Thursday, March 6, 2008

Masa untuk berubah...

Dalam kalut-kalut hendak ke kuliah, saya terpandang sebuah buku di meja Wafi, Islam and The West from Asad’s point of view karangan Safwat M Halilovic. Saya capai buku itu dan membawanya bersama untuk ke kuliah dan sebenarnya memang menjadi kebiasaan saya untuk membawa bersama sesuatu untuk dibaca sepanjang perjalanan pergi dan balik ke kuliah menaiki metro yang mengambil masa selama hampir satu jam itu.

Sebetulnya saya tidak pernah mengenali tokoh ini, Muhammad Asad atau nama sebelum Islamnya Leipold Weiss. Seorang yang dilahirkan dari keluarga yang kuat pegangannya terhadap agama jews sehingga mendapat pendidikan yang cukup baik berkenaan agama yahudi daripada kitab talmud, menguasai bahasa ibrani dengan baik yang seterusnya membantunya untuk memahami bahasa arab. Beliau kemudiannya mula sangsi dengan ajaran yang dibawa oleh Agama Yahudi yang menganggap bangsa Israel sebagai golongan pilihan Allah di dunia sementara semua bangsa selain dari bangsa Israel wajib dibunuh dan dimusnahkan serta ajaran yang mengatakan bahawa Islam diasaskan dan disebarkan melalui darah dan pedang. Beliau yang kemudiannya mula berkenalan dengan paderi kristian untuk lebih mengenali agama tersebut akhirnya tertarik dengan Islam yang membawa kepada keislaman beliau ketika berusia 26 tahun dan seterusnya menginfaqkan diri sepenuhnya untuk perjuangan dan dakwah Islam sehingga menjadi fenomena di eropah dan menjelaskan berkenaan Islam yang sebenar kepada masyarakat Eropah.

Saya sebenarnya tertarik dengan apa yang dibawa dan diceritakan oleh Muhammad Asad, pandangan dan teorinya berkenaan ‘civilisation’ di barat dan Eropah yang ada pada hari ini, yang sebenarnya berasal daripada ketamadunan Islam pada suatu ketika dahulu. Beliau menceritakan bahawa suatu ketika dahulu ketika barat berada di dalam kegelapan, masyarakat mereka berada di bawah pentadbiran gereja yang kolot dan tidak membenarkan pencabahan ilmu yang membawa kepada pertembungan antara ajaran kristian dan penemuan semasa. Oleh itu, ramai cendekiawan dan ahli sains pada ketika itu yang dihukum dengan kejam dan dicop gila kerana membawa sesuatu yang baru dan bercanggah dengan apa yang dibawa oleh agama Kristian.

Sehinggalah Islam muncul sebagai sebuah tamadun yang disegani pada zaman keemasan mereka apabila munculnya nama-nama seperti Al Khawarizmi, Ibn Sina, Ibn Khaldun, Ar Razi, Al Biruni dan lain-lain lagi yang membuka ruang kepada bercambahnya ilmu-ilmu sains yang ada sehinggalah hari ini kita dapat melihat perkembangan ilmu-ilmu yang ada yang begitu pesat sifatnya. Kenapa ini berlaku? Kerana berbeza dengan agama kristian, Agama Islam sendirilah yang menyeru kepada umatnya untuk berkejar-kejar dalam menuntut ilmu. Dalam turutan firman Allah dan petikan sabda-sabda baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam kita dapat menemukan pelbagai dalil yang menyeru kepada maksud ini. Antaranya:

Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Allah mengajarkan Adam nama kesemuanya”

Sabda Nabi SAW.
“Menuntut ilmu wajib kepada semua muslim”

dan

“Barangsiapa yang memudahkan seseorang untuk menuntut ilmu, dimudahkan Allah baginya untuk ke syurga”

Dan berbagai-bagai lagi saranan yang menjurus kepada umat ini berlumba-lumba dalam menuntut ilmu, mencari kemajuan dalam kehidupan di dunia tanpa melupakan dan meringankan hal-hal berkaitan kehidupan selepas mati, di hari akhirat.

Bermula dari sinilah, barat dan eropah mula melakukan suatu gerakan yang dikenali sebagai ranainsance yang mengeluarkan masyarakat mereka yang sedang berada di zaman yang gelap itu untuk kembali berguru dengan masyarakat Islam dan membawa ilmu tersebut ke tempat mereka kemudian mengembangkan ilmu tersebut. Mereka cuba untuk lari dari pengaruh gereja dengan memisahkan terus aspek keduniaan dan aspek agama dengan kata lain, pihak gereja hanya berkuasa membicarakan hal berkaitan agama sementara perkembangan ilmu lain yang bersifat keduniaan adalah dipegang oleh golongan tertentu yang kita kenali sebagai sekularisme.

Maka sepertimana yang kita dapat lihat, perkembangan ilmu yang berada di barat membawa mereka kepada kemajuan mereka pada hari ini. Namun begitu, di sana kita juga dapat sama melihat bagaimana kemajuan yang dikecapi barat itu juga sebenarnya kosong, tidak bernyawa kerana pemisahan aspek keagamaan dalam pembangunan tersebut turut membangunkan masyarakat yang rendah moralnya, jatuh akhlaknya sehingga boleh membawa kepada keruntuhan kepada tamadun yang dibina. Dalam kemajuan yang dikecapi, perlakuan jenayah, seks bebas dan pelbagai lagi gejala sosial dapat kita lihat. Tambah menyedihkan lagi apabila bangsa, dan masyarakat di negara-negara umat Islam pada hari ini juga, bukan sahaja jauh mundur ke belakang setelah kejatuhan khilafah pada tahun 1922 dahulu bahkan turut tertempias dengan kejatuhan moral yang berlaku ini.

Justeru apa yang sebenarnya berlaku dan bagaimana untuk umat ini kembali gemilang?

Mungkin dari situ juga timbul kesedaran di negara kita sendiri untuk kembali mendaulatkan Islam ini ketempatnya dengan memperkenalkan gagasan Islam Hadhari, agar Islam yang sifatnya tinggi dan tiada lagi yang lebih tinggi daripadanya akan dapat dikembalikan gahnya. Namun segala bentuk pembangunan yang kita usahakan untuk umat ini tidak akan dapat dicapai dengan sebaiknya sekiranya aspek pembangunan insan yang faham dan mengerti berkenaan agama yang dianutinya itu tidak dapat kita laksanakan.

Dan bagaimana mungkin jika untuk kita melahirkan masyarakat yang mengerti ini sekiranya mereka yang menjadi pemimpin dan menggerakkan gagasan ini sendiri tidak meyakini akan apa yang diperjuangkan sebagaimana kata seorang menteri yang mengatakan bahawa “Apa yang diperjuangkan kerajaan berkenaan Islam Hadhari ini sebenarnya adalah suatu yang kerajaan sendiri tidak meyakininya”

Dan bagaimana masyarakat yang baik dan berakhlak juga dapat dilahirkan sekiranya wakil rakyat yang akan dipilih sanggup untuk menyajikan persembahan separuh bogel untuk tatapan rakyatnya. Pening saya memikirkannya. Loya dan muntah dibuatnya. Belum lagi dibicarakan berkenaan salah guna kuasa kezaliman dan jenayah yang berlaku di mana-mana di dalam negara yang cukup memberikan rasa tidak selamat kepada rakyat jelata.

Saya tidak pasti mengapa tiba-tiba saya boleh mengaitkan apa yang diceritakan oleh Muhammad Asad berkenaan civilisation barat dan pengaruh yang diberikan oleh tamadun Islam sebelumnya dengan realiti yang kita hadapi di negara kini. Cuma apa yang saya dapat lihat, Islam yang ada di Malaysia dan usaha-usaha untuk kembali menggemilangkannya hanyalah suatu yang retorik sekiranya aspek-aspek rohani, suasana dan iklim islamik tidak dapat diwujudkan di Malaysia apatah lagi apabila pemimpinnya sendiri diselubungi dengan pelbagai salahlaku, penipuan dan kezaliman.

Apa yang boleh saya harapkan, mungkin pada zaman saya, mungkin pada zaman anak-anak saya atau mungkin cucu cicit saya, saya impikan Malaysia suatu ketika nanti akan dapat menjadi sebuah negara yang unggul Islamnya dari sudut pembangunan fizikal dan spiritualnya, menjadi contoh kepada negara-negara Islam yang lain dan disegani kawan dan lawanya. Apapun masih belum terlambat sekiranya kita mampu untuk cuba mengubah suasana dan iklim yang ada ini dalam pilihanraya yang akan datang.

Rasanya setakat itulah ruang untuk saya bercerita pada kali ini, setelah agak lama tidak kembali ke sini. Buat sahabat-sahabat di Malaysia saya doakan agar terus tabah dan thabat dalam perjuangan dan buat sahabat-sahabat seaqidah di seluruh dunia terutamanya pejuang-pejuang yang berada di Palestin, Moga Allah merahmati kalian dan bersabarlah di atas ujian yang melanda. Janjinya kebahagian di kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Sebelum berpisah saya ungkapkan kembali kata-kata Profesor Victor Robinson ketika membandingkan keadaan eropah dan Andalusia pada suatu ketika dahulu; “Europe was dark at sunset whiele Cordoba shone with public lamps; Europe was dirty while Cordoba built a thousand baths; Europe was covered with vermin while Cordoba changed its undergarment daily...”

Kita boleh kembali seperti dahulu dan masanya untuk kita berubah...

No comments: