Saturday, March 8, 2008

Boikot atau tak boikot?

Sebelum pergi dengan lebih jauh, entry ini tiada kaitan berkenaan fitnah yang dilakukan dan penyebaran berita bahawa PAS mengarahkan untuk semua ahlinya memboikot pilihanraya ke 12 ini. Sekian dimaklumkan

boikot


Sekali lagi sikap biadab yang ditunjukkan oleh akhbar Denmark, apabila mereka telah menyiarkan kembali kartun yang menghina Rasulullah. Apa yang kita semua telah lakukan untuk membela baginda wahai sahabat-sahabatku sekalian? Mari kita boikot produk-produk Denmark sebagai protes perbuatan mereka itu!” Seru khatib yang berdiri di mimbar memberikan khutbah pada hari itu.

“Apa yang akan kita jawab apabila kita berhadapan dengan Allah dan baginda Rasulullah di akhirat kelak, di kala aku dicerca dan dihina, apa yang telah engkau lakukan untuk membela aku? Apa yang akan kita jawab tuan-tuan sekalian?” Sekali lagi beliau melontarkan pertanyaan itu kepada hadirin yang hadir.

Saya ketika itu berada di saf yang agak ke belakang pada hari itu, sebetulnya hari itu saya dan sahabat-sahabat satu universiti yang lain berada di Mustapha Nuhas untuk satu program gathering bagi universiti Ain Shams dan Al Azhar di Rumah Johor.

Hati saya terusik seketika. Sebetulnya saya berasa sedih dengan apa yang berlaku, sikap biadab yang ditunjukkan oleh kuffar ini dan melihatkan betapa lemahnya umat ini di kala ini hingga Nabi boleh dihina sebegitu sekali. Perkara ini telah berlaku sekitar dua tahun yang lalu apabila isu lukisan karikatur menghina Rasulullah ini telah dilakukan oleh akhbar dari negara yang sama yang telah mengundang reaksi pelbagai oleh semua pihak. Ada yang melakukan demonstrasi, ada yang menyerang kedutaan Denmark di negara masing-masing, ada yang melakukan boikot dan tidak kurang yang melakukan cubaan untuk membunuh pelukis yang melakukan perkara tersebut. Dan semua reaksi dan tindakan ini pastinya mengundang persepsi yang pelbagai dari semua pihak. Isu ini tidak lama kemudiannya reda sehinggalah dua,tiga minggu yang lalu apabila mereka kembali menyiarkannya.

Dalam round internal medicine baru-baru ini juga, Dr Ahmad Hamdi, seorang profesor yang pada pengamatan saya seorang yang zuhud dan warak (mungkin juga salah seorang anggota ikhwan di sini) telah bersoal jawab dengan pelajar-pelajar berkenaan isu ini dan saranannya untuk sama-sama memboikot barangan dari Denmark. Ada yang bersetuju dan tidak kurang yang tidak. Saya berminat untuk sama-sama berkongsi pendapat seorang sahabat saya ini yang berani berdebat dengan Dr Ahmad Hamdi berkenaan isu ini, seorang yang sebenarnya berfikiran sedikit liberal dan dalam waktu lainnya pula seorang yang cukup mesra dan menjaga persahabatan terutama dengan saya berbanding sahabat-sahabat berbangsa Mesir yang lain, Bassant.

“Saya tidak bersetuju dengan saranan tersebut kerana ini akan membawa kepada kezaliman kepada rakyat Denmark yang tidak berdosa, mungkin antara mereka tidak menyukai dan tidak bersetuju dengan apa yang telah dilakukan oleh akhbar tersebut dan tidak sewajarnya mereka turut dihukum dalam soal ini. Pemboikotan akan menyebabkan mereka teraniaya” kata beliau

Dr Ahmad Hamdi cuba menjawab dengan mengatakan, “penduduk di Denmark sendiri boleh memberikan protes yang sama dengan melakukan demonstrasi mengutuk tindakan tersebut supaya tindakan diambil keatas mereka yang terlibat, namun apa yang kita lihat mereka tidak melakukannya. Tindakan boikot yang dilakukan ini pastinya akan memberi isyarat kepada kerajaan Denmark sendiri supaya mengambil tindakan kepada mereka yang terbabit dan menyedarkan semua bahawa umat Islam bersatu dalam membela Nabi mereka ketika dihina.”

Bassant kembali membalas, “Namun dalam apa-apa perkara pun kita sepatutnya melihat mengapa perkara dan isu ini boleh berlaku, saya pernah membuat research berkenaan perkara ini, dan apa yang dapat saya lihat adalah tindakan tersebut berlaku kerana orang-orang yang berada di Denmark berasa jelak dan tidak selesa dengan akhlak buruk yang ditunjukkan oleh orang-orang Islam yang berada di sana yang menyebabkan mereka menghina Nabi Muhammad sebagai guru dalam menyebarkan ajaran tersebut. Di tambah dengan isu yang mengatakan bahawa umat Islam adalah golongan terorist”

“Alasan tersebut tidak dapat diterima, bagaimana mereka dapat menyimpulkan sebegitu mudah berkenaan Nabi Muhammad dan ajaran yang dibawanya sebelum mengkaji dan mendalami apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad kepada umatnya. Apa yang berlaku apabila umat Islam di sana mempamerkan akhlak yang tidak baik jelas bertentangan apa yang diajarkan oleh Islam. Saya tidak memberikan atau mengetengahkan apa-apa hukum berkenaan tindakan pemboikotan ini samada wajib, sunat atau sebagainya, cuma saya ingin bertanya kepada hati-hati kamu semua, bertanya kepada iman kamu semua berkenaan apa yang mampu kamu lakukan dalam membela Nabi kamu ini. Dan ini sebenarnya bukan kerana ini berlaku kepada agama Islam sahaja, bahkan ia adalah merupakan suatu yang bercanggah dari segi moral apabila sesuatu agama itu dihina tanpa kebenaran. Islam juga tidak membenarkan untuk kita mengada-adakan berkenaan sesuatu agama yang lain kecuali untuk menyatakan perkara-perkara yang jelas berkenaan sesuatu agama itu” jelas Dr Ahmad untuk memahamkan kami berkenaan isu yang diperkatakan ini.

Saya tidak pasti samada Bassant berasa puas dengan penjelasan yang diberikan Dr Ahmad ataupun tidak apabila dia berkata “saya secara peribadinya memang boleh untuk memboikot barang-barang dari Denmark itu apatah lagi barang-barangnya memang mahal tapi saya cuma tidak bersetuju jika adanya gerakan yang menyeru kepada pemboikotan tersebut secara besar-besaran”

Begitulah antara intipati perbincangan yang berlaku, yang pastinya Bassant dan Dr Ahmad kemudiannya bersalaman dan bermanis muka sebelum berpisah setelah tamat sessi round kami pada hari itu.

Jadinya bagaimana? Anda juga mesti punya pendapat dan persepsi sendiri bukan? Bagaimana pula saranan dan kempen untuk memboikot barang-barang yang datangnya daripada amerika dan israel bagi memprotes tindakan mereka terhadap sahabat-sahabat kita di Palestin. Ada pula hujah-hujah yang menyatakan bahawa tindakan itu tidak harus kerana ini akan menyebabkan pekerja-pekerja mesir yang bekerja di syarikat-syarikat yang terlibat seperti KFC, PIZZA HUT, Starbucks atau sebagainya akan hilang mata pencarian sedang di Mesir memang sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Begitu juga dengan kata-kata, “Alah, kalau kita je yang boikot takder kesan ape-ape pun. Yang pasti amerika dan israel akan tetap menyerang palestin dalam apa jua bentuk dan keadaan kerana mereka sememangnya jahat dan kejam” dan pastinya pelbagai lagi pendapat pro dan kontra berkenaan isu pemboikotan ini.

Baiklah saya meninggalkan sahabat-sahabat dengan persoalan tersebut, samada boikot atau tidak boikot semuanya terserah kepada sahabat-sahabat. Cuma apa yang boleh saya sebutkan, di kala sahabat-sahabat kita di Palestin saban ketika dan waktu sentiasa berada di dalam ketakutan, ancaman dibunuh pada bila-bila masa, tidak dapat merasai nikmat dunia yang kita rasakan sekarang, apa tindakan yang telah kita lakukan. Berdoakah kita setiap hari buat mereka? Apa usaha yang telah kita lakukan untuk menyedarkan sahabat-sahabat kita yang lain bahawa umat ini makin dipijak makin diratah apabila kita tidak kuat dan berusaha mendaulatkan agamaNya dimuka bumi ini. Apabila kita lebih cintakan kehidupan kita di dunia dan bencikan kematian yang pasti.

Apapun indahnya Islam, apabila semua dugaan yang dihadapi di dunia ini ada ganjarannya yang besar apabila bertemuNya di akhirat kelak. Mungkin kedudukan sahabat-sahabat kita di Palestin lebih tinggi di sisi Allah sekiranya mereka sabar menghadapi apa yang berlaku. Moga Allah meletakkan diri kita dan mereka antara hamba-hambaNya yang dekat dan sentiasa mengharapkan belas kasihNya di akhirat kelak.

Baiklah hingga jumpa lagi. Berdebar-debar menunggu keputusan pilihanraya yang akan berlaku. Moga Islam kan dapat bersinar cemerlang di negaraku Malaysia...

Jazakumullah Khairan Jaza’...

1 comment:

Anonymous said...

Berarti Microsoft juga bisa diboikot donk? Apalagi kalo Apple Computer, Sony, dll. juga diboikot. Ya udah deh, apa2 mesti Linux/Ubuntu.