Ujian, sabar dan ikhlas...
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.
Menemui sahabat-sahabat yang sudah sekian lama tidak dikirimi berita, alhamdulillah sudah sebulan lebih saya berada di bumi UK, walau banyak perkara yang ditempuh dan dilalui namun diri sendiri tidak begitu teruja untuk mencoretkan apa-apa serta bercerita.
Cuaca yang tidak menentu, kadang-kadang sejuk dan kadang-kadang berangin membuatkan diri saya sedikit lemah menghadapi situasi begitu. Sebetulnya saya tidak berapa gemar menghadapi musim sejuk kerana cukup mudah untuk ditimpa demam dan cukup lama untuk kembali kebah. Akhirnya pemergian saya dan isteri ke Manchester dua hari lepas untuk menghadiri perjumpaan dengan pegawai MARA dan meraikan Kak Fizatul, senior Zaatil dan juga housematenya yang baru grad menyebabkan saya kembali menghadapi keadaan seperti sebelum-sebelum ini. Bermula dengan rasa pedih di anak tekak (sore throat) saya mulai batuk dan akhirnya sudah tidak bermaya lagi apabila suhu badan meningkat dan melemahkan segala anggota. Saya ditimpa demam lagi. Dan seperti yang dilalui sebelum ini, saya sentiasa mengharapkan apa yang dihadapi ini sebagai kafarah penebus dosa yang saya lakukan sehari-hari.
Seperti kelazimannya saya kurang gemar untuk memakan apa-apa ubatan bagi melawan demam dan batuk yang dihadapi kerana tidak selesa dengan side effect yang bakal diterima, apapun saya tetap menelan dua biji panadol dan ubat batuk kali ini. Itupun mungkin sebab isteri beriya-iya menyuruh saya memakannya. Mudah-mudahan demam kali ini tidaklah terlalu teruk kerana banyak perkara yang telah dirancang sempena cuti 2 minggu yang bakal dilalui isteri bermula besok.
Moga semua yang dirancang diperkenan dan dipermudahkan Allah jua. Doakan ye sahabat-sahabat. Hingga entry seterusnya, sama-samalah muhasabah diri dalam setiap perkara yang kita hadapi...
Wallahu A'lam, Innalillahi wainna ilahi rajiun....