asbab yang membolehkan kita mendapat kemanisan iman, mendapat perlindungan di padang mahsyar dan mendapat kesenangan hidup di syurga yang kekal abadi.



"Tiga perkara yang jika seseorang itu melakukannya maka akan mendapatkan halawatul iman (kemanisan iman) iaitu menjadikan Allah dan Rasulnya yang paling dikasihi melebihi yang lain, dia mengasihi seseorang sahabatnya kerana Allah dan yang benci untuk kembali menjadi kufur seperti dia benci untuk dicampakkan kedalam azab api neraka"


Ada pepatah yang menyebut.

Sayangkan anak tangan-tangankan,
Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan,
Sayangkan sahabat?

Jika diikutkan terlalu banyak perbincangan ulama dahulu berkaitan hak-hak sahabat yang sehingga mungkin tak terpenuhi oleh kita dalam kita bersahabat. Namun apa yang terlebih penting di sini adalah untuk kita meletakkan kasih sayang kita kepada sahabat kita serta sanggup untuk menjadi cerminan yang baik buat sahabat kita itu tadi.

Membenarkan kebaikan yang dikerjakan, menegur kesilapan yang dia lakukan.

“Seorang mukmin itu adalah cermin kepada saudaranya” – (Abu Dawood 41: 4900)



Sekadar gambar hiasan :)


Ya Allah, berkatilah sahabat-sahabatku, berkatilah persahabatan kami, berikanlah kami kekuatan untuk menghadapi segala mehnah dan ujian dariMu, suburkanlah rasa cinta dan kasih sayang di hati kami demi mendapatkan rahmat dan keredhaan dariMu, serta tempatkanlah kami di syurga bersama hamba-hamba yang Engkau kasihi. Dan berikanlah kami keselamatan di dunia dan di akhirat...

Diri ini mungkin banyak melakukan kesilapan, culas dalam menunaikan hak-hak dalam bersahabat namun moga Allah sentiasa memelihara rasa kasih yang ada dalam diri ini kepada sahabat-sahabat, tua ataupun yang muda. Moga kita diberkati kerananya.

Jazakumullah khairan kathira...

Wednesday, June 24, 2009

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera.

Sedar tidak sedar kita telah pun melepasi separuh daripada tahun 2009. Sudah 6 bulan tahun enam telah saya lalui dan hanya baki sebulan lebih lagi akan dihadapi sebelum diberikan ruang untuk study bermati-matian menghadapi final pada pertengahan bulan November nanti.

Musim panas telah pun menjengah dan menyerlahkan kehangatannya. Pelajar-pelajar di tahun 1,2,3 dan 4 semakin mengahampiri garis penamat imtihan masing-masing dan bakal melalui percutian musim panas sebelum kembali ke sekolah pada sessi hadapan. Ada yang bercadang pulang ke Malaysia, ada yang mahu melancong ke sana dan sini, tidak kurang pula yang mahu menghabiskan cuti di Mesir sahaja merasai bahang panas yang menyengat di sini, melakukan apa-apa aktiviti yang bermanafaat dan berguna.

Kurang setahun daripada sekarang, jika diizinkan Tuhan saya akan menamatkan pengajian perubatan di bumi mesir ini. Setelah 6 tahun setengah di perantauan, pastinya kembali ke kampung halaman adalah suatu yang cukup di tunggu-tunggu oleh para perantau. Begitu juga saya, cukup teruja untuk kembali ke Malaysia. Sahabat-sahabat sebatch ramai yang telah menamatkan pengajian masing-masing dan mula berkhidmat dalam bidang masing-masing. Ada yang ke utara, ada yang ke selatan, timur mahupun barat. Semuanya mula memulakan hidup sebagai orang dewasa dan berkira-kira membina keluarga. Kalau dahulu saya sedikit cemburu kepada sahabat-sahabat yang sudah berkerjaya namun apabila memikirkan tidak lama lagi untuk pulang, saya sendiri tidak pasti apakah saya sudah bersedia untuk terjun ke medan.

Sejauh mana saya dapat menjadi seorang yang berguna dalam masyarakat, sejauh mana ilmu yang saya ada ada dan sejauh mana saya dapat memberikan khidmat saya kepada Islam dan ummah di Malaysia mungkin adalah persoalan-persoalan yang perlu saya selesaikan sebelum pulang. InsyaAllah masa masih ada untuk saya menyiapkan diri. Arrgh! apabila memikirkan tidak lama lagi bakal meninggalkan ardu kinanah ini terasa sedih pula. Sedih kerana gagal menggunakan keberadaan di sini dengan sebaiknya, sedih kerana bakal meninggalkannya dan tidak pasti bila pula akan kembali. Namun jauh di sudut hati, saya tetap menyimpan azam untuk kembali ke sini. Untuk apa? Tak tahu la, biarlah Dia yang menentukan. Apapun untuk waktu terdekat ini, fokus saya adalah untuk menghabiskan sessi persekolahan sehingga ogos ini sebelum menghadapi imtihan MCQs pada pertengahan dan akhir Ogos nanti dan kemudian peperiksaan akhir pada Januari nanti. Mohon doa daripada semua dan moga Dia permudahkan segalanya.

Wassalam.

Thursday, June 11, 2009

Seorang teman...

Assalamualaykum warahmatullah.

Terpanggil untuk turut mengepos entry khas buat seorang sahabat, junior yang telah kembali kerahmatullah baru-baru ini. Walau tidak banyak kenangan bersama beliau namun hati ini cukup sayu menerima taqdir pemergian tersebut dan jauh dihati saya berasa kasih dan sayang kepada Allahyarham. Mudah-mudahan roh beliau dicucuri Rahmat dan diletakkan di kalangan hambaNya yang beriman dan beramal soleh. Satu entry yang saya copy and paste daripada blog beliau untuk menceritakan bahawa beliau sememangnya seorang anak yang soleh, rakan yang baik dan teman yang setia dan sentiasa disenangi dan bakal dirindui oleh semua yang mengenali beliau. Allahu yarzuqhu jannata firdausi insyaAllah, Ameen.

Al Fatihah...


__________________________________________________________________________

http://kalam-puncak.blogspot.com - 26 Julai 2008

Hari Rabu, tanggal 27 Julai 1988, dia telah selamat diputerakan. Kelahirannya disambut dengan laungan azan zohor tepat jam 1.25 petang. Wad Bersalin, Hospital Besar Pulau Pinang menjadi tempat berlakunya peristiwa bersejarah ini.


Si dia sewaktu masih tidak reti merangkak lagi



Tanda-tanda kenakalan terpancar


Dia dibesarkan dengan penuh penuh kasih sayang tanpa mengharapkan timbal balik oleh kedua ummi dan abahnya. Cuma satu sahaja. Saham mereka tatkala terpisah sudah roh dari jasad. Kerna itu, curahan kasih sayang tidak pernah henti. Baik dengan kayu rotannya, cubit geramnya, penyangkut bajunya, tapak tamparannya atau jerkahnya. Semua itu tanda sayang. Agar yang bengkok itu kembali lurus.


Ummi dan abah yang buat-buat tak tahu gambar mereka sedang dipukul

Bangun saja tidur awal pagi semalam, inbox terisi dengan mesej dari Ummi. Bunyinya begini;

"Selamat menyambut ulang tahun kelahiran ke 20. Mudah2an angka 2 menyebabkan along lebih matang dalam iman dan takwa"

Oh, bahagia. Yang pertama ucapkan. Yang kedua angah dan yang ketiga Fayyadh. Hehehe.

Si dia itu adalah saya. Saya yang sibuk menghitung hari pulang ke bumi Malaysia. Tak terbendung rasanya rindu ini pada mereka. Sudah tidak sabar-sabar lagi rasanya.


Bersama-sama kita menuju ke daerah hakiki. Moga berada dalam lembayung rahmahnya.


Terima kasih kepada Ummi dan Abah. Moga Allah mengganjari segala bakti dalam asuh didikku. Tak terbalas olehku anak yang hanya tahu susahkan Ummi dan Abah. Juga adik-adikku, moga bersama kita buru gelaran anak soleh itu.

Sahabat-sahabatku yang bersama-sama kita kongsi nikmat Tarbiyah ini, moga kalian Allah tsabatkan jiwa dan hati kalian atas jalan ini. Teman-teman dan rakan-rakan, moga perkenalan dan pertemuan kita tiada yang lain mengurniakan keredhaan kecuali keredhaanNya.

Moga hidup lebih bererti dalam jiwa hamba!


From http://akudarahanakmalaysia.via.my