Thursday, December 17, 2009

Salam Maal Hijrah 1431H

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera untuk semua.

Seperti biasa, memandangkan blog ini sudah semakin terbiasa menjadi medan untuk pemiliknya memberikan ucapan, justeru sempena kedatangan tahun baru Hijrah, 1 Muharram 1431 yang bermula Maghrib ini, saya ingin mengucapkan: SELAMAT TAHUN BARU HIJRAH 1431H kepada pembaca-pembaca blog ini walau di mana jua berada. (Hihi cam ramai je yang baca blog ni)

Tahun baru hijrah ini juga memberi erti bahawa sudah tiga tahun blog ini beroperasi setelah saya berpindah dari blogdrive ke blogspot. Walaupun saya akui blog ini tidaklah terlalu padat dengan bahan-bahan ilmiah dan perbincangan isu semasa, namun saya tetap berpuas hati menjadikan blog ini sebagai medan untuk saya meluahkan apa sahaja yang saya fikir dan ingin kongsikan di samping menjadi medan untuk saya berlatih menulis.

Justeru, saya ingin berterima kasih kepada pembaca yang sudi bertandang, memberikan komen dan berukhuwwah di sini walaupun sejak akhir-akhir ini blog ini sunyi sepi dari sebarang pengisian daripada pemiliknya. Saya sendiri tidak pasti mengapa saya kurang bersemangat menulis ketika di tahun enam ni. Kerap kali hati tergerak untuk menulis namun jari jemari kaku menaipkan kata. Namun untuk berhenti menulis dan terus menutup blog ini adalah suatu yang amat berat untuk saya lakukan. Hanya doa dan harapan saya panjatkan agar diberikan kekuatan dan semangat untuk terus memberikan buah fikiran dan sesuatu untuk manfaat semua pada masa-masa mendatang insyaAllah.

Exam Surgery.

Alhamdulillah, bermula 8 Disember yang lalu hingga kini, sudah hampir separuh Final Exam tahun enam ditempuhi. Dengan exam surgery hanya berbaki ujian slide dan oral persediaan untuk menempuhi kertas O&G selepasnya sudah patut dimulakan dari sekarang. Ya memang apabila sampai di pertengahan fatrah imtihan ni, perasaan malas dan penat kerap pula menyapa membuatkan diri lalai membuka buku. Justeru diharapkan kawan-kawan seimtihan dapat terus kuat semangat menghadapi baki imtihan yang menjelang.

Seketika tadi, semasa mengambil ujian klinikal surgery, saya melihat kelibat-kelibat doktor-doktor yang menjadi pemeriksa kami. Semuanya segak-segak dan kelihatan begitu luas ilmu mereka dalam bidang masing-masing. Dalam saat itu juga saya terfikir, jika bagi orang-orang agama, Syeikh-syeikh besar, ulama-ulama dan para mujtahidin adalah golongan yang menjadi idola mereka, justeru bagi kami pelajar-pelajar perubatan, mereka-mereka inilah (Doktor-doktor/pakar-pakar) sebenarnya syeikh-syeikh kami, yang tidak jemu-jemu memberikan tunjuk ajar dan mendidik kami menjadi doktor yang baik suatu hari nanti dan merupakan ulama dalam bidang mereka masing-masing.

Seketika itu juga terdetik di hati saya untuk turut menjadi hebat sebagaimana mereka. Moga hari itu akan tiba, dan pastinya ia tidak cukup dengan angan-angan tanpa kelibat usaha.

Apapun sementara imtihan belum kunjung akhirnya lagi ni, sayugialah saya mengharapkan doa dari teman-teman dan sahabat-sahabat mendoakan kami untuk baki imtihan yang akan dilalui. Saya percaya, berkat doa teman-teman semualah alhamdulillah saya dapat melalui imtihan ini dengan baik hingga saat ini. Moga ia berterusan dan memberikan natijah yang baik hingga akhirnya InsyaAllah.

Okey lah, setakat inilah dulu untuk kali ni ya. Hingga jumpa lagi InsyaAllah. Wassalam.

No comments: