Tuesday, January 6, 2009

Musafir lagi...

Assalamualaykum dan salam sejahtera semua.

Beberapa jam lagi saya akan meninggalkan UK, menuju ke Mesir menaiki penerbangan British Airways untuk kembali menyambung pengajian. Doakan semuanya selamat dan semoga kepulangan ke Mesir ini diberkati.

Buat isteri...

Ayu puteri wajah nan indah,
Baik budi pandai berbahasa,
Beratnya hati untuk berpisah,
Bagai tertusuk buluh berbisa

Mudik ke hulu membawa raga,
Raga dijunjung tiada upaya,
Tinggal saudara tinggal keluarga,
Menuntut ilmu menggapai jaya.

Beratnya hati menanggung resah,
Bagai menanggung gunung bertimpa,
Janganlah sedih jangan gelisah,
Di lain masa kita berjumpa.

Sekali lagi dipohon doa dari semua. Moga kita semua dirahmati dan diredhai.

PS: Al Fatihah buat nyang saya yang baru sahaja kembali ke rahmatullah beberapa jam yang lalu. Moga rohnya ditempatkan di kalangan hambaNya yang soleh dan dikasihi. Ameen...

Monday, January 5, 2009

Hari Asyura...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Sempena bulan Muharram al Mubarak ini, saya ingin kembali mengingatkan kita semua tentang suatu tarikh yang penting dalam Islam iaitu berkenaan Hari Asyura dan fadilat serta bagaimana untuk kita menyambutnya. Artikel yang saya tulis tiga tahun yang lalu mudah-mudahan memberikan sedikit panduan kepada kita dalam muraqabah kita kepada Allah SWT. Selamat membaca.

Jazakumullah khairan kathiraa...

Fadhilat Hari Asyuraa’

Disaring dari kitab Fadhilat Hari Asyuraa’ Antara Adat dan Istiadat karangan Abu Muhammad An Naqsyabandiy

Maal Hijrah tiba lagi, menandakan bermulanya tahun baru 1430H yang pastinya menjanjikan perbagai dugaan dan cabaran sepanjang mengharungi setahun yang mendatang ini.Muharram sebenarnya suatu bulan yang cukup penting dalam Islam. Selain sebagai bulan pertama dalam Islam, Padanya juga ada suatu hari yang dikenali sebagai Hari Asyura’ yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

Hari Asyura’ berasal daripada perkataan ‘Asyara’ yang bermaksud kesepuluh atau merujuk kepada hari yang kesepuluh dalam bulan Muharram. Sementara hari yang kesembilan daripada bulan Muharram dikenali sebagai Hari Tasua’ (kesembilan).

Pada awal Islam, Hari Asyura’ adalah merupakan hari yang cukup dimuliakan dan diwajibkan bagi orang-orang Islam untuk perpuasa padanya hinggalah turunnya perntah berpuasa fardhu pada bulan Ramadhan maka hukum berpuasa pada Hari Asyura’ bertukar kepada Sunat Muaakad. Namun, sebahagian sahabat masih kekal melaksanakan puasa pada hari tersebut mengenangkan kelebihan dan keistimewaan hari tersebut berdasarkan banyak nas-nas daripada Hadith Rasulullah SAW.

Nas-Nas Berhubung dengan Hari Asyura

1. Daripada Abdullah Ibni Abbas berkata: Telah menyuruh Rasulullah S.A.W. supaya berpuasa pada Hari Asyura’ pada hari kesepuluh pada bulan Muharram. [1]

2. Daripada Abu Qatadah, bahawasanya Rasulullah S.A.W. bersabda:Berpuasalah pada hari Asyuraa’ bahawasanya aku berharap diatas Allah S.W.T bahawa ianya (berpuasa itu) dapat mengkifaratkan segala dosa pada tahun yang lalu.[2]

3. Biasanya Bangsa Quraish berpuasa pada Hari Asyuraa’ sejak zaman jahiliyyah, juga Rasulullah S.A.W biasa berpuasa di Makkah dan kemudian selepas berhijrah ke Madinah, dan telah turun perintah wajib berpuasa pada bulan ramadhan maka Nabi S.A.W bersabda: Saya dahulu telah menyuruh kamu sebagai perintah wajib berpuasa Asyuraa’ dan kini terserah siapa suka berpuasa dan yang tidak suka boleh meninggalkannya.[3]

Dan banyak lagi nas-nas yang menunjukkan kelebihan untuk berpuasa pada Hari Asyura ini. Cara untuk berpuasa pada Hari Asyuraa’

Puasa Asyuraa’ pada awalnya dilakukan oleh Rasulullah sendirian dan tidak diperintahkan kepada sahabat-sahabat untuk melakukannya ketika baginda masih berada di Mekah, namun selepas penghijrahan baginda ke Madinah baginda telah meneruskan puasa tersebut dan turut memerintahkan para sahabat untuk mengerjakannya sehinggalah turunnya perintah untuk berpuasa pada bulan Ramadhan maka hukum berpuasa pada Hari Asyuraa’ dimansuhkan.

Hari Asyuraa’ sebenarnya bukan sahaja disambut oleh orang Islam namun dalam masa yang sama golongan Kristian dan Yahudi turut mengagungkan hari tersebut kerana terdapatnya peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada hari tersebut. Sepertimana yang dinyatakan dalam hadith: “Daripada Ibn Abbas R.A. berkata: ketikamana sampai Rasulullah S.A.W di Madinatul Munawwarah maka bagida dapati golongan Yahudi berpuasa pada Hari Asyuraa’ maka bersabda Rasulullah S.A.W.kepada mereka : Hari apakah ini yang kamu berpuasa?

Maka mereka berkata (yahudi): Hari ini adalah hari yang besar bagi kami, dimana Allah S.W.T. telah selamatkan Nabi Musa A.S. dan kaumnya dan menenggelamkan Firaun bersama kaumnya ke dasar lautan, maka berpuasalah Musa kerana bersyukur maka kami pun berpuasa.

Maka bersabda Rasulullah S.A.W: Sekiranya begitu kamilah yang lebih berpuasa daripada kamu maka berpuasalah Rasulullah S.A.W dan menyuruh sahabat-sahabatnya untuk berpuasa.[4]

Rasulullah S.A.W telah mengajar umatnya untuk berpuasa pada hari yang sepuluh pada bulan Muharram dengan tidak melakukannya sendirian namun turut berpuasa juga pada hari yang kesembilan atau hari yang kesebelas atau ketiga-tiga hari tersebut bagi mengelakkan meniru puasa orang yahudi yang berpuasa hanya pada 10 Muharram.

Sebenarnya berlaku khilaf dikalangan ulama dalam menentukan tarikh sebenar Hari Asyuraa’ samada hari kesembilan atau hari kesepuluh.Namun mengambil sikap cermat dalam melakukan ibadah dengan berpuasa pada kedua-dua hari tersebut adalah terlebih baik agar kita tidak terlepas daripada mendapat kelebihan yang ada pada hari Asyuraa’ tersebut. Selain berpuasa kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amalan-amalan yang lain sepanjang Hari Asyuraa’ tersebut, antaranya:

1. Solat Sunat selain solat Fardhu

2. Menghubungkan Silaturrahim

3. Banyakkan bersedekah

4. Bersihkan diri dari sebarang kekotoran

5. Bercelak Mata

6. Mengziarahi Ulama

7. Mengziarahi Orang sakit

8. Mengusap Kepala Anak Yatim

9. Meluaskan untuk keluarga

10. Memotong kuku

11. dan Membaca Surah Al Ikhlas seribu kali.

Moga panduan yang diberi memberikan kita kesempatan untuk bersedia menyambut suatu hari yang besar di dalam Islam ini. Selamat menyambut Hari Asyuraa’.

[1] Hadith riwayat Imam At Tirmidzi dan ia berkata Hadith ini Hasan lagi Shahih

[2] Hadith Shahih riwayat Imam At Tirmidzi

[3] Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim

[4] Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim

Friday, January 2, 2009

UK dan Mesir...

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Tinggal beberapa hari lagi saya akan meninggalkan bumi UK ini untuk kembali ke Mesir meneruskan cita-cita dan tanggungjawab yang belum selasai, sebagai pelajar perubatan. Pastinya saya berasa sedih untuk meninggalkan UK dan segala kenangannya. Walaupun saya tidaklah begitu banyak berjalan atau bersiar ketika berada di sini, namun kedamaian dan keramahan penduduknya sedikit sebanyak memberikan rasa gembira dan tenang di hati ini. Apatah lagi Preston, tempat saya bermukim ini adalah merupakan daerah(bandar) yang sedikit kekampungan.

Pastinya saya akan merindui udaranya yang sejuk dan nyaman, merindui kebersihan tandasnya yang kerap menjadi tempat saya menunaikan kewajipan solat, merindui kecekapan sistem pengangkutannya yang begitu mudah didapati untuk ke mana-mana, merindui keseronokan bershopping yang belum pernah saya rasai sebelum ini, merindui rancangan-rancangan menarik di TV ( di Mesir saya tidak pernah menonton TV kecuali perlawanan bola) dan berbagai-bagai lagi kelebihan yang ada.

Salah satu entiti Universiti Manchester


Sempat juga ke Old Trafford

Haha, nak masuk mahal sangat, bergambar kat dinding kedai je la... :)

Di great hall di Trafford Centre


Falafel? eh Jazaer? eh Jazeera! a ah betul kot... :)

Salji... huhu susah jugak rupanya nak dapat snow kat UK ni.

Bermain dengan Umar semasa di Manchester Airport. Dah balik dah Umar.

Betul ke dulu-dulu ada dinosour?


Nak gie jumpa Harry Potter. tata titi tutu...

Ye ye memang saya pergi ke Harrods, tapi tak beli apa-apa pun.


Apakah ciri-ciri sesebuah kenderaan yang boleh ditempatkan di muzium?


Bersantai di laman Buckingham Palace.


My eye... London Eye...


Emm saya pun tak perasan ada makhluk lain selain saya dalam gambar ini...


Di samping memikirkan untuk kembali ke Mesir dengan penuh kesukaran hidupnya, cuaca yang kadang-kadang cukup extreme dan menyakitkan, apatah lagi bila musim sejuk begini saya begitu tidak tahan berada di rumah ketika waktu malam berbanding di UK yang kebanyakan rumahnya mempunyai sistem pemanasan yang cukup baik, berhadapan dengan karenah pakcik-pakcik dan makcik-makcik di syuun tulab, berhadapan dengan birokrasi itu dan ini (sekembalinya ke Mesir saya perlu memperbaharui visa, fuh...), kebingitan bandar berdebu Kaherah, kekotoran dan kehachingan di mana-mana, dan serba satu perkara yang tidak menyelesakan seperti kata seorang penyarah ketika mengajar tentang depression, "anda bertuah berada di Mesir ini kerana semua faktor-faktor yang boleh membawa kepada depression ada di sini, kesibukan, bising, cuaca yang panas dan stress"

Begitulah, tapi saya tetap bersemangat untuk kembali menuntut Ilmu di Mesir dan menyayangi Mesir seadanya. Di sinilah saya telah menghabiskan 5 tahun untuk menuntut ilmu, belajar tentang kehidupan, mendalami ilmu agama, belajar untuk mengambil mana nilai-nilai yang baik untuk diteladani dan meninggalkan nilai-nilai yang buruk, mengenali manusia dan pelbagai ragamnya, melihat negara sendiri dari luar dan dari kacamata penduduk di luar, mengenali ulama-ulama yang ikhlas dengan ilmu mereka, belajar menghormati ulama dan ilmu, belajar tentang persahabatan dan persaudaraan, belajar erti berjauhan dari keluarga dan erti sebuah kerinduan. Oh, begitu banyak untuk saya ungkapkan selama 5 tahun di sini. Banyak perubahan yang saya hadapi sepanjang saya di sini, dan saya tidak pernah serik untuk berubah ketika mana saya perlu untuk berubah. Ke arah yang lebih baik pastinya.

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri mengubahnya sendiri."


Kesimpulannya saya menyukai UK dengan segala kelebihannya serta menyayangi Mesir dengan segala kekurangan yang ada padanya.

Huhu tak sangka langsung dapat jumpa Queen dalam lawatan saya ke UK kali ni... :)


Tower bridge


Nandos... nyum nyum.


Kehidupan sebagai pelajar tahun akhir pastinya menjanjikan kesukaran dan cabarannya yang tersendiri. Dalam masa setahun lebih dari sekarang saya bakal menamatkan degree saya dan kembali ke tanah air untuk mencurahkan bakti dan khidmat setelah 6 tahun setengah dibela oleh JPA menggunakan duit rakyat. Dalam keadaan diri masih belum bersedia secukupnya dan masih terkapai-kapai memahirkan diri dengan segala kemahiran yang diperlukan, pastinya setahun yang mendatangkan ini perlu saya gunakan dengan sebaiknya untuk menyediakan diri. Moga tahun yang baru bermula ini menjanjikan sesuatu kejayaan yang bermakna buat saya dan moga Allah sentiasa merestui dan meredhai segala kerja buat saya dalam menuntut ilmu ini. Mudah-mudahan ameen.

Buat akhirnya, sama-samalah kita berusaha untuk menjadikan hari esok adalah hari yang lebih baik berbanding hari ini, dan masa depan yang bakal dihadapi adalah suatu yang bermakna buat diri kita dan Islam pastinya. Doakan saya kawan-kawan. Doakan kebaikan buat kita semua...

Jazakumullah khairan kathiraa...

Thursday, January 1, 2009

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera buat semua.

Hari ni masuk hari kelima serangan tentera Israel ke atas rakyat palestin yang telah mengakibatkan kematian ratusan sahabat-sahabat kita di sana. Saya terharu melihat kesungguhan ramai daripada kita yang begitu prihatin yang mengganggap isu palestin ini bukanlah sesuatu di luar daripada isu kita tetapi ia adalah isu sejagat yang melibatkan saudara-saudara seagama kita di sana. Pencabulan yang dilakukan oleh tentera Israel pastinya mengundang marah dan geram kita semua dalam keadaan kita masih tidak mampu dan sanggup untuk berbuat apa-apa kecuali berdoa dan mengecam serta berdemo mengutuk apa yang dilakukan oleh Israel itu dan menyeru pihak-pihak yang berkemampuan untuk memainkan peranan mereka dengan sewajarnya berkaitan isu palestin ini

Candlelight vigil di hadapan BBC sebagai protes terhadap serangan Israel terhadap Palestin


Cukup sedih sehingga artikel ini ditulis, pihak kerajaan Mesir masih lagi enggan untuk memberikan bantuan bahkan tidak membenarkan rakyat palestin masuk ke Mesir untuk menyelamatkan diri dan mendapatkan bantuan kemanusiaan.

Saya doakan saudara-saudara kita disana dapat terus bersabar dan berjuang menghadapi segala tentangan ini dengan keyakinan kepada Allah tentang janjinya dan berharap agar negara-negara Islam yang ada dapat melakukan sesuatu bagi membela saudara-saudara kita di sana. Teruskanlah berdoa sahabat-sahabat, pastikan kita turut merasai keperitan dan kesedihan saudara-saudara kita di sana kerana kita dan mereka adalah ibarat satu tubuh yang apabila salah satu anggotanya kesakitan maka seluruh badan pun akan turut merasai dan mengharapkan kesembuhan.

Ya Allah, bantulah sahabat-sahabat kami di palestin, teguhkanlah iman mereka, terimalah kesyahidan mereka, dan tempatkanlah mereka di kalangan hamba-hamba yang istimewa yang menyerahkan jiwa dan raga demi mempertahankan agama dan nyawa mereka ya Allah. Ameen.

PS: Takziah buat keluarga mertua saya yang baru kematian ayahanda tercinta. Moga roh 'ayah' dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan hambaNya yang dikasihi. Ameen...