Sunday, March 30, 2008

Gossip..?

Photobucket

“Abang tahu tak? Baru-baru ni lepas balik Sinai hari tu kan, banyak sangat gosip tentang abang…” kata adik perempuan saya suatu hari ketika kami berdua sedang makan tengah hari di Az Zahra’.

“Gossip apa pulak?” tanya saya sambil mencubit ikan bakar yang terhidang. Dalam hati saya terdetik, ingatkan gosip-gosip ni artis je, aku pun kena gosip.

“Haritulah, ada la yang sebut-sebut kat belakang, eh eh Abang Kadir kenapa rapat sangat dengan tunang dia tu? Jalan rapat-rapat. Pegang-pegang tangan pulak. Berat nggoh Abang Kadir ni.” cerita adik saya sambil ketawa kecil merujuk kepada perlakuan kami berdua ketika jaulah PERUBATAN ke Semenanjung Sinai yang semamangnya agak rapat dan selalu berdua-duaan.

“Tapi lepas tu dah settle la bila ada yang bagitau yang sebelah dia tu bukan tunang dia, tapi adik dia!” tambah adik saya lagi.

Mendengarkan kalam-kalam sebegitu, saya terus teringat suatu peristiwa yang berlaku kepada baginda Rasulullah sendiri iaitu suatu ketika baginda sedang berjalan-jalan dengan isteri baginda dalam kegelapan malam. Kemudian kelibat baginda dan isteri dilihat oleh seorang sahabat dari jauh, lalu Rasulullah terus mendapatkan sahabat tersebut dan menyatakan bahawa yang bersama dengannya adalah isteri baginda sendiri bagi mengelakkan silap sangkaan di kalangan sahabat sedangkan kita tahu, takkan lah sahabat-sahabat akan terus bersangka buruk, su’ dzan terhadap Rasulullah dalam perkara-perkara tersebut. Tapi begitulah yang dilakukan baginda untuk mengelakkan diri daripada salah faham di kalangan sahabat dan mengelakkan mereka bersangka buruk terhadap baginda. Mengundang masalah dan sebagainya. Justeru, apatah lagi saya, insan biasa yang bisa sahaja disangka begitu, meninggalkan syariat dan batasan yang perlu dijaga, moga saya tidak begitu.

Walau bagaimanapun, perkara itu adalah suatu bentuk muhasabah terhadap diri sendiri juga sebenarnya untuk lebih menjaga soal-soal boleh membawa kepada gossip sebegini. Walaupun tujuan sebenar saya menawarkan diri sebagai musyrif mengikuti lawatan itu sendiri adalah untuk menemani adik saya itu dalam perjalanan safar mar’ah yang sememangnya mewajibkan untuk dirinya ditemani muhrim.

Kadang-kadang rasa geli hati juga, “budak-budak ni, takkan lah bila rapat sikit je terus sangka itu tunang aku atau makwe aku? Takkan takleh nak husnu dzan kata, mungkin adik abang kadir kot.kalau memang tidak tahu” Tapi begitulah. Hingga ada juga suatu hari seorang sahabat ditanya oleh seorang ustaz yang mungkin turut memerhatikan perkara yang sama “Eh Tengku Kadir tu dah kawin ke? Hari tu nampak dia dengan seorang akhawat?” Ok la juga ustaz ni, paling kurang dia menyangka saya sudah bernikah dan hubungan yang berlaku itu kiranya benar adalah suatu yang berdasarkan syariat dan sah di sisiNya. Tidak mengapa lah, ‘ala kulli hal, alhamdulillah rasanya perkara ini sudah dibetulkan kembali dan yang salah faham sudah memahami dan mengetahui.

Apapun, apa yang mungkin hendak disebut, hubungan kami adik beradik sememangnya cukup rapat. Sedari kecil lagi, itulah yang selalu diajarkan oleh mak dan ayah untuk kami menjaga hubungan adik beradik ini dengan sebaiknya, walau kami selalu bergaduh waktu kecil dahulu (gaduh budak-budak) akan cepat diselesaikan oleh ayah dengan memberitahu siapa yang patut mengalah, siapa yang patut dihormati, mengapa itu dan ini, perlu saling mengasihi dan macam-macam lagi dan itulah yang membawa kepada rasa saling berkasih sayang antara kami semua. Teringat dahulu ketika ada suatu perkara yang tidak puas hati, atau ada sesuatu yang ingin ditegur kepada mana-mana antara kami adik beradik, kami akan terus berkumpul dan buat liqa’ seperti mesyuarat dan cuba nyatakan apa yang tidak puas hati tu dan bagaimana nak diselesaikannya. Kadang-kadang sampai menangis pun ada bila sama-sama muhasabah diri. Teringat suasana ketika itu terasa sedikit sayu apatah lagi kini sudah lama kami adik beradik tidak bersua. Apapun begitulah cara kami menjaga hubungan dan kasih sayang antara kami dan moga-moga kasih sayang tersebut akan terus terjaga walaupun masing-masing sudah bekerja, berkeluarga dan mungkin ayah dan mak sudah tidak ada disisi lagi.

Itulah juga yang selalu diajarkan baginda Rasul kan? Apabila baginda menyebut,

“Yang terbaik dikalangan kamu adalah yang terbaik kepada ahli keluarganya dan aku adalah yang terbaik terhadap ahli keluargaku”

Institusi kekeluargaan sememangnya adalah merupakan nukleus dan unit asas dalam pembinaan masyarakat dan negara. Runtuhnya institusi keluarga, maka akan punahlah masyarakat dan akan binasalah negara. Itulah realiti dan hakikat yang perlu dilihat oleh kita hari ini bahawa nilai kasih sayang antara ahli-ahli keluarga sudah semakin luntur lantas membawa kepada larinya anak-anak dari rumah untuk mencari kasih sayang yang mungkin tidak dijumpai di rumah sendiri dek kesibukan ibu bapa dengan kerja dan tugasan masing-masing.

Jadi dalam hal ini, tidak dapat tidak, kena kembali kepada apa yang diajarkan oleh baginda rasul tentang bagaimana untuk membina sebuah keluarga yang solehah, apa yang perlu diisi di dalamnya, bagaimana bentuk pendidikannya, bentuk kasih sayangnya dan macam-macam lagi, untuk itu kena tanya orang yang lebih arif la kerana diri sendiri pun belum berkeluarga. Cuma saya agak sedih apabila adanya sebahagian daripada kita yang mungkin terasa malu untuk rapat dengan adik beradik sendiri. Menyayangi adik beradik sendiri, rasa ingin berkorban untuk adik beradik sendiri sedang Islam sendiri mengajar kita untuk mengutamakan adik beradik dan kerabat yang terdekat apabila ingin membuat apa-apa kebajikan. Moga ini menjadi suatu ingatan untuk saya dan adik-adik yang lain.

Baiklah sampai sini dulu untuk kali ini, sebenarnya banyak lagi yang mahu dikongsi tapi cukuplah dahulu, perlu pergi ke kuliah pula. InsyaAllah artikel ini akan kembali diubah suai dan dibaiki nanti. Bila? Entah, tengok la nanti. Hingga jumpa lagi, Tajdidkan niat untuk hari ni insyAllah.

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

PS: Entry ini dibaiki sedikit atas nasihat Ustaz Salman Maskuri yang saya hormati mengatakan bahawa perkataan 'fitnah' yang digunakan sebelum ini tidak boleh merujuk kepada tuduhan atau perkataan yang tidak benar berkenaan seseorang kerana perkataan fitnah di dalam Al Quran adalah merujuk kepada 'syirik' dan fitnah dalam bahasa arab bermaksud 'ujian'. Sahabat-sahabat yang punya pendapat boleh lontarkan di sini.

berhajat mahu membaiki artikel ini, tapi tak bermasa lagi kerana beberapa perkara yang perlu diselesaikan yang bersifat segera. 'Ala kulli hal doakan saya nak xm isnin ni ya. ;)

Friday, March 28, 2008

Masanya sudah tiba...

Photobucket

"Kita suatu ketika pernah menjadi pusat tamadun dunia, sehingga suatu masa orang-orang daripada eropah datang ke negara-negara kita untuk menuntut ilmu dengan para ilmuan kita, dan akhirnya mereka membawa ilmu-ilmu itu ke negara mereka sedang kita semakin mundur dan mundur. Kita kemudiannya semakin mundur dan tiba masanya untuk kita bangkit kembali. Masanya sudah tiba... Masanya sudah tiba...!"

Begitulah antara intipati khutbah yang disampaikan oleh Syeikh Usamah di Masjid Sultan Hassan tengah hari tadi. Tersentak saya mendengarnya, walaupun sudah berkali-kali saya mendengar dan diingatkan tentang perkara ini namun tidak banyak yang telah saya usahakan untuk menyahutnya.Kita wajib untuk kembali gemilang, kita wajib untuk kembali cemerlang kita wajib untuk kembali terbilang kerana itulah kedudukan sebenar untuk deen ini. Agama yang tinggi dan tiada yang lebih tinggi lagi. Justeru berusahalah ya akhie... berusahalah. Mudah-mudahan kita menjadi sebahagian daripada mereka yang meletakkan deen ini kembali ke tempatnya InsyaAllah. So jom study!!!



Kempen Kecemerlangan Kendiri PERUBATAN





Dan kita memang tidak pernah lupa...

Wednesday, March 19, 2008

“Kalau diikutkan agak segan untuk saya berdiri di hadapan antum semua untuk membentangkan kertas kerja yang diminta ini, kerana tidak pernah punya pengalaman sebelum ini. Namun kerana menyedari perlunya untuk saya meruntuhkan tembok yang ada di hadapan saya untuk memungkinkan saya untuk berceramah pada hari ini, saya gagahi juga dan semoga langkah pertama saya ini akan membawa saya kepada langkah-langkah saya yang seterusnya selepas ini.” Ingatan saya kepada satu ucapan pembukaan Idil suatu ketika apabila diminta untuk membentangkan kertas kerja berkenaan I’jazul Ilmi.

Sememangnya memberi ucapan atau ceramah adalah merupakan suatu method dan cara untuk kita menyampaikan dakwah dan pelajaran kepada manusia. Cara untuk kita mengajak kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran, sabda Rasulullah yang bermaksud, “Apabila berlaku kemungkaran maka ubahlah ia dengan tanganmu, dan jika kamu tidak mampu maka dengan lisanmu dan jika kamu tidak mampu maka dengan hatimu dan itulah selemah-lemah iman” Dan sebenarnya bukanlah suatu yang mudah untuk seseorang itu tampil ke hadapan, menyampaikan sesuatu ucapan atau pembentangan kecuali bagi mereka yang sememangnya dikurniakan oleh Allah Subhanahuwataala kebolehan semulajadi dapat berucap, menyampaikan ceramah dengan baik. Namun kebolehan berucap ini sebenarnya adalah suatu kebolehan yang boleh digilap dan dilatih dan boleh diperoleh apabila melalui peringkat latihan dan percubaan berulang kali di samping penyampai sendiri mempunyai ilmu berkenaan apa yang ingin disampaikan.

Bukan senang untuk memberikan ucapan


Saya teringat kisah seorang tokoh yang begitu besar sumbangan beliau kepada Islam khususnya dalam bidang penulisan. Seorang ulama kelahiran Mesir yang bernama Syeikh Anwar Jundi. Beliau seorang yang cukup banyak menulis artikel-artikel dan penulisan yang membela Islam dan menyerang tulisan-tulisan yang ditulis oleh orientalis-orientalis yang memberikan gambaran yang tidak sebenar tentang Islam namun dalam masa yang sama beliau bukanlah seorang yang suka bercakap dan berada di khalayak ramai. Beliau lebih suka untuk menyendiri di rumah, bertemankan kitab-kitab, melaksanakan rutin hariannya yang zuhud dan terus menulis dan menulis untuk menyampaikan dakwah kepada orang ramai. Suatu ketika beliau ditanya oleh Dr Yusof Al Qaradhawi berkenaan sikap beliau tersebut, beliau menjawab, “Wahai Qaradhawi, Allah telah mengurniakan engkau dan Ghazali (seorang ulama yang sezaman dengan beliau) lidah yang fasih untuk berbicara dan kebolehan untuk menulis dengan baik, sementara aku dikurniakanNya kebolehan untuk menulis dan tidak mampu untuk berucap di khalayak. Oleh itu, gunakanlah kebolehan mu yang ada dan aku pula menggunakan kebolehan yang ada pada diriku.”

Suatu yang boleh saya simpulkan disini, penting bagi seorang da’ei itu mengetahui kebolehan dan kemahiran yang dikurniakan oleh Allah kepadanya untuk dia menyampaikan risalah dakwah ini dengan sebaiknya. Tidak kisahlah samada dia adalah merupakan seorang yang pandai bercakap, mahir menulis ataupun boleh melukis, semuanya perlu dijuruskan untuk menyampaikan sesuatu yang bermanafaat kepada manusia “sampaikan daripadaku walaupun sepotong ayat” –hadith- apatah lagi keadaan masyarakat pada hari ini yang sangat memerlukan peringatan dan pengajaran.

Namun di situ pastinya ada beberapa panduan dan peringatan buat para da’ei juga dalam menyampaikan sesuatu. Umpamanya wajib menyampaikan sesuatu yang dia sendiri mempunyai ilmu mengenainya, amanah dengan ilmu, tidak membawa kepada kekeliruan dan salah faham, menyampaikan sesuatu sesuai dengan kemampuan aqal yang menerima, dan sebagainya yang pastinya memerlukan para da’ei menyedari dan mengetahuinya dengan baik.

Apapun sekiranya anda merasakan anda bukanlah seorang yang petah berkata-kata atau tidak suka untuk berdiri di hadapan orang untuk menyampaikan apa-apa, jangan sekat diri anda untuk mencuba, dan seperti apa yang saya sebutkan sebelum ini, kebolehan berucap adalah suatu perkara yang boleh dibina dan dilatih untuk satu masa yang tertentu dan bagaimana anda ingin mendapatkannya sekiranya anda sendiri menghalang diri anda untuk memulakannya. Apapun peringatan buat semua, setiap butir percakapan yang kita ucapkan kepada sesiapapun samada di hadapan umum atau sekadar bersembang dengan sahabat-sahabat, semuanya akan disoal oleh Allah. Oleh itu, penting untuk kita menyatakan sesuatu itu dengan ikhlas dan selari dengan apa yang dikehendaki olehNya walaupun kadang-kadang kita sendiri merasa pahit untuk menuturkannya.

Oleh itu, buat akhirnya. Carilah kelebihan diri masing-masing dan carilah kelebihan-kelebihan yang lain yang ada pada diri kita untuk kita gunakan dalam menyampaikan risalah dan ajaran yang ditinggalkan oleh baginda junjungan kita ini untuk kita warisi tugas tersebut dengan sebaiknya. Semoga ia dikira sebagai amal yang soleh yang akan menjadi hujah untuk diri kita mendapat keredhaan daripada Allah di sepanjang perjalanan hidup kita ini insyaAllah. Ameen ya Rabbal Alamin…

Tuesday, March 18, 2008

Janganlah Menangis...

“Kadir nak balik Malaysia bila tahun ni? Nak balik sampai raya tak?” tanya seorang sahabat semasa study group kami siang tadi.

“Kenapa?” saya menjawab dengan satu pertanyaan ringkas.

“Pihak ittihad tulab (persatuan pelajar) macam nak mintak start exam lepas raya tahun ni, so boleh la kalau nak balik study leave sampai raya. Saya pun tengah fakir-fikir nak balik ni.” kata sahabat saya tu lagi.

Tiba-tiba saya rasakan begitu ingin segera untuk pulang setelah hampir 2 tahun tidak kembali menemui keluarga tercinta. Rindu pada mak dan ayah, rindu bertemu adik-adik tersayang, rindu pada karenah Iwan yang sudah masuk ke alam persekolahan walau masih pelat lagi berkata-kata. Rindu pada semuanya. Mudah-mudahan Dia mempermudahkan segala perjalanan dan perancangan pulang saya kali ini.

Dan dalam kerinduan ini juga, saya ingin berkongsi satu lagu yang sering dinyanyikan oleh ayah saya semasa mendodoikan saya waktu kecil dahulu yang sering menyebabkan saya mengalirkan air mata.

Mak… Ayah… Doakan anakmu ini ya

Janganlah Menangis…

Janganlah menangis,
Janganlah menangis oh anakku,
Ayah dan ibu,
Selalu berada disampingmu,

Siang dan Malam,
Tak henti-henti aku berdoa,
Kelak kau dewasa,
Engkau akan membalas budi,

Lekaslah dewasa,
Lekaslah dewasa oh anakku,
Jadilah pembela
Kepada nusa dan bangsa dan agama

Tenangkanlah hatimu,
Janganlah kau menangis lagi,
Tidurlah la yang nyenyak,
Besok kita bertemu lagi…

Sunday, March 16, 2008

Himpunan Jalinan Persaudaraan...

Sedikit Iklan...

Moga Ramai-ramai dapat hadir menjayakannya.Untuk maklumat lanjut sila kunjungi http://perubatan.org/

Juga buat adinda, Tengku Mansor Tengku Zainal Abidin yang baru mendapatkan result SPM baru ini, tahniah diucapkan dan mudah-mudahan dapat melanjutkan pelajaran ke bidang yang sebaiknya. Jangan putus doa dan harap kepadaNya...

Saturday, March 15, 2008

Ya Rasulullah...

Makcik tua itu kepenatan, sudah tiada kudrat lagi untuk meneruskan perjalanan memikul bebanan yang terpaksa dibawa bersama ke destinasi yang ingin ditujuinya. Mujurlah ketika itu, hadir seorang pemuda yang sudi memberi pertolongan.

“Makcik, sudikah makcik jika saya membantu makcik mengangkat barang itu?”

Makcik tua itu cukup gembira. dalam kesibukan bandar makkah itu masih ada orang yang berhati mulia yang sudi menghulurkan bantuan. “Terima kasih nak. Moga Allah merahmati dirimu”

Pemuda itupun mengangkat barang makcik itu dan mengiringinya ke tempat yang ingin ditujui. Sesampai di situ makcik itu pun berbicara. “Sungguh kamu seorang pemuda yang begitu mulia nak. Sukar untuk menemui insan dan pemuda yang baik sepertimu sekarang ini. Namun hanya satu pesan yang ingin titipkan kepadamu. Berhati-hatilah kamu dengan seorang yang bernama Muhammad bin Abdullah kerana aku mendengarkan bahawa dia ini seorang pemuda yang cukup buruk perangainya, sedang membawa ajaran baru yang menidakkan tuhan-tuhan kita yang memisahkan ibu bapa dan anak-anaknya, tuan dan hambanya.”

Lalu dijawab oleh pemuda tadi. “Makcik kenalkah siapa dia Muhammad bin Abdullah itu?”

“Tidak!” balas makcik itu.

“Makcik, sayalah Muhammad bin Abdullah yang dikata-katakan itu”

Sejak dahulu lagi musuh islam cuba memburuk-burukkan junjungan kita Nabi Muhammad yang kita kasihi dan hingga hari ini masih ada lagi musuh-musuh Islam yang berusaha menghina dan memperkatakan perkara yang tidak sepatutnya tentang baginda termasuklah karikatur yang dikeluarkan oleh akhbar denmark dan yang terbaru filem yang mempunyai unsur penghinaan tersebut.

Justeru apa tindakan kita ya? proteskan kita? marahkah kita? sensitif kita? atau kita masih sibuk membicarakan hal-hal permusuhan sesama kita dan meninggalkan tugas kita yang ditinggalkan baginda supaya mengimarahkan dunia ini dengan amar ma’ruf nahi mungkar, hidup penuh kasih sayang, berusaha menegakkan islam dimana jua kita berada dan sebagainya.

Moga ketibaan bulan kelahiran baginda ini lebih mendekatkan kita dan membekaskan rasa cinta yang lebih mendalam terhadap baginda…

Ya Rasulullah. Tiada yang paling kami cintai dalam hidup ini selain daripada Allah dan RasulNya . Ya Allah,bantulah kami menterjemahkan rasa cinta kami ini menerusi percakapan dan perilaku kami…

Ikuti kisah kisah rindu Saidina Bilal terhadap baginda Rasul di ulamaummah.

Berita terbaru di Utusan,Hina nabi, OIC akan bertindak Bila Pengerusi OIC bertukar kepada Senegal baru OIC bertindak ya.... :)

Thursday, March 13, 2008

Case untuk hari ini

Name: Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin
Age : 24 years old
Sex : Male
Marital Status : Single
Residense : Sayeeda Zainab
Occupation : Student
Special habit : Drink a lot of tea and coffee,

Complaint of:
Shortness of breath at night and cough

History of present illness:
The patient complained of coughing for a week of duration and shortness of breath usually at night. Also having sense of fatigue waking up in the morning. His sleep is not disturbed from any condition.

The condition is exacerbated after meal and before sleep when the patient lying down. All the other systems is not affected. The general condition is normal. The patient is concious, well oriented, average intelligent and good mood and memory. The bloog pressure is normal 120/80. Temperature 37 C. The pulse rate is regular, 60 beats per minute, normal and equal in volume, and do not have any special character.

For Local Examination on the chest, the breath is normal, the shape is normal, TVF is equal, no adventitios sound, no ronchi or crepitation,

Past History:
The patient had complained about dyspnea and chest pain before and was diagnosed to have gastritis.

Family History :
Nobody of his family having the same conditioned except his little brother was previously noticed to have bronchial asthma.

Ok, so tu la case untuk malam ini, investigation apa-apa tak buat lagi, cuma kalau nak investigate mungkin kena lakukan,

1. Spirometry
2. Peak Expiratory flow test
3. chest X-Ray
4. Test of sputum for any infection.

Emmm apa ya differential diagnosis untuk case di atas, bronchial asthma kah? Bronchitis kah? COPD kah? Atau fibrosis. Wah teruk-teruknyer diagnosis anda. Apapun doa-doakanlah penulis blog ini sihat-sihat je ya. Belum tahu ingin pergi jumpa doktor atau tidak dan sebenarnya saya sendiri secara jujur makin malas hendak bertemu doktor-doktor di sini. Entah kenapa, Apapun doktor Khalid dalam round sebelum ini pernah berkata, “The doctor is the worst patient, they dont follow the instruction and change everything” mungkin Ok lah, mahu beradu dahulu. Hingga jumpa lagi. Jazakumullah Khairan Kathira...

Wednesday, March 12, 2008

Pengalaman Silam...

Kempen Kecemerlangan Kendiri
“Anjakan Paradigma Mengubah Diri”
Biro Akademik PERUBATAN 2007/2008
-----------------------------------------
Kempen Motivasi
Minggu ke 4 - Pengajaran Silam


Seorang junior saya datang ke rumah, Faiz namanya. Meminta saya membuka sebuah file dari thumbdrivenya. Sekeping borang yang perlu saya isikan. Antaranya ialah soalan berkenaan

5 Ways to Keep Myself Motivated and Keep My Interest in Medicine Going (English bleh Malay bleh Arabic bleh)

Saya memilih menulisnya di dalam BM

1. Selalu ingat bahawa apa yang saya buat ini (belajar medicine) adalah untuk Allah dan RasulNya dan untuk umat Islam

2. Sabda Rasulullah, “Berdirilah kamu pada tempat yang telah Allah tentukan buat dirimu” Jadi mungkin ini (menjadi doktor) adalah sesuatu yang Allah telah tentukan buat diri saya maka perlu untuk saya laksanakannya dengan bersungguh-sungguh

3. Selalu ingat ibu dan ayah, pengorbanan dan harapan yang tinggi yang diletakkan kepada kita untuk menjadi seorang yang berguna.

4. Kata Imam As Syafei “Ilmu itu ada dua, ilmu feqah untuk agama dan ilmu perubatan untuk kesihatan badan” Justeru, saya memilih salah satu ilmu ini sebagai bidang saya.

5. Teringat kata-kata seorang sahabat ni, “Kalau kau tak jadi doctor, kau nak jadi apa lagi?” Jadi, berusahalah untuk menjadi seorang pelajar perubatan yang cemerlang sebelum menjadi seorang doktor muslim yang berbakti kepada agama.

Jadi, itulah antara 5 perkara yang sering saya ingatkan diri setiap kali down atau tidak bersemangat. Apapun itu adalah kata-kata yang keluar daripada seorang penuntut yang tidaklah terlalu cemerlang dalam akademiknya apabila hanya dapat mendapatkan pangkat jayyid saban tahun. Jika ada anugerah untuk pangkat Jayyid Bissyaraf mungkin saya mampu untuk mendapatkannya.Mungkin itu yang telah ditentukan untuk saya setakat ini dan insyaAllah saya akan berusaha dan berharap untuk mendapatkan yang lebih baik untuk tahun lima ini.

Apapun sebenarnya yang paling penting saya rasakan apabila seorang yang ingin memilih bidang perubatan ini dan untuk terus kekal di atas landasannya ialah minat yang mendalam, berkemampuan dan tawakkal kepadaNya sentiasa.

Baiklah itu saja buat kali ini.Jam sudah menunjukkan jam 1:40 pagi.Perlu berehat untuk kelas hari esok akan berjalan seperti biasa. Jadual tidur dan study saya masih tidak menentu. Mungkin saya perlukan masa untuk menyusun kembali jadual rutin kehidupan saya. untuk itu mungkin saya perlu bertenang sebentar... Doakan saya ya!

All da best buat semua.Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Tuesday, March 11, 2008

)

"Abang kadir! Abang Kadir balik tahun ni Abang Kadir?" Tanya seorang junior.

"Kenapa, tengoklah insyaAllah" balas saya.

"Kalau Abang Kadir balik,Abang Kadir nak extend tak cuti balik lepas raya sini balik?"

"Oooh ana kalau balik lepas xm pun memang akan balik sampai raya la, tapi raya haji la sebab xm ana tahun ni start bulan sembilan habis bulan sebelas" jawab saya lagi sambil tersenyum.

Pulang...

Memandangkan kini sudah berada di bulan tiga, sudah ramai antara pelajar-pelajar perubatan di sini yang sudah berkira-kira membuat perancangan untuk pulang ke Malaysia tiga atau empat bulan yang akan datang. Masing-masing pun sudah mula untuk survey-survey flight mana yang sesuai dan harga mana yang berpatutan untuk pulang pada kali ini walaupun mungkin ramai juga antaranya yang akan pulang untuk kali pertama.(tahun satu pun dah nak balik juga)

Apapun ramai juga yang memilih untuk menghabiskan cuti yang ada dengan tinggal di Mesir ini menuntut apa yang dapat dituntut sepanjang cuti musim panas yang akan dilalui selama tiga bulan itu untuk menambahkan ilmu-ilmu agama yang ada melalui kelas-kelas tafaqquh yang sememangnya banyak dianjurkan sepanjang cuti tersebut.

Untuk PERUBATAN juga mungkin akan ada pelan-pelan tertentu dan program-program yang dirancang untuk dilaksanakan sepanjang cuti musim panas yang akan datang samada di Mesir ataupun di Malaysia.Apapun just tunggu sahaja apa yang akan berlaku.

Dalam pada itu, tidak kurang juga yang masih lagi dalam dilema samada mahu pulang ataupun tidak. Ikut hati nak duduk saje kat sini, habiskan cuti dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.Tapi nun sana di Malaysia panggilan pulang dari bonda tercinta meminta untuk segera pulang kerana rindu yang terlalu menggamit terhadap anakanda yang dikasihi. Begitu pula adanya yang mahu pulang habiskan cuti di Malaysia kerana mungkin tidak tahan dek kepanasan musim soifi nanti akan tetapi bonda pula berkata "takyah balik la kali ni, duk je la dulu kat Mesir tu, tuntut apa-apa ilmu.Balik pun bukan ada ape-ape nak buat pun "

Begitulah...namun apa yang mungkin ingin saya pesan dalam kesempatan ini, walau apa keputusan yang kita buat, penting untuk kita melihat bahawa apa sahaja yang kita ingin lakukan, keberkatan dan keredhaan Allah yang kita mahukan dan perkara ini berkadar langsung dengan keredhaan Ibu bapa kita. Itu yang selalu saya bisikkan kepada diri sendiri setiap kali membuat apa-apa keputusan pun. kata-kata ibu bapa yang perlu diutamakan dan kiranya kita tidak sependapat dengan ibu bapa kita, perlu untuk kita terangkan apa yang kita inginkan dengan sebaiknya agar mereka tidak berkecil hati. Namun jika mereka masih lagi menginginkan sesuatu yang tidak selari dengan apa yang kita mahukan maka dahulukanlah keinginan mereka selagi tidak bercanggah dengan perintah dan ajaranNya. Setiap detik dan setiap masa.

Mungkin pada pandangan kita, "ala ruginya kalau balik Malaysia, bukan boleh buat ape pun. duk rumah je" tapi percayalah disitu ada keberkatannya apabila kita melakukannya kerana patuh dan atas rasa kasih sayang kita kepada ayah dan bonda.Dan itulah yang sebenarnya yang kita inginkan dalam hidup ini.

Dan untuk mereka yang mak dan ayah tak cakap apa-apa samada "pulanglah" atau "tidak payahla pulang" buatlah penilaian sendiri dengan sebaiknya. Mungkin ini peluang buat anda untuk hidup berdikari keyla hingga jumpa lagi. Ilalliqa'

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Sunday, March 9, 2008

Negaraku Malaysia...

Semalam adalah hari yang cukup seronok. Cukup mengembirakan. Dan mungkin cukup bererti bagi insan-insan yang selama ini sering melaung-laungkan keadilan dan kesejahteraan buat negara tercinta Malaysia.Kegembiraan yang pada pengamatan saya mungkin turut dikongsi oleh mereka di dalam BN sendiri bagi memberikan mesej kepada pemimpin mereka untuk tidak terlalu angkuh di dalam pentadbiran.

Dengan lima buah negeri yang dimenangi oleh pakatan BA, dan penafian 2/3 majoriti BN di parlimen mudah-mudahan akan memberikan signal kepada semua pihak agar melaksanakan pentadbiran dengan lebih telus dan bersih, jika tidak, anda akan merasai padahnya pada PRU ke 13 nanti. Walau sedikit sedih apabila negeri sendiri masih tidak dapat dimenangi kembali, setinggi-tinggi syukur kepadaNya atas kurniaan rasa kegembiraan ini. Mungkin rakyat Terengganu akan boleh kembali menilai dan cuba melakukan sesuatu juga pada PRU yang akan datang.

Apapun yang penting, pilihanraya telah berlalu, kemenangan telah dicapai dan bagaimana untuk diisi kemenangan tersebut. Doa saya agar pemimpin-pemimpin yang dipilih dapat melaksanakan amanah ini dengan telus bagi mengubah dan menyediakan landskap baru bagi Malaysia untuk kemaslahatan generasi yang akan datang. Yang kalah juga tidak lari daripada tanggungjawab yang sama. Teruskan dakwah, teruskan mendidik dan mengislah diri dan masyarakat, kembali ke medan 4 ke 5 tahun lagi yang akan datang.




"Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Mekah); Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai; Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat."

Saturday, March 8, 2008

Boikot atau tak boikot?

Sebelum pergi dengan lebih jauh, entry ini tiada kaitan berkenaan fitnah yang dilakukan dan penyebaran berita bahawa PAS mengarahkan untuk semua ahlinya memboikot pilihanraya ke 12 ini. Sekian dimaklumkan

boikot


Sekali lagi sikap biadab yang ditunjukkan oleh akhbar Denmark, apabila mereka telah menyiarkan kembali kartun yang menghina Rasulullah. Apa yang kita semua telah lakukan untuk membela baginda wahai sahabat-sahabatku sekalian? Mari kita boikot produk-produk Denmark sebagai protes perbuatan mereka itu!” Seru khatib yang berdiri di mimbar memberikan khutbah pada hari itu.

“Apa yang akan kita jawab apabila kita berhadapan dengan Allah dan baginda Rasulullah di akhirat kelak, di kala aku dicerca dan dihina, apa yang telah engkau lakukan untuk membela aku? Apa yang akan kita jawab tuan-tuan sekalian?” Sekali lagi beliau melontarkan pertanyaan itu kepada hadirin yang hadir.

Saya ketika itu berada di saf yang agak ke belakang pada hari itu, sebetulnya hari itu saya dan sahabat-sahabat satu universiti yang lain berada di Mustapha Nuhas untuk satu program gathering bagi universiti Ain Shams dan Al Azhar di Rumah Johor.

Hati saya terusik seketika. Sebetulnya saya berasa sedih dengan apa yang berlaku, sikap biadab yang ditunjukkan oleh kuffar ini dan melihatkan betapa lemahnya umat ini di kala ini hingga Nabi boleh dihina sebegitu sekali. Perkara ini telah berlaku sekitar dua tahun yang lalu apabila isu lukisan karikatur menghina Rasulullah ini telah dilakukan oleh akhbar dari negara yang sama yang telah mengundang reaksi pelbagai oleh semua pihak. Ada yang melakukan demonstrasi, ada yang menyerang kedutaan Denmark di negara masing-masing, ada yang melakukan boikot dan tidak kurang yang melakukan cubaan untuk membunuh pelukis yang melakukan perkara tersebut. Dan semua reaksi dan tindakan ini pastinya mengundang persepsi yang pelbagai dari semua pihak. Isu ini tidak lama kemudiannya reda sehinggalah dua,tiga minggu yang lalu apabila mereka kembali menyiarkannya.

Dalam round internal medicine baru-baru ini juga, Dr Ahmad Hamdi, seorang profesor yang pada pengamatan saya seorang yang zuhud dan warak (mungkin juga salah seorang anggota ikhwan di sini) telah bersoal jawab dengan pelajar-pelajar berkenaan isu ini dan saranannya untuk sama-sama memboikot barangan dari Denmark. Ada yang bersetuju dan tidak kurang yang tidak. Saya berminat untuk sama-sama berkongsi pendapat seorang sahabat saya ini yang berani berdebat dengan Dr Ahmad Hamdi berkenaan isu ini, seorang yang sebenarnya berfikiran sedikit liberal dan dalam waktu lainnya pula seorang yang cukup mesra dan menjaga persahabatan terutama dengan saya berbanding sahabat-sahabat berbangsa Mesir yang lain, Bassant.

“Saya tidak bersetuju dengan saranan tersebut kerana ini akan membawa kepada kezaliman kepada rakyat Denmark yang tidak berdosa, mungkin antara mereka tidak menyukai dan tidak bersetuju dengan apa yang telah dilakukan oleh akhbar tersebut dan tidak sewajarnya mereka turut dihukum dalam soal ini. Pemboikotan akan menyebabkan mereka teraniaya” kata beliau

Dr Ahmad Hamdi cuba menjawab dengan mengatakan, “penduduk di Denmark sendiri boleh memberikan protes yang sama dengan melakukan demonstrasi mengutuk tindakan tersebut supaya tindakan diambil keatas mereka yang terlibat, namun apa yang kita lihat mereka tidak melakukannya. Tindakan boikot yang dilakukan ini pastinya akan memberi isyarat kepada kerajaan Denmark sendiri supaya mengambil tindakan kepada mereka yang terbabit dan menyedarkan semua bahawa umat Islam bersatu dalam membela Nabi mereka ketika dihina.”

Bassant kembali membalas, “Namun dalam apa-apa perkara pun kita sepatutnya melihat mengapa perkara dan isu ini boleh berlaku, saya pernah membuat research berkenaan perkara ini, dan apa yang dapat saya lihat adalah tindakan tersebut berlaku kerana orang-orang yang berada di Denmark berasa jelak dan tidak selesa dengan akhlak buruk yang ditunjukkan oleh orang-orang Islam yang berada di sana yang menyebabkan mereka menghina Nabi Muhammad sebagai guru dalam menyebarkan ajaran tersebut. Di tambah dengan isu yang mengatakan bahawa umat Islam adalah golongan terorist”

“Alasan tersebut tidak dapat diterima, bagaimana mereka dapat menyimpulkan sebegitu mudah berkenaan Nabi Muhammad dan ajaran yang dibawanya sebelum mengkaji dan mendalami apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad kepada umatnya. Apa yang berlaku apabila umat Islam di sana mempamerkan akhlak yang tidak baik jelas bertentangan apa yang diajarkan oleh Islam. Saya tidak memberikan atau mengetengahkan apa-apa hukum berkenaan tindakan pemboikotan ini samada wajib, sunat atau sebagainya, cuma saya ingin bertanya kepada hati-hati kamu semua, bertanya kepada iman kamu semua berkenaan apa yang mampu kamu lakukan dalam membela Nabi kamu ini. Dan ini sebenarnya bukan kerana ini berlaku kepada agama Islam sahaja, bahkan ia adalah merupakan suatu yang bercanggah dari segi moral apabila sesuatu agama itu dihina tanpa kebenaran. Islam juga tidak membenarkan untuk kita mengada-adakan berkenaan sesuatu agama yang lain kecuali untuk menyatakan perkara-perkara yang jelas berkenaan sesuatu agama itu” jelas Dr Ahmad untuk memahamkan kami berkenaan isu yang diperkatakan ini.

Saya tidak pasti samada Bassant berasa puas dengan penjelasan yang diberikan Dr Ahmad ataupun tidak apabila dia berkata “saya secara peribadinya memang boleh untuk memboikot barang-barang dari Denmark itu apatah lagi barang-barangnya memang mahal tapi saya cuma tidak bersetuju jika adanya gerakan yang menyeru kepada pemboikotan tersebut secara besar-besaran”

Begitulah antara intipati perbincangan yang berlaku, yang pastinya Bassant dan Dr Ahmad kemudiannya bersalaman dan bermanis muka sebelum berpisah setelah tamat sessi round kami pada hari itu.

Jadinya bagaimana? Anda juga mesti punya pendapat dan persepsi sendiri bukan? Bagaimana pula saranan dan kempen untuk memboikot barang-barang yang datangnya daripada amerika dan israel bagi memprotes tindakan mereka terhadap sahabat-sahabat kita di Palestin. Ada pula hujah-hujah yang menyatakan bahawa tindakan itu tidak harus kerana ini akan menyebabkan pekerja-pekerja mesir yang bekerja di syarikat-syarikat yang terlibat seperti KFC, PIZZA HUT, Starbucks atau sebagainya akan hilang mata pencarian sedang di Mesir memang sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Begitu juga dengan kata-kata, “Alah, kalau kita je yang boikot takder kesan ape-ape pun. Yang pasti amerika dan israel akan tetap menyerang palestin dalam apa jua bentuk dan keadaan kerana mereka sememangnya jahat dan kejam” dan pastinya pelbagai lagi pendapat pro dan kontra berkenaan isu pemboikotan ini.

Baiklah saya meninggalkan sahabat-sahabat dengan persoalan tersebut, samada boikot atau tidak boikot semuanya terserah kepada sahabat-sahabat. Cuma apa yang boleh saya sebutkan, di kala sahabat-sahabat kita di Palestin saban ketika dan waktu sentiasa berada di dalam ketakutan, ancaman dibunuh pada bila-bila masa, tidak dapat merasai nikmat dunia yang kita rasakan sekarang, apa tindakan yang telah kita lakukan. Berdoakah kita setiap hari buat mereka? Apa usaha yang telah kita lakukan untuk menyedarkan sahabat-sahabat kita yang lain bahawa umat ini makin dipijak makin diratah apabila kita tidak kuat dan berusaha mendaulatkan agamaNya dimuka bumi ini. Apabila kita lebih cintakan kehidupan kita di dunia dan bencikan kematian yang pasti.

Apapun indahnya Islam, apabila semua dugaan yang dihadapi di dunia ini ada ganjarannya yang besar apabila bertemuNya di akhirat kelak. Mungkin kedudukan sahabat-sahabat kita di Palestin lebih tinggi di sisi Allah sekiranya mereka sabar menghadapi apa yang berlaku. Moga Allah meletakkan diri kita dan mereka antara hamba-hambaNya yang dekat dan sentiasa mengharapkan belas kasihNya di akhirat kelak.

Baiklah hingga jumpa lagi. Berdebar-debar menunggu keputusan pilihanraya yang akan berlaku. Moga Islam kan dapat bersinar cemerlang di negaraku Malaysia...

Jazakumullah Khairan Jaza’...

Thursday, March 6, 2008

Jom Makan-makan...

Assalamualaikum warahmatullah...

Sekadar mahu mengajak semua sahabat-sahabat di Kaherah yang berkelapangan untuk sama-sama mengisi perut di Rumah Kelantan sempena bazaria yang sedang berlangsung ini. Hari ini hari lastnya insyaAllah. Saya pun insyaAllah sedang-sedang berkira -kira untuk ke sana selepas kuliah nanti. Kalau ada kesempatan boleh la jumpa nanti di sana ya. See you all insyaAllah.

Jazakumullah Khairan, Seeru 'ala barakatillah...

Photobucket

ps: yang berpuasa sunat moga barakah buat semua, yang mampu untuk bangun bermunajat, lakukanlah moga moral dan rohani kita kuat menghadapi segala dugaan yang mendatang...

Masa untuk berubah...

Dalam kalut-kalut hendak ke kuliah, saya terpandang sebuah buku di meja Wafi, Islam and The West from Asad’s point of view karangan Safwat M Halilovic. Saya capai buku itu dan membawanya bersama untuk ke kuliah dan sebenarnya memang menjadi kebiasaan saya untuk membawa bersama sesuatu untuk dibaca sepanjang perjalanan pergi dan balik ke kuliah menaiki metro yang mengambil masa selama hampir satu jam itu.

Sebetulnya saya tidak pernah mengenali tokoh ini, Muhammad Asad atau nama sebelum Islamnya Leipold Weiss. Seorang yang dilahirkan dari keluarga yang kuat pegangannya terhadap agama jews sehingga mendapat pendidikan yang cukup baik berkenaan agama yahudi daripada kitab talmud, menguasai bahasa ibrani dengan baik yang seterusnya membantunya untuk memahami bahasa arab. Beliau kemudiannya mula sangsi dengan ajaran yang dibawa oleh Agama Yahudi yang menganggap bangsa Israel sebagai golongan pilihan Allah di dunia sementara semua bangsa selain dari bangsa Israel wajib dibunuh dan dimusnahkan serta ajaran yang mengatakan bahawa Islam diasaskan dan disebarkan melalui darah dan pedang. Beliau yang kemudiannya mula berkenalan dengan paderi kristian untuk lebih mengenali agama tersebut akhirnya tertarik dengan Islam yang membawa kepada keislaman beliau ketika berusia 26 tahun dan seterusnya menginfaqkan diri sepenuhnya untuk perjuangan dan dakwah Islam sehingga menjadi fenomena di eropah dan menjelaskan berkenaan Islam yang sebenar kepada masyarakat Eropah.

Saya sebenarnya tertarik dengan apa yang dibawa dan diceritakan oleh Muhammad Asad, pandangan dan teorinya berkenaan ‘civilisation’ di barat dan Eropah yang ada pada hari ini, yang sebenarnya berasal daripada ketamadunan Islam pada suatu ketika dahulu. Beliau menceritakan bahawa suatu ketika dahulu ketika barat berada di dalam kegelapan, masyarakat mereka berada di bawah pentadbiran gereja yang kolot dan tidak membenarkan pencabahan ilmu yang membawa kepada pertembungan antara ajaran kristian dan penemuan semasa. Oleh itu, ramai cendekiawan dan ahli sains pada ketika itu yang dihukum dengan kejam dan dicop gila kerana membawa sesuatu yang baru dan bercanggah dengan apa yang dibawa oleh agama Kristian.

Sehinggalah Islam muncul sebagai sebuah tamadun yang disegani pada zaman keemasan mereka apabila munculnya nama-nama seperti Al Khawarizmi, Ibn Sina, Ibn Khaldun, Ar Razi, Al Biruni dan lain-lain lagi yang membuka ruang kepada bercambahnya ilmu-ilmu sains yang ada sehinggalah hari ini kita dapat melihat perkembangan ilmu-ilmu yang ada yang begitu pesat sifatnya. Kenapa ini berlaku? Kerana berbeza dengan agama kristian, Agama Islam sendirilah yang menyeru kepada umatnya untuk berkejar-kejar dalam menuntut ilmu. Dalam turutan firman Allah dan petikan sabda-sabda baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kita dapat menemukan pelbagai dalil yang menyeru kepada maksud ini. Antaranya:

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Allah mengajarkan Adam nama kesemuanya”

Sabda Nabi SAW.
“Menuntut ilmu wajib kepada semua muslim”

dan

“Barangsiapa yang memudahkan seseorang untuk menuntut ilmu, dimudahkan Allah baginya untuk ke syurga”

Dan berbagai-bagai lagi saranan yang menjurus kepada umat ini berlumba-lumba dalam menuntut ilmu, mencari kemajuan dalam kehidupan di dunia tanpa melupakan dan meringankan hal-hal berkaitan kehidupan selepas mati, di hari akhirat.

Bermula dari sinilah, barat dan eropah mula melakukan suatu gerakan yang dikenali sebagai ranainsance yang mengeluarkan masyarakat mereka yang sedang berada di zaman yang gelap itu untuk kembali berguru dengan masyarakat Islam dan membawa ilmu tersebut ke tempat mereka kemudian mengembangkan ilmu tersebut. Mereka cuba untuk lari dari pengaruh gereja dengan memisahkan terus aspek keduniaan dan aspek agama dengan kata lain, pihak gereja hanya berkuasa membicarakan hal berkaitan agama sementara perkembangan ilmu lain yang bersifat keduniaan adalah dipegang oleh golongan tertentu yang kita kenali sebagai sekularisme.

Maka sepertimana yang kita dapat lihat, perkembangan ilmu yang berada di barat membawa mereka kepada kemajuan mereka pada hari ini. Namun begitu, di sana kita juga dapat sama melihat bagaimana kemajuan yang dikecapi barat itu juga sebenarnya kosong, tidak bernyawa kerana pemisahan aspek keagamaan dalam pembangunan tersebut turut membangunkan masyarakat yang rendah moralnya, jatuh akhlaknya sehingga boleh membawa kepada keruntuhan kepada tamadun yang dibina. Dalam kemajuan yang dikecapi, perlakuan jenayah, seks bebas dan pelbagai lagi gejala sosial dapat kita lihat. Tambah menyedihkan lagi apabila bangsa, dan masyarakat di negara-negara umat Islam pada hari ini juga, bukan sahaja jauh mundur ke belakang setelah kejatuhan khilafah pada tahun 1922 dahulu bahkan turut tertempias dengan kejatuhan moral yang berlaku ini.

Justeru apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana untuk umat ini kembali gemilang?

Mungkin dari situ juga timbul kesedaran di negara kita sendiri untuk kembali mendaulatkan Islam ini ketempatnya dengan memperkenalkan gagasan Islam Hadhari, agar Islam yang sifatnya tinggi dan tiada lagi yang lebih tinggi daripadanya akan dapat dikembalikan gahnya. Namun segala bentuk pembangunan yang kita usahakan untuk umat ini tidak akan dapat dicapai dengan sebaiknya sekiranya aspek pembangunan insan yang faham dan mengerti berkenaan agama yang dianutinya itu tidak dapat kita laksanakan.

Dan bagaimana mungkin jika untuk kita melahirkan masyarakat yang mengerti ini sekiranya mereka yang menjadi pemimpin dan menggerakkan gagasan ini sendiri tidak meyakini akan apa yang diperjuangkan sebagaimana kata seorang menteri yang mengatakan bahawa “Apa yang diperjuangkan kerajaan berkenaan Islam Hadhari ini sebenarnya adalah suatu yang kerajaan sendiri tidak meyakininya”

Dan bagaimana masyarakat yang baik dan berakhlak juga dapat dilahirkan sekiranya wakil rakyat yang akan dipilih sanggup untuk menyajikan persembahan separuh bogel untuk tatapan rakyatnya. Pening saya memikirkannya. Loya dan muntah dibuatnya. Belum lagi dibicarakan berkenaan salah guna kuasa kezaliman dan jenayah yang berlaku di mana-mana di dalam negara yang cukup memberikan rasa tidak selamat kepada rakyat jelata.

Saya tidak pasti mengapa tiba-tiba saya boleh mengaitkan apa yang diceritakan oleh Muhammad Asad berkenaan civilisation barat dan pengaruh yang diberikan oleh tamadun Islam sebelumnya dengan realiti yang kita hadapi di negara kini. Cuma apa yang saya dapat lihat, Islam yang ada di Malaysia dan usaha-usaha untuk kembali menggemilangkannya hanyalah suatu yang retorik sekiranya aspek-aspek rohani, suasana dan iklim islamik tidak dapat diwujudkan di Malaysia apatah lagi apabila pemimpinnya sendiri diselubungi dengan pelbagai salahlaku, penipuan dan kezaliman.

Apa yang boleh saya harapkan, mungkin pada zaman saya, mungkin pada zaman anak-anak saya atau mungkin cucu cicit saya, saya impikan Malaysia suatu ketika nanti akan dapat menjadi sebuah negara yang unggul Islamnya dari sudut pembangunan fizikal dan spiritualnya, menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain dan disegani kawan dan lawanya. Apapun masih belum terlambat sekiranya kita mampu untuk cuba mengubah suasana dan iklim yang ada ini dalam pilihanraya yang akan datang.

Rasanya setakat itulah ruang untuk saya bercerita pada kali ini, setelah agak lama tidak kembali ke sini. Buat sahabat-sahabat di Malaysia saya doakan agar terus tabah dan thabat dalam perjuangan dan buat sahabat-sahabat seaqidah di seluruh dunia terutamanya pejuang-pejuang yang berada di Palestin, Moga Allah merahmati kalian dan bersabarlah di atas ujian yang melanda. Janjinya kebahagian di kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Sebelum berpisah saya ungkapkan kembali kata-kata Profesor Victor Robinson ketika membandingkan keadaan eropah dan Andalusia pada suatu ketika dahulu; “Europe was dark at sunset whiele Cordoba shone with public lamps; Europe was dirty while Cordoba built a thousand baths; Europe was covered with vermin while Cordoba changed its undergarment daily...”

Kita boleh kembali seperti dahulu dan masanya untuk kita berubah...