Friday, July 10, 2009

Alhamdulillah semalam saya baru sahaja menamatkan round masalik (Urosurgery), round special terbaik setakat ini kerana mengikut jadual, doktor sentiasa datang walaupun tidak semua yang menepati waktu. Berbanding round-round yang lain sebelum ini yang selalu lompang dan tidak punya jadual!

Justeru besok akan bermulalah round ortho buat saya selama 2 minggu. Idil pula yang sedang melalui round O & G sudah tidak ada round lagi bermula minggu ini. Minggu ini juga tiada lagi lecture untuk O & G dan lecture surgery pula akan berterusan selama 2 minggu lagi.

Rupa-rupanya saya sudah semakin hampir dengan penghujung pengajian. Rakan-rakan arab sudah ramai yang mula membawa kamera ke kuliah untuk menangkap gambar bersama untuk dijadikan kenang-kenangan. Mungkin selepas masing-masing menamatkan pengajian, peluang untuk kembali bertemu bersua muka sudah sukar untuk dimiliki lagi. Hanya gambar-gambar tersebut menjadi tanda bahawa kita pernah bertemu, bersahabat dan mengenali suatu ketika di alam pengajian tinggi.


Terasa cepat pula enam tahun masa yang berlalu. Saat ketika keluarga melepaskan pemergian saya ke Mesir.


Sebetulnya saya tidaklah begitu berkawan rapat dengan pelajar-pelajar tempatan. Persahabatan kami hanyalah bertegur sapa ketika tutorial, bertanya khabar dan bercerita. Kekadang bergurau senda dengan bergelak ketawa dengan lawak-lawak dalaman yang mungkin saya sendiri sukar untuk memahami. Tidak pernah terlintas untuk bersahabat rapat, ziarah menziarahi atau keluar bersama. Mungkin itu antara kekurangan saya ketika berada di sini. Saya tidak pasti, adakah puncanya dari saya sendiri yang agak tidak mesra dengan mereka, tidak suka bersahabat atau malu untuk memulakan bicara. Atau mereka sendiri yang tidak terlalu berminat untuk berkawan lebih jauh setakat mengenali dan senyum apabila berjumpa.

Atau adakah saya seorang yang sombong?

Wallahu a'lam, apapun sebenarnya saya mula makin rapat dengan kawan-kawan segroup saya apabila memasuki tahun 5 dan 6. Kawan-kawan yang sebelum ini tidak pernah bertegur sapa dengan saya mula bertegur sapa dan baru cuba untuk berkenalan walaupun kami telah 4 tahun sekuliah sebelum ini. Hairan juga bukan? Isteri saya sendiri menyedari akan hal itu dan saya sendiri tidak dapat memberikan alasan terbaik untuk itu.

Apapun memandangkan tempoh masa yang tinggal untuk kami bersama semakin suntuk, saya cuba untuk menghargai masa yang ada ini untuk semakin mendekati mereka dan memesrai mereka. Mungkin kami tidak berkesempatan untuk berkawan rapat selama 6 tahun setengah sekuliah bersama, namun mungkin pada suatu masa nanti kami akan kembali bersua, mungkin berjuang bersama di arena kedoktoran yang sama-sama kami ceburi ini untuk ummah keseluruhannya.

Wallahu a'lam. Untuk adik-adik yang masih di tahun satu, dua dan tiga. Atau empat mahupun lima. Cubalah berkawan dengan kawan-kawan arab ini dan cubalah mendapatkan apa-apa yang baik daripada mereka dan semoga persahabatan itu mampu untuk membuahkan suatu yang baik untuk dibawa pulang ke Malaysia nanti.

Saya sendiri tidak pasti mengapa saya menceritakan ini semua. Sekurang-kurangnya tulisan ini menunjukkan saya semakin sayu untuk meninggalkan Mesir tidak lama lagi. Pohon hanya yang terbaik dariNya. Sekian, jazakumullah khairan kathira...

3 comments:

fatma said...

salam...eh2.. gambar zaidah time kecik2..

Unknown said...

sama la cam ana..terasa segan dan malas nk rapat dgn arab.walaupun kadang2 sesetengah dari mereka kelihatan bersungguh2 nk kawan dgn kita kn?

Dr Kadir said...

Afif sekarang tahun berapa? Cerita di atas adalah untuk diambil pengajarannya dan bukannya untuk memberi justifikasi 'tak apa kalau tak kawan dengan arab pun'

So cubalah jugak berkawan dengan mereka ya. Walaupun kebanyakan mereka ada yang jenis kaki study, ada yang masih kebudak-budakan dan macam-macam lagi, tetap ada kebaikan pada mereka yang boleh diambil.