Friday, May 8, 2009

Curi Tulang

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Sedikit perkongsian tentang petikan daripada utusanonline bertarikh 27 April 2009 dan 29 April 2009 berkenaan kes dua orang doktor yang ditangkap Timbalan Menteri WP 'curi tulang' dan jawapan daripada Menteri Kesihatan berkenaan hal tersebut. Saya sendiri berasa terkilan dengan kenyataan Timbalan Menteri tersebut yang terlalu cepat menuduh dan mengarahkan semua pegawai kerajaan melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan kepada rakyat sedang kebajikan pegawai-pegawai kerajaan tersebut, doktor khususnya masih tidak dapat ditangani dengan baik. Sememangnya ia hanyalah kenyataan politik untuk menunjukkan beliau sebagai seorang yang prihatin kepada rakyat jelata.

Ya betul, sememangnya kita menyeru semua doktor untuk melaksanakan amanah, kerja mereka dengan penuh dedikasi akan tetapi tanggungjawab kerajaan pula untuk memberikan kerehatan secukupnya untuk para doktor dan mencari mekanisme terbaik untuk mengelakkan para doktor terlalu penat setelah 36 jam bekerja tanpa henti semasa on call. Bagi saya, isu pelajar-pelajar luar negara tidak mahu untuk pulang berkhidmat untuk anak bangsa sendiri bukan sahaja kerana gaji atau insentif yang kecil berbanding bekerja di luar negara tetapi juga kerana sistem yang ada di Malaysia yang kurang mesra.

Wallahu a'lam

Timbalan Menteri WP 'tangkap' doktor HKL

KUALA LUMPUR 26 April - Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan (gambar) hari ini 'menangkap' dua doktor di jabatan kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Penemuan yang memeranjatkan Saravanan itu berlaku kira-kira 10.30 pagi ini apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau (Saravanan).

"Saya juga menunggu seketika untuk pelajar perempuan itu mendapat rawatan dan setelah menyedari tidak seorang pun pesakit dipanggil masuk oleh doktor, saya terus membuka pintu bilik rawatan. Saya terkejut apabila mendapati seorang doktor sedang membaca surat khabar dan seorang lagi buat hal sendiri dan melakukan kerja peribadi.

"Ada lebih 20 pesakit yang menunggu di luar untuk mendapat rawatan. Ini bukanlah cara seseorang doktor bekerja. Pesakit sepatutnya diutamakan. Lagipun, ini adalah unit kecemasan, yang sepatutnya pantas dalam memberikan rawatan," kata Saravanan kesal.

Saravanan berkata, beliau menegur doktor terbabit kerana kelakuan mereka dan mendesak untuk berjumpa pegawai atasan mereka, yang muncul 30 minit kemudian.

"Selepas itu, pesakit yang menunggu pun segera diberi rawatan. Tak bolehkah doktor itu melayani pesakit dulu? Ini bukan sepatutnya cara perkhidmatan di hospital kerajaan dilaksanakan," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam satu daripada lawatan mengejutnya ke pusat bandar semalam berkata, beliau mahu barisan hadapan institusi kerajaan di ibu negara supaya meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat.

Saravanan berkata, sungguhpun beliau 'menangkap' doktor terbabit secara tidak sengaja, mulai sekarang beliau akan kerap melakukan lawatan mengejut ke jabatan di bawah kementeriannya bagi memastikan kakitangan di barisan hadapan melaksanakan tugas mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat.

"Ini adalah pembuka mata. Kami, sebagai pemimpin, tidak boleh hanya menabur janji sahaja dan tidak memeriksa sama ada kerja dilaksanakan oleh kakitangan kerajaan di barisan hadapan. Kami mesti turun ke bawah (ke akar umbi) bagi memastikan penyelesaian segera ditemui untuk masalah rakyat.

"Apatah lagi dalam keadaan ini apabila orang sedang sakit dan menanggung penderitaan akibat kesakitan itu. Jika mereka tidak sakit, mereka tidak akan datang ke unit kecemasan. Ini adalah pengajaran untuk semua hospital. Tolong bekerja untuk rakyat jika anda menganggotai perkhidmatan awam," katanya. - BERNAMA


Aduan doktor 'curi tulang' tidak benar - Liow

PUTRAJAYA 29 April — Siasatan terhadap dakwaan kononnya pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) ’curi tulang’ mendapati dakwaan itu tidak benar, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini.

Beliau berkata doktor yang dikatakan ’membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi’ di wad kecemasan itu sebenarnya merupakan Pegawai Perubatan Siswazah dan baru selesai memeriksa pesakit terakhir.

“Semasa menunggu kad rawatan pesakit seterusnya yang belum dihantar ke biliknya, doktor itu sekadar menyelak akhbar yang ditinggalkan seorang pesakit atas sebuah troli dan hanya mengimbas tajuk utama akhbar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dakwaan kononnya ada 20 pesakit yang sedang menunggu di Zon Kritikal juga tidak benar kerana siasatan mendapati hanya lapan pesakit yang sedang menunggu, selebihnya adalah waris kepada pesakit.

“Tiga pesakit sedang menunggu untuk dirawat dan lima lagi pesakit asma sedang mendapatkan rawatan,” kata Liow.

Ahad lepas, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan mendakwa dua doktor di jabatan kecemasan HKL membaca akhbar dan melakukan kerja peribadi, bukannya merawat lebih 20 pesakit yang menunggu dalam kesakitan untuk mendapat rawatan.

Saravanan berkata peristiwa itu berlaku kira-kira 10.30 pagi apabila beliau pergi ke hospital berkenaan untuk melawat seorang pelajar universiti yang cedera selepas dilanggar kereta yang dipandu oleh pemandu beliau (Saravanan).

— BERNAMA

Friday, May 1, 2009

Selamat Hari Pekerja...

"Baiklah pendengar-pendengar sekalian... hari ini hari Jumaat ya... hari ini hari Jumaat, 1 Mei, hari pekerja. Hari pekerja buat kita semua di Malaysia... hari pekerja buat semua di seluruh dunia. Selamat hari pekerja diucap untuk semua.... Baik pekebun, baik nelayan... Baik petani, baik pekerja kerajaan, baik pekerja swasta... Selamat Hari Pekerja buat anda... Sesungguhnya walau kecil, walau besar pekerjaan anda.... Pekerjaan anda itu adalah suatu sumbangan untuk kemajuan negara kita Malaysia yang kita cintai ini." bicara seorang dj radio sambil di selang seli dengan sisipan muzik.

Ya hari ini hari pekerja, hari untuk kita semua yang sentiasa bekerja dan bekerja mengerjakan suruhan Allah supaya kita beramal di dunia ini.Sebagaimana Islam mengajar kita bahawa dunia ini adalah tempat untuk kita beramal, bercucuk tanam sementara di akhirat nanti adalah waktu ketika untuk kita menuai menadah hasilnya. Islam juga menyeru kita untuk melaksanakan semua pekerjaan kita dengan penuh kesungguhan dan mendapatkan natijah terbaik dalam apa jua pekerjaan soleh yang kita kerjakan.

"Sesungguhnya Allah menyukai pekerjaan hambaNya yang dilakukan dengan penuh kesungguhan"

Justeru jika kita amati, orang Islamlah sebenarnya lebih terkehadapan, lebih rajin dan lebih bersungguh dalam melakukan pekerjaan mereka kerana di sana selain mendapatkan bahagiannya daripada kemakmuran dunia, ia juga adalah suatu amal yang disukai oleh Allah dan mendapat pahala apabila melakukannya. Sebaliknya apa yang dapat kita lihat, orang-orang bukan Islam walaupun tiadanya ikatan antara mereka dengan hari akhirat serta persoalan dosa dan pahala, namun mereka cukup rajin bekerja, rajin berusaha sehingga mampu untuk memakmurkan dunia ini dengan apa yang mereka kehendaki.

Oleh itu, bersempena hari pekerja yang disambut ini, saya suka mengajak sahabat-sahabat kembali memuhasabah diri bagaimana pekerjaan yang telah kita lakukan selama ini. Baik belajar, menuntut ilmu, baik berdakwah kepada Islam atau apa-apa jua pekerjaan kita bahkan walau di mana jua bidang kerjaya yang kita ceburi masing-masing. Sejauh mana kita telah melaksanakan pekerjaan kita itu dengan sebaiknya, bahkan sejauh mana pula kita telah melakukan pekerjaan kita itu dengan bersungguh-sungguh semata-mata menyahut perintah Allah dan mengharapkan keredhaanNya dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan.

Sama-samalah kita koreksi dan periksa diri kita sendiri, moga-moga segala yang kita lakukan mendapat tempat di sisi Allah dan dikira oleh Allah sebagai amal soleh yang memberatkan neraca kebajikan kita di akhirat kelak.

Selamat hari pekerja buat semua, wassalam...


ps: Gambar-gambar daripada Facebook dan Flickr