Kisah Cinta Seorang Sahabat
Hari ini saya tidak mahu berbicara panjang. Hanya ingin berkongsi suatu 'karya' nasihat yang dinukilkan oleh seorang sahabat yang sememangnya cukup berbakat dalam arena penulisan. Ayahnya seorang cikgu bahasa yang kerap kali memenangi pertandingan sajak dan puisi serta genre penulisan yang lain dan bakat itu jugalah yang mengalir dalam dirinya. Namun cukup sukar untuk melihatnya duduk berteleku mengeluarkan bakat yang tersisa dalam diri untuk diterjemahkan dalam bentuk karya yang menyentuh hati.
Moga karya ini menjadi titik tolak untuk dirimu terus mengorak langkah dalam dunia penulisan wahai sahabatku. Walau masih tersisa sedikit rasa kecewa apabila tiket penerbangan emirates yang diharapkan sebelum ini seakan-akan semakin jauh dari genggaman, mungkin "Kisah Cinta Seorang Sahabat" ini boleh mengurangkan sedikit rasa terkilan tersebut. Apapun barang diingat, tulisan ini juga menggambarkan betapa bersemangat dan seriusnya Idil terhadap peperiksaan akhir tahun lima yang akan kami hadapi tidak lama lagi ini. Moga Allah mempermudahkan segala urusan saya, kami dan anda semua. Doakan yang terbaik buat kita semua ya. Seeru 'ala barakatillah.
Jazakumullah Khairan Kathira...
Dahulu, UPSR itu gunung harapan.. Itulah cita-cita seorang anak kecil yang meningkat dewasa iaitu untuk ke sekolah asrama. Seluruh tenaga dan masa manjadi korban kepada sebuah cita-cita besar Kelas-kelas tusyen tambahan hampir sama banyak dengan kelas-kelas di sekolah. Tidak cukup dengan itu, berpuluh-puluh buku latihan berjaya dihabiskan. Maklumlah, ketika itu hanya ibu.ayah dan guru sekolah yang ditaati. Belum ada terlintas ketika itu keseronokan selain memberi kebahagiaan kepada si ibu dan ayah serta membalas penat lelah guru mengajar.
Rutin yang sama ini kekal dan tidak banyak berubah semasa menghadapi peperiksaan besar yang seterusnya dalam hidup seorang anak kecil itu yang kini semakin matang iaitu PMR dan SPM. Perjuangan masih belum selesai. Selagi sekolah belum tamat dan kaki belum melangkah ke universiti, tulang dan otot ini tidak akan direhatkan. Biarlah mata ini terbuka mengharungi malam panjang dan badan ini terpaksa dijauhkan dari bantal dan tilam, asalkan cita-cita besar diri dan keluarga tidak terkubur.
Nah, apalagi yang kita mahu selepas dinobatkan sebagai salah seorang bakal doktor yang akan mengisi kekosongan kerjaya ini di Malaysia 5 ke 6 tahun mendatang? Sekadar mengisi kekosongan? Oh, bukan sekadar itu. Bukan nisbah satu doktor kepada 5 pesakit (misalnya) itu yang ingin dihambat, dipulun atau dikejar, namun perjuangan membawa maruah Islam itu yang diagungkan, pengorbanan memikul nama Islam ke puncak dunia, jihad ilmu untuk melihat dunia tersenyum semula bersama Islam. Ya, untuk Islam! Adakah sedikit nilai jihad ini? Masih adakah ragu atau curiga akan matlamat agung ini?
Jangan kembali kepada zaman hingusan kita dahulu, era menuntut ilmu untuk berjaya ke sekolah asrama atau demi menggembirakan hati ibu dan ayah. Tidak langsung saya cemuh insan-insan sedemikian kerana saya sedar barangkali itu hanya motivasi. Malangnya, jika kita bermatlamat seperti di atas, sebenarnya amat ditakuti kita kecundang di tengah-tengah gelombang ilmu ini. Ilmu perubatan yang meratah usia kita selama 6 tahun lebih ini bukan calang-calang taufan. ‘Tsunami’ ini akan menghempas kita sepanjang 6 tahun ini! Andai niat yang sahih tidak kita bulatkan dari sekarang, di mana mahu dicari benteng teguh siap guna melawan dugaan ini? Bersungguh-sungguh benar saya bangkitkan soal niat di sini. Ingat sahabatku, niat ialah akal, terbentuk daripada motif yang kukuh dan bakal memandu seluruh anggota tubuh untuk tunduk patuh. Mulakanlah, niat kerana Allah!
Orang-orang berakal saya kira tidak akan pernah mengatakan bahawa Mesir ialah tempat yang terbaik untuk menuntut ilmu tetapi hanya orang yang kurang berakal saya kira akan mengatakan bahawa negara ini tidak layak dihuni untuk menuntut ilmu. Baiklah, saya lebarkan bicara untuk mendekatkan kita kepada makna yang terbuku. Tanah di sini memang mengandungi berjuta-juta ilmu, didiami oleh berduyun-duyun ilmuwan dan menyimpan seribu satu permata. Oleh itu, jangan kerana sistem hidup rakyatnya yang tidak teratur dan kerana seringkali beban berduri jatuh ke atas kepala, kita tertunduk lalu terduduk, menikus diri, mati langkah dan hilang pertimbangan untuk terus bangkit berusaha. Tidak kira sedalam manapun lurahnya, bersabarlah kerana hanya maut membawa maksud gagal!
Maaf, coretan ini tergantung dan tidak berpenutup kerana mahu saya tinggalkan kalian dan diri saya agar membuka semula persoalan ini dalam diri sendiri!
“ Pintalah pertolongan dengan bersabar dan bersolat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar”-
al Baqarah, 153.
Mohd Husmar Israq Hussin
2 comments:
wah..mmg penulisan Bais buat saye gamam..bais mmg berbakat..
ha~lg satu,oleh sbb saye ditag oleh dinmat,make saye terpkase mentag org len..so,u've been tagged!
sile ke page saye utk membaca rules tagging menagging ni..
salam..
..sungguh membara semangat yang terbakar dalam setiap bait tulisan yang di tulis..moga2 bisa mencas semangat..dan menyalakan api keazaman buat diri2 yang kekadng hampir tersungkur di terjah brmacm dugaan..
,,btw..sorry about 'emirates' heih~ terasa..he2..moga sabar ye pres..
~bittaufiQ wannajah untk semua~
Post a Comment