Saturday, October 18, 2008

Ucapan Penutup PSMB


Ihsan jacksterisme

Ucapan Presiden PERUBATAN di majlis penutup PSMB 2008


Assalamualaykum warahmatullah.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahuwataala atas segala nikmat dan hidayah yang diberikan kepada kita, mengizinkan kita untuk sama-sama berkumpul dalam suatu majlis, Penutupan Program Sambutan Mahasiswa-mahasiswi baru Perubatan 2008 pada hari ini. Segala puji dan syukur kita rafaqkan kepadaNya yang masih mengurniakan kita nikmat iman dan islam, dua nikmat yang merupakan sebesar-besar nikmat bagi hambaNya di muka bumi ini.

Sahabat-sahabat adik-adik yang dikasihi sekalian.

Di kesempatan yang ada pada hari ini, saya mewakili sahabat-sahabat AJK PERUBATAN sessi 2007/2008 serta seluruh warga PERUBATAN mengalu-alukan kedatangan adik-adik ke bumi mesir ini, ke ardu kinanah ini, ke perlembahan Nil ini dengan ucapan ahlan wasahlan wamarhaban bikum dan mudah-mudahan kedatangan adik-adik, dengan niat yang suci dan ikhlas menuntut ilmu di sini akan diberkati dan diberikan kemudahan oleh Allah InsyaAllah.

Hadirin hadhirat yang dirahmati Allah sekalian,

Pada hari ini secara rasminya berakhirlah program sambutan mahasiswa-mahasiswi baru PERUBATAN 2008, pastinya program selama 3 hari ini telah memberikan sedikit sebanyak pendedahan kepada semua pelajar bagi mengenali Mesir dan sistem pembelajarannya yang mungkin berbeza berbanding banyak tempat di dunia ini. Apa yang diharapkan, selain pelajar-pelajar dapat berkenalan dengan Mesir, bertaaruf antara pelajar baru dan lama, adik-adik penerus perjuangan ini juga diharap dapat menyediakan diri dari aspek fizikal dan mental menghadapi segala cabaran dan tribulasi sepanjang 6 tahun keberadaan kalian semua di sini.

Jika suatu ketika dahulu kalian pernah membuktikan bahawa usaha yang gigih dan tidak mengenal jemu itu sebagai kunci kepada kejayaan lalu maka di sini juga semangat dan usaha itulah yang perlu digarap dan disemai agar kejayaan adalah milik semua di kalangan antum semua sepanjang berada di sini. Disinilah tapak mula untuk kalian membina diri, membentuk jatidiri memperteguhan kendiri dan menjadi lebih matang sesuai dengan ‘title’ antum semua sebagai mahasiswi-mahasiswa, pelajar di universiti.

Disinilah kalian perlu untuk belajar menjadi seorang yang lebih dewasa, berfikiran matang dan terbuka dalam menilai segala perkara dari semua aspek dan mengasah kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk menjadi pelajar yang berdaya saing dan mampu memberikan impak maksima kepada kemajuan negara. Moga dengan niat yang suci dan semangat yang tinggi ini antum semua dapat merealisasikan apa yang terhasrat dengan sebaiknya.

Sahabat-sahabat, adik-adik yang dikasihi,

Sudah menjadi lumrah penuntut ilmu, merantau dalam pencarian ilmunya. Mengorak langkah, mengharungi badai, melalui pelbagai cabaran onak dan duridalam usaha pencarian tersebut. Jika dahulunya Imam As Syafie pernah merantau jauh meninggalkan tanah airnya di Makkah, ke Madinah, ke Iraq dan ke Mesir demi memenuhi hakikat seorang penuntut ilmu maka dengan semangat yang sama diharapkan dapat dicontohi oleh adik-adik sebagai siswa-siswi pelajar-pelajar baru kuliah perubatan di bumi Mesir ini untuk mengaut sebanyak mungkin ilmu yang ada di sini khususnya di bidang perubatan.

Mesir sebagai gedung ilmu dan terkenal dengan kesuburan ilmu thurath islaminya diharapkan dapat memberikan sedikit impak dan biasan kepada antum semua dalam menyediakan pengamal-pengamal perubatan yang seimbang dari aspek ilmu perubatannya, pengetahuan islaminya, penghayatan akhlaknya yang mulia dan pembentukan sikap dan sifat mahmudah sepanjang keberadaan antum di sini. Rebutlah dan gunakanlah peluang yang ada dengan sebaiknya dan sentiasalah meletakkan diri kita dalam kebergantungan yang tinggi kepada Allah setiap masa dan ketika dalam usaha kita menuntut ilmu ini insyaAllah

Hadirin hadhirat yang dikasihi,

Saya tidak berniat untuk memanjangkan kalam, meneruskan bicara. Pastinya sepanjang tiga hari program yang berlangsung, telah banyak nasihat yang diberi, taujihat yang disampaikan bagi menaikkan semangat antum semua berada di sini. Tinggal aplikasi dan praktikalnya di tangan antum agar segala yang terteori menjadi kenyataan dalam menggapai kecemerlangan sebagai pelajar perubatan di sini. Akhirnya saya sekali lagi mengalu-alukan kedatangan adik-adik semua ke sini dan selamat menghadapi segala cabaran sebagai pelajar perubatan di Mesir.

Sebelum mengundur diri, saya hendak minta adik-adik dan sahabat-sahabat yang berada di dalam dewan ini untuk senyum seketika. Cuba senyum. Baiklah. Moga dengan senyuman itu menjadi suatu lambang kesediaan kita, positive thinking kita dalam menghadapi segala suka dan duka, cabaran dan dugaan sepanjang keberadaan kita di sini. Ya kezahmahan, kesibukan, sikap dan karenah masyarakat arab bisa sahaja membuatkan kita stress dan tertekan menghadapi hidup di sini namun bersabarlah dan terimalah segala dugaan itu dengan penuh redha dan senyumlah setiap masa agar ia menjadi penawar hati kita dalam menghadapi segala kesukaran tersebut insyaAllah.

Baiklah, setakat ini sahaja buat kali ini, buat akhirnya saya suka mengajak semua di kalangan kita untuk kembali memperbaharui dan membetulkan niat keberadaan kita di sini dan semoga kita sentiasa diberikan petunjuk dan panduan oleh Allah Subhanuwataala dalam setiap amal perbuatan dan gerak kerja yang kita laksanakan sehari-hari. Maaf sekiranya ada terkasar bahasa tersilap bicara. Saya sudahi ucapan ini dengan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualaykum warahmatullah wabarakatuh.

No comments: