Tuesday, April 22, 2008

Warkah khas buat ahli PERUBATAN yang dikasihi...

Assalamualaikum wbt.

Menemui sahabat-sahabat, ahli-ahli perubatan yang dihormati. Moga sentiasa dipayungi rahmat dan maghfirah Allah setiap masa,waktu dan ketika. Di kala masing-masing sibuk menelaah pelajaran dek kerana jangka waktu peperiksaan yang semakin hampir ini, saya ingin membawa perhatian sahabat-sahabat untuk memikirkan seketika tentang satu perkara.

Saya sempat mendengar ceramah berkenaan Kisah Nabi Yusof Alaihissalam yang disampaikan oleh Ustaz Hasrizal di sebuah surau di Malaysia sebelum turun untuk solat Jumaat pagi tadi. Walau tajuknya berkenaan Kisah Nabi Yusof Alaihissalam namun dalam ceramah tersebut saya tertarik apabila suatu kisah yang diceritakan oleh beliau berkenaan pengalamannya ketika belajar di Jordan.

Semasa di Jordan, beliau dapati begitu jarang rakyat perempuan tempatan atau boleh dikatakan tiada langsung rakyat perempuan tempatan berada di luar rumah pada waktu malam. Segala aktiviti di luar hanya akan dilakukan pada waktu siang. Sementara pada waktu malam, mereka akan berada di tempat yang selayaknya untuk mereka, iaitu di rumah. Pendek kata, tiada tempat selain rumah bagi perempuan pada waktu malam.

Namun apabila datangnya pelajar-pelajar perempuan Malaysia ke sana, mereka telah membawa budaya baru, iaitu keluar pada waktu malam yang kemudiannya menjadi buah mulut penduduk-penduduk arab di sana. Menyedari kepincangan ini, mereka menyarankan kepada pelajar-pelajar lelaki Malaysia agar menegur tingkah laku sahabiah-sahabiah mereka. Hingga pada suatu malam seorang sahabat beliau telah terserempak dengan beberapa orang pelajar perempuan yang sedang berada di luar rumah pada waktu malam. Atas rasa prihatin dan tanggungjawab, sahabat itu menegur.

“Ha ustazah, ustazah nak ke mana ni malam-malam” tanya beliau.

Namun dijawab oleh ustazah tadi, “Sibuklah, kenapa duk sibuk-sibuk jaga tepi kain orang?”

Tersentak dengan jawapan ustazah itu, beliau kembali membalas, “Ana bukannya nak jaga tepi kain ustazah tapi ana nak jaga kain ustazah tu”

Akhirnya, Ustaz Hasrizal menyimpulkan, dalam Islam sebenarnya kita dituntut untuk menjaga hal ehwal sahabat-sahabat seIslam kita, memastikan keselamatan mereka, mengambil tahu perihal mereka dan sentiasa take care of each other dalam apa-apa keadaan sekalipun dan tidak hidup dengan sikap nafsi-nafsi, sendiri-sendiri dan tidak memperdulikan orang lain apatah lagi bersikap tidak menjaga tepi kain orang seperti yang disebutkan oleh ustazah tadi.

Saya percaya situasi sebegitu mungkin dan pasti pernah dilalui oleh sahabat-sahabat dan sahabiah-sahabiah di sini. Saya sebenarnya hairan apabila malam yang terlalu banyak fitnahnya menjadi suatu yang tidak ditakuti oleh gadis-gadis di sini apatah lagi berada jauh daripada pengawasan keluarga, di negara asing seperti Mesir ini, lebih-lebih lagi setelah berbagai-bagai kes kekacauan terjadi akhir-akhir ini. Bukankah Allah sendiri mengajar kita untuk meminta perlindungan dariNya daripada kejahatan gelap malam apabila tiba waktunya? (Surah Al Falaq : 3 ) Mengapa? Kerana pada waktu inilah biasanya manusia terdorong melakukan kejahatan dan kerosakan seperti mencuri, merompak, merogol, memeras ugut, menceroboh dan sebagainya. Percayalah, tudung itu menutup auratmu tetapi tidak mampu menepis setiap kejahatan malam

Namun mengapa kita tidak berasa gusar dan terlalu berani untuk berada di luar rumah pada waktu tersebut? Sedangkan burung-burung di awan itu pun bertempiaran pulang ke sarang tatkala senja menjemput malam! Apakan daya, hanya nasihat yang mampu diberikan, hanya kalam berulas peringatan yang mampu kami suakan supaya sahabiah-sahabiah mahupun sahabat-sahabat yang bermukim di ardu kinanah ini tidak menjadikan malam untuk bersuka-suka atau menikmati keindahan malam contohnya.,

“Tapi, kami memang tiada masa lain untuk beraktiviti, hanya malamlah untuk kami menghadiri dars. Hanya malamlah masa untuk kami mengaji Al Quran. Hanya malamlah untuk kami berSC. Hanya malam sahajalah ruang untuk kami menziarahi sahabat-sahabat dan hanya malam jugalah untuk kami bershopping” Ya, apalah upaya kami untuk menegur lebih-lebih apatah lagi mengongkong kehidupan sahabiah-sahabiah yang sudah besar dan matang berfikir, hanya doa moga dipelihara olehNya dan dalam jagaanNya yang kami mampu lakukan.

Khidmat musyrif yang disediakan juga adalah suatu bentuk caring dan cakna yang menjadi inisiatif persatuan untuk akhawat gunakan. Anda bukan dipenjara tetapi dijaga. Fahamilah peranan dan hormati satu sama lain. Akhawat, fahamilah bahawa ikhwah begitu cakna dan berasa bertanggungjawab memelihara keselamatan sahabiah-sahabiahnya pada waktu memerlukan. Ikhwah pula, sedarlah kewajipan dan amanah Allah kepada setiap kamu untuk membantu sahabiah-sahabiah kamu dengan segenap upaya yang ada. Namun, masing-masing perlu sedar dan ingat akan batasan-batasan yang telah ditetapkan agama buat kita dan perlunya kita menjaga hati masing-masing agar tidak terpesong niat murni yang terpateri sebelumnya.

Saya rindukan saat-saat di mana terbinanya kemuafakatan antara kita dalam semua hal. ‘Rumah tangga’ PERUBATAN ini menuntut sentuhan dan acuan kita bersama. Ya, di sana pastinya akan ada perbezaan pendapat kerana itulah kita dituntut untuk duduk berbincang, mencari kata sepakat yang dihormati bersama dan menjayakannya dengan sebaiknya.

Apapun, tujuan saya bukannya ingin mempromosikan produk musyrif yang disediakan perubatan itu di sini, namun lebih terpanggil untuk menasihati semua agar mengurangkan aktiviti di luar pada waktu malam. Gunakanlah masa malam yang ada untuk bersama-sama ahli rumah, menelaah pelajaran, berbincang masalah ummah, berehat secukupnya untuk melalui hari esoknya dengan lebih baik dan bertenaga. (Surah Al An’am : 96 , Surah An Naml : 86 )

96. Allah jualah Yang membelah cahaya Subuh (yang menyingsingkan fajar) dan yang menjadikan malam untuk tinggal berehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk mengira waktu (menurut peredarannya). Yang demikian itu adalah kuasa penentuan Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.

86. Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya dan menjadikan siang terang-benderang? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman.

Akhirnya, sempena hadirnya tempoh peperiksaan yang semakin hampir ini, alihkan fokus masing-masing kepada apa yang akan kita hadapi. Warkah tidak bersampul ini mungkin hanya dipandang sepi dan tidak langsung menjentik sanubari sahabat-sahabat sekalian, namun apa yang saya harapkan kita sama-sama diberikan panduan oleh Allah bagi membolehkan keberadaan kita di bumi Mesir ini sentiasa dipelihara olehNya setiap masa dan ketika. Perperbaikilah hubungan antara kita. Hiduplah dalam nikmat berkasih sayang keranaNya. Buat akhirnya,salam ceria dan salam imtihan buat semua.

Wassalam.
Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin,
Presiden Perubatan.

6 comments:

Anonymous said...

ٍSalam

Tulisan yang bagus.

Teruskan menulis. Satu hakikat yang tidak dapat dinafikan di Mesir. Jordon uruf rakyatnya sangat berbeza dengan Mesir. Rakyat Jordan pantang anak perempuan mereka mempunyai teman lelaki apatah lagi keluar dengan lelaki walau mereka tidak berhijab. Hinggakan ramai akan tersebut, sebab dah jadi adayang dibunuh oleh ayah mereka sendiri kerana keluar dengan lelaki atau mempunyai teman lelaki. Kerajaan Jordon tidak mengambil tindakan atas tindt.

Di Mesir lain pula. Tapi hakikat akhawat kita yang berani keluar malam tanpa musrif memang membimbangkan. Ana tak tahulah dengan kebanjiran adik-adik medic di mesir dan akhwat kulliyah yang pelbagai ragam sekarang. Moga2 Allah menjadikan mereka dan kita lebih mentaati agamaNya. Perempuan itu fitnah.

Adik ana di Mansurah, medik juga. Moga-moga dia menjaga dirinya!

Dr Kadir said...

Salam.

Ameen...moga dirinya sentiasa terpelihara. Emmm tak ada rezeki lagi untuk menziarahi bumi urdun sana. InsyaAllah peluang itu akan tiba...

JZKK akhi. lama juga tak jenguk blog enta :)

Anonymous said...

warkah yang bermakna

afiqah gahamat said...

warkah yang bermakna..menyentuh hati

afiqah gahamat said...

warkah yang bermakna..menyentuh hati

afiqah gahamat said...

warkah yang bermakna..menyentuh hati