Saturday, July 11, 2009

Jika kita mengetahui...

Semalam saya dan idil ke rumah Ustaz Fauwaz untuk meneruskan pembacaan hadith-hadith daripada kita Muktasar Abu Jamrah.Akhirnya kami sampai kepada hadith yang berbunyi:

Daripada Abu Hurairah mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sekiranya manusia mengetahui kelebihan pada seruan memenuhi saf yang pertama sehigga tidak dapat diperoleh hanya dengan mengundi, maka merekakan mengundi. Jika mereka mengetahui kelebihan mendatangi masjid seawalnya untuk Solat Jumaat, maka mereka tidak akan melambatkannya. Dan jika mereka mengetahui kelebihan mendirikan Solat Isyak dan Subuh berjemaah, maka mereka akan menunaikannya sekalipun terpaksa merangkak.


Ya, jika mereka mengetahui.

Baru-baru ini kita disensasikan dengan berita terjumpanya ketulan-ketulan emas di Kampung Jelutong di Pendang yang menyebabkan ramai penduduknya berduyun-duyun untuk mencari emas di sana. Hingga ada ibu bapa yang pada awalnya tidak membenarkan anaknya untuk mencari emas di situ kemudiannya rambang mata apabila melihat anaknya membawa balik ketulan emas tersebut dan akhirnya turut sama mencari

Begitulah halnya jika kita mengetahui, bahkan yakin dengan apa yang kita lihat dengan mata kepala kita sendiri. Rasulullah sebagai seorang yang dekat dengan Allah pastinya diberikan kelebihan dengan diperlihatkan kelebihan-kelebihan yang diperoleh oleh ummatnya apabila melakukan ibadah kepada Allah. Hanya kita sebagai ummatnya ini yang mahu percaya bahkan yakin dengan apa yang diberitakan baginda itu.



Kalaulah kita bayangkan kelebihan-kelebihan itu sepertinya ketulan-ketulan emas yang berkilauan menanti mereka yang sudi mendapatkannya, pastinya kita tidak hairan kalau ada yang sanggup pergi mendapatkannya walaupun terpaksa merangkak.

Friday, July 10, 2009

Alhamdulillah semalam saya baru sahaja menamatkan round masalik (Urosurgery), round special terbaik setakat ini kerana mengikut jadual, doktor sentiasa datang walaupun tidak semua yang menepati waktu. Berbanding round-round yang lain sebelum ini yang selalu lompang dan tidak punya jadual!

Justeru besok akan bermulalah round ortho buat saya selama 2 minggu. Idil pula yang sedang melalui round O & G sudah tidak ada round lagi bermula minggu ini. Minggu ini juga tiada lagi lecture untuk O & G dan lecture surgery pula akan berterusan selama 2 minggu lagi.

Rupa-rupanya saya sudah semakin hampir dengan penghujung pengajian. Rakan-rakan arab sudah ramai yang mula membawa kamera ke kuliah untuk menangkap gambar bersama untuk dijadikan kenang-kenangan. Mungkin selepas masing-masing menamatkan pengajian, peluang untuk kembali bertemu bersua muka sudah sukar untuk dimiliki lagi. Hanya gambar-gambar tersebut menjadi tanda bahawa kita pernah bertemu, bersahabat dan mengenali suatu ketika di alam pengajian tinggi.


Terasa cepat pula enam tahun masa yang berlalu. Saat ketika keluarga melepaskan pemergian saya ke Mesir.


Sebetulnya saya tidaklah begitu berkawan rapat dengan pelajar-pelajar tempatan. Persahabatan kami hanyalah bertegur sapa ketika tutorial, bertanya khabar dan bercerita. Kekadang bergurau senda dengan bergelak ketawa dengan lawak-lawak dalaman yang mungkin saya sendiri sukar untuk memahami. Tidak pernah terlintas untuk bersahabat rapat, ziarah menziarahi atau keluar bersama. Mungkin itu antara kekurangan saya ketika berada di sini. Saya tidak pasti, adakah puncanya dari saya sendiri yang agak tidak mesra dengan mereka, tidak suka bersahabat atau malu untuk memulakan bicara. Atau mereka sendiri yang tidak terlalu berminat untuk berkawan lebih jauh setakat mengenali dan senyum apabila berjumpa.

Atau adakah saya seorang yang sombong?

Wallahu a'lam, apapun sebenarnya saya mula makin rapat dengan kawan-kawan segroup saya apabila memasuki tahun 5 dan 6. Kawan-kawan yang sebelum ini tidak pernah bertegur sapa dengan saya mula bertegur sapa dan baru cuba untuk berkenalan walaupun kami telah 4 tahun sekuliah sebelum ini. Hairan juga bukan? Isteri saya sendiri menyedari akan hal itu dan saya sendiri tidak dapat memberikan alasan terbaik untuk itu.

Apapun memandangkan tempoh masa yang tinggal untuk kami bersama semakin suntuk, saya cuba untuk menghargai masa yang ada ini untuk semakin mendekati mereka dan memesrai mereka. Mungkin kami tidak berkesempatan untuk berkawan rapat selama 6 tahun setengah sekuliah bersama, namun mungkin pada suatu masa nanti kami akan kembali bersua, mungkin berjuang bersama di arena kedoktoran yang sama-sama kami ceburi ini untuk ummah keseluruhannya.

Wallahu a'lam. Untuk adik-adik yang masih di tahun satu, dua dan tiga. Atau empat mahupun lima. Cubalah berkawan dengan kawan-kawan arab ini dan cubalah mendapatkan apa-apa yang baik daripada mereka dan semoga persahabatan itu mampu untuk membuahkan suatu yang baik untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti.

Saya sendiri tidak pasti mengapa saya menceritakan ini semua. Sekurang-kurangnya tulisan ini menunjukkan saya semakin sayu untuk meninggalkan Mesir tidak lama lagi. Pohon hanya yang terbaik dariNya. Sekian, jazakumullah khairan kathira...

Cerminan sejati...

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaykum dan salam sejahtera.

Suatu ketika Rasulullah makan dengan sahabat-sahabat baginda dan yang ada bersama baginda pada waktu itu adalah Sayyidina Ali Karramallahu Wajhah. Mereka makan kurma sambil berbual-bual. Apa yang dilakukan oleh baginda, setiap kali baginda menghabiskan kurma baginda,bijinya diletakkan di hadapan Ali sehingga tiadalah biji kurma dihadapan baginda sebaliknya menimbun di hadapan Ali.

Lalu Rasulullah berbicara kepada Ali, "Ya Ali, kuatnya kamu makan, hingga begitu banyak biji-biji kurma di hadapan kamu" dengan nada berjenaka.

Lalu Ali menjawab dengan berkata, " Ya Rasulullah, orang yang kuat makan itu sebenarnya yang memakan kurma hingga biji-bijinya sekali sehingga tiada lagi biji di hadapannya"

Mungkin tidak begitu banyak pengajaran yang boleh kita ambil dari kisah tadi, cuma apa yang cuba saya sampaikan di sini ialah untuk menceritakan keperibadian Rasulullah yang cukup mesra dengan sahabat baginda. Baginda bergurau, baginda berjenaka namun pastinya tidak secara berlebihan serta keterlaluan. Baginda cukup mengasihi sahabat-sahabat baginda sementara sahabat-sahabat juga turut menyintai dan mengasihi baginda sepenuh hati.

Pernah Abu Sufian berkata, "aku tidak pernah melihat seseorang menyayangi seorang yang lain seperti sahabat-sahabat Muhammad menyayangi Muhammad".

Sanggup berkorban harta, jiwa dan raga demi junjungan nabi yang kita kita cintai ini. Begitulah keadaan sahabat-sahabat di zaman baginda.

Hari ini, mungkin kita perlu kembali menilai dan muhasabah sejauh mana tahap persahabatan kita selama ini. Sejauh mana kita telah menepati seruan baginda yang mahu kita menyayangi sahabat kita seperti menyayangi diri kita sendiri. Memuliakan sahabat, membantu ketika kesusahan, memberikan senyuman ketika mana bersua dan menjadikan diri sahabat-sahabat kita itu salah satu asbab yang membolehkan kita mendapat kemanisan iman, mendapat perlindungan di padang mahsyar dan mendapat kesenangan hidup di syurga yang kekal abadi.



"Tiga perkara yang jika seseorang itu melakukannya maka akan mendapatkan halawatul iman (kemanisan iman) iaitu menjadikan Allah dan Rasulnya yang paling dikasihi melebihi yang lain, dia mengasihi seseorang sahabatnya kerana Allah dan yang benci untuk kembali menjadi kufur seperti dia benci untuk dicampakkan kedalam azab api neraka"


Ada pepatah yang menyebut.

Sayangkan anak tangan-tangankan,
Sayangkan isteri tinggal-tinggalkan,
Sayangkan sahabat?

Jika diikutkan terlalu banyak perbincangan ulama dahulu berkaitan hak-hak sahabat yang sehingga mungkin tak terpenuhi oleh kita dalam kita bersahabat. Namun apa yang terlebih penting di sini adalah untuk kita meletakkan kasih sayang kita kepada sahabat kita serta sanggup untuk menjadi cerminan yang baik buat sahabat kita itu tadi.

Membenarkan kebaikan yang dikerjakan, menegur kesilapan yang dia lakukan.

“Seorang mukmin itu adalah cermin kepada saudaranya” – (Abu Dawood 41: 4900)



Sekadar gambar hiasan :)


Ya Allah, berkatilah sahabat-sahabatku, berkatilah persahabatan kami, berikanlah kami kekuatan untuk menghadapi segala mehnah dan ujian dariMu, suburkanlah rasa cinta dan kasih sayang di hati kami demi mendapatkan rahmat dan keredhaan dariMu, serta tempatkanlah kami di syurga bersama hamba-hamba yang Engkau kasihi. Dan berikanlah kami keselamatan di dunia dan di akhirat...

Diri ini mungkin banyak melakukan kesilapan, culas dalam menunaikan hak-hak dalam bersahabat namun moga Allah sentiasa memelihara rasa kasih yang ada dalam diri ini kepada sahabat-sahabat, tua ataupun yang muda. Moga kita diberkati kerananya.

Jazakumullah khairan kathira...