Monday, July 21, 2008

Bimillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Lama tidak mencoret apa-apa kan? Sibuk? Ya pastinya agak sibuk membuat persiapan yang sepatutnya menghadapi hari-hari penting dalam hidup. Kebetulan pula akhir-akhir ini kuliah subuh di masjid, kuliah maghrib di surau, rancangan-rancangan agama di TV1, TV2 mahupun Al Kuliyyah di TV3, banyak pula yang bercerita tentang perkahwinan dan institusi keluarga. Pelbagai ingatan diberi, pelbagai teguran diajukan, pelbagai nasihat pula diutarakan bagi memeberikan panduan kepada mereka-mereka yang akan berumah tangga. Agaknya sekarang memang musim orang mendirikan rumah tangga apatah lagi tarikh 080808 yang bakal menyusul, pastinya menjadi tumpuan ramai pasangan untuk memulakan kehidupan bergelar suami atau isteri.

Namun begitulah, walau diri tidak mampu untuk meluangkan masa duduk mendengar, menadah telinga mendengar nasihat-nasihat tersebut dan menuntut ilmu sebagai persediaan melayari kehidupan bekerluarga dengan baik dek kerana pelbagai komitmen dan persiapan yang perlu saya lakukan, namun dalam masa yang sama saya rajin pula untuk menelaah buku-buku berkaitan rumah tangga seperti karangan Ustaz Pahrol Mohd Juoi, “Satu Rasa Dua Hati” serta buku Ustaz Hasrizal pastinya “Aku Terima Nikahnya”. Oleh kerana saya sudah terlalu kerap membaca artikel-artikel Ustaz Hasrizal tentang kekeluargaan di SaifulIslam.com maka buku Ustaz Pahrol lebih menarik minat saya ketika ini untuk mengutip segala pengalaman-pengalaman dan rencah hidup berumah tangga sebagai panduan di hari muka. Banyak yang saya dapati dari buku ini dan apa yang terpenting yang mungkin dapat saya keluarkan daripada buku ini adalah matlamat asas dan utama apabila seseorang memilih untuk mendirikan rumah tangga adalah kemahuannya untuk memberi dan mengasihi pasangannya dan pastinya ia diasaskan atas rasa taqwa dan cinta mereka kepada Allah Subhanahu Wataala. Semoga ia menjadi suatu cara terbaik untuk saya kembali mengingati segala teori-teori dan panduan bait muslim yang pernah dipelajari sebelum ini untuk dipraktikkan dalam kehidupan realiti nanti insyaAllah.

Dalam hidup ini, selain belajar melalui pengalaman sendiri, pengalaman orang lain juga kerap kali menjadi panduan untuk kita membina pengalaman sendiri, justeru saya begitu teruja apabila mak dan ayah banyak bercerita tentang kehidupan berumahtangga dan asam garam yang telah mereka lalui selama ini. Dan sebagai anak yang lahir seawal setahun selepas mereka diijabkabulkan saya dapat melihat sendiri bagaimana peranan yang dimainkan mereka dalam membina keluarga. Ayah sebagai ketua keluarga dan emak sebagai pengurus rumahtangga begitu komited menjalankan peranan masing-masing dalam memastikan kami adik beradik terbela dan mendapat pendidikan yang sebaiknya. Namun begitu, masih banyak yang belum saya ketahui dan banyak pula yang masih perlu saya pelajari daripada mereka terutama berkenaan menjaga perasaan dan mendidik kesabaran dalam perhubungan. Ya, moga saya lebih cepat untuk belajar. Dan yang pastinya pembelajaran itu adalah suatu proses yang lama dan menuntut kesabaran justeru kepada mereka yang masih punya waktu dan masih belum bercadang untuk berumah tangga, tidak jadi masalah untuk anda menambah ilmu dan pengalaman berkenaan hal ehwal rumahtangga, semoga ia dapat membantu anda menyediakan diri dengan sebaiknya menjadi ketua keluarga mahupun isteri yang baik dalam membina usrah muslimah solehah toyyibah yang anda impi-impikan insyaAllah.

Begitulah… apapun pelbagai persiapan yang sedang dilakukan sekarang sedikit sebanyak membuka mata saya bahawa bukan senang untuk melangsungkan sesebuah perkahwinan. Dari memilih hari, membuat kad, menghantar jemputan, mengubah hantaran, mencari lembu, mengikuti kursus kahwin, menyewa khemah, memasak, bermajlis dan lain-lain lagi memerlukan perancangan dan pandangan mereka yang berpengalaman dalam hal ini. Apatah lagi masa yang ada begitu singkat. Ada yang bertanya, “kenapa terlalu cepat untuk kahwin? Sedang belajar pun belum habis.” Pastinya suatu soalan yang sememangnya sukar untuk saya berikan jawapan namun saya hanya meletakkan keyakinan bahawa inilah jalan terbaik yang saya dan bakal isteri telah pilih dan dengan keyakinan itu saya mengharapkan sakinah mawadah dan rahmah dariNya dalam menyusuri jalan yang telah ditentukan ini. Tersenyum saya apabila seorang sahabat telah menelefon dan menyatakan “Tak sangka dahulu senyap je kat sekolah, akhirnya kahwin dulu” Tak sangka pula saya pendiam dahulu di sekolah. Apapun saya agak menyedari sifat pendiam saya itu akhir-akhir ini.

Baiklah, rasanya setakat ini dahulu buat kali ini. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi mencoretkan apa-apa di ruangan komen ataupun shoutbox dalam entry yang lepas. Dan seperti yang saya sebut sebelum ini, ketiadaan talian internet mahupun telefon di rumah menyebabkan ruang dan peluang untuk saya mengakses internet agak terbatas sementara saya sendiri sudah tidak berapa gemar pula untuk ke cc.

Apapun jazakumullah khairan kathiraa sekali lagi diucapkan dan buat sahabat-sahabat saya yang berada di Malaysia, saya kehilangan banyak contact number kalian dek kerana handset lama saya tidak dapat dihidupkan. Justeru harap dapat menghubungi saya ya. Yang nak dapatkan kad jemputan pun boleh hubungi saya, nyatakan pengenalan diri dan alamatnya sekali. Yang tak dapat datang tu, takpe je, mengharapkan doa kalian dari kejauhan. Yang akan datang, moga akan ketemu nanti, pastinya saya amat merindui kalian setelah sekian lama tidak bersua. Moga pertemuan itu menjadi milik kita, insyaAllah… 

Jazakumullah khairan kathiraa…

4 comments:

sinar_islami said...

salam..igt nak hadirkn diri..
tpi tak pe la dr kejauhan mendoakn..
Moga Allah sentiasa rahmati mahligai yg bakal dibina..

nik_khoir said...

Assalamu'alaikum.
Lama tak berkunjung ke blog dr.kadir.Alhamdulillah,kebaikan dari Allah buat dr.kadir dan bakal zaujah sudah tiba.Akak doakan moga usrah muslim yang terbina bakal menjadi penyambung generasi perjuangan Islam.Tahniah!

Anonymous said...

salam.selamat pengantin baru. semoga jodoh berkekalan selamanya.
emm..senior2 SHAMS ni suke jer buat kejutan.tp apa2 pun, semoga sentiasa di bawah rahmat-Nya.

Muhammad Warouq bin Qamar said...

selamat pengantin baru~