Friday, December 19, 2008

Ujian, sabar dan ikhlas...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Menemui sahabat-sahabat yang sudah sekian lama tidak dikirimi berita, alhamdulillah sudah sebulan lebih saya berada di bumi UK, walau banyak perkara yang ditempuh dan dilalui namun diri sendiri tidak begitu teruja untuk mencoretkan apa-apa serta bercerita.

Cuaca yang tidak menentu, kadang-kadang sejuk dan kadang-kadang berangin membuatkan diri saya sedikit lemah menghadapi situasi begitu. Sebetulnya saya tidak berapa gemar menghadapi musim sejuk kerana cukup mudah untuk ditimpa demam dan cukup lama untuk kembali kebah. Akhirnya pemergian saya dan isteri ke Manchester dua hari lepas untuk menghadiri perjumpaan dengan pegawai MARA dan meraikan Kak Fizatul, senior Zaatil dan juga housematenya yang baru grad menyebabkan saya kembali menghadapi keadaan seperti sebelum-sebelum ini. Bermula dengan rasa pedih di anak tekak (sore throat) saya mulai batuk dan akhirnya sudah tidak bermaya lagi apabila suhu badan meningkat dan melemahkan segala anggota. Saya ditimpa demam lagi. Dan seperti yang dilalui sebelum ini, saya sentiasa mengharapkan apa yang dihadapi ini sebagai kafarah penebus dosa yang saya lakukan sehari-hari.

Seperti kelazimannya saya kurang gemar untuk memakan apa-apa ubatan bagi melawan demam dan batuk yang dihadapi kerana tidak selesa dengan side effect yang bakal diterima, apapun saya tetap menelan dua biji panadol dan ubat batuk kali ini. Itupun mungkin sebab isteri beriya-iya menyuruh saya memakannya. Mudah-mudahan demam kali ini tidaklah terlalu teruk kerana banyak perkara yang telah dirancang sempena cuti 2 minggu yang bakal dilalui isteri bermula besok.

Moga semua yang dirancang diperkenan dan dipermudahkan Allah jua. Doakan ye sahabat-sahabat. Hingga entry seterusnya, sama-samalah muhasabah diri dalam setiap perkara yang kita hadapi...

Wallahu A'lam, Innalillahi wainna ilahi rajiun....

Saya, isteri dan Kak Fizatul selepas majlis

Makan-makan sebelum balik ke preston


" (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Monday, December 8, 2008

Salam Aidil Adha

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Alhamdulillah sekali lagi kita dapat bersama-sama menyambut kedatangan aidiladha dengan penuh rasa muhibbah dan kasih sayang sesama kita. Buat diri saya sendiri alhamdulillah dapat menyambut aidiladha pada kali ini dengan penuh kesederhanaan di bumiUK ini, alhamdulillah bersama isteri. Takpelah. takder ape yang nak dikongsi sangat setakat ini cuma buat adik-adik di Mesir selamat bertungkus lumus merayakan aidiladha dengan sebaiknya dan hayatilah erti pengorbanan yang sebenarnya.

Sekian, jazakumullah khairan kathiraa...

Sunday, November 30, 2008

PERUBATAN 2008/2009

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

"Ingatlah ketika mana TuhanMu berkata kepada Para Malaikat: Sesungguhnya aku telah jadikan manusia sebagai khalifah di muka bumi. Para Malaikat menyoal, apakah Engkau Tuhan kami akan jadikan di atas bumi itu suatu makhluk yang sering melakukan kerosakan di atasnya dan saling menumpahkan darah, padahal kami Malaikat ini sentiasa memujiMu dengan pujian dan mensucikanMu. Allah berfirman: sesungguhnya Aku lebih mengetahui menjangkau apa yang tidak kamu ketahui"

(Al Baqarah:30)

"Ia (iaitu kepimpinan) adalah amanah dan di akhirat ia menjadi kehinaan dan penyesalan kecuali mereka yang mengambilnya dengan hak dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan di dalamnya.”

(Riwayat Muslim)

Alhamdulillah Mesyuarat Agung PERUBATAN kali keenam dapat dilangsungkan dengan jayanya dan kepimpinan PERUBATAN sesi 2008/2009 telah selamat dilantik. Moga Wafi dan sahabat-sahabat yang lain dapat melaksanakan amanah kepimpinan ini dengan baik dan moga menjadi medan terbaik untuk berkhidmat dan berbakti untuk masyarakat pelajar perubatan di perlembahan nil ini insyaAllah.

Tahniah buat kalian.



Jazakumullah khairan kathiraa...

Saturday, November 29, 2008

Ucapan Takziah

Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Hanya mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga YB Dato' Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran yang telah kembali ke rahmatullah dan selamat dikebumikan semalam. Beliau yang juga MP bagi parlimen saya, parlimen Kuala Terengganu, pada hemat saya, adalah seorang yang cukup komited dan dedikasi dalam tugasnya sejak saya pertama kali mengenalinya semasa mengikuti Kem Matematik Tambahan ketika di tingkatan 5 di Maktab Perguruan Batu Rakit. Ketika itu beliau adalah Pengarah Pendidikan Negeri. Saya meminati ucapan-ucapannya yang cukup berisi dan penuh semangat terutama sebelum beliau terjun ke arena politik. Beberapa kali menemui beliau ketika zaman sekolah dan kali terakhir adalah semasa beliau merasmikan program Sihat Sokmo yang dianjurkan oleh Pelajar-pelajar perubatan UK, IJN dan UiTM Kuala Terengganu. Sebelum daripada itu, saya sempat juga berbual-bual dengan beliau ketika beliau bertandang ke majlis pernikahan saya di Kg Gelong Bilal tempoh hari.


Dato' and my father in law.
http://asmawi.blogspot.com


Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-katanya semasa beliau menyuarakan misinya untuk meningkatkan lagi peluang pendidikan dan pelajaran kepada masyarakat luar bandar yang dilihat begitu diabaikan dan jauh ketinggalan daripada pelajar-pelajar di bandar, mungkin inspirasi daripada asal usul beliau daripada mukim Kuala Berang satu kawasan yang agak pendalaman di daerah Kuala Terengganu. Beliau kelihatannya begitu 'passionate' bagi melihat misi tersebut dapat direalisasikan.

Saya bahkan teringat ucapan beliau semasa merasmikan program Jantung Sihat Sokmo ketika itu yang mengatakan bahawa dia sekarang juga sudah tua dan ada penyakit jantung. Mungkin kerana lama tidak bermain badminton sambil mengusik kenalan yang berada dihadapannya yang juga adalah kawannya semasa di maktab dahulu dan selalu bermain badminton ketika di maktab, beliau berkata "Kalu ade mase kita main bedminton smula. boleh?" Siapa sangka akhirnya beliau meninggal dengan mengalami serangan jantung ketika bermain badminton bukan?

Apapun, sepertinya yang telah dijanjikan, ketika ajal menjemput pulang tidak akan terlambat dan tidak akan tercepat. Moga kembalinya beliau ke sisi Allah subhanahuwataala bakal menempatkan beliau di kalangan hamba-hambaNya yang soleh dan sebagai seorang yang telah banyak berjasa kepada agama,bangsa,nusa dan tanah air, InsyaAllah. Takziah sekali lagi buat ahli keluarga beliau.

Lain-lain berita tentang kematian beliau.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Razali Ismail meninggal

Presiden PAS ucap takziah kepada keluarga Allahyarham Razali Ismail

Tugas terakhir Razali

Rebah ketika bermain badminton

Pemergian satu kerugian besar - PM

Kesederhanaan Razali buat beliau disenangi

Razali Ismail selamat dikebumikan

Ucapan takziah So long, dato'

Razali selamat disemadi



Ziarah juga blog anakanda beliau : Papa.. Berehatlah...

Jazakumullah khairan kathiraa...

Friday, November 21, 2008

Mari mengundi...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Alhamdulillah sekian lama menunggu, besok 21 November 2008 adalah antara tarikh bersejarah bagi Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir (PERUBATAN) apabila pemilihan kepimpinan PERUBATAN bagi sesi 2008/2009 akan diadakan di peringkat pusat dan cawangan. Walaupun status-status ym ketika ini ramai yang melonjakkan dan menonjolkan nama-nama tertentu untuk mengisi kerusi-kerusi AJKT PERUBATAN tersebut namun apa yang pernah saya sebut sebelum ini kesatuan dan keharmonian dalam PERUBATAN adalah perkara yang terlebih utama untuk kita jaga dan pelihara.

Justeru itulah yang saya harapkan daripada semua ahli agar dapat terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada persatuan dengan keluar beramai-ramai menunaikan kewajipan sebagai ahli untuk memilih kepimpinan bagi sesi yang akan datang.



Jika ditanyakan kepada saya tentang peluang samada Wafi ataupun Asyraf yang bakal menerajui PERUBATAN, bagi saya kedua-duanya pun mempunyai potensi yang tersendiri. Wafi sebagai seorang yang cukup berpengalaman dalam PERUBATAN dan lebih senior pastinya antara calon favourite untuk memenangi pertandingan tersebut. Begitu juga Asyraf yang telah membuktikan kebolehannya mengemudi Biro yang memiliki insan-insan yang membangun di dalam PERUBATAN (Biro pembangunan insan). Berdepan dengan pelbagai pancaroba dan pertembungan pelbagai fikrah dalam PERUBATAN pastinya memberi pengalaman berharga buat dia untuk meneraju kepimpinan PERUBATAN kelak. Apapun since siapa yang menang dan siapa yang kalah akan tetap berada dalam kesebelasan AJKT ikhwah PERUBATAN, saya yakin kombinasi mereka berdua akan memberikan suatu yang positif buat persatuan. Buatlah pilihan yang terbaik.



Bagi calon Timbalan Pengerusi II antara Madihah dan Siti Farhan adalah suatu yang tidak saya jangka walaupun pada pengamatan saya kedua-duanya telah menunjukkan komitmen yang cukup baik selama ini dalam PERUBATAN. Pengalaman luas mereka berdua adalah modal yang cukup penting bagi menyelesaikan apa-apa kemelut dan pertembungan di kalangan akhawat PERUBATAN. Bagi saya, kedua-dua mereka mempunyai karisma tersendiri bagi memastikan ahli-ahli PERUBATAN khususnya akhawat memahami aspirasi PERUBATAN dalam melahirkan ahli-ahli yang mempunyai fikrah yang salim dan tidak taksub dengan mana-mana kumpulan mahupun individu tertentu yang seterusnya membina hubungan kerjasama yang erat antara ikhwah dah akhawat dalam PERUBATAN.

Apapun buat Wafi, Asraf, Madihan mahupun Siti Farhan, walau siapa menang dan siapa pun yang kalah, kalian semua akan tetap berada dalam barisan kepimpinan PERUBATAN pada sesi hadapan dan ini membuktikan bahawa ahli PERUBATAN memang mengharapkan keberadaan kalian di dalam saf pimpinan bagi menerajui PERUBATAN ke arah yang lebih baik. Doa saya, kalian akan sentiasa diberikan hidayah dan petunjuk dalam melaksanakan amanah yang bakal terpikul nanti.

Buat calon-calon AJKT yang lain, saya menyerahkan kepada ahli untuk membuat pilihan sendiri. Samada buka baru ataupun muka lama, kedua-duanya bakal memberikan impak tersendiri kepada PERUBATAN bagi memastikannya dapat terus bergerak mengendong aspirasi ahli. Semoga mereka yang terpilih akan terus bersemangat untuk menjadikan PERUBATAN sebagai medan melakukan kebajikan dan belajar berpersatuan.

Rasanya belum terlambat untuk saya mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baru PERUBATAN di cawangan samada di Mansurah, Tanta dan Iskandariah yang baru sahaja menobatkan AJK masing-masing. Di harapkan AJK yang terlantik akan terus mendekatkan dan menjalinkan hubungan yang erat antara PERUBATAN pusat dan cawangan di samping agenda-agenda asasi kesatuan, akademik dan pembangunan insan yang menjadi teras kewujudan PERUBATAN hingga ke hari ini. Laksanakanlah amanah yang terpikul ini dengan penuh ikhlas dan profesional sesuai dengan kematangan kita sebagai mahasiswa-mahasiswi di univesiti.

Akhirnya selamat mengundi buat semua. PERUBATAN untuk semua.

Jazakumullah khairan kathira…

Tuesday, November 11, 2008

Mesyuarat Agung Perubatan kali ke-6

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Alhamdulillah. Setelah beberapa kali mencuba, beberapa hari berulang-alik dari rumah ke mator (airport) saya akhirnya berjaya menjejakkan diri ke bumi UK ini. Tidak bercadang untuk bercerita lagi tentang apa yang berlaku dan apa yang saya lalui cuma nak bawa perhatian semua kepada apa yang sedang dan akan berlaku dalam PERUBATAN seminggu dua ini. Buat semua ahli, jadikan Mesyuarat Agung Tahunan ini sebagai medan untuk kita semua memberikan idea dan buah fikiran bagi memantapkan PERUBATAN yang semakin mengorak langkah kematangan ini. Saya percaya sebahagian besar ahli terutama adik-adik baru begitu semangat untuk memberikan sesuatu dan menyumbang kepada persatuan yang diwujudkan khusus untuk kita semua sebagai pelajar-pelajar Sains Kesihatan di Ardu Kinanah ini. Moga agenda Kebajikan, Akademik dan Pembangunan Rohani semua ahli dapat direncanakan dengan baik untuk sessi kepimpinan PERUBATAN yang akan datang. Sama-samalah mengambil bahagian dan berlumba-lumbalah untuk memberi demi kebaikan semua.

Salam buat semua ahli, selamat bermesyuarat dan Be The Best for yourself and others...

Love you all. Wassalam wa Jazakumullah Khairan Kathiraa...



Friday, October 31, 2008

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Orang tua-tua pernah berkata,
Genggam bara api biar sampai jadi arang,
Alang-alang mandi biar basah,
Alang-alang menyeluk pekasam,
Biar sampai ke pangkal lengan.

Begitulah!
Hidup dalam perjuangan kekadang suka kekadang berduka,
Kekadang menang kekadang kita tewas, rebah kecundang.
Namun ia tidak pernah berakhir,
Sebagaimana ia, tidak kita yang mulakan.

Hidup medan perjuangan dan ujian.
Dunia tempat menghimpun amal dan harapan.
Akhirat kekal menjadi destinasi insan bertemu Tuhan.

Tinggal satu oral lagi dan insyaAllah akan kembali menyusun gerak kerja yang tertangguh sekian lama. Mohon doa dari semua.

Jazakumullah khairan kathiraa...

Monday, October 27, 2008

Meeting with Prof Dr Mohd Hatta Shahrom

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Buat semua warga PERUBATAN yang dikasihi, hari ini, 27 Oktober 2008 akan diadakan satu pertemuan ringkas ahli-ahli PERUBATAN khususnya di sayeeda zainab dengan Prof Dr Mohd Hatta Shahrom, Presiden CUCMS Pakar Psikiatri yang juga merupakan Graduan daripada Universiti Kaherah.Pertemuan akan diadakan insyaAllah pada jam 6:30 malam di rumah saudara Yusri dan kawan-kawan.

So sama-samalah kita menghadirkan diri untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan bersua muka dengan super senior kita yang pastinya banyak perkara boleh dikongsi bersama. (hihi banyaknya sama)

Key, hingga jumpa di sana insyaAllah. Assalamualaykum warahmatullah.

Buletin PERUBATAN.org - Semarak Fitrah

Tuesday, October 21, 2008

A Stranger or a Traveler/wayfarer



On the authority of Ibn 'Umar, radiyallahu 'anhuma, who said: The Messenger of Allah, sallallahu 'alayhi wasallam, took me by the shoulder and said:

"Be in this world as though you were a stranger or a traveler/wayfarer."
Ibn 'Umar used to say: "When evening comes, do not expect (to live till) morning, and when morning comes, do not expect (to live till) evening. Take from your health (a preparation) for your illness, and from your life for your death."

[Al-Bukhari]


Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Jumaat yang lalu menemukan saya dengan hadith di atas. Hadith itu disampaikan oleh Tuan khatib dalam khutbah jumaatnya pada tengah hari itu. Ketika kami, saya dan sahabat-sahabat membantu Syazwan yang akan memulakan kehidupan baru berumah tangga di Hayyu Sabiek, kerja yang sepatutnya selesai sebelum Solat Jumaat lari daripada yang dijangkakan memaksa kami untuk berhenti sekejap menunaikan solat Jumaat di Nadi Sikah sebelum menyambung kerja memungah barang-barang Syazwan dan Asma itu kembali. Banyak juga barangnya. Keseluruhannya kami perlu berulang alik dua kali ke sayeeda zainab dan dua kali ke nadi sikah.

Ok, berbalik kepada hadith tadi, dapat kita fahami, Rasulullah telah berpesan kepada Ibn Umar supaya menganggap dunia ini hanyalah sebagai tempat persinggahan dan sebagai seorang musafir. Seorang musafir yang sentiasa berfikir dan berkira bilakah pemusafirannya ini akan berakhir untuk dia kembali ke tempat asalnya yang kekal abadi. Seorang musafir yang pastinya tidak terus mencari dan mengaut apa-apa yang ditemui di perjalanannya sewenang-wenangnya kecuali sekiranya ia pasti apa yang ditemui dan diambil itu berguna untuk digunakan di tempat tujuan kekal abadinya. Seorang musafir yang cuba untuk tidak leka dan tergoda dengan apa jua yang dijumpainya kerana semuanya itu pasti akan melambatkannya untuk tiba ke destinasi atau akan lebih malang lagi menyesatkannya dan membawanya ke tempat yang tidak dikehendakinya. Itulah falsafah seorang musafir.

Khatib itu bercerita lagi, pernah suatu ketika, seorang sahabat bertamu ke rumah Abu Dzar Radiallahu anhu, seorang sahabat Rasulullah. Lalu didapati di rumah Abu Dzarr tiada perabot-perabot yang indah, tiada alat-alatan rumah yang baik dan tidak terhias dengan selayaknya menyebabkan dia bertanya kepada Abu Dzar tentang hal itu. Lalu apa yang dijawab oleh Abu Dzar “ Aku bukannya ingin tinggal di sini (dunia) ya akhi. Dan aku tidak mahu kekal di sini. Tempat abadiku di akhirat, dan di sanalah semua perkara yang telah tersedia buat diriku”

Jawapan seorang sahabat yang yakin dan tawakkal dengan janji Allah kepadaNya. Jawapan zuhud yang tidak merasa kurang dengan kemiskinannya di dunia dan tidak berasa kecewa dengan tiadanya wang dan harta. Diri sebagai pengembara yang pastinya tidak perlu untuk bermewah-mewah dan menyombong rasa. Kalau jumpa Robin Hood habis dirompak pula akhirnya.

Baiklah, jadi begitulah bunyi hadithnya untuk renungan kita bersama. Pastinya saya tidaklah menyeru untuk sahabat-sahabat bersikap zuhud, meninggalkan segala kemewahan dan tidak berusaha mencari rezeki namun apa yang perlu kita tanamkan di hati kita tidak akan kecewa dengan kekurangan kita di dunia, kita tidak mencari-cari dan meminta dengan tidak sepatutnya dan kita tidak berusaha ‘nak rak’ mengumpul harta benda kerana semuanya akan kita tinggalkan kecuali amalan kita sahaja yang kita bawa bersama. Justeru apa jua yang kita buat, niat kita pastinya ‘itu’, mendapat kebaikan di akhirat sana.

Hidup sebagai musafir, tanpa mengetahui destinasi kita ke syurga atau ke neraka. Mudah-mudahan kita diselamatkan Allah dalam perjalanan hidup ini dan mentaqdirkan kita semua menemui syurgaNya.

Long Case Internal Medicine.

Hari ini saya berimtihan lagi. Kali ini Kes Panjang untuk subjek Internal Medicine. Untuk itu saya terpaksa keluar awal pagi ini kerana exam akan bermula seawal jam 8:00 pagi. Kira-kira jam 7:15 pagi saya melangkah keluar daripada rumah dengan penuh harapan imtihan yang bakal dilalui akan mudah dan berjalan dengan baik. Apatah lagi saya sendiri tidak cukup bersedia dan lebih fokus kepada chest case untuk kali ini.

Semuanya berjalan lancar pada pagi itu, saya diletakkan di wehdah Dr Salahuddin Abdul Baqi rais qisim Rheumatology. Qisim bagi angka giliran 325 – 346. Saya mendaftarkan diri kepada Naib dan membayar 30le, bayaran wajib terhadap semua pelajar yang akan digunakan untuk kebajikan pesakit-pesakit yang akan melalui peperiksaan ini. Dalam erti kata lain duit itu akan dibahagi-bahagikan antara semua pesakit yang terlibat. Memandangkan angka saya adalah 325 maka saya antara student yang awal dipanggil. Alhamdulillah seperti yang diharapkan saya mendapat chest patient. Saya memasuki ward, di dalamnya terdapat dua orang pesakit yang sedang diambil history oleh dua kawan saya yang lain sementara pesakit saya sendiri belum kelihatan.

Tidak beberapa lama barulah pesakit itu tiba. Saya memulakan tugasan saya. Untuk Long Case ini saya perlu mendapatkan dari History taking, general examination dan local examination terhadap pesakit tersebut.

Ia bermula dengan amat baik sehinggalah saya sampai kepada History of present Illness pesakit itu mula meminta wang dari saya supaya dia boleh memberikan kerjasama yang baik kepada saya. Dengan serba salah saya mengeluarkan wang 20le di dalam poket. Pesakit tersebut memandang wang tersebut kemudian berkata

“Eih dah? 20 le bas? Enta fi halah towilah bi 20le bas?” (Ape ni? 20 le je? Kau datang untuk xm long case bagi 20le je”

Saya sedikit tersentak dengan gelagat pakcik tersebut dan berkata memang saya tiada duit lain. Itu je yang ada. Dia mengugut untuk tidak memberikan kerjasama namun saya tetap menyuruhnya mengambil duit yang saya beri dan patuh dengan apa yang saya minta. “saya datang sini nak berexam je pakcik!”

Oleh kerana marah dan mahu cepat habis pakcik tersebut lekas-lekas menyuruh saya melakukan examination pada badannya dan memberitahu saya kesemua finding-finding yang sepatutnya saya temui dalam examination tersebut. Saya menjadi sedikit kaget namum cuba untuk tidak hilang fokus sepanjang situasi tersebut. Dalam masa yang sama pakcik itu terus menyumpah-nyumpah dan memaki saya di hadapan dua orang pesakit yang lain dan dua orang kawan saya itu (seorang egyptian, kristian dan seorang lagi pelajar bahrain) Semuanya ketawa melihat perlakuan pakcik tadi.

Pakcik itu semakin marah apabila melihat dua orang sahabat saya tadi memberikan 100le dan 70le masing-masing kepada pesakit-pesakit mereka dan sambil merungut-rungut pakcik itu mengoyakkan duit not 20 le itu dan dicampakkan ke katil. Saya melihat perlakuan pakcik itu dengan perasaan sayu, mengapalah sampai begini sekali pakcik ini bertindak?

Akhirnya seorang doktor masuk ke dalam ward dan bertanya siapa yang telah selesai melakukan pemeriksaan. Pakcik tersebut terus mengadu kepada doktor tersebut bahawa saya tidak memberikan duit pun kepadanya. Doktor itu memandang saya dan berkata “La’ mafish musykilah!” (Takder masalah. Tak perlu bagi pun) Dan sememangnya doktor-doktor melarang pelajar untuk memberikan apa-apa kepada pesakit kerana wang untuk mereka telah diperuntukkan semasa mendaftar.

Tidak lama kemudiaan saya mem’present’ case yang saya dapat itu kepada doktor dan selepas beberapa sessi soal jawab saya dapat menjawab semua soalan itu dengan baik. Alhamdulillah...

Selesai exam saya bersiap untuk pulang, pakcik tadi kembali bertanya samada saya ada wang untuk diberikan kepadanya atau tidak, memang pada awalnya saya masih berniat untuk menambah bayaran tersebut sebagai saguhati buatnya. Tapi memandangkan perangainya yang begitu saya membatalkan hasrat itu dan berharap agar dia tidak melakukan yang sama kepada orang lain pula. Kalau diberi, mungkin dia akan menganggap itu cara terbaik untuk mendapat duit yang lebih dari pelajar.

Apapun moga pakcik yang menghidap Emphysema itu akan cepat sembuh dan diberikan ketenangan menghadapi kehidupan sebagai pengembara di dunia ini...

Kadang kecewa juga apabila saudara seislam kita berkelakuan begitu sedangkan kita tidak pernah diajar untuk meminta-minta di dunia sedangkan untuk case Akmal, pesakit kristiannya memberi kerjasama yang cukup baik dan tidak meminta langsung apa-apa duit darinya. Entahlah.

Apapun besok masih ada dua case yang akan dihadapi dan lusanya radiology pula akan mengambil giliran sebelum saya beraya bersama sahabat-sahabat seperubatan semua pada hari Jumaat akan datang. Doakan kami semua dan moga kita semua sentiasa diberikan ketenangan, panduan dan petunjuk oleh Allah dalam kehidupan kita sebagai pengembara ini.

Sekian, Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Monday, October 20, 2008

Saturday, October 18, 2008

Semarak Fitrah '08




SEMUA PELAJAR TAJAAN JPA ADALAH DIWAJIBKAN TURUT SERTA

Sasaran: 1000 ahli PERUBATAN dari seluruh Mesir

Sila rujuk LINK INI untuk maklumat PENDAFTARAN

Tentatif Program boleh dirujuk DI SINI


1. Pakaian adalah Persalinan Raya Lengkap

2. Setiap orang dikehendaki membawa sehelai sejadah

3. Setiap peserta lelaki diminta membawa buah-buahan

4. Setiap peserta perempuan diminta membawa kuih raya

5. Sesiapa yang berminat mengadakan PERSEMBAHAN bolehlah menghubungi Saudara Muhammad Ridhwan bin Adam di 0113018286 atau waterboyz89@yahoo.com

6. Tarikh akhir Pendaftaran adalah pada 21 Oktober 2008

Ucapan Penutup PSMB


Ihsan jacksterisme

Ucapan Presiden PERUBATAN di majlis penutup PSMB 2008


Assalamualaykum warahmatullah.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahuwataala atas segala nikmat dan hidayah yang diberikan kepada kita, mengizinkan kita untuk sama-sama berkumpul dalam suatu majlis, Penutupan Program Sambutan Mahasiswa-mahasiswi baru Perubatan 2008 pada hari ini. Segala puji dan syukur kita rafaqkan kepadaNya yang masih mengurniakan kita nikmat iman dan islam, dua nikmat yang merupakan sebesar-besar nikmat bagi hambaNya di muka bumi ini.

Sahabat-sahabat adik-adik yang dikasihi sekalian.

Di kesempatan yang ada pada hari ini, saya mewakili sahabat-sahabat AJK PERUBATAN sessi 2007/2008 serta seluruh warga PERUBATAN mengalu-alukan kedatangan adik-adik ke bumi mesir ini, ke ardu kinanah ini, ke perlembahan Nil ini dengan ucapan ahlan wasahlan wamarhaban bikum dan mudah-mudahan kedatangan adik-adik, dengan niat yang suci dan ikhlas menuntut ilmu di sini akan diberkati dan diberikan kemudahan oleh Allah InsyaAllah.

Hadirin hadhirat yang dirahmati Allah sekalian,

Pada hari ini secara rasminya berakhirlah program sambutan mahasiswa-mahasiswi baru PERUBATAN 2008, pastinya program selama 3 hari ini telah memberikan sedikit sebanyak pendedahan kepada semua pelajar bagi mengenali Mesir dan sistem pembelajarannya yang mungkin berbeza berbanding banyak tempat di dunia ini. Apa yang diharapkan, selain pelajar-pelajar dapat berkenalan dengan Mesir, bertaaruf antara pelajar baru dan lama, adik-adik penerus perjuangan ini juga diharap dapat menyediakan diri dari aspek fizikal dan mental menghadapi segala cabaran dan tribulasi sepanjang 6 tahun keberadaan kalian semua di sini.

Jika suatu ketika dahulu kalian pernah membuktikan bahawa usaha yang gigih dan tidak mengenal jemu itu sebagai kunci kepada kejayaan lalu maka di sini juga semangat dan usaha itulah yang perlu digarap dan disemai agar kejayaan adalah milik semua di kalangan antum semua sepanjang berada di sini. Disinilah tapak mula untuk kalian membina diri, membentuk jatidiri memperteguhan kendiri dan menjadi lebih matang sesuai dengan ‘title’ antum semua sebagai mahasiswi-mahasiswa, pelajar di universiti.

Disinilah kalian perlu untuk belajar menjadi seorang yang lebih dewasa, berfikiran matang dan terbuka dalam menilai segala perkara dari semua aspek dan mengasah kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pelajar yang berdaya saing dan mampu memberikan impak maksima kepada kemajuan negara. Moga dengan niat yang suci dan semangat yang tinggi ini antum semua dapat merealisasikan apa yang terhasrat dengan sebaiknya.

Sahabat-sahabat, adik-adik yang dikasihi,

Sudah menjadi lumrah penuntut ilmu, merantau dalam pencarian ilmunya. Mengorak langkah, mengharungi badai, melalui pelbagai cabaran onak dan duridalam usaha pencarian tersebut. Jika dahulunya Imam As Syafie pernah merantau jauh meninggalkan tanah airnya di Makkah, ke Madinah, ke Iraq dan ke Mesir demi memenuhi hakikat seorang penuntut ilmu maka dengan semangat yang sama diharapkan dapat dicontohi oleh adik-adik sebagai siswa-siswi pelajar-pelajar baru kuliah perubatan di bumi Mesir ini untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu yang ada di sini khususnya di bidang perubatan.

Mesir sebagai gedung ilmu dan terkenal dengan kesuburan ilmu thurath islaminya diharapkan dapat memberikan sedikit impak dan biasan kepada antum semua dalam menyediakan pengamal-pengamal perubatan yang seimbang dari aspek ilmu perubatannya, pengetahuan islaminya, penghayatan akhlaknya yang mulia dan pembentukan sikap dan sifat mahmudah sepanjang keberadaan antum di sini. Rebutlah dan gunakanlah peluang yang ada dengan sebaiknya dan sentiasalah meletakkan diri kita dalam kebergantungan yang tinggi kepada Allah setiap masa dan ketika dalam usaha kita menuntut ilmu ini insyaAllah

Hadirin hadhirat yang dikasihi,

Saya tidak berniat untuk memanjangkan kalam, meneruskan bicara. Pastinya sepanjang tiga hari program yang berlangsung, telah banyak nasihat yang diberi, taujihat yang disampaikan bagi menaikkan semangat antum semua berada di sini. Tinggal aplikasi dan praktikalnya di tangan antum agar segala yang terteori menjadi kenyataan dalam menggapai kecemerlangan sebagai pelajar perubatan di sini. Akhirnya saya sekali lagi mengalu-alukan kedatangan adik-adik semua ke sini dan selamat menghadapi segala cabaran sebagai pelajar perubatan di Mesir.

Sebelum mengundur diri, saya hendak minta adik-adik dan sahabat-sahabat yang berada di dalam dewan ini untuk senyum seketika. Cuba senyum. Baiklah. Moga dengan senyuman itu menjadi suatu lambang kesediaan kita, positive thinking kita dalam menghadapi segala suka dan duka, cabaran dan dugaan sepanjang keberadaan kita di sini. Ya kezahmahan, kesibukan, sikap dan karenah masyarakat arab bisa sahaja membuatkan kita stress dan tertekan menghadapi hidup di sini namun bersabarlah dan terimalah segala dugaan itu dengan penuh redha dan senyumlah setiap masa agar ia menjadi penawar hati kita dalam menghadapi segala kesukaran tersebut insyaAllah.

Baiklah, setakat ini sahaja buat kali ini, buat akhirnya saya suka mengajak semua di kalangan kita untuk kembali memperbaharui dan membetulkan niat keberadaan kita di sini dan semoga kita sentiasa diberikan petunjuk dan panduan oleh Allah Subhanuwataala dalam setiap amal perbuatan dan gerak kerja yang kita laksanakan sehari-hari. Maaf sekiranya ada terkasar bahasa tersilap bicara. Saya sudahi ucapan ini dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaykum warahmatullah wabarakatuh.

Tuesday, September 16, 2008

PROGRAM NUZUL QURAN DAN IFTAR JAMAII' PERUBATAN 2008.

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam ramadhan buat semua.

Lama saya tidak bersosial, hari ini terasa ingin bersosial pula, justeru membuat keputusan untuk menghadiri majlis berbuka puasa dan malam nuzul Quran PERUBATAN dan JPA di ARMA pada malam ini. Berharap dapat berjumpa dengan kawan-kawan yang masih belum ketemu sekembalinya saya ke bumi Mesir ini. Jadi untuk semua ahli-ahli PERUBATAN datanglah beramai-ramai ya, moga niat mempererat silaturrahim di samping bersama-sama berbuka puasa dikira sebagai amal soleh dan bukti kasih sayang keranaNya.

InsyaAllah berjumpa di sana.

Jazakumullah khairan kathira...

PROGRAM NUZUL QURAN DAN IFTAR JAMAII' PERUBATAN 2008.

TARIKH : 16 September 2008.

TEMPAT : Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK).

TEMA PROGRAM NUZUL QURAN : "Hidupkan Ramadhan Dengan Al-Quran."

OBJEKTIF :

1. Memperingati dan menghidupkan malam nuzul qur'an.


2. Menanam rasa cinta yang mendalam terhadap Al-Quran di kalangan ahli PERUBATAN.
3.
Mengeratkan ukhuwwah di kalangan ahli perubatan dan pegawai di Mesir.

TENTATIF PROGRAM :

4.30 - 4.45 petang : Ketibaan hadirin,tetamu khas, dan penceramah.
4.45 - 4.50 petang : Ucapan aluan pengerusi majlis.
4.50 - 5.00 petang : Bacaan ayat-ayat Al-Quran.
5.00 - 6.00 petang : Ceramah Nuzul Quran.
6.00 - 6.15 petang : Penutup, bacaan doa makan, berbuka puasa (makanan ringan).
6.15 - 6.30 petang : Solat Maghrib berjemaah.
6.30 - 7.30 malam : Makan (makanan berat).
7.30 - 9.00 malam : Solat Isya' dan terawih berjamaah.
9.00 malam : Majlis bersurai.

Saturday, September 6, 2008

Harapan Ramadhan

Sedikit halwa telinga untuk tetamu budiman, teruskan beramal di bulan yang mulia ini ya... :)

Harapan Ramadhan - Man Bai & Raihan

Emm terasa mahu berbuat sesuatu kepada blog ni, tunggu-tunggulah selepas imtihan selesai. Pohon doa dari semua...

Sunday, August 31, 2008

Ballighna Ramadhan...



Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Alhamdulillah, Ramadhan tiba lagi, menggamit perhatian seluruh ummat Muhammad untuk mempertingkatkan amal, memperbanyakkan ibadat kerana kehadirannya bukan sekadar kehadiran biasa namun menjanjikan pahala dan ganjaran yang berlipat-lipat ganda.

Alhamdulillah, tahun ini saya kembali menunaikan ibadah di bulan Ramadhan ini di Kaherah, Mesir. Masa yang cukup pantas berlalu tanpa disedari, ini kali keenam saya menyambut Ramadhan di sini. Pastinya diri sendiri tidak rela untuk mempersiakan Ramadhan dan tidak mengendahkan serta melayannya dengan tidak selayaknya. Apatah lagi ia hadir hanya sekali dalam setahun. Walau dalam masa yang sama, saya masih perlu berusaha untuk imtihan yang akan datang dan ketibaan pelajar-pelajar baru juga memerlukan abang-abang dan kakak-kakak yang tinggal di sini bertungkus lumus memastikan kebajikan mereka dapat dijaga dengan sebaiknya. Semoga semua itu dikira sebagai amal soleh buat bekalan ke Sana. Semoga Ramadhan kali ini juga memberikan makna tersendiri kepada diri saya yang baru bergelar suami dan terpaksa melaluinya jauh daripada Isteri. Teruja untuk terus beribadat dan beribadat mengenangkan ibadat orang yang sudah berkahwin adalah sekali ganda daripada mereka yang belum berkahwin. Moga saya mendapat kelebihan itu. InsyaAllah.

Baiklah, sekadar itu sahaja coretan buat kali ini. Mungkin malam ini saya akan ke masjid Rawwas untuk bertarawih di sana. Masjid yang telah bertukar arah qiblatnya kerana dikatakan semasa pembinaannya tidak mengikut arah qiblat yang betul. Katanya kontraktor yang membina masjid ini sebelum ini adalah seorang kristian yang telah memedarkan sedikit arah qiblat supaya menjadi fitnah kepada orang Islam. Macam-macam kan? Moga seluruh ummat Islam pun dapat menghayati kehadiran Ramadhan kali ini dengan penuh penghayatan, rasa menghargai dan berkasih sayang sesama mereka. Lebih-lebih lagi buat diri ini.

Allahumma ballighna Ramadhan, ballighna Ramadhan, ballighna Ramadhan...

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Wednesday, August 27, 2008

Photobucket

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Setelah hampir 2 bulan berada di Malaysia, akhirnya saya selamat pulang kembali ke Mesir. Berbekalkan keazaman untuk memberikan yang terbaik untuk imtihan akhir tahun 5 ini, saya pulang dengan penuh tawakkal agar Dia menentukan yang terbaik buat saya kali ini. Pastinya suatu yang sukar untuk meninggalkan jauh isteri di awal pernikahan ini, namun saya percaya disebalik rasa rindu itu pastinya tersembunyi hikmah dan kenikmatannya tersendiri untuk kami sama-sama rasai.

Moga kami akan terus tabah menghadapinya dengan baik. Saya teringat suatu nasihat yang pernah disebut oleh Aa Gym apabila beliau menyebut, "Si suami harus sentiasa sedar dan mengingatkan isterinya bahawa suatu hari nanti mereka pasti akan berpisah buat selamanya. Justeru jika hanya perpisahan yang sementara membuatkan diri tidak keruan dan tidak tentu arah pastinya sukar untuk menghadapi perpisahan yang abadi itu. Berdikari dan hadapilah perpisahan itu dengan rasa tawakkal yang tinggi kepadaNya"

Ya pastinya mudah untuk mengungkapkannya bukan, sendiri rasa baru tau! Apapun seperti kata Ustaz Syed Kadir, pepatah melayu ada menyebut, "Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan!" Moga perpisahan ini memberikan ruang untuk kasih sayang itu terus subur mekar di taman pernikahan. Buat zaujah yang dikasihi, moga dirimu terus tabah, terima kasih kerana memberikan diri ini peluang untuk memberi, berkongsi dan mengisi hari-hari mendatang dengan rasa kasih dan sayang keranaNya. Moga bertemu di suatu hari nanti, InsyaAllah.

Baiklah, doakan saya hadapi imtihan mendatang ini dengan baik. Ilalliqa' Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Monday, July 21, 2008

Bimillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Lama tidak mencoret apa-apa kan? Sibuk? Ya pastinya agak sibuk membuat persiapan yang sepatutnya menghadapi hari-hari penting dalam hidup. Kebetulan pula akhir-akhir ini kuliah subuh di masjid, kuliah maghrib di surau, rancangan-rancangan agama di TV1, TV2 mahupun Al Kuliyyah di TV3, banyak pula yang bercerita tentang perkahwinan dan institusi keluarga. Pelbagai ingatan diberi, pelbagai teguran diajukan, pelbagai nasihat pula diutarakan bagi memeberikan panduan kepada mereka-mereka yang akan berumah tangga. Agaknya sekarang memang musim orang mendirikan rumah tangga apatah lagi tarikh 080808 yang bakal menyusul, pastinya menjadi tumpuan ramai pasangan untuk memulakan kehidupan bergelar suami atau isteri.

Namun begitulah, walau diri tidak mampu untuk meluangkan masa duduk mendengar, menadah telinga mendengar nasihat-nasihat tersebut dan menuntut ilmu sebagai persediaan melayari kehidupan bekerluarga dengan baik dek kerana pelbagai komitmen dan persiapan yang perlu saya lakukan, namun dalam masa yang sama saya rajin pula untuk menelaah buku-buku berkaitan rumah tangga seperti karangan Ustaz Pahrol Mohd Juoi, “Satu Rasa Dua Hati” serta buku Ustaz Hasrizal pastinya “Aku Terima Nikahnya”. Oleh kerana saya sudah terlalu kerap membaca artikel-artikel Ustaz Hasrizal tentang kekeluargaan di SaifulIslam.com maka buku Ustaz Pahrol lebih menarik minat saya ketika ini untuk mengutip segala pengalaman-pengalaman dan rencah hidup berumah tangga sebagai panduan di hari muka. Banyak yang saya dapati dari buku ini dan apa yang terpenting yang mungkin dapat saya keluarkan daripada buku ini adalah matlamat asas dan utama apabila seseorang memilih untuk mendirikan rumah tangga adalah kemahuannya untuk memberi dan mengasihi pasangannya dan pastinya ia diasaskan atas rasa taqwa dan cinta mereka kepada Allah Subhanahu Wataala. Semoga ia menjadi suatu cara terbaik untuk saya kembali mengingati segala teori-teori dan panduan bait muslim yang pernah dipelajari sebelum ini untuk dipraktikkan dalam kehidupan realiti nanti insyaAllah.

Dalam hidup ini, selain belajar melalui pengalaman sendiri, pengalaman orang lain juga kerap kali menjadi panduan untuk kita membina pengalaman sendiri, justeru saya begitu teruja apabila mak dan ayah banyak bercerita tentang kehidupan berumahtangga dan asam garam yang telah mereka lalui selama ini. Dan sebagai anak yang lahir seawal setahun selepas mereka diijabkabulkan saya dapat melihat sendiri bagaimana peranan yang dimainkan mereka dalam membina keluarga. Ayah sebagai ketua keluarga dan emak sebagai pengurus rumahtangga begitu komited menjalankan peranan masing-masing dalam memastikan kami adik beradik terbela dan mendapat pendidikan yang sebaiknya. Namun begitu, masih banyak yang belum saya ketahui dan banyak pula yang masih perlu saya pelajari daripada mereka terutama berkenaan menjaga perasaan dan mendidik kesabaran dalam perhubungan. Ya, moga saya lebih cepat untuk belajar. Dan yang pastinya pembelajaran itu adalah suatu proses yang lama dan menuntut kesabaran justeru kepada mereka yang masih punya waktu dan masih belum bercadang untuk berumah tangga, tidak jadi masalah untuk anda menambah ilmu dan pengalaman berkenaan hal ehwal rumahtangga, semoga ia dapat membantu anda menyediakan diri dengan sebaiknya menjadi ketua keluarga mahupun isteri yang baik dalam membina usrah muslimah solehah toyyibah yang anda impi-impikan insyaAllah.

Begitulah… apapun pelbagai persiapan yang sedang dilakukan sekarang sedikit sebanyak membuka mata saya bahawa bukan senang untuk melangsungkan sesebuah perkahwinan. Dari memilih hari, membuat kad, menghantar jemputan, mengubah hantaran, mencari lembu, mengikuti kursus kahwin, menyewa khemah, memasak, bermajlis dan lain-lain lagi memerlukan perancangan dan pandangan mereka yang berpengalaman dalam hal ini. Apatah lagi masa yang ada begitu singkat. Ada yang bertanya, “kenapa terlalu cepat untuk kahwin? Sedang belajar pun belum habis.” Pastinya suatu soalan yang sememangnya sukar untuk saya berikan jawapan namun saya hanya meletakkan keyakinan bahawa inilah jalan terbaik yang saya dan bakal isteri telah pilih dan dengan keyakinan itu saya mengharapkan sakinah mawadah dan rahmah dariNya dalam menyusuri jalan yang telah ditentukan ini. Tersenyum saya apabila seorang sahabat telah menelefon dan menyatakan “Tak sangka dahulu senyap je kat sekolah, akhirnya kahwin dulu” Tak sangka pula saya pendiam dahulu di sekolah. Apapun saya agak menyedari sifat pendiam saya itu akhir-akhir ini.

Baiklah, rasanya setakat ini dahulu buat kali ini. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi mencoretkan apa-apa di ruangan komen ataupun shoutbox dalam entry yang lepas. Dan seperti yang saya sebut sebelum ini, ketiadaan talian internet mahupun telefon di rumah menyebabkan ruang dan peluang untuk saya mengakses internet agak terbatas sementara saya sendiri sudah tidak berapa gemar pula untuk ke cc.

Apapun jazakumullah khairan kathiraa sekali lagi diucapkan dan buat sahabat-sahabat saya yang berada di Malaysia, saya kehilangan banyak contact number kalian dek kerana handset lama saya tidak dapat dihidupkan. Justeru harap dapat menghubungi saya ya. Yang nak dapatkan kad jemputan pun boleh hubungi saya, nyatakan pengenalan diri dan alamatnya sekali. Yang tak dapat datang tu, takpe je, mengharapkan doa kalian dari kejauhan. Yang akan datang, moga akan ketemu nanti, pastinya saya amat merindui kalian setelah sekian lama tidak bersua. Moga pertemuan itu menjadi milik kita, insyaAllah… 

Jazakumullah khairan kathiraa…

Sunday, July 13, 2008

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera buat semua.


Saya mulakan entry pada kali ini dengan penuh rasa syukur ke hadratNya atas segala kurnia dan limpahan rahmat yang dianugerahkan kepada saya, keluarga saya, sahabat-sahabat dan sesiapa jua dalam kita meniti hari-hari yang kita lalui saban hari. Pastinya rasa syukur tersebut tidak setara dengan segala kurniaan yang telah dianugerahkanNya kepada kita.

Ramai yang sudah menduga, ramai yang sudah berbicara, ramai yang sudah mengagak-agak dengan pelbagai dugaan dan reka cerita. Yang pasti, kembalinya saya ke pangkuan keluarga pada kali ini bukanlah sekadar untuk melepaskan rindu di hati, pulang ke desa melihat riak-riak air di kali, kembali menghirup udara nyaman di pinggiran sawah padi, di tepi tali air sepanjang bendang yang tidak berapa jauh daripada rumah. Namun kembalinya saya ke tanah air pada kali ini, ketika sahabat-sahabat yang lain sedang bertarung menyediakan diri di ambang peperiksaan di tahun lima. Saya pula dengan segala kedhaifan yang ada sedang merencana pula untuk membina keluarga. Pastinya ia bukan keputusan yang mudah untuk dilakukan tetapi dengan penuh rasa tawakkal saya teruskan rencana tersebut dan pastinya saya cukup mendambakan doa dari kalian agar segala yang dirancangkan akan berjaya dilaksanakan.

Ampun dan maaf saya dahulukan kepada sahabat-sahabat yang mungkin pernah bertanyakan tentang rencana saya ini namun tidak mendapat jawaban terbaik untuk pertanyaan itu, saya terpaksa berdalih dan terpaksa mengelak apabila ditanya memandangkan semuanya masih samar dan di peringkat perancangan, sementara masih belum ada apa-apa ketetapan yang diambil pada masa itu. Mudah-mudahan saya tidak dikira berdusta apabila secara berseloroh mengatakan bahawa kembalinya saya ke Malaysia kali ini adalah untuk menjadi PM apabila ditanya oleh seorang pembaca blog suatu ketika. Ya pastinya PM yang dimaksudkan bukanlah Perdana Menteri, namun terpulanglah kepada sahabat-sahabat untuk membuat apa-apa tafsiran kepada ‘PM’ tersebut sesuai dengan apa yang akan saya lalui nanti.

Justeru, dengan penuh rasa merendah diri dan penuh takzim, saya menjemput semua sahabat-sahabat, yang mengenali diri ini, samada di PERUBATAN, sahabat-sahabat di Mesir, sahabat-sahabat di INTEC, sahabat-sahabat di KMNS, sahabat-sahabat di SMKA Sheikh Abdul Malek, mahupun di SK Ladang dan Tadika Kemas serta siapa sahaja mengenali diri saya. Termasuklah guru-guru yang pernah mendidik saya selama ini, saya dengan penuh hormat menjemput semuanya ke majlis kesyukuran sempena perkahwinan saya ini pada hari Sabtu, 9 Ogos 2008 bersamaan 7 Syaaban 1429 H di rumah saya di alamat, 654, Kampung Kubang Tangga, 20050 Kuala Terengganu. Moga dengan kehadiran sahabat-sahabat memberikan kegembiraan kepada kami insyaAllah.

Akhirnya saya sekali memohon doa dari semua agar majlis aqad dan perkahwinan yang akan berlangsung pada 2 Ogos 2008 di rumah pengantin perempuan dipenuhi barakah dan berjalan dengan lancar dan sebaiknya insyaAllah. Saya suka untuk kita sama-sama kembali mengingati dengan janji dan pernyataan yang pernah dikirimkan Allah melalui firmanNya yang bermaksud “dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa dia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan” (surah Ar Rum ayat 21). Atas keyakinan itulah saya berdoa semoga hubungan suci ini dipenuhi barakah dan rahmat dariNya, InsyaAllah...

Sekian, jazakumullah khairan kathiraa…

PS: Talian saya di Malaysia, 019 9588639.Perkenalkan diri dulu ya.

__________________________________________________________

-Walimatul Urus-

TENGKU HAJI ZAINAL ABIDIN BIN TENGKU HAJI AWANG
dan

HAJJAH WAN NORMAZIAH BINTI HAJI WAN MANSOR

Dengan segala hormatnya mempersilakan Tengku / Engku / Dato / Datin / Tuan / Puan / Encik / Cik

…………………………………………………………………………………..

suami isteri ke Majlis Kesyukuran sempena perkahwinan putera kami,

TENGKU ABDUL KADIR BIN TENGKU ZAINAL ABIDIN
dengan
ZAATIL IFFAH BINTI ASMAWI

Pada hari Sabtu, 9 Ogos 2008 bersamaan 7 Syaaban 1429H

Di kediaman kami beralamat:

654, Kampung Kubang Tangga, 20050 Kuala Terengganu.

Semoga dengan kehadiran tuan puan akan menambahkan lagi keberkatan majlis ini di samping mendapat keredhaan dan rahmat daripada Ilahi. InsyaAllah.

Aturcara Majlis:

Jamuan : 11:00 – 5:30 petang
Majlis sambut menantu : 2:00 petang

Friday, July 4, 2008

Majlis Pemangku Presiden

Assalamualaykum warahmatullah wabarakatuh.

Sedikit makluman buat semua.

Dalam Mesyuarat AJKT PERUBATAN bertarikh 29 Jun 2008 yang lalu suatu majlis pemangku Presiden telah dilantik untuk memangku segala tugas presiden bersempena ketiadaan Presiden PERUBATAN di Mesir bermula 4 Julai 2008 sehingga 26 Ogos 2008.

Majlis ini dianggotai oleh :

1. Ahmad Haikal bin Idris (012-8931237)
- Tahun 5 Universiti kaherah


2. Mohd Husmar Israq bin Husin (010-8693139)

- Tahun 5 Universiti Ain Shams


3. Zawil Farhiha binti Razali (016-7037726)
- Timbalan Presiden II, Tahun 5 universiti Ain Shams


Majlis ini akan diketuai oleh saudara Ahmad Haikal bin Idris. Justeru, majlis ini akan bertanggungjawab melaksanakan bidang tugas dan kuasa presiden sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan PERUBATAN.

Sekian, Wassalam.




Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin
Presiden
Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir
PERUBATAN

Thursday, July 3, 2008

Pergimu buat selamanya...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Saya sedikit tidak menyangka hari itu akan tiba, walau saya percaya setiap yang bermula pasti berakhir, setiap pertemuan itu bakal disusuli perpisahan, namun saya tidak pernah menyangka perpisahan itu akan berlaku dengan begitu pantas. Tidak ramai yang tahu tentang cerita kami, sahabat-sahabat yang rapat juga tidak begitu arif tentang perkara itu, Idil juga mungkin kurang tahu . Selain seorang yang pendiam, saya juga seorang perahsia. Justeru tidak ramai yang tahu.

Pertemuan kami berlaku kira-kira tiga tahun yang lalu, saya terpesona dengannya setelah diperkenalkan oleh Iqbal pada suatu hari. Keayuannya (kecil molek) cukup menarik hati saya untuk lebih mengenalinya. Sikap tegasnya juga adalah suatu perkara yang cukup dekat di hati saya. Akhirnya tidak lama beberapa ketika kami menjadi cukup intim dan begitu akrab sekali. Pada awal perhubungan kami, saya amat menjaga hubungan ini. Saya tidak pernah sesekali melakukan apa-apa perkara yang boleh menyakitkannya. Ya seperti pasangan-pasangan yang baru bertemu dan berkenalan pastinya semuanya dijaga dengan sebaik mungkin. Jangan katakan memukul, menjentiknya pun saya tidak pernah. Kami sentiasa bersama, walau pernah dikatakan bagaikan belangkas kerana selalu bersama, namun itu semua tidak pernah kami hiraukan. Yang penting pada kami, kami tahu kami ikhlas dalam menjalinkan hubungan ini.

Suatu yang sangat saya kagumi adalah kerana kesanggupannya untuk mengejutkan saya setiap pagi di kala subuh. Ya, setiap pagi. Kerana itu jugalah saya sukar untuk terlepas untuk solat subuh berjemaah di masjid. Mengingatkan perkara itu, saya seolah-olah merasakan hubungan ini cukup islamik. Kami sering mengingatkan untuk tidak pernah culas melaksanakan tanggungjawab mengerjakan solat pada setiap waktu.

Namun semakin masa berlalu, semakin waktu berganjak, hubungan kami menjadi semakin kurang serasi. Saya sendiri tidak tahu mengapa lewat perhubungan kami saya semakin berkasar terhadap dirinya. Saya tidak melayannya seperti waktu-waktu dahulu. Mungkin saya sudah berubah, atau mungkin juga dirinya sudah tidak lagi menarik hati saya. Saya semakin sering untuk tidak bangun atau terjaga walau dikejutkannya pada waktu pagi. Saya menjadi culas. Tidak mahu untuk bangun. Namun dia tetap setia. Tidak pernah jemu mahupun bosan untuk terus mengejutkan saya setiap pagi. Sungguh saya sendiri tidak faham mengapa saya sudah tidak menghargai apa yang dilakukan pada saya selama ini.

Hinggalah pada dua hari yang lalu, suatu yang tidak pernah saya jangkakan, dia telah meninggalkan saya buat selama-lamanya. Dia ditemui tidak bernyawa dipercayai lemas setelah tidak dapat dikesan beberapa ketika. Ketika itu saya berada di rumah Abang Ilhan, menunaikan solat Maghrib di situ. Saya cuba berusaha untuk menyelamatkannya dan berharap untuk dia kembali, namun semuanya telah terlewat dan saya terpaksa menerima hakikat bahawa sememangnya dirinya sudah tiada lagi. Ya, suatu yang cukup perit, perpisahan yang tidak pernah terduga namun segala jasa dan pengorbanan yang pernah dia berikan selama perhubungan kami ini suatu yang akan saya kenang sehingga ke akhir hayat. Moga dirimu tenang selamanya…

“Mengenang ‘mati’nya henset Panasonic saya yang telah sekian lama bersama. Moga henset yang baru dapat memberikan saya khidmat yang lebih baik dan menjadi medium yang lebih berkesan dalam meneruskan perjuangan saya di bumi Allah ini. InsyaAllah…”

PS: Ketika ini saya terpaksa menggunakan henset Wafi untuk mengaktifkan simcard saya. Hanya beberapa hari lagi sebelum pulang dan rasanya hanya akan beli handset baru sekembali ke Malaysia nanti. Doakan saya dapat menempuh hari-hari tanpa handset kesayangan itu dengan baik dan selamat untuk pulang ke Malaysia jumaat ini.

Oh ya, dipercayai ‘pembunuh’ henset saya itu adalah sofiy, anak kepada Abang Ilham yang merendamkannya ke dalam air… hisy…

Jazakumullah Khairan Kathiraa…

Tuesday, July 1, 2008

Doakan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.




Indahnya pabila setiap detik, waktu dan ketika, hati sentiasa mengingati Allah, lidah sentiasa menyebut namaNya, seluruh amal perbuatan mencari redhaNya... -puas-

Banyak yang ingin dikongsi, banyak yang ingin dicoret peringatan buat diri dan semua. Hanya padaNya dimohon keluangan waktu dan tenaga.

Doakan exam kami hari ini!

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Sunday, June 29, 2008

Coretan Hari Semalam...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Alhamdulillah, akhirnya dapat melalui imtihan paediatric dengan baik, walaupun sebetulnya saya sendiri tidak sempat untuk menghabiskan pembacaan buku qism yang setebal 350 muka surat itu dan soalan mcq yang lebih daripada 1000 soalan itu. Namun Alhamdulillah 'ala kulli hal. Salah?ya sudah pasti sudah ada yang salah, sekurang-kurangnnya 6 soalan sudah dipastikan kesalahannya. huhu.

Pagi semalam, Syazwan telah selamat bertolak meninggalkan Kota berdebu Kaherah ini diikuti Dzul pada tengahharinya. Dan kini Syazwan sendiri sudahpun sampai di Malaysia dan mungkin sudah berada di rumah gamaknya. Saya bersama Akmal, Abang Ilham dan Haikal meluangkan masa untuk pergi ke airport untuk menghantarkannya pulang. Sedikit kesulitan berlaku di airport menyebabkan kami hanya melangkah pulang sekitar jam 3:00 pagi. Di kala itu, kepala saya terasa cukup berat sambil minda terus mencongak apa la nak jadi dengan exam pediatric nanti ni, pastinya kurang tidur akan memberikan effect kepada prestasi saya di dewan peperiksaan.

Setelah menempuhi perjalanan yang agak jauh, kami hanya menjejakkan kaki ke rumah sejurus ketika azan Subuh berkumandang. Seusai solat Subuh, saya terus pulang ke rumah, merebahkan tubuh di tepi Idil, mengunci handset pada jam 7:00 pagi dan terus melelapkan mata. Saya tidak sedarkan apa-apa lagi sehinggalah terkejut mendapat sms "Salam, good luck exam!! Binnajah...Doakan Idah jugak..."

Saya melihat jam. Oh sudah pukul 8:00 pagi. Nyata loceng handset yang berbunyi sudah tidak mampu mengejutkan saya lagi. Dengan rasa yang amat berat saya cuba untuk bangun. Alhamdulillah akhirnya saya mampu untuk berdiri, mengambil tuala dan terus ke bilik air menyiapkan diri.

Sekali lagi kami masih terkeliru dengan waktu sebenar peperiksaan kami, ada yang mengatakan pukul 9:00pagi dan ada pula yang memberitahu pukul 9:30 pagi. Saya sendiri mengambil jalan selamat dengan bertolak lebih awal untuk sampai ke kuliah sebelum jam 9:00 pagi. Namun sesampai di sana, setelah bertanyakan kepada bawab imtihan, ternyata peperiksaan hanya akan dimulakan pada jam 10:00 pagi. Hai Mesir... mesir...

Apapun alhamdulillah imtihan dapat dilalui dengan baik, dan selepas ini hanya tinggal MCQ untuk Clinical Pathology yang akan dilalui sebelum bertolak pulang pada Jumaat nanti. Itupun sekali lagi saya terkejut apabila tarikh imtihan pada 1 Julai itu telah di radd oleh qoul yang mengatakan ia akan diadakan pada 2 Julai ini. Akan cuba dipastikan daripada kawan-kawan arab nanti.

Yang pastinya, sebelum berangkat pulang ada beberapa perkara yang perlu saya selesaikan dan mengisi padat jadual saya sepanjang 5-6 hari ini. Kesakitan pada belakang Idil juga sedikit merisaukan saya. Moga dia akan cepat sembuh dari kesakitan yang dihadapi. Mohon doa dari semua. Baiklah, saya tidak punya banyak idea untuk teruskan coretan pada kali ini. Moga semua sentiasa dalam rahmat dan petunjuk dariNya. Hingga ke entry lain, doakan semua insyaAllah.

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Saturday, June 28, 2008

Sedikit Iklan...

Sedikit Iklan.... Kalau berkelapangan bolehlah hadirkan diri ya. InsyaAllah selepas majlis, boleh sambung tgk EURO pula... :)

Thursday, June 26, 2008

Mencari Tujuan Dalam Hidup...

Tangisan itu kedengaran,
Bergema mengisi suasana,
Menggamit kegembiraan abi dan ummi,
Menyambut kelahiran kita,
Anak-anak mereka.

Setelah 37 minggu didalam kandungan,
Kurang 42 minggu Ibu mengusung,
Kita lahir ke dunia,
Kita menangis,
Gembira, kerana di sinilah kita bakal menyimpan bekalan,
Bimbang, kira di sini kita gagal mendidik iman,
Takut, jika terhumban dalam hidup penuh gelap dan kehinaan.
Arrgh... Kehidupan dunia yang penuh onak dan ujian.

Detik berlalu,
Selepas 15 minit ibu menyusukan,
Kita minum, kita menyusu,
Kita puas dalam dakapan ibu,
Kita rasa akan kasih sayangnya ibu,
Panas ibu memberikan keselesaan, keselamatan buat diri yang masih terkejut melihat dunia penuh warna keindahan.

Hari demi hari kita membesar,
2 bulan kita mula tersenyum,
3 bulan kita mula mendongak,
5 bulan kita mula duduk
6 bulan kita mula berguling,
7 bulan kita mula kuat berdiri
8 bulan kita mula merangkak,
9 bulan kita sudah mula berdiri sendiri,
Kita mula berjalan dan berlari,
Mengejar itu dan ini,
Meneroka alam,
Kita belajar dan terus belajar.

Dari bayi, kita menjadi kanak-kanak,
dari kanak-kanak kita menjadi budak-budak,
dari budak-budak kita menjadi remaja,
dewasa dan akhirnya tua.

Kita mula berasa suka,
kita mula punya rasa cinta,
Cintakan Allah cintakan insani,
Kita mencari dan memerhati,
Siapa gerangannya yang sesuai,
Siapa gerangannya yang tepat,
Untuk menyemai benih cinta itu,
Moga ia bisa subur di hati si dia,
Yang kita pilih dan sanggupi,
Dengan petunjuk dari Ilahi.
Kita hidup bersama, kita kongsi bersama,
segala suka dan duka, membina generasi pejuang agama.

Hari semakin hari,
Terus berlalu dan berlalu pergi, Kita terus belajar di sekolah kehidupan ini,
Dari lemah, kita kuat dan lemah kembali, (30:54)
Menanti saat dan ketika kita kembali dijemput ilahi.
Berbekalkan bekal yang kita kumpul kini.
Entah cukup entah tidak kita sendiri yang mengoreksi.

Namun kawan,
Kita tidak pasti bila kita akan pergi,
Jangan tertipu pada usia muda,
Kerana mati tidak syaratnya tua,
Jangan tertipu dengan tubuh yang sihat,
Kerana mati tidak syaratnya sakit.
Namun mati itu akan tetap menjemput,
tidak cepat dan tidak lambat,
Sedang kita tidak pernah mengetahui,
Bilakah masa, di manakah tempat.(31:34)

Justeru kawan,
Kira masamu masih ada,
Tika waktumu masih bernyawa,
Muhasabahlah dirimu,
Cari,ikut dan capailah,
Akan tujuan hidupmu...

Mencari Tujuan Hidup
Dr Kadir
Kaherah
6:14 petang.

Wednesday, June 25, 2008

Helikopter...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Pada suatu hari, seorang detektif dikehendaki menyelesaikan satu kes. Kes kemalangan udara yang melibatkan sebuah helikopter yang dipandu oleh dua orang juruterbang. Peti hitam milik helikopter itu ditemui. Detektif tersebut mendengar perbualan yang berlaku antara kedua-dua juruterbang tersebut sebelum nahas itu berlaku.



Juruterbang 1: Cerah cuaca hari ni kan? seronok...

Juruterbang 2: A ah, hari cuaca baik, cuma sejuklah sini.

Juruterbang 1: Oh ya? ....

perbualan itu terputus di situ dan akhirnya helikopter itu pun terhempas. Pada pandangan anda, apakah sebabbya helikopter itu boleh terhempas? Ha jawab, jawab. Katak hari tu tak jawab lagi.



hihi key sambung study...

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Tuesday, June 24, 2008

Ustaz Mahyuddin

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Sekadar menyampaikan amanah...

Buat semua pelajar-pelajar perubatan, dijemput menghadiri munaqasyah master Ustaz Mahyuddin Hasyim di Dewan Darul Ulum pada hari esok, 25Jun 2008 pukul 11 pagi.

Mabruk alayk buat bekas naqibku ini moga najah dalam munaqasyah esok. InsyaAllah ada ruang dan peluang akan menghadirkan diri... :)

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Doa dan tawakkal :)

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Saya cuba mencari gambar-gambar yang menunjukkan saya sedang study dalam koleksi yang ada, namun tidak saya temui. Mungkin tidak banyak gambar yang diambil menunjukkan saya sedang belajar atau sememangnya kurang masa yang saya peruntukkan untuk belajar, hanya Allah, saya dan mereka disekeliling saya sahaja yang mungkin mengetahuinya. Apapun saya berazam untuk membuat yang terbaik bagi mcq paediatric Sabtu ini, walau cukup banyak yang perlu saya revise kembali namun insyaALlah mengambil semangat Turki di dalam EURO kali ini, saya mampu melakukannya walau masanya agak suntuk.



Apa lagi yang akan diperbuat oleh penuntut ilmu jika tidak menuntut ilmu?


Seketika menunggu Idah menyediakan makan tengah hari kami, saya sempat membelek-belek sebuah buku, kompilasi daripada tulisan Said Badiuzzaman An Nursi di dalam risalah-risalah An Nur beliau. Saya tertarik dengan satu tulisan yang menghuraikan tentang doa kita kepada Allah Subhanahuwataala.

Memberikan analogi umpama seorang budak yang mengadu sakit dan meminta ubat daripada doktor. Ada kalanya doktor akan memberikan apa yang dikehendaki oleh budak itu untuk menyembuhkan kesakitannya. Adakalanya doktor tersebut akan memberikan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang diminta oleh budak tadi untuk menyelesaikan masalahnya dan ada kalanya doktor tidak memberikan apa-apa kepada budak tadi kerana dia tahu ubat tersebut akan membawa kemudharatan kepada budak itu dan akhirnya kesakitan itu pergi dan budak itu kembali sihat. Begitulah adanya apa yang berlaku kepada setiap permintaan dan permohonan yang kita panjatkan kepada Allah dalam setiap doa-doa kita. Dia berjanji untuk menjawab segala permohonan kita kepadaNya namun Dia tidak menjamin akan menerima dan memberikan se'bijik' apa yang kita mohonkan itu.

Justeru mohonlah apa yang terbaik buat diri kita dalam apa jua yang kita lakukan dalam kehidupan ini. Moga dengan itu kita lebih redha dan percaya dengan rahmat dan kasih sayangNya kepada kita Moga kita akan sentiasa mendapat petunjuk daripadaNya setiap masa dan ketika.

Apatah lagi doa yang dipohon juga adalah berupa ibadah yang kita lakukan kepadaNya yang pastinya punya bahagian yang tersendiri dalam saham kita di akhirat kelak. Justeru jangan jemu untuk berdoa serta bersyukur dan redhalah dengan apa yang kita dapat dan kita ada.

Usaha terus, doa terus dan tawakkal kepadaNya insyaAllah. Bagaimana kita boleh merintih menyalahkan Allah apabila tidak mendapat kejayaan yang didoa dan diharapkan selepas penat berusaha, sedangkan kemampuan untuk kita berusaha itu sendiri adalah satu kurniaan yang diberikan Allah. Fikir-fikirkanlah. Ok, mohon permisi. Paed menggamit lagi...

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Saturday, June 21, 2008

Mari Mengundi...

Mari Mengundi...



1. Memilih supaya peperiksaan diulang ke waktu yang lain.

2. Memilih supaya daripada 45 markah yang diperuntukkan, 30 markah berdasarkan kepada jawapan yang betul daripada 30 soalan yang dijawab, 15 markah bonus diberikan kepada semua.

3. Memilih supaya daripada 45 markah yang diperuntukkan, 15 soalan klinikal dipilih dan 15 soalan lain diketepikan, setiap soalan diperuntukkan 2 markah dan 15 markah lagi diberikan bonus kepada semua.

Maka, dengan lafaz Bismillah, saya memilih pilihan ketiga...

Thursday, June 19, 2008

Muzaharah...

طلاب «خامسة طب عين شمس» يتجمهرون أمام مكتب وكيل الكلية ويطالبون بإلغاء امتحان «الباطنة»



كتب أبوالسعود محمد ومحمد كامل ١٧/٦/٢٠٠٨ تصوير - محمد عبدالسلام

أكثر من ألفي طالب وطالبة من طلاب الفرقة الخامسة كلية طب عين شمس تجمهروا أمس، أمام مكتب وكيل الكلية لشؤون الطلاب، د. طاهر فريد عقب تأديتهم امتحان مادة الباطنة، احتجاجاً علي

الامتحان الذي وصفوه بـ«المفاجئ». وقال الطلاب إنهم فوجئوا بامتحان نظري، رغم أنه كان مقرراً أن يكون عملياً، كما أن الممتحنين طلبوا منهم كتابة أسمائهم علي ورقة الإجابة خارج «التيكت» المخصص لذلك، وكتابته علي «التيكت» أيضاً، وهو ما أثار تخوف الطلاب من وجود المحسوبية عند التصحيح، لأن المصحح يعرف اسم

صاحب ورقة الامتحان. وذكر الطلاب أنهم ذهبوا إلي الجامعة في التاسعة صباحاً دون علمهم بتوقيت الامتحان الذي دخلوه بعد ساعة كاملة، مشيرين إلي أن الامتحان تضمن ثلاثين سؤالاً عليها ٤٥ درجة، وجاءت الأسئلة اختياراً من متعدد، وجميعهما نظري ومن خارج الكتاب الذي أشارت إليه الدكتورة أميمة لمعي، رئيس قسم الباطنة. والتف الطلاب حول أستاذة المادة عندما رأوها وطالبوها بتوزيع الدرجات، وسخر الطلاب من رئيسة القسم عندما قالت لهم إن الامتحان عملي وليس نظرياً، وقال أحد الطلاب: «علمونا كويس وبعد ذلك حاسبونا»، مشيرين إلي أنهم لم يعلموا شكل الامتحان وما إذا كان «أكمل أو اختيار من متعدد أو صح أو خطأ». وطالب عدد من الطلاب بعرض ورقة الامتحان علي أحد الدكاترة المتخصصين في الباطنة لمعرفة رأيه، وما إذا كان الامتحان عملياً أو نظرياً.

وهدد الطلاب بعمل اعتصام مفتوح يوم الخميس المقبل في حالة ظهور النتيجة في غير صالحهم. واستدعي الدكتور طاهر فريد، وكيل الكلية، الدكتورة أميمة لمعي، رئيس قسم الباطنة، عقب مطالبة الطلاب بإلغاء الامتحان، وقال فريد إنه سيقوم بتشكيل لجنة لدراسة الامتحان، وأخذ قرار

بشأنه. عدد التعليقات

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Seperti apa yang saya sebut dalam entry-entry yang lalu, akhirnya berita pertemuan dengan siti imtihan telah mendapat liputan meluas bahkan menurut cerita Idil, ada sahabat arab yang memberitahu bahawa isu ini turut dibicarakan dalam satu program soal jawab agama popular di Mesir 'beit beitak'. Wah besar juga isu ini ya. Apa yang di'paste' di atas adalah petikan daripada akhbar Egypt Today yang turut mengulas berkenaan demostrasi yang telah berlaku pada hari itu.

Antara apa yang disebut dalam berita itu;
  • Lebih 2000 pelajar tahun 5 Ain Shams University telah mengadakan tunjuk perasaan berkenaan soalan peperiksaan amali yang tidak mengikut muqarar yang telah diberi sebelum ini. (Musykil juga jumlah 2000 ini kerana rasanya tidaklah sampai ke angka itu jumlah semua pelajar tahun 5 di sini)
  • Soalan yang diberi adalah soalan nazori sedangkan sebelumnya diberitahu bahawa soalan yang akan keluar adalah soalan amali.
  • Pelajar tidak mengetahui masa sebenar peperiksaan, terpaksa menunggu selama sejam selepas datang pada jam 9pagi. Saya pun sama.
  • Ada unsur-unsur penipuan dilakukan pihak universiti dengan menyuruh pelajar menulis nama di kedua-dua bahagian kertas jawapan yang membolehkan pemeriksa mengetahui pemilik sebenar kertas jawapan tersebut.
  • Ada yang mengatakan " Beritahu kami apa sahaja yang akan keluar dan ujilah kami selepas itu!"
Jadi begitulah ya, sehingga kini saya masih tidak mengetahui apa perkembangan terbaru berkenaan imtihan ini, insyaAllah esok try tanya kawan arab lagi. Just doakan yang terbaik insyaAllah.

Key ya Ammar, buat yang terbaik untuk baki imtihan yang akan ditempuhi.

Jazakumullah khairan kathiraa...

Wednesday, June 18, 2008

Bersama Aa...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.


Sahabat-sahabat yang dikasihi,

Sejauhmana ya kita mengganggap apa yang kita lakukan dalam kehidupan ini adalah ibadah kepadaNya. Jika sahabat-sahabat mengenali seorang pendakwah dari seberang, AA Gymnastiar yang pernah bercerita berkenaan adiknya Agung.

Dalam kejayaan demi kejayaan yang ditempa beliau,prestasi yang baik dalam pelajaran dan kepimpinan, dia punya seorang adik yang lumpuh. Dia sangat menyayangi adiknya dan sentiasa membantu adiknya untuk bergerak ke mana-mana. Pendengaran adiknya juga kurang dapat mendangar kerana penyakit yang dialaminya itu namun cukup bersemangat untuk ke kuliah, ke masjid dan sebagainya.

Suatu hari Aa bertanya, "Dik, kenapa mahu ke kuliah sedang telinga sudah kurang dapat mendengar?"

Lalu adiknya menjawab, "Aa, kuliah itu ibadat. Saya masih belum tentu akan punya umur atau tidak. Tapi saya masih mahu menyempurnakan kewajipan saya"

Suatu ketika Aa kembali bertanya "Dik kenapa tidak pernah mengeluh?" melihatkan kesulitan yang dihadapinya untuk menjalani kehidupannya sehari-hari.

Lalu adiknya itu menjawab, "Kenapa mahu mengeluh Aa? Allah telah menciptakan sesuatu dengan sebaik-baiknya. Kalau orang lain bisa dapat banyak buat kebajikan dengan melakukan kebaikan, moga dengan bersabar ini dapat saya jadikan bekal pulang."

Kata Aa, walau adiknya ini seorang yang lumpuh,namun bicara bersahaja adiknya ini sentiasa memberikan kesedaran buat dirinya dan memberikan inspirasi kepada dirinya untuk berubah menjadi Aa seperti hari ini.

Moga ia juga menjadi inspirasi buat diri kita. Ya mengapa mahu mengeluh dengan semua ketentuannya sedang itulah yang terbaik buat diri kita, Moga dengan kesabaran itu kita semakin dekat denganNya. Bergembiralah dengan ingatan Tuhan kepada kita...

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Video ini mungkin boleh lebih mengenalkan kita dengan Aa Gym

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

"Kawan-kawan semua, besok harapnya semua datang untuk pengumuman hasil daripada demonstrasi yang kita buat semalam berkenaan exam clinikal kita tempoh hari. Dr Tohir berjanji untuk memberikan keputusan samada akan diadakan ulangan peperiksaan atau meneruspakai exam yang telah kita lalui semalam. So semua harap boleh datang untuk kita nyatakan apa yang kita nak tentang exam itu" Laung Syarief selepas tamat muhadharah Clinical Pathology siang tadi.

Seperti apa yang saya sebutkan semalam, seusai menduduki peperiksaan tersebut, pelajar-pelajar arab telah membuat satu demostrasi di hadapan pejabat wakil kuliah membantah soalan yang lari daripada muqarrar yang telah diberi sebelum ini.

Suatu yang tidak menghairankan saya bahkan semasa peperiksaan sedang berlangsung pun, pelajar-pelajar arab ini sudah bising-bising dengan menyebut, "eih dah? Musy maul kida leih?" (ape ni, tak patut soalan macam ni keluar)

Mereka terus membuat bising sehinggalah doktor-doktor yang menjaga peperiksaan menjerit "wa ba'din!" dan menyuruh mereka semua senyap serta menumpukan perhatian menjawab soalan masing-masing.

Saya sendiri, pastinya tidak menghiraukan apa yang berlaku dan terus menjawab soalan-soalan yang cukup memedihkan itu. Kesemuanya seakan-akan kabur untuk saya dan saya hanyalah menjawab kesemua soalan itu dengan menggunakan maklumat-maklumat basic yang saya ada untuk mencari apa yang sebenarnya dikehendaki oleh soalan-soalan tersebut. Hanya doa saya panjatkan supaya apa yang saya jawab itu tepat dengan apa yang dikehendaki.

Namun mendengarkan perkembangan ini saya sedikit gusar dan risau sekiranya peperiksaan ulangan yang akan diadakan melewati tarikh 4 Julai yang menjadi tarikh pulang saya ke Malaysia. Selepas ini, saya akan menduduki kertas MCQ untuk Paed pada 25 Jun dan akhirnya 10 markah untuk clinical patho pada 1 Julai ini. Hanya doa saya pohonkan untuk Dia memberikan apa-apa yang terbaik buat saya insyaAllah.

Apapun buat sahabiah-sahabiah saya yang langsung tidak kelihatan di muhadharah clinical patho akhir-akhir ini. Hadirkanlah diri kalian semua besok ya. Hingga jumpa di kuliah.

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Monday, June 16, 2008

Tika itu

Tika itu

Tika masih di dalam buaian,
Ibu sentiasa dodoikan,
Kelak kamu dewasa,
Berbaktilah pada agama dan bangsa.

Tika di bangku sekolah,
Cikgu sentiasa bersyarah,
Kelak kamu dewasa,
Harumkanlah nama negara.

Tika di menara gading,
Kawan-kawan datang berganding,
Berkongsi idea dan bicara,
Mencanang minda bertingkah kata.

Namun tika dewasa kini,
Kukembali menginsafi diri,
Dimana aku di kala ini?
Bukankah aku tidak sepatutnya di sini?
Oh masa itu, bolehkah ia dipatah kembali

Hargailah masamu kawan,
Sebelum engkau merintih,
Mengenang hari yang sudah pergi

Al Faqir Ila 'awu Rabbih.
Abdul Kadir Zainal Abidin.
11:26pm
16 Jun 2008

Ahmad Imtihan? Siti Imtihan?

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

"Nak jumpa Ahmad Imtihan, Siti Imtihan pulak yang datang."

Mungkin camtu la perumpamaan apa yang berlaku pagi tadi. Soalan yang keluar langsung tidak dijangka oleh sebahagian besar pelajar, termasuklah pelajar arab.

Exam yang sepatutnya merangkumi hal-hal berkaitan klinikal namun yang keluar lebih menjurus kepada nazori.

Apa yang diberitahu sebelum ini bahawa soalan-soalan adalah berkaitan tajuk Chest, Cardio, Abdomen, Endocrine dan Rheumato juga tersasar apabila hampir 50% daripada soalan yang dikemukan adalah berkaitan Neuro.

Saya sendiri datang awal ke kuliah kerana tiada makluman berkenaan pukul berapa imtihan akan diadakan, ada yang kata pukul 9 dan ada yang kata pukul 10. Dan akhirnya saya ke kuliah sebelum jam 9 pagi. Sempat berjumpa dengan Majid, salah seorang pewakilan pelajar dan dia mengatakan, "Bitzakir Neuro?" (kau study neuro tak?)

Saya katakan "tidak, kenapa? keluar neuro ke?"

Katanya, "Ana musy areif lakin hum biul kida" (aku tak tau tapi mereka kata begitu"

Pastinya saya tidak sempat untuk mengulangkaji apa-apa daripada Neuro kerana tiada buku neuro yang dibawa bersama.

Apapun begitulah kesudahannya. Sehingga saat saya melangkah pulang, pelajar-pelajar arab sedang mengadakan muzaharah (tunjuk perasaan) di hadapan pejabat wakil kuliyyah.

Sampai bermuzaharah? Ye jangan main-main dengan arab. Kejayaan dalam peperiksaan adalah segala-galanya bagi sebahagian daripada mereka. Pelajar-pelajar Malaysia bersemangat begitukah?

Hingga jumpa lagi. Lepas ini imtihan paediatric pula. Moga kali ini memang Ahmad Imtihan yang ditemui.

Hai... Siti Imtihan, kenapalah kau pula yang datang... :)

Sekian, Jazakumullah Khairan Kathiraa...