Monday, February 9, 2009

"Tugas kita sebagai doktor adalah untuk mengubati pesakit dan menolong pesakit mencapai kualiti hidup yang lebih baik menurut kehendak mereka sendiri" Ujar Dr Mohamed Yahya, ketua Wehda round O n G saya.

Dengan kata lain, seorang doktor itu sebenarnya berperanan dalam masyarakat untuk membawa mereka ke arah cara hidup yang sihat dan mendapatkan tahap kesihatan yang baik namun masih dalam ruang lingkup yang dibenarkan oleh pesakit mereka tanpa membuat keputusan sendiri membelakangi pesakit. Itulah yang tercatat dalam etika dan moral seorang doktor perubatan.

Tahap perkhidmatan kesihatan mungkin berbeza antara sebuah negara dengan sebuah negara yang lain. Walaupun perubatan itu bersifat universal dan sejagat, namun terdapat perbezaan yang cukup ketara pada sudut tahap kesedaran dan amalan kesihatan di sebuah negara yang maju seperti US ataupun UK berbanding negara membangun seperti Mesir mahupun Malaysia.

Di US atau di UK, terdapat pelbagai akta dan peraturan telah diperkenalkan dan diguna pakai bagi memastikan hak pesakit-pesakit untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang terbaik terjamin . Apa yang pernah disebut oleh pensyarah O n G saya sendiri, Dr Mohammed Faris, "Di negara-negara maju, jika seorang doktor tidak melakukan ujian biochemical dan ujian chromosome ke atas ibu yang sedang mengandung dan tidak dapat menceritakan keadaan bayi yang dikandungnya samada mempunyai kecacatan genetik ataupun tidak pada peringkat awal, iaitu sebelum bayi tersebut dilahirkan, doktor tersebut boleh disaman, tapi ini tidak berlaku di Mesir"

Kenapa? Kerana tiada peraturan dan akta yang membincangkannya di sini dan tiada kesedaran masyarakat dalam menjaga dan memperjuangkan hak mereka.

Begitu juga dengan kes kecuaian doktor dalam mengubati pesakit dan pelbagai lagi bentuk malpractice yang dilakukan doktor yang dimaafkan dan disenyapkan oleh pesakit dengan mengganggapnya sebagai suatu lumrah kehidupan dan ketentuan qada' dan qadar Allah Taala.

Saya melihat perkara ini sebagai suatu yang cukup tidak beretika bagi pengamal-pengamal perubatan di Malaysia. Ramai antaranya yang bersikap take for granted dengan kenaifan pesakit-pesakit itu tentang hak-hak mereka ini dengan bersikap sambil lewa merawat pesakit walaupun profesyen mereka sebenarnya melibatkan nyawa manusia, hidup dan mati seseorang. Teruknya pekerjaan sebagai seorang doktor yang terpaksa berkorban masa dan tenaga, mengerah otak untuk merawat seorang pesakit pastinya bukanlah suatu alasan yang bijak untuk kita mengetepikan peranan mulia seorang doktor untuk menyelamatkan nyawa dan jiwa seorang pesakit.

Di dalam terminologi undang-undang terdapat istilah yang disebut, 'act of omission' iaitu satu tindakan betul yang sepatutnya dilakukan oleh seorang doktor untuk menyelamatkan pesakit namun dia tidak melakukannya, maka dia dianggap besalah dan telah melakukan kesalahan. Satu istilah yang lain adalah yang disebut 'act of comission' iaitu suatu tindakan salah yang dilakukan doktor yang menyebabkan kecacatan atau kematian pesakit yang turut dikira sebagai kecuaian dan jenayah.

Kes-kes yang berlaku seperti kesilapan doktor memberikan suntikan kepada bayi menyebabkan kecederaan dan kematian sel pada tangan bayi sehingga perlu dipotong seperti dalam kes adik Lai Yoke Chan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah pada Julai 2007. Kes seorang wanita yang dijangkiti kuman HIV melalui pemindahan darah akibat kecuaian pihak hospital mengesan kehadiran virus tersebut pada darah yang digunakan. Kes seorang perempuan yang telah hadir ke hospital mengadu berkenaan sesak nafas namun diberitakan menghadapi ectopic pregnancy sehingga perlu dibedah segera dan setelah dibedah didapati kesilapan berlaku apabila sampel air kencing pesakit sebenarnya tertukar dengan pesakit lain yang mempunyai nama yang sama sedangkan dalam masa yang sama, sebelum dari pembedahan, keluarga pesakit telah memaklumkan kepada pihak hospital bahawa pesakit belum lagi berkahwin.

Begitulah siri-siri kecuaian dan kesilapan pengamal perubatan yang kadang-kadang mengundang gerun kepada para pesakit untuk mendapatkan rawatan di hospital. Bayangkan hospital yang sepatutnya merupakan rumah untuk mereka yang menderita mendapatkan kesembuhan dan ketenangan ironinya bertukar sebagai detik bermula kisah tragis dan malang buat diri sendiri sepanjang hidupnya.

Namun begitu, di negara-negara maju seperti US atau UK, atas dasar kesedaran dan peruntukan undang-undang yang diberikan, kadar saman terhadap malpractice doktor dan hospital adalah cukup tinggi walaupun kesilapan yang dilakukan mungkin tidak disengajakan atau tidak dapat dielakkan. Perkara ini kadang-kadang memberikan rasa gerun kepada doktor-doktor ini dan kadang-kadang menimbulkan rasa terkilan sekiranya usaha murni ingin menyelamatkan pesakit disalah anggap hanya kerana sedikit kesilapan yang dilakukan. Apapun kebanyakan doktor-doktor ini dilindungi oleh insurans-insurans tertentu bagi menghadapi kes-kes saman sebegini.

Apapun, menjadi tanggungjawab kepada pengamal-pengamal perubatan terutamanya pelajar-pelajar perubatan untuk memastikan diri sendiri bersedia dan mampu untuk memberikan khidmat kesihatan yang terbaik kepada pesakit dengan kemahiran-kemahiran yang sepatutnya dimiliki. Ingatlah, walau di mana dan apa keadaan sekalipun, pastikan kita adalah doktor muslim/muslimah terbaik yang meletakkan taqwa dan keimanan kepada Allah sebagai teras pekerjaan kita menyelamatkan jiwa insan yang memerlukan...

Wallahu a'lam wa jazakumullah Wassalam...

3 comments:

Anonymous said...

Saya amat setuju dengan perkongsian ini. bagaimana pula dengan peranan jururawat yang banyak membantu dalam perubatan di hospital. saya banyak mendengar keluhan dan luahan dari pelbagai pihak mengenai perilaku jururawat di hospital kerajaan. pesakit sudah derita dengan sakitnya, janganlah pula di tambah dengan deritanya hati... harap faham, maaf tak pandai nak mengarang.

Nafsah Dulajis said...

Tapi semakin maju negara tu, semakin complicated juga sektor kesihatan dia. (I'm watching House, faham sajalah)Dr saya pernah pesan yang kecacatan anak yang lahir itu ujian Allah juga.kalau pesakit begitu, tidak timbul soal saman menyaman. huh...

Berat rupanya tanggungjawab kita ya. Just doing our best, IKHLAS dan ITQON selalu.

Dr Kadir said...

ooh isunya bukan ujian melahirkan anak yang cacat, tetapi kesilapan doktor yang menjaga si ibu tadi untuk melakukan ujian yang sepatutnya sebelum sesuatu kelahiran itu berlaku, dan sekiranya si ibu mengetahui keadaan si anak tadi sebelum dilahirkan, beliau boleh diberikan pilihan untuk meneruskan kandungan ataupun tidak.

So sekiranya doktor tersebut telah melakukan ujian itu, makan beliau akan terlepas daripada saman yang dikenakan.

Wallahu a'lam