Tuesday, April 29, 2008

Tubuu Taubatan Nasuha...

Saya melalui hari yang cukup panjang, letih dan memenatkan hari ini. Bermula dengan meeting Etika PERUBATAN, bergerak ke JPMK untuk menyelesaikan beberapa urusan, kembali ke ARMA yang asalnya ingin mengikuti kelas Ustaz Fuad tapi dibatalkan, kembali ke rumah untuk menepati masa bermain bola pada jam 5:30 petang tetapi ditangguhkan pada hari esoknya. Dan malamnya saya ke rumah Ustaz Fauwaz untuk kelas terakhir kami berkenaan Feqah sebelum masing-masing melalui exam yang bakal menjelma. Penat tapi menyeronokkan.

Tapi bukan itu yang ingin saya bicara dan kongsikan malam ini, yang ingin saya bicarakan adalah berkenaan rahmat dan kasih sayang Tuhan kepada kita. Maaf dan AmpunanNya dalam setiap dosa yang kita lakukan apabila kita bertaubat kepadaNYa. Saya kembali insaf apabila menonton dua rakaman pendek di bawah ini. Tanpa disedari saya menitiskan air mata. Saya tak pasti mengapa hati saya terlalu lembut dan mudah tersentuh sejak akhir-akhir ini. Mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosa saya samada yang saya sedari atau tidak saya sedari. Terlalu banyak salah dan silap saya selama ini. DenganNya dan juga dengan makhluk-makhlukNya yang saya hadapi saban hari. Termasuklah amanah-amanah yang terpikul dibahu saya dalam banyak perkara. Moga dia memberikan saya petunjuk yang sebaiknya.

Buat semua, hayatilah dan bertaubatlah sebelum terlambat,sebelum nyawa dihujung halqum, sebelum maut menjemput pulang. Kita sendiri tidak pasti bagaimana kesudahan kita di dunia ini, ada yang hidupnya penuh bergelumang dengan dosa, namun di akhir hidupnya dia bertaubat dan taubatnya diterima Allah sedang kita mungkin hidup kelihatannya jauh dari dosa, namun takut, gerun, gusar dan bimbang akhirnya kita jauh dari rahmat dan keredhaanNya. Nauzubillah min zalik. Ampunkan kami ya Allah... Ampunkan kami ya Allah...





Epilog Silam

Dalam mengenang kisah hidup silam
Ku sedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masihkah ada ampunan buatku

Tuhan...Dalam menempuh hidup ini
Banyaknya dugaan datang menguji
Tuhan...Ada yang dapatku gagahi
Dan ada yang gagal kuhindari

Tuhan...Dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak kutepati
Tuhan...Rahmat-Mu melangit luas
Terlalu sedikit kubersyukur

Kini kukembali pada-Mu
Mengharap maghfirah dari-Mu
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-Mu
Kerna kuyakin kasih-Mu
Kekal tiada sudahnya...

Sunday, April 27, 2008

Lama tak tgk gambar ini. Moga dapat cas semangat kita semua dalam mencari tujuan dalam hidup ini...




PS: Agak-agak sape gadis dalam gambar ni...

Malam ini...

Genap setahun kami berpisah,dan malam ini kami kembali bersama, memperbaharui azam, menjana semangat dan meneruskan keutuhan ukhuwah kami bersama. Malam Gathering Batch MEP3. Moga tahun ini menjadi saksi kecemerlangan kami semua. InsyaAllah...

Saya, Dzul dan Kang Hamdan sedang khusyuk mendengar ucapan salah seorang daripada kami.


Baki yang lain, Iqbal, shuib, izwan, idil dan us Fauwaz, Akmal sedang berselindung di sebalik dinding di belakang idil.


Inilah juadah kami malam itu, bertemakan makanan barat, ada lazania, kentang goreng, kek, nugget ikan, ayam goreng dan nasi goreng juga. Disamping juadah-juadah yang lain.


Akhawat batch kami yang tidaklah terlalu ramai namun cukup untuk menceriakan batch ini, ketiadaan Lina yang tidak lama lagi akan lahirkan anak sulung. Moga dipermudahkan.

Dan inilah ikhwahnya semua ada kecuali Muslim yang sudahpun berada di Malaysia.

Moga ukhuwwah yang terjalin kekal mesra hingga keakhirnya. Kata Iqbal, "tentu seronok bila suatu hari nanti boleh kumpul-kumpul lagi dengan spouse masing-masing." Ya, mungkin masanya akan tiba... Doakanlah mudah-mudahan insyaALlah...

Friday, April 25, 2008

Tagged?

Entry ini sekadar untuk memenuhi permintaan adindaku Muhammad Nazrul Syazwan bin Kamarul Arifin (Punyalah panjangnya nama dan indah bunyinya, tapi warouq juga yang dipanggil orang…). Setelah di’tagged’ maka peraturan yang memerlukan saya menyenaraikan 8 fakta mengenai diri sendiri dan mentag 8 orang lain menjadi kerja tambahan saya di kala ini. (Hai… senang-senang je menambah tugas yang sedia ada ya)

Jadi 8 facts about drkadir;


1. Penyabar dan Pemarah
Saya seorang yang penyabar sejak akhir-akhir ini namun tidak bermakna saya tidak boleh marah atau tidak akan marah pada waktu-waktu yang memerlukan.

2. Perasa dan Pelupa
Saya mungkin seorang yang cepat terasa walau dalam masa yang sama cepat pula untuk kembali melupakan apa yang berlaku dan cuba buat tak ada apa-apa.

3. Kesukaan dan Kebencian
Saya seorang yang sukakan kesempurnaan (dan untuk itu pastinya Allah lah yang paling sempurna dalam setiap sesuatu) namun tidak bermakna saya bencikan kecacatan. Pada saya, walau kita tidak akan sampai kepada kesempurnaan namun berusaha kearahnya dan mencuba melakukan yang terbaik adalah suatu yang dituntut.

4. Pendiamnya saya
Saya seorang yang pendiam. Mungkin ramai yang tidak percaya, namun bagi mereka yang selalu berkomunikasi dengan saya, atau selalu bertemu dengan saya, mereka akan dapati saya lebih suka mendengar daripada berbicara.

Masa-masa dahulu...

5. Saat paling kosong dalam hidup saya mungkin selepas menduduki UPSR. Terasa cukup kosong hidup ini dan seringkali berfikir-fikir mungkin tak lama lagi aku nak mati…

6. Saya pernah meminati ilmu cakerawala dan kaji bintang. Pernah suatu ketika saya bercita-cita menjadi seorang ahli astronomi. Namun Dia telah menentukan saya dalam bidang ini. Mungkin suatu masa saya nanti saya masih berpeluang untuk cuba mengkaji alam ciptaan Allah yang maha luas ini.

7. Semasa di SHAMS saya tidak tinggal di asrama, suatu yang menjadikan saya rasa sedikit ketandusan pengalaman kerana kehidupan di asrama punya pelbagai cerita dan kisah yang hanya diketahui oleh mereka yang mengalaminya.

8. Saat yang paling warna warni dalam hidup saya adalah ketika berada di INTEC. Walau hanya 3 bulan di sana, di sana saya mula menjadi nakal, di sana juga saya mula terlibat dengan gerakan islam, di sana juga saya mula mengenali dakwah, di sana juga saya bagai terawan-awan mengikut angin yang bertiup.

Tamat akhirnya…

Warouq, adikku sayang, hanya itu sahaja yang dapatku coretkan berkenaan diriku, 4 perkara berkenaan sikap dan feilku dan 4 perkara berkenaan masa laluku, selebihnya pastinya engkau lebih mengenali diriku. Tapi kalau-kalau rasa tak kenal juga lagi, lepas-lepas ni la kita taaruf lebih lagi. Takkan semuanya ingin kucoretkan kat sini. Apapun insan bernama drkadir ini seorang yang mungkin agak sukar difahami…

Oh ya, tentang 8 nama yang perlu ditag itu, saya tangguhkan ke masa yang lain, apatah lagi tidak sanggup untuk mengenakan orang lain sama. “Tapi Abang Kadir, mender ni bagus, boleh rapatkan ukhuwah dan kita dapat lebih kenal kawan-kawan kita!” Mungkin, tapi saya sendiri tidak berminat untuk mengenali seseorang dengan cara ini. Saya lebih suka melihat,memerhati, mendengar, dan menilai akhirnya, untuk mengenali mereka yang berada di sekeliling saya. Moga Allah kurniakan saya sahabat-sahabat yang baik seperti anda semua yang sentiasa menyeru kepada kebaikan dan sentiasa nasihat-menasihati kepada kebenaran dan kesabaran.

Dah semua, jom study plak. Exam tak lama lagi. All the best buat semua. Study baik-baik, Doa banyak-banyak, main ala kadar tawakkal tinggi kepadaNya...

Wallahu a’lam

PS: Saya juga kemudiannya ditagged oleh Safwan si reporter PERUBATAN. Dahla wan, kire sekali la ni ya.

Sedikit Iklan dari PERUBATAN

Assalamualaikum warahmatullah, Memandangkan sekarang adalah tempoh permohonan untuk pengambilan sessi baru kursus perubatan di Mesir, Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia Mesir mengambil inisiatif untuk memberikan panduan kepada semua pelajar-pelajar yang ingin memohon sepertimana yang disiarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi berkenaan prosedur pemohonan tersebut di laman web rasmi Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

http://www.mohe.gov.my/webkpt_v2/pdf/borg_timur_tgh/borg_medic_mesir-2008.pdf Borang permohonan boleh didapati dari laman web yang sama.

Sekian,
Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin,
Presiden,
Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir



PS: untuk teks asal sila lawat www.perubatan.org

JABATAN PENGAJIAN TINGGI
KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI
ARAS 1-3, BLOK E9, PARCEL E, PRESINT 1
PUSAT PENTADBIRAN KERAJAAN PERSEKUTUAN
62505 PUTRAJAYA

PROSEDUR PERMOHONAN DAN PENDAFTARAN PELAJAR PERUBATAN
UNIVERSITI DI MESIR SESI AKADEMIK 2008/2009


1. Setiap pemohon yang berhasrat untuk mengikuti pengajian bidang perubatan di universiti Mesir hendaklah memenuhi syarat kelayakan minimum yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Mesir iaitu mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan memperolehi Kepujian dengan sekurang-kurangnya 3B dalam semua mata pelajaran.

2. Setiap permohonan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di universiti Mesir perlu mengemukakan dokumen seperti

berikut: i. Dua (2) salinan Borang KPT/PERUBATAN/MESIR/2006 (Permohonan Dan Pendaftaran Pelajar Perubatan Universiti Di

Mesir); ii. Satu (1) Borang KPT/SSLN/2006 (Borang Permohonan Sijil Sokongan Luar Negara);

iii. Cabutan Sijil Lahir asal dan empat (4) salinan yang telah disahkan;

iv. Sijil terjemahan SPM (Bahasa Arab) yang asal telah dan empat (4) salinan yang telah disahkan;

v. Terjemahan cabutan Sijil Lahir (Bahasa Arab) dan 4 salinan yang telah disahkan;

vi. Terjemahan Cabutan Sijil Lahir dan sijil SPM dalam Bahasa Arab perlu dibuat di Institut Terjemahan Negara Malaysia di alamat berikut :

Institut Terjemahan Negara Malaysia
Wisma ITNM
No. 2, Jalan 2/27E
Wangsa Maju, Seksyen 10
53300 Kuala Lumpur
Tel: 03-4149-7210

vii. Terjemahan Sijil SPM dan terjemahan Cabutan Sijil Lahir perlu disahkan oleh Bahagian Konsular, Kementerian Luar Negeri Malaysia di alamat berikut:

Ketua Setiausaha
Kementerian Luar Negeri
Bahagian Konsular
Wisma Putra
No.1, Jalan Wisma Putra, Presint 2
62602 PUTRAJAYA
Tel:03-8887-4159
Faks: 03-8889-2923

viii. Tujuh (7) keping gambar warna berukuran pasport;

ix. Empat (4) salinan pasport Malaysia yang telah disahkan dan

(Muka surat yang mengandungi maklumat pelajar) x. Bayaran pengurusan dan pendaftaran sebanyak USD 25.00 melalui bank draf dan hendaklah dicatatkan atas nama Director, Malaysian Students Department, Cairo

xi. Kenyataan pengesahan borang yang bersetem

3. Borang kemasukan dan dokumen lain yang telah lengkap diisi hendaklah dikemukakan ke alamat di bawah pada atau sebelum 31 Mei 2008:

Pengarah
Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar (UHEJPM)
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi
Aras 2 Blok E9, Parcel E, Presint 1
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62505 PUTRAJAYA

4. Sebarang pertanyaan dan kemusykilan bolehlah ditujukan kepada Unit Hal Ehwal Jabatan Penuntut Malaysia, Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi di talian 03-8883 5892.

Unit Hal Ehwal Jabatan Penuntut Malaysia
Bahagian Hal Ehwal Dan Pembangunan Pelajar
Jabatan Pengajian Tinggi
Kementerian Pengajian Tinggi
Januari 2008

Thursday, April 24, 2008

Kisah Cinta Seorang Sahabat

Hari ini saya tidak mahu berbicara panjang. Hanya ingin berkongsi suatu 'karya' nasihat yang dinukilkan oleh seorang sahabat yang sememangnya cukup berbakat dalam arena penulisan. Ayahnya seorang cikgu bahasa yang kerap kali memenangi pertandingan sajak dan puisi serta genre penulisan yang lain dan bakat itu jugalah yang mengalir dalam dirinya. Namun cukup sukar untuk melihatnya duduk berteleku mengeluarkan bakat yang tersisa dalam diri untuk diterjemahkan dalam bentuk karya yang menyentuh hati.

Moga karya ini menjadi titik tolak untuk dirimu terus mengorak langkah dalam dunia penulisan wahai sahabatku. Walau masih tersisa sedikit rasa kecewa apabila tiket penerbangan emirates yang diharapkan sebelum ini seakan-akan semakin jauh dari genggaman, mungkin "Kisah Cinta Seorang Sahabat" ini boleh mengurangkan sedikit rasa terkilan tersebut. Apapun barang diingat, tulisan ini juga menggambarkan betapa bersemangat dan seriusnya Idil terhadap peperiksaan akhir tahun lima yang akan kami hadapi tidak lama lagi ini. Moga Allah mempermudahkan segala urusan saya, kami dan anda semua. Doakan yang terbaik buat kita semua ya. Seeru 'ala barakatillah.

Jazakumullah Khairan Kathira...



Kisah Cinta Seorang Sahabat


Dahulu, UPSR itu gunung harapan.. Itulah cita-cita seorang anak kecil yang meningkat dewasa iaitu untuk ke sekolah asrama. Seluruh tenaga dan masa manjadi korban kepada sebuah cita-cita besar Kelas-kelas tusyen tambahan hampir sama banyak dengan kelas-kelas di sekolah. Tidak cukup dengan itu, berpuluh-puluh buku latihan berjaya dihabiskan. Maklumlah, ketika itu hanya ibu.ayah dan guru sekolah yang ditaati. Belum ada terlintas ketika itu keseronokan selain memberi kebahagiaan kepada si ibu dan ayah serta membalas penat lelah guru mengajar.

Rutin yang sama ini kekal dan tidak banyak berubah semasa menghadapi peperiksaan besar yang seterusnya dalam hidup seorang anak kecil itu yang kini semakin matang iaitu PMR dan SPM. Perjuangan masih belum selesai. Selagi sekolah belum tamat dan kaki belum melangkah ke universiti, tulang dan otot ini tidak akan direhatkan. Biarlah mata ini terbuka mengharungi malam panjang dan badan ini terpaksa dijauhkan dari bantal dan tilam, asalkan cita-cita besar diri dan keluarga tidak terkubur.

Nah, apalagi yang kita mahu selepas dinobatkan sebagai salah seorang bakal doktor yang akan mengisi kekosongan kerjaya ini di Malaysia 5 ke 6 tahun mendatang? Sekadar mengisi kekosongan? Oh, bukan sekadar itu. Bukan nisbah satu doktor kepada 5 pesakit (misalnya) itu yang ingin dihambat, dipulun atau dikejar, namun perjuangan membawa maruah Islam itu yang diagungkan, pengorbanan memikul nama Islam ke puncak dunia, jihad ilmu untuk melihat dunia tersenyum semula bersama Islam. Ya, untuk Islam! Adakah sedikit nilai jihad ini? Masih adakah ragu atau curiga akan matlamat agung ini?

Jangan kembali kepada zaman hingusan kita dahulu, era menuntut ilmu untuk berjaya ke sekolah asrama atau demi menggembirakan hati ibu dan ayah. Tidak langsung saya cemuh insan-insan sedemikian kerana saya sedar barangkali itu hanya motivasi. Malangnya, jika kita bermatlamat seperti di atas, sebenarnya amat ditakuti kita kecundang di tengah-tengah gelombang ilmu ini. Ilmu perubatan yang meratah usia kita selama 6 tahun lebih ini bukan calang-calang taufan. ‘Tsunami’ ini akan menghempas kita sepanjang 6 tahun ini! Andai niat yang sahih tidak kita bulatkan dari sekarang, di mana mahu dicari benteng teguh siap guna melawan dugaan ini? Bersungguh-sungguh benar saya bangkitkan soal niat di sini. Ingat sahabatku, niat ialah akal, terbentuk daripada motif yang kukuh dan bakal memandu seluruh anggota tubuh untuk tunduk patuh. Mulakanlah, niat kerana Allah!

Orang-orang berakal saya kira tidak akan pernah mengatakan bahawa Mesir ialah tempat yang terbaik untuk menuntut ilmu tetapi hanya orang yang kurang berakal saya kira akan mengatakan bahawa negara ini tidak layak dihuni untuk menuntut ilmu. Baiklah, saya lebarkan bicara untuk mendekatkan kita kepada makna yang terbuku. Tanah di sini memang mengandungi berjuta-juta ilmu, didiami oleh berduyun-duyun ilmuwan dan menyimpan seribu satu permata. Oleh itu, jangan kerana sistem hidup rakyatnya yang tidak teratur dan kerana seringkali beban berduri jatuh ke atas kepala, kita tertunduk lalu terduduk, menikus diri, mati langkah dan hilang pertimbangan untuk terus bangkit berusaha. Tidak kira sedalam manapun lurahnya, bersabarlah kerana hanya maut membawa maksud gagal!

Maaf, coretan ini tergantung dan tidak berpenutup kerana mahu saya tinggalkan kalian dan diri saya agar membuka semula persoalan ini dalam diri sendiri!

“ Pintalah pertolongan dengan bersabar dan bersolat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar”-

al Baqarah, 153.


Mohd Husmar Israq Hussin

Wednesday, April 23, 2008

Wahai hati...

Wahai hati…
Apakah perkhabaran dirimu sekarang?
Sihatkah dikau, segarkah dikau menempuhi hari-harimu yang semakin sukar ini?

Aku tidak tahu mengapa aku kerap mengingati dirimu kini,
Katanya kau semakin berubah,
Jika dulu engkau sentiasa sibuk dengan zikrullah,
Kedengarannya kini engkau semakin culas dengannya.
Mengapakah begitu wahai hati…?

Jika dulu dirimu sentiasa kelihatan di Masjid,
Di awal waktu, berpakaian suci dan bersih,
Begitu bersegera bertemu Rabbmu Yang Maha Agung.
Namun mengapa kini engkau jarang ke sana?
Jarang sekali.
Cukup jarang…

Kemana dirimu di waktu subuh?
Ketika setiap hamba menyahut seruan Ilahnya,
Mengorak langkah ke masjid, memperbanyak fikir dan zikir.
Kemana dirimu wahai hati.

Jika dulu setiap kata-katamu diselangi dengan ayat-ayat Allah,
Rasa takut dan gerun akan azab dan seksanya,
Mengapa kini cukup mudah engkau mengeluarkan kata?
Cukup mudah engkau bermadah walau songsang maksudnya walau sesat tujuannya.

Wahai hati…
Kesibukan apakah yang melanda dirimu?
Adakah kamu sibuk dengan pelajaranmu
hingga kamu tiada masa untukNya?
Apakah kamu asyik pula memikirkan soal duniamu,
Hingga kamu tidak lagi seronok bersama Rabbmu.
Atau mungkin dirimu terlalu hanyut dalam rasa cinta dan perasaan.
Hingga Dia engkau ketepikan.

Namun sedarkah dirimu,
Pelajaranmu untuk siapa?
Urusan dunia mu menuntut redha siapa?
Dan cinta dan perasaanmu, atas dasar apakah ia dibina?
Insaflah dikau wahai hati.
Insaflah dikau seketika ini dan selamanya…

Duhai hati…
Aku sebenarnya takut.
Aku sebenarnya risau.
Aku sebenarnya gerun.
Aku tidak mahu engkau terus-terusan begini.

Kerana…
Rosak dirimu maka akan rosaklah seluruh diriku.
Sedang baiknya dirimu maka akan eloklah diriku.
Bersegeralah engkau kearah keampunan dan maghfirahNya wahai hati.
Kerana di situ masih ada tempat buat dirimu,
Mencari REDHA ILAHI…

Tuesday, April 22, 2008

Warkah khas buat ahli PERUBATAN yang dikasihi...

Assalamualaikum wbt.

Menemui sahabat-sahabat, ahli-ahli perubatan yang dihormati. Moga sentiasa dipayungi rahmat dan maghfirah Allah setiap masa,waktu dan ketika. Di kala masing-masing sibuk menelaah pelajaran dek kerana jangka waktu peperiksaan yang semakin hampir ini, saya ingin membawa perhatian sahabat-sahabat untuk memikirkan seketika tentang satu perkara.

Saya sempat mendengar ceramah berkenaan Kisah Nabi Yusof Alaihissalam yang disampaikan oleh Ustaz Hasrizal di sebuah surau di Malaysia sebelum turun untuk solat Jumaat pagi tadi. Walau tajuknya berkenaan Kisah Nabi Yusof Alaihissalam namun dalam ceramah tersebut saya tertarik apabila suatu kisah yang diceritakan oleh beliau berkenaan pengalamannya ketika belajar di Jordan.

Semasa di Jordan, beliau dapati begitu jarang rakyat perempuan tempatan atau boleh dikatakan tiada langsung rakyat perempuan tempatan berada di luar rumah pada waktu malam. Segala aktiviti di luar hanya akan dilakukan pada waktu siang. Sementara pada waktu malam, mereka akan berada di tempat yang selayaknya untuk mereka, iaitu di rumah. Pendek kata, tiada tempat selain rumah bagi perempuan pada waktu malam.

Namun apabila datangnya pelajar-pelajar perempuan Malaysia ke sana, mereka telah membawa budaya baru, iaitu keluar pada waktu malam yang kemudiannya menjadi buah mulut penduduk-penduduk arab di sana. Menyedari kepincangan ini, mereka menyarankan kepada pelajar-pelajar lelaki Malaysia agar menegur tingkah laku sahabiah-sahabiah mereka. Hingga pada suatu malam seorang sahabat beliau telah terserempak dengan beberapa orang pelajar perempuan yang sedang berada di luar rumah pada waktu malam. Atas rasa prihatin dan tanggungjawab, sahabat itu menegur.

“Ha ustazah, ustazah nak ke mana ni malam-malam” tanya beliau.

Namun dijawab oleh ustazah tadi, “Sibuklah, kenapa duk sibuk-sibuk jaga tepi kain orang?”

Tersentak dengan jawapan ustazah itu, beliau kembali membalas, “Ana bukannya nak jaga tepi kain ustazah tapi ana nak jaga kain ustazah tu”

Akhirnya, Ustaz Hasrizal menyimpulkan, dalam Islam sebenarnya kita dituntut untuk menjaga hal ehwal sahabat-sahabat seIslam kita, memastikan keselamatan mereka, mengambil tahu perihal mereka dan sentiasa take care of each other dalam apa-apa keadaan sekalipun dan tidak hidup dengan sikap nafsi-nafsi, sendiri-sendiri dan tidak memperdulikan orang lain apatah lagi bersikap tidak menjaga tepi kain orang seperti yang disebutkan oleh ustazah tadi.

Saya percaya situasi sebegitu mungkin dan pasti pernah dilalui oleh sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiah di sini. Saya sebenarnya hairan apabila malam yang terlalu banyak fitnahnya menjadi suatu yang tidak ditakuti oleh gadis-gadis di sini apatah lagi berada jauh daripada pengawasan keluarga, di negara asing seperti Mesir ini, lebih-lebih lagi setelah berbagai-bagai kes kekacauan terjadi akhir-akhir ini. Bukankah Allah sendiri mengajar kita untuk meminta perlindungan dariNya daripada kejahatan gelap malam apabila tiba waktunya? (Surah Al Falaq : 3 ) Mengapa? Kerana pada waktu inilah biasanya manusia terdorong melakukan kejahatan dan kerosakan seperti mencuri, merompak, merogol, memeras ugut, menceroboh dan sebagainya. Percayalah, tudung itu menutup auratmu tetapi tidak mampu menepis setiap kejahatan malam

Namun mengapa kita tidak berasa gusar dan terlalu berani untuk berada di luar rumah pada waktu tersebut? Sedangkan burung-burung di awan itu pun bertempiaran pulang ke sarang tatkala senja menjemput malam! Apakan daya, hanya nasihat yang mampu diberikan, hanya kalam berulas peringatan yang mampu kami suakan supaya sahabiah-sahabiah mahupun sahabat-sahabat yang bermukim di ardu kinanah ini tidak menjadikan malam untuk bersuka-suka atau menikmati keindahan malam contohnya.,

“Tapi, kami memang tiada masa lain untuk beraktiviti, hanya malamlah untuk kami menghadiri dars. Hanya malamlah masa untuk kami mengaji Al Quran. Hanya malamlah untuk kami berSC. Hanya malam sahajalah ruang untuk kami menziarahi sahabat-sahabat dan hanya malam jugalah untuk kami bershopping” Ya, apalah upaya kami untuk menegur lebih-lebih apatah lagi mengongkong kehidupan sahabiah-sahabiah yang sudah besar dan matang berfikir, hanya doa moga dipelihara olehNya dan dalam jagaanNya yang kami mampu lakukan.

Khidmat musyrif yang disediakan juga adalah suatu bentuk caring dan cakna yang menjadi inisiatif persatuan untuk akhawat gunakan. Anda bukan dipenjara tetapi dijaga. Fahamilah peranan dan hormati satu sama lain. Akhawat, fahamilah bahawa ikhwah begitu cakna dan berasa bertanggungjawab memelihara keselamatan sahabiah-sahabiahnya pada waktu memerlukan. Ikhwah pula, sedarlah kewajipan dan amanah Allah kepada setiap kamu untuk membantu sahabiah-sahabiah kamu dengan segenap upaya yang ada. Namun, masing-masing perlu sedar dan ingat akan batasan-batasan yang telah ditetapkan agama buat kita dan perlunya kita menjaga hati masing-masing agar tidak terpesong niat murni yang terpateri sebelumnya.

Saya rindukan saat-saat di mana terbinanya kemuafakatan antara kita dalam semua hal. ‘Rumah tangga’ PERUBATAN ini menuntut sentuhan dan acuan kita bersama. Ya, di sana pastinya akan ada perbezaan pendapat kerana itulah kita dituntut untuk duduk berbincang, mencari kata sepakat yang dihormati bersama dan menjayakannya dengan sebaiknya.

Apapun, tujuan saya bukannya ingin mempromosikan produk musyrif yang disediakan perubatan itu di sini, namun lebih terpanggil untuk menasihati semua agar mengurangkan aktiviti di luar pada waktu malam. Gunakanlah masa malam yang ada untuk bersama-sama ahli rumah, menelaah pelajaran, berbincang masalah ummah, berehat secukupnya untuk melalui hari esoknya dengan lebih baik dan bertenaga. (Surah Al An’am : 96 , Surah An Naml : 86 )

96. Allah jualah Yang membelah cahaya Subuh (yang menyingsingkan fajar) dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

86. Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

Akhirnya, sempena hadirnya tempoh peperiksaan yang semakin hampir ini, alihkan fokus masing-masing kepada apa yang akan kita hadapi. Warkah tidak bersampul ini mungkin hanya dipandang sepi dan tidak langsung menjentik sanubari sahabat-sahabat sekalian, namun apa yang saya harapkan kita sama-sama diberikan panduan oleh Allah bagi membolehkan keberadaan kita di bumi Mesir ini sentiasa dipelihara olehNya setiap masa dan ketika. Perperbaikilah hubungan antara kita. Hiduplah dalam nikmat berkasih sayang keranaNya. Buat akhirnya,salam ceria dan salam imtihan buat semua.

Wassalam.
Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin,
Presiden Perubatan.

Saturday, April 19, 2008

Kepelbagaian...



Jika kamu boleh menerima bahawa manusia ini dijadikan Allah pelbagai ragam dan feil, kamu akan sentiasa berlapang dada dan tenang menghadapi segala karenah mereka” Kalam nasihat Ustazah Hamidah, guru Bahasa Arab Tinggi saya ketika semasa di tingkatan empat di SHAMS itu kembali terngiang-ngiang di telinga saya. Saya kembali memikirkannya.

Sememangnya antara kebesaran dan Maha Hebatnya Allah, apabila diciptakannya manusia itu dari pelbagai keadaan, pelbagai sifat dan perangai yang masing-masingnya mempunyai karektor-karektor tersendiri yang tidak sama antara satu sama lain. Maha Suci Allah apabila Dia menciptakan manusia ini dengan nafsu dan akal fikiran untuk membolehkan manusia sendiri memikirkan yang mana baik dan yang mana buruk untuk dirinya sendiri dan masyarakat sekeliling. Begitulah hebatnya Allah dengan segala kekuasaanNya.

Saya menyedari hakikat kepelbagaian tersebut. Dari sini saya cuba untuk mengenali diri dan orang di sekeliling. Mengenali dalam erti kata menerima kepelbagaian tersebut sebagai suatu ketentuan untuk kita sentiasa berfikir dan berfikir tentang alam, bumi, langit dan segala yang wujud di antara keduanya.

Al Quran banyak bercerita perihal manusia sepanjang zaman, bagaimana feil dan perangai manusia yang akan sentiasa wujud setiap masa dan ketika selagi bumi ini masih ada dan kiamat belum sampai waktunya. Akan sentiasa ada watak-watak seperti Firaun, Haman dan Qarun yang menjadi pemerintah dan penguasa yang zalim, tidak berhati perut dan menganggap diri seperti tuhan dan mampu melakukan apa sahaja.

Akan terus ada watak-watak seperti nabi-nabi dan pengikut-pengikut mereka yang setia yang mampu melalui segala fitnah dan ujian demi mempertahankan aqidah dan keyakinan yang terpateri dalam sanubari mereka bahawa Allah lah tuhan yang menciptakan seluruh alam ini dan wajib disembah dan ditaati.

Akan terus ada watak-watak seperti saudara-saudara Yusof Alaihissalam, yang sentiasa iri hati dan mencari jalan untuk mendapatkan kasih dari bapa sendiri sehingga sanggup melakukan khianat kepada adik sendiri.

Ada yang bersikap seperti binatang yang walaupun berakal namun tidak menggunakannya dengan sebaiknya untuk mengenali tuhan.


Begitu juga dengan wataknya Zulaikha, seorang wanita yang kaya, mendapat tempat yang tinggi dan terhormat di mata masyarakat namun alah kepada nafsu sendiri dan akhirnya sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Tidak kurang dengan watak-watak muslimah solehah seperti ditunjukkan pada watak-watak Asiah, isteri Firaun yang beriman walau dirinya adalah isteri kepada penguasa yang begitu angkuh dan sombong, Masyitah, tukang sisir rambut puteri Firaun yang nekad terjun kedalam api bersama anak-anak demi mempertahankan iman di hati, begitu juga Mariam, perempuan suci yang sentiasa mendekatkan diri kepada tuhannya sehingga dikurniakan Allah seorang anak yang hadir untuk membelanya dan seluruh ummatnya. Dan banyak lagi watak-watak yang dihadirkan oleh Al Quran untuk manusia sentiasa menghayati dan mengenali bahawa watak-watak inilah yang akan sentiasa dihadapi sehingga akhir zaman.

(Kekalahan orang-orang yang menentang Rasul Allah sudah tetap menurut) "Sunnatullah" (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu. (Surah Al Fath : 23)

(Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul Kami dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu ( surah Al Israq :77)

Jika sebelum ini, saya memahami apa yang ingin disampaikan oleh Ustazah Hamidah itu adalah untuk kita sentiasa berlapang hati dan sentiasa memaafkan dalam semua keadaan yang kita hadapi kerana menyedari bahawa itulah adalah sifat yang telah ditentukan Allah untuk dirinya. Namun kini saya merasakan bahawa apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh beliau adalah untuk kita kembali menilai semua itu dan bagaimana untuk kita menghadapi segala kepelbagaian karenah dan ragam ini dengan cara yang sepatutnya.

Personaliti dari sudut psikologi

Jika kita kembali menelaah apa yang kita pelajari dalam subjek psychology, kita didedahkan kepada karakter-karekter serta personaliti yang dipunyai oleh setiap orang. Masing-masing ada ciri-ciri yang tersendiri, sikap dan pola berfikir sendiri yang banyak dipengaruhi oleh suasana, persekitaran mereka dibesarkan, bentuk pendidikan dan tarbiyah yang diterima mereka masing-masing.

Antaranya,
Extraversion: sentiasa ingin bergerak dan mengikut stimulus yang diterima sementara ada pula yang bersikap pasif dan menjauhi sebarang stimulus dalam dirinya..
Neurocitism : ada pula yang sentiasa beremosi, menerima sesuatu perkara dengan emosi yang agak keterlaluan sementara dalam masa yang sama ada pula yang sentiasa tenang dan optimis dalam segala tindakannya.
Agreeableness: suka berkawan, menghormati pandangan orang lain dan sentiasa ingin menjalinkan hubungan yang baik dengan semua orang, sementara ada pula yang terlalu agresif, hanya tahu dirinya sahaja yang betul dan tidak mahu mengalah.
Conscientiousness : sentiasa bertanggungjawab, selalu merancang dan merencana dengan baik sebaliknya ada pula yang bersikap acuh tak acuh dalam semua perkara, menyerahkan segalanya tanpa cuba untuk merancang apa-apa dan sentiasa tidak relevan dalam tindakan yang diambil.
Openness to experience : dan ada juga yang bersikap terbuka, menerima segala idea baru yang baik untuk dicuba sedang ada yang agak jumud dalam bertidak, tidak mahu menerima pembaharuan dan selesa dengan kebiasaan.

Itu adalah antara teori-teori personaliti yang ditonjolkan oleh Lewis Goldberg berkenaan dimensi-dimensi personaliti yang mungkin dipunyai oleh semua manusia di dunia ini. Dan saya pasti kita sendiri mempunyai pengalaman berhadapan dengan manusia-manusia sebegitu. Saya sendiri mempunyai personaliti tersendiri yang saya senangi dan banyak juga antaranya merupakan kelemahan-kelemahan diri yang saya sedari dan cuba perbaiki.

Rasulullah contoh terbaik sepanjang zaman.

Apapun dalam Islam, kita diajar untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang terbaik dalam semua aspek kehidupan yang kita hadapi dalam hidup ini. Bagaimana akhlak dan sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam setiap situasi yang baginda lalui itulah yang sepatutnya cuba kita amalkan setiap waktu dan ketika. Jika kita kembali menyingkap perjalanan sirah baginda yang agung, kita akan dapati betapa Rasulullah adalah suatu contoh manusia yang terbaik dan perkara yang dilakukan baginda adalah berdasarkan panduan wahyu yang telah ditentukan oleh Allah di samping akhlak baginda yang terpuji yang sepatutnya diwarisi oleh kita sebagai ummat yang mengasihi baginda melebihi segala-galanya.

Kita dapat melihat bagaimana sifat dan sikap baginda sebagai seorang pemerintah dan penguasa, bagaimana akhlak baginda sebagai seorang pendakwah, sebagai seorang panglima tentera, sebagai seorang anak, sebagai seorang bapa, seorang suami, seorang peniaga seorang sahabat dan sebagainya. Begitulah kita diajar untuk sentiasa menjadikan baginda panduan dan teladan dalam apa sahaja suasana yang kita hadapi sehari-hari..

Kepelbagaian adalah suatu yang baik jika kena caranya.


Justeru apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan dalam tulisan yang panjang berjela ini.
1. Pentingnya untuk kita kembali menilai dan mengenal diri sendiri untuk kita menyesuaikannya dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, mengawalnya dan berusaha untuk menjadikannya sebagai suatu yang positif dalam mencapai tujuan kehidupan kita ini untuk mendapatkan redhaNya.
2. Mengenali feil dan perangai manusia di sekeliling kita dan bagaimana untuk kita menghadapi mereka dengan cara yang sebaiknya.
3. Sebagai seorang pendakwah, semestinya perlu mengenali mad’u kita dengan baik, jika tidak bagaimana mungkin dakwah itu dapat disampaikan dengan baik.
4. Menyedari bahawa kepelbagaian yang ada itu adalah suatu yang baik jika dipandu sebaiknya untuk kebaikan dan boleh menjadi suatu yang memudharatkan.
5. Berasa lapanglah dan jauhilah rasa sedih dan rendah hati apabila seluruh manusia tidak bersama kita namun Allah tetap redha dan melihat kita dengan rahmatNya sebaliknya sewajarnya kita berasa gerun dan gundah jika seluruh manusia redha dengan kita sedangkan kita jauh dari rahmat Allah dan redhaNya. Nauzubillah min zalik.

Akhirnya sama-samalah kita bermuhasabah diri dan mengenali diri sendiri untuk menghadapi kehidupan dan dunia ini dengan lebih baik. Wallahu a’lam. Jazakumullah Khairan Kathiraa…

Tuesday, April 15, 2008

Chest round...

Setelah sekian lama tidak berimtihan, semalam adalah exam round pertama saya setelah lebih 2 bulan merehatkan diri. Kali ini imtihan untuk part chest daripada internal medicine. Sudah lama juga sebenarnya saya tidak keluar daripada rumah pada awal pagi memandangkan round hanya bermula pada jam 10:00 pagi, saya hanya akan keluar daripada rumah sekitar jam 9:30. Tapi semalam hari imtihan, seawall jam 7:30 saya telah mengorak langkah untuk ke kuliah berbekalkan tawakkal menduduki imtihan ini dengan sebaiknya.

Setibanya di kuliah, saya terus mendaftarkan diri dengan naib(MO) yang bertugas. Senarai kehadiran ditanda dan dua keping not 5le dikeluarkan. Wang tersebut adalah bayaran yang dikenakan untuk setiap kali menduduki imtihan sebagai sedikit saguhati atau bentuk bantuan kepada pesakit-pesakit yang menjadi bahan eksperimen pada hari itu. Begitu sistem di Mesir, saya tak pasti di tempat lain bagaimana. Setelah menyelesaikan urusan tersebut saya mendapatkan tempat duduk dan cuba membelek-belek lagi buku praktikal di tangan sebelum betul-betul bersedia menduduki imtihan tersebut.

Tidak lama kemudian, seorang naib yang lain pula hadir di muka pintu dan memanggil 8 orang pelajar pertama untuk menduduki imtihan. Tiada orang yang tampil, akhirnya saya sendiri yang pada hakikatnya sudah agak malas untuk membelek-belek buku lagi menjadi orang pertama yang tampil diikuti sahabat-sahabat yang lain. “Ayyak apasal aku bangun dulu ni?” rungut saya di dalam hati . Empat buah stesen saya lalui…

Pertama: Inspection.

Dalam setiap local examination akan ada empat perkara yang akan kita lihat dalam apa jua kes yang kita peroleh, inspection, palpation, percussion dan auscultation untuk kita mencari apa-apa sign yang boleh membantuk kita membuat kepastian berkenaan sesuatu diagnosis yang kita buat terhadap seseorang pesakit.

Untuk inspection saya mendapat seorang pesakit yang menghidap bronchial asthma dan COPD. Keputusan berikut diperoleh.
• Hyperinflated shape
• Symmetry on both side
• Equal, diminished, abdominal-thoraco movement.
• Subcostal angle is obtused
• No skin pigmentation, scar or dilated vein visible
• No visible apical pulsation and have epigastric pulsation.
• Littin’s sign positive and Thrill’s sign is normal

Kedua : Palpation

Untuk palpation alhamdulillah saya mendapat seorang patient yang pernah saya temui sebelum ini, ammu Ali, seorang yang menghidap pleura effusion. Saya mencari sign-sign berikut padanya.
• Diminished movement, equal on the both side.
• Decreased TVF inframammary on the both side.
• No shifted trachea.
• No palpable apical pulsation, the epigastric pulsation comes from below which will be suggested comes from the aorta.
• Tenderness all over the chest.

Ketiga : Percussion

Saya menghafal dengan cukup baik berkenaan clinically important dalam melakukan percussion on the chest anteriorly namun kurang mengambil berat untuk teknik yang sama posteriorly, dan akhirnya untuk imtihan kali ini, saya terkejut apabila patient yang dihadapi telah sedia duduk (tidak berbaring) dan apabila saya membaca arahan yang ada di situ, saya dapati “do the percussion posteriorly”. “Ayyark!!”

Saya hanya mampu mencari satu impaired note di bahagian kiri pesakit tersebut pada kedudukan T7 thoracic vertebra dan tidak dapat menjawab untuk beberapa lagi item-item penting untuk back percussion ini seperti:
• Kronig's isthmus
• Comparative percussion suprascapular, scapular, infrascapular, dan intrascapular
• Tidal percussion jika ada.
Huhu kecewanya saya.

Keempat: Auscultation. Dan untuk stesen terakhir ini, saya mendapat kes bronchial astma dan COPD juga yang membawa saya menemui sign-sign berikut.
• Harsh versicular breathing (lebih tepat versicular breathing with prolonged expiration)
• Low intensity, equal all over the chest.
• No adventitious sound
• No vocal resonance.

“fuh” Alhamdulillah selesai juga examnya. Resultnya? Saya serahkan dan tawakkal sepenuhnya kepadaNya. Mudah-mudahan tidak la teruk sangat .

Apapun selepas imtihan tersebut memandangkan jam baru menunjukkan jam 9:00 pagi, saya berkeputusan untuk pergi ke round GIT meneruskan aktiviti pembelajaran seperti biasa. Cuma alhamdulillah petang semalam saya sempat memulakan kelas pertama bersama Ustaz Fuad yang saya hormati di bilik Abg Daus. Mengaji kitab tafsir Jalalain dan Minhajul Qawim.

Ada suatu yang ingin dikongsi berkenaan ayat ke 158 surah Al Baqarah ini yang bermaksud:

"Sesungguhnya "Safa" dan "Marwah" itu ialah sebahagian daripada Syiar (lambang) agama Allah; maka sesiapa yang menunaikan ibadat Haji ke Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah menjadi salah dia bersaie (berjalan dengan berulang-alik) di antara keduanya dan sesiapa yang bersukarela mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui."

Menurut ulama-ulama tasauf tentang persoalan mengapa sofa yang disebut dahulu kemudiaan marwa di dalam ayat tersebut? Mereka mengatakan bahawa sofa adalah merujuk kepada kesucian (kebersihan dan kejernihan hati) sementara marwa merujuk kepada memberi minum (mendapat air) Di sini mereka menyimpulkan dalam diri manusia juga dalam seseorang itu menuntut ilmu, penting untuk terlebih dahulu dia menyucikan hatinya terlebih dahulu sebelum dia dikurniakan ilmu (air) yang bermanafaat untuk kehidupan dirinya di dunia dan di akhirat. Cukup menyentuh hati ini, saya tak pasti bagaimana hati saya di kala ini. Penuh dosa dan gelap menanggung dosa yang terhitung atau bagaimana. Wallahu a’lam. Moga Dia tetap memelihara hambaNya ini.

Baiklah, dah jam 8:10 bersedia untuk ke kuliah pula. insyaAllah jumpa lagi di lain masa

Jazakumullah khairan kathira…