Friday, October 31, 2008

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Orang tua-tua pernah berkata,
Genggam bara api biar sampai jadi arang,
Alang-alang mandi biar basah,
Alang-alang menyeluk pekasam,
Biar sampai ke pangkal lengan.

Begitulah!
Hidup dalam perjuangan kekadang suka kekadang berduka,
Kekadang menang kekadang kita tewas, rebah kecundang.
Namun ia tidak pernah berakhir,
Sebagaimana ia, tidak kita yang mulakan.

Hidup medan perjuangan dan ujian.
Dunia tempat menghimpun amal dan harapan.
Akhirat kekal menjadi destinasi insan bertemu Tuhan.

Tinggal satu oral lagi dan insyaAllah akan kembali menyusun gerak kerja yang tertangguh sekian lama. Mohon doa dari semua.

Jazakumullah khairan kathiraa...

Monday, October 27, 2008

Meeting with Prof Dr Mohd Hatta Shahrom

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Buat semua warga PERUBATAN yang dikasihi, hari ini, 27 Oktober 2008 akan diadakan satu pertemuan ringkas ahli-ahli PERUBATAN khususnya di sayeeda zainab dengan Prof Dr Mohd Hatta Shahrom, Presiden CUCMS Pakar Psikiatri yang juga merupakan Graduan daripada Universiti Kaherah.Pertemuan akan diadakan insyaAllah pada jam 6:30 malam di rumah saudara Yusri dan kawan-kawan.

So sama-samalah kita menghadirkan diri untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan bersua muka dengan super senior kita yang pastinya banyak perkara boleh dikongsi bersama. (hihi banyaknya sama)

Key, hingga jumpa di sana insyaAllah. Assalamualaykum warahmatullah.

Buletin PERUBATAN.org - Semarak Fitrah

Tuesday, October 21, 2008

A Stranger or a Traveler/wayfarer



On the authority of Ibn 'Umar, radiyallahu 'anhuma, who said: The Messenger of Allah, sallallahu 'alayhi wasallam, took me by the shoulder and said:

"Be in this world as though you were a stranger or a traveler/wayfarer."
Ibn 'Umar used to say: "When evening comes, do not expect (to live till) morning, and when morning comes, do not expect (to live till) evening. Take from your health (a preparation) for your illness, and from your life for your death."

[Al-Bukhari]


Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Jumaat yang lalu menemukan saya dengan hadith di atas. Hadith itu disampaikan oleh Tuan khatib dalam khutbah jumaatnya pada tengah hari itu. Ketika kami, saya dan sahabat-sahabat membantu Syazwan yang akan memulakan kehidupan baru berumah tangga di Hayyu Sabiek, kerja yang sepatutnya selesai sebelum Solat Jumaat lari daripada yang dijangkakan memaksa kami untuk berhenti sekejap menunaikan solat Jumaat di Nadi Sikah sebelum menyambung kerja memungah barang-barang Syazwan dan Asma itu kembali. Banyak juga barangnya. Keseluruhannya kami perlu berulang alik dua kali ke sayeeda zainab dan dua kali ke nadi sikah.

Ok, berbalik kepada hadith tadi, dapat kita fahami, Rasulullah telah berpesan kepada Ibn Umar supaya menganggap dunia ini hanyalah sebagai tempat persinggahan dan sebagai seorang musafir. Seorang musafir yang sentiasa berfikir dan berkira bilakah pemusafirannya ini akan berakhir untuk dia kembali ke tempat asalnya yang kekal abadi. Seorang musafir yang pastinya tidak terus mencari dan mengaut apa-apa yang ditemui di perjalanannya sewenang-wenangnya kecuali sekiranya ia pasti apa yang ditemui dan diambil itu berguna untuk digunakan di tempat tujuan kekal abadinya. Seorang musafir yang cuba untuk tidak leka dan tergoda dengan apa jua yang dijumpainya kerana semuanya itu pasti akan melambatkannya untuk tiba ke destinasi atau akan lebih malang lagi menyesatkannya dan membawanya ke tempat yang tidak dikehendakinya. Itulah falsafah seorang musafir.

Khatib itu bercerita lagi, pernah suatu ketika, seorang sahabat bertamu ke rumah Abu Dzar Radiallahu anhu, seorang sahabat Rasulullah. Lalu didapati di rumah Abu Dzarr tiada perabot-perabot yang indah, tiada alat-alatan rumah yang baik dan tidak terhias dengan selayaknya menyebabkan dia bertanya kepada Abu Dzar tentang hal itu. Lalu apa yang dijawab oleh Abu Dzar “ Aku bukannya ingin tinggal di sini (dunia) ya akhi. Dan aku tidak mahu kekal di sini. Tempat abadiku di akhirat, dan di sanalah semua perkara yang telah tersedia buat diriku”

Jawapan seorang sahabat yang yakin dan tawakkal dengan janji Allah kepadaNya. Jawapan zuhud yang tidak merasa kurang dengan kemiskinannya di dunia dan tidak berasa kecewa dengan tiadanya wang dan harta. Diri sebagai pengembara yang pastinya tidak perlu untuk bermewah-mewah dan menyombong rasa. Kalau jumpa Robin Hood habis dirompak pula akhirnya.

Baiklah, jadi begitulah bunyi hadithnya untuk renungan kita bersama. Pastinya saya tidaklah menyeru untuk sahabat-sahabat bersikap zuhud, meninggalkan segala kemewahan dan tidak berusaha mencari rezeki namun apa yang perlu kita tanamkan di hati kita tidak akan kecewa dengan kekurangan kita di dunia, kita tidak mencari-cari dan meminta dengan tidak sepatutnya dan kita tidak berusaha ‘nak rak’ mengumpul harta benda kerana semuanya akan kita tinggalkan kecuali amalan kita sahaja yang kita bawa bersama. Justeru apa jua yang kita buat, niat kita pastinya ‘itu’, mendapat kebaikan di akhirat sana.

Hidup sebagai musafir, tanpa mengetahui destinasi kita ke syurga atau ke neraka. Mudah-mudahan kita diselamatkan Allah dalam perjalanan hidup ini dan mentaqdirkan kita semua menemui syurgaNya.

Long Case Internal Medicine.

Hari ini saya berimtihan lagi. Kali ini Kes Panjang untuk subjek Internal Medicine. Untuk itu saya terpaksa keluar awal pagi ini kerana exam akan bermula seawal jam 8:00 pagi. Kira-kira jam 7:15 pagi saya melangkah keluar daripada rumah dengan penuh harapan imtihan yang bakal dilalui akan mudah dan berjalan dengan baik. Apatah lagi saya sendiri tidak cukup bersedia dan lebih fokus kepada chest case untuk kali ini.

Semuanya berjalan lancar pada pagi itu, saya diletakkan di wehdah Dr Salahuddin Abdul Baqi rais qisim Rheumatology. Qisim bagi angka giliran 325 – 346. Saya mendaftarkan diri kepada Naib dan membayar 30le, bayaran wajib terhadap semua pelajar yang akan digunakan untuk kebajikan pesakit-pesakit yang akan melalui peperiksaan ini. Dalam erti kata lain duit itu akan dibahagi-bahagikan antara semua pesakit yang terlibat. Memandangkan angka saya adalah 325 maka saya antara student yang awal dipanggil. Alhamdulillah seperti yang diharapkan saya mendapat chest patient. Saya memasuki ward, di dalamnya terdapat dua orang pesakit yang sedang diambil history oleh dua kawan saya yang lain sementara pesakit saya sendiri belum kelihatan.

Tidak beberapa lama barulah pesakit itu tiba. Saya memulakan tugasan saya. Untuk Long Case ini saya perlu mendapatkan dari History taking, general examination dan local examination terhadap pesakit tersebut.

Ia bermula dengan amat baik sehinggalah saya sampai kepada History of present Illness pesakit itu mula meminta wang dari saya supaya dia boleh memberikan kerjasama yang baik kepada saya. Dengan serba salah saya mengeluarkan wang 20le di dalam poket. Pesakit tersebut memandang wang tersebut kemudian berkata

“Eih dah? 20 le bas? Enta fi halah towilah bi 20le bas?” (Ape ni? 20 le je? Kau datang untuk xm long case bagi 20le je”

Saya sedikit tersentak dengan gelagat pakcik tersebut dan berkata memang saya tiada duit lain. Itu je yang ada. Dia mengugut untuk tidak memberikan kerjasama namun saya tetap menyuruhnya mengambil duit yang saya beri dan patuh dengan apa yang saya minta. “saya datang sini nak berexam je pakcik!”

Oleh kerana marah dan mahu cepat habis pakcik tersebut lekas-lekas menyuruh saya melakukan examination pada badannya dan memberitahu saya kesemua finding-finding yang sepatutnya saya temui dalam examination tersebut. Saya menjadi sedikit kaget namum cuba untuk tidak hilang fokus sepanjang situasi tersebut. Dalam masa yang sama pakcik itu terus menyumpah-nyumpah dan memaki saya di hadapan dua orang pesakit yang lain dan dua orang kawan saya itu (seorang egyptian, kristian dan seorang lagi pelajar bahrain) Semuanya ketawa melihat perlakuan pakcik tadi.

Pakcik itu semakin marah apabila melihat dua orang sahabat saya tadi memberikan 100le dan 70le masing-masing kepada pesakit-pesakit mereka dan sambil merungut-rungut pakcik itu mengoyakkan duit not 20 le itu dan dicampakkan ke katil. Saya melihat perlakuan pakcik itu dengan perasaan sayu, mengapalah sampai begini sekali pakcik ini bertindak?

Akhirnya seorang doktor masuk ke dalam ward dan bertanya siapa yang telah selesai melakukan pemeriksaan. Pakcik tersebut terus mengadu kepada doktor tersebut bahawa saya tidak memberikan duit pun kepadanya. Doktor itu memandang saya dan berkata “La’ mafish musykilah!” (Takder masalah. Tak perlu bagi pun) Dan sememangnya doktor-doktor melarang pelajar untuk memberikan apa-apa kepada pesakit kerana wang untuk mereka telah diperuntukkan semasa mendaftar.

Tidak lama kemudiaan saya mem’present’ case yang saya dapat itu kepada doktor dan selepas beberapa sessi soal jawab saya dapat menjawab semua soalan itu dengan baik. Alhamdulillah...

Selesai exam saya bersiap untuk pulang, pakcik tadi kembali bertanya samada saya ada wang untuk diberikan kepadanya atau tidak, memang pada awalnya saya masih berniat untuk menambah bayaran tersebut sebagai saguhati buatnya. Tapi memandangkan perangainya yang begitu saya membatalkan hasrat itu dan berharap agar dia tidak melakukan yang sama kepada orang lain pula. Kalau diberi, mungkin dia akan menganggap itu cara terbaik untuk mendapat duit yang lebih dari pelajar.

Apapun moga pakcik yang menghidap Emphysema itu akan cepat sembuh dan diberikan ketenangan menghadapi kehidupan sebagai pengembara di dunia ini...

Kadang kecewa juga apabila saudara seislam kita berkelakuan begitu sedangkan kita tidak pernah diajar untuk meminta-minta di dunia sedangkan untuk case Akmal, pesakit kristiannya memberi kerjasama yang cukup baik dan tidak meminta langsung apa-apa duit darinya. Entahlah.

Apapun besok masih ada dua case yang akan dihadapi dan lusanya radiology pula akan mengambil giliran sebelum saya beraya bersama sahabat-sahabat seperubatan semua pada hari Jumaat akan datang. Doakan kami semua dan moga kita semua sentiasa diberikan ketenangan, panduan dan petunjuk oleh Allah dalam kehidupan kita sebagai pengembara ini.

Sekian, Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Monday, October 20, 2008

Saturday, October 18, 2008

Ucapan Penutup PSMB


Ihsan jacksterisme

Ucapan Presiden PERUBATAN di majlis penutup PSMB 2008


Assalamualaykum warahmatullah.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahuwataala atas segala nikmat dan hidayah yang diberikan kepada kita, mengizinkan kita untuk sama-sama berkumpul dalam suatu majlis, Penutupan Program Sambutan Mahasiswa-mahasiswi baru Perubatan 2008 pada hari ini. Segala puji dan syukur kita rafaqkan kepadaNya yang masih mengurniakan kita nikmat iman dan islam, dua nikmat yang merupakan sebesar-besar nikmat bagi hambaNya di muka bumi ini.

Sahabat-sahabat adik-adik yang dikasihi sekalian.

Di kesempatan yang ada pada hari ini, saya mewakili sahabat-sahabat AJK PERUBATAN sessi 2007/2008 serta seluruh warga PERUBATAN mengalu-alukan kedatangan adik-adik ke bumi mesir ini, ke ardu kinanah ini, ke perlembahan Nil ini dengan ucapan ahlan wasahlan wamarhaban bikum dan mudah-mudahan kedatangan adik-adik, dengan niat yang suci dan ikhlas menuntut ilmu di sini akan diberkati dan diberikan kemudahan oleh Allah InsyaAllah.

Hadirin hadhirat yang dirahmati Allah sekalian,

Pada hari ini secara rasminya berakhirlah program sambutan mahasiswa-mahasiswi baru PERUBATAN 2008, pastinya program selama 3 hari ini telah memberikan sedikit sebanyak pendedahan kepada semua pelajar bagi mengenali Mesir dan sistem pembelajarannya yang mungkin berbeza berbanding banyak tempat di dunia ini. Apa yang diharapkan, selain pelajar-pelajar dapat berkenalan dengan Mesir, bertaaruf antara pelajar baru dan lama, adik-adik penerus perjuangan ini juga diharap dapat menyediakan diri dari aspek fizikal dan mental menghadapi segala cabaran dan tribulasi sepanjang 6 tahun keberadaan kalian semua di sini.

Jika suatu ketika dahulu kalian pernah membuktikan bahawa usaha yang gigih dan tidak mengenal jemu itu sebagai kunci kepada kejayaan lalu maka di sini juga semangat dan usaha itulah yang perlu digarap dan disemai agar kejayaan adalah milik semua di kalangan antum semua sepanjang berada di sini. Disinilah tapak mula untuk kalian membina diri, membentuk jatidiri memperteguhan kendiri dan menjadi lebih matang sesuai dengan ‘title’ antum semua sebagai mahasiswi-mahasiswa, pelajar di universiti.

Disinilah kalian perlu untuk belajar menjadi seorang yang lebih dewasa, berfikiran matang dan terbuka dalam menilai segala perkara dari semua aspek dan mengasah kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pelajar yang berdaya saing dan mampu memberikan impak maksima kepada kemajuan negara. Moga dengan niat yang suci dan semangat yang tinggi ini antum semua dapat merealisasikan apa yang terhasrat dengan sebaiknya.

Sahabat-sahabat, adik-adik yang dikasihi,

Sudah menjadi lumrah penuntut ilmu, merantau dalam pencarian ilmunya. Mengorak langkah, mengharungi badai, melalui pelbagai cabaran onak dan duridalam usaha pencarian tersebut. Jika dahulunya Imam As Syafie pernah merantau jauh meninggalkan tanah airnya di Makkah, ke Madinah, ke Iraq dan ke Mesir demi memenuhi hakikat seorang penuntut ilmu maka dengan semangat yang sama diharapkan dapat dicontohi oleh adik-adik sebagai siswa-siswi pelajar-pelajar baru kuliah perubatan di bumi Mesir ini untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu yang ada di sini khususnya di bidang perubatan.

Mesir sebagai gedung ilmu dan terkenal dengan kesuburan ilmu thurath islaminya diharapkan dapat memberikan sedikit impak dan biasan kepada antum semua dalam menyediakan pengamal-pengamal perubatan yang seimbang dari aspek ilmu perubatannya, pengetahuan islaminya, penghayatan akhlaknya yang mulia dan pembentukan sikap dan sifat mahmudah sepanjang keberadaan antum di sini. Rebutlah dan gunakanlah peluang yang ada dengan sebaiknya dan sentiasalah meletakkan diri kita dalam kebergantungan yang tinggi kepada Allah setiap masa dan ketika dalam usaha kita menuntut ilmu ini insyaAllah

Hadirin hadhirat yang dikasihi,

Saya tidak berniat untuk memanjangkan kalam, meneruskan bicara. Pastinya sepanjang tiga hari program yang berlangsung, telah banyak nasihat yang diberi, taujihat yang disampaikan bagi menaikkan semangat antum semua berada di sini. Tinggal aplikasi dan praktikalnya di tangan antum agar segala yang terteori menjadi kenyataan dalam menggapai kecemerlangan sebagai pelajar perubatan di sini. Akhirnya saya sekali lagi mengalu-alukan kedatangan adik-adik semua ke sini dan selamat menghadapi segala cabaran sebagai pelajar perubatan di Mesir.

Sebelum mengundur diri, saya hendak minta adik-adik dan sahabat-sahabat yang berada di dalam dewan ini untuk senyum seketika. Cuba senyum. Baiklah. Moga dengan senyuman itu menjadi suatu lambang kesediaan kita, positive thinking kita dalam menghadapi segala suka dan duka, cabaran dan dugaan sepanjang keberadaan kita di sini. Ya kezahmahan, kesibukan, sikap dan karenah masyarakat arab bisa sahaja membuatkan kita stress dan tertekan menghadapi hidup di sini namun bersabarlah dan terimalah segala dugaan itu dengan penuh redha dan senyumlah setiap masa agar ia menjadi penawar hati kita dalam menghadapi segala kesukaran tersebut insyaAllah.

Baiklah, setakat ini sahaja buat kali ini, buat akhirnya saya suka mengajak semua di kalangan kita untuk kembali memperbaharui dan membetulkan niat keberadaan kita di sini dan semoga kita sentiasa diberikan petunjuk dan panduan oleh Allah Subhanuwataala dalam setiap amal perbuatan dan gerak kerja yang kita laksanakan sehari-hari. Maaf sekiranya ada terkasar bahasa tersilap bicara. Saya sudahi ucapan ini dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaykum warahmatullah wabarakatuh.