Catatan sebelum pulang (part 4)
Kita Menjana Nilai dan Skor, begitulah motto KMNS. Selama tiga bulan saya di KMNS pelbagai peristiwa dan pengalaman yang saya alami yang hingga kini masih segar dalam ingatan saya seperti semalam baru saya meninggalkannya.
Tidak beberapa lama saya di KMNS, saya dan kawan-kawan di panggil untuk temuduga JPA. Saya pulang ke Kuala Terengganu untuk menghadirinya. Pergi temuduga seolah-olah reunion bagi kami yang telah lama tidak bersua mengikut haluan masing-masing namun masih menyimpan hasrat untuk menyambung belajar di luar negara. Ada yang dah ke UTP, ada yang dah ke universiti-universiti tempatan buat matrikulasi dan diploma, ada yang dah ke kolej matrikulasi seperti saya sendiri dan ada yang hanya duduk di rumah dan memang menunggu-nunggu untuk temuduga JPA dan yakin akan mendapat tawaran ke luar negara.
Yang datang temuduga bukan sahaja dari Shams, tapi pelajar dari semua sekolah yang ada di Terengganu yang layak untuk ditemuduga. Saya mengenali ramai antara mereka kerana pernah berkem bersama sebelum SPM.
Saya memeriksa jadual temuduga. Jadual itu sedikit mengelirukan kerana ada pecahan sessi pagi dan petang di mana saya diletakkan di sessi petang. Sebab saya punya turn pun lambat lagi, saya mengambil keputusan untuk turun ke warung untuk bersarapan pagi sebab tak sempat nak sarapan sebelum datang tadi.
Oleh kerana sessi petang hanya akan bermula pukul 2 petang, saya buat keputusan untuk balik je dulu ke rumah tok yang tak jauh dari pusat temuduga. Hampir pukul 2 petang saya kembali semula ke pusat temuduga. Saya terkejut bila mendapati dah tak ramai orang di situ, kalau tak silap ada 5 orang sahaja lagi yang tinggal yang masih menunggu untuk di panggil masuk.
Apabila saya melihat kembali jadual, rupa-rupanya giliran temuduga saya adalah pada waktu pagi. Saya tetap menunggu di situ, hinggalah giliran group terakhir itu, kami semua berenam di panggil untuk temuduga. Mujurlah saya diterima juga untuk ditemuduga walaupun sepatutnya ditemuduga pada sessi pagi. Tapi sebenarnya kalau saya gagal ditemuduga pada hari tu pun, saya masih berpeluang untuk ditemuduga di pusat temuduga yang lain selepas ini. Tapi bukan di Terengganu la. Di negeri lain pula.
Apapun, sebelum temuduga bermula, kami ditanya tentang pilihan negara yang kami nyatakan dalam borang yang kami isi. Saya telah memilih untuk mengambil kursus perubatan di Mesir atau New Zealand sebelum ini.
"Tengku Abdul Kadir bin Tengku Zainal Abidin"
"Ya, saya"
"Kamu minta untuk kursus perubatan di India, betul ya?" tanya penemuduga tu.
"Eh tak, first choice ke Mesir dan second ke New Zealand" sahut saya.
"Oh, tahun ni kerajaan tak hantar ke Mesir. Mungkin sebab tu komputer divert pilihan awak ke India. So macam mana? Awak nak kekalkan pilihan awak ke India?"
Ha? Saya tak nak ke India. Ada sedikit rasa kecewa di hati saya tika itu. Kemudian saya pun membalas, "Kalau macam tu, letak pilihan pertama saya ke UK la, kedua ke New Zealand."
Penemuduga itu memerhatikan rekod saya mungkin meneliti result saya kemudian berkata, "Emm macam susah kalau awak nak dapat ke UK ni."
"Emm takpalah, letak je UK" memang ketika itu saya tak letak apa-apa harapan pun untuk ke UK mahupun ke New Zealand.
Temuduga itu berjalan dengan baik. Selepas sessi temuduga itu saya kembali membetulkan niat dan berazam untuk kekal sahaja di KMNS walaupun mungkin mendapat tawaran ke UK ataupun New Zealand. Saya pun tak tahu kenapa saya membuat pendirian begitu. Mungkin begitu kecewa kerana tidak dapat buat perubatan di Mesir.
Dua tiga hari kemudian saya kembali ke KMNS. Tidak lama kemudian diadakan pemilihan untuk jawatankuasa pewakilan pelajar untuk KMNS. Pada mulanya saya tidak terlalu mahu involve dalam kepimpinan dan lebih menumpukan perhatian kepada pelajaran. Maklumlah nak ambil medik kenalah dapat 4.0 kan? Namun saya dipujuk oleh Fuad yang kata ramai nak saya bertanding dan ada potensi untuk menang.
Saya ketawa mendengarkan pujukannya tu sebab saya memang low profile ketika itu. Saya hanya aktif di masjid, pernah sekali memberi tazkirah maghrib dan tak dipilih pun untuk jadi JPP sementara semasa program suai kenal di awal kemasukan kami dulu. Mestilah mereka yang menjadi JPP sementara ini lebih cerah peluang untuk dilantik menjadi JPP kerana semua orang sudah kenal mereka dan nampak mereka buat kerja.
Pendek kata, saya akhirnya mengisi borang calon dan masuk bertanding JPP. Mereka yang berada di MRSM mungkin sudah biasa dengan suasana pilihanraya kampus, tapi bagi saya inilah pengalaman pertama saya menjadi calon untuk dipilih oleh kawan-kawan untuk mewakili mereka. Hari pidato cukup mendebarkan saya. Saya tak tau apa nak cakap. Apa manifesto yang ingin disampaikan dan apa janji-janji manis yang ingin ditaburkan buat rakyat jelata.
Ada kawan yang mencadangkan saya menjanjikan untuk berbincang dengan pentadbiran untuk menyediakan Water cooler di setiap blok bagi memudahkan pelajar menghilangkan dahaga selepas bermain atau bila-bila je la. Saya tak ingat dah cadangan-cadangan lain yang diberikan. Akhirnya dalam pidato itu, saya hanya mengenalkan diri dan menyatakan kesanggupan saya untuk bekerja dan membantu sahabat-sahabat apabila terpilih menjadi wakil mereka kelak. Alhamdulillah, ucapan saya mendapat tepukan dari warga dewan malam itu. Dalam banyak-banyak pidato pada malam itu, pidato Mei Mei paling mencuit hati. Bila nama Mei Mei dipanggil untuk naik ke pentas bising di belakang dewan beberapa orang pelajar menjerit nama Mei! Mei! sebagai tanda sokongan. Ternyata memang Mei Mei sudah ada peminat tersendiri waktu itu.
Saya tak ingat berapa hari jarak antara malam pidato calon dan hari pengundian, tapi semasa di kelas, kawan-kawan praktikum saya yang sebelum ini tidak tahu saya masuk bertanding begitu excited dan bertanya-tanya apa yang boleh diorang bantu memandangkan saya satu-satunya pelajar yang menjadi calon dalam praktikum itu. Mereka sendiri tidak menyangka saya yang begitu senyap dalam kelas tu boleh pula menjadi calon dalam pilihanraya. Haha. Penolong ketua praktikum saya, tak ingat namanya, beria-ia nak membantu saya berkempen kepada kawan-kawan perempuan. Selain mereka, kawan masjid saya Salihin, turut membantu saya untuk berkempen walaupun dia dari praktikum yang lain.
Selama dua tiga hari poster saya terpampang di gajah menyusur, dewan makan, koperasi, sekitar masjid,dekat area kelas dan lain-lain tempat lagi. Saya tak sabar untuk menurunkan poster-poster tu, segan ada, malupun ada. Roomate saya siap bawa satu poster dalam bilik dan melekatkan kat dindingnya. Tak tahulah dia obses dengan saya ke apa. Saya hairan kenapa poster Munzir tak kelihatan. Time tu ada orang kata poster Munzir tak dapat dilihat kerana hanya ditampal di blok perempuan. Siap ada perempuan yang tanggalkan poster dia untuk simpan dan letak dalam bilik lagi. Hai... saya pun tak tahu cerita ni betul ke tak. Ni boleh tanya Munzir sendiri la kot :D
Ops dah panjang dah entry ni. InsyaAllah bersambung di catatan yang lain. :)
No comments:
Post a Comment