Sunday, December 30, 2007

Visa oooh visa...



30 Disember 2007...


"Wah...nak kene buat iqamah(visa) hari ni jugak ni,esok dah 31 dah" Student Visa saya selama setahun ini bakal tamat pada 31 Disember 2007 ini.Esok la tu. Jadi tidak dapat tidak saya terpaksa meletakkan urusan menyambung visa sebagai urusan urgent dan important untuk dilaksanakan di kala ini. Kalau tidak, kena denda :)

Apapun saya tidak berminat untuk bercerita tentang apa yang berlaku hari ini di mugamma', pejabat imigresen Mesir itu. Cuma mungkin untuk memberi gambaran apa yang perlu anda sediakan bila mahu memperbaharui visa :)

Baik, untuk membuat visa pelajar, sedang anda adalah pelajar yang belajar di Univesiti Ain Shams, anda perlulah terlebih dahulu mendapatkan syahadah dari kuliah yang menyatakan anda adalah pelajar di Univesiti Ain Shams.

Caranya:

  • Buat surat kepada wakil kuliyyah untuk mendapatkan syahadah untuk menyambung visa yang akan ditujukan kepada wizara' gawazat bilmisr. Di sini anda dikenakan bayaran sebanyak 2 le untuk damrah (setem).
  • Anda akan diberi invois untuk dibayar di khaznah (pembendaharaan) untuk membuat syahadah visa sebanyak 25le
  • Selepas 5 jam, anda akan dapat syahadah yang anda kehendaki itu.


Sebelum ke mugamma' pula anda perlulah menyediakan item-item berikut.

  • Isi borang permohonan penyambungan visa yang boleh diperoleh di sana.
  • Salinan muka depan passport
  • Salinan cop ketibaan anda di Mesir
  • Salinan visa terdahulu
  • Salinan Syahadah kuliyah
  • Sekeping gambar
ps: setiap keping memerlukan dua keping salinan.

Kegagalan anda untuk menyediakan salinan-salinan yang diperlukan itu akan memaksa anda untuk turun ke bawah untuk mendapatkan khidmat photostat yang disediakan dengan bayaran sebanyak 1le untuk setiap salinan. Hihi cekih darah bukan? Siapa suruh tak sediakan awal2? Apapun jika duit yang ada pada anda tidak cukup, anda bolehlah keluar dari mugamma' tersebut dan berjalan melawan arus jalan raya qasrul einy untuk mendapatkan kedai fotokopi yang terletak lebih kurang 5 minit berjalan kaki, melepasi stesen minyak koop di sebelah kanan jalan. Di sana anda hanya dikenakan bayaran 0.10le untuk setiap helaian salinan yang difotokopi. Murah kan? penat sikit lah berjalan. Apapun, diingatkan pakcik penjaga kedai itu bukanlah seorang yang cukup ramah.

Baiklah, bila anda dah ada semua item-item yang diperlukan, hantarlah permohonan anda itu ke kaunter dan bayarlah setem sebanyak 8le dan kembalilah ke mugamma' selepas 10 hari untuk mendapatkan visa baru anda itu. Selamat menyambung visa! :)

Jazakumullah Khairan Kathiraa...

ps: Entry ini dipost kerana kerap kali lupa step2 untuk menyambung visa menyebabkan diri kerap kali melakukan kesilapan dan kecuaian yang sama. Moga lepas ni tak lakukan kesilapan yang sama lagi...

Thursday, December 27, 2007

"Doktor,boleh ke kami bawa masuk kerusi dari luar ni?" Tanya Hamid bila melihat bilik tutorial itu sudah penuh dan tiada lagi kerusi kosong untuk diduduki.

"Ya, bawa saja masuk kita hanya satu kes hari ini kemudian insyaAllah semua pun akan dapat duduki exam. Siapa yang nak join kes ini, join dan siapa yang taknak join boleh keluar dulu dan nanti datang kembali untuk ambik exam." Balas doktor bila melihat keadaan semakin sesak.

Sesak dan kadang-kadang merimaskan. Semuanya hadir semata-mata untuk mengambil imtihan bagi round Neurology tersebut. Terdapat ramai pelajar-pelajar yang sebelum ini tidak pernah nampak batang hidung mereka selama dua minggu ini akhirnya kembali menampakkan diri pada hari ini. Begitulah budaya yang ada di sini dan saya percaya mungkin di kebanyakan tempat juga. Dek ketika itu saya kembali mengingati kalam yang pernah dilontarkan oleh Us Fauwaz beberapa hari yang lepas,

"Sekarang orang mengganggap kelas sebagai penjara,apabila tamat kelas mereka merasakan telah bebas dan keluar daripada penjara, sementara orang-orang terdahulu sangat berlumba-lumba dalam belajar dan mencari ilmu. Hingga apabila mendengar ada mana-mana guru yang datang sedang mereka sedang makan sekalipun, mereka akan segera mendapatkan guru tersebut, walaupun di zaman mereka serba serbi pun kurang"


Mungkin benar kenyataan tersebut dan mungkin itu juga lah antara sebab mengapa kita tidak dapat menjadi hebat seperti generasi kita yang terdahulu, zaman kegemilangan kita sebagai pusat tamadun dan ilmu. Mungkin kita dapat sama-sama fikirkan dan berusaha mengubah diri. Namun mungkin juga mereka yang tidak pernah saya jumpai di dalam round ini tidak hadir kerana tidak mahu memenuhkan bilik yang ada supaya tidak mengganggu pelajar-pelajar lain bukan? :) Siapa tahu dan saya sendiri hairan, mengapa pihak universiti sendiri tidak menyediakan ruang dan bilik yang seluasnya untuk memberikan keselesaan kepada para pelajar. Apapun sebenarnya ramai antara kawan-kawan saya ini mengikuti kelas tambahan,(dars) di luar universiti menyebabkan mereka tidak dapat untuk menghadiri sessi round yang telah ditetapkan universiti. Ramai juga pelajar-pelajar Malaysia yang turut mengikuti dars sedemikian, cuma kami sahaja pelajar-pelajar lelaki yang kurang mengikutinya...:) 'ala kulli hal, buatlah apapun yang difikirkan baik, yang penting matlamat menuntut ilmu dan menyediakan diri menjadi doktor sebaiknya ilmu dan akhlak, dapat dicapai.

Baiklah, tiada apa-apa untuk dikongsi hari ni sebenarnya selain ingin sama-sama mengajak sahabat-sahabat untuk loba menuntut ilmu sementara kita masih mampu melakukannya. Sebelum kita disibukkan dengan pelbagai tanggungjawab dan komitmen selain kekangan masa yang menghimpit suatu hari nanti. Nanti apabila sudah bekerluarga dan bekerja, masing-masing akan menyedari hakikat ini dan mungkin di kala itu kita mungkin sudah tidak mampu lagi untuk memenuhi naluri untuk menuntut ilmu ini. Oleh itu, tuntutlah ilmu tanpa jemu. Moga Allah mempermudahkan diri kita dalam usaha dan perjuangan kita ini.

"Barangsiapa yang mempermudahkan jalannya untuk menuntut ilmu,dipermudahkan Allah jalannya untuk ke syurga"


Saya tidak pasti status kalam tersebut samada sebuah hadis atau hanyalah kata-kata ulama,namun di situ ada kebenarannya untuk kita sama-sama mengambil manafaat darinya.

Baiklah, exam neuro pun dah selesai. Walaupun tidaklah dapat menjawab dengan baik,saya berharap untuk dapat mengulangkaji kembali untuk subjek yang makin saya gemari ini. Moga dipermudahkan. Minggu hadapan akan mula dengan round yang baru, Dermatology! Apapun saya masih ada sehari cuti sebelum memulakan round tersebut. Apa nak diisi dalam masa sehari ni ya? Oh ya, bilik presiden minta dikemasi :)

Buat akhirnya, salam ceria dan selamat studi buat semua... Jazakumullah Khairan Kathiraa

Wednesday, December 26, 2007

Hargailah sebuah kehidupan...

Seorang lelaki yang cukup kuat, beberapa kali menjuarai pertandingan tinju sejak di peringkat light weight hingga ke peringkat heavy weight dan profesional. Namun, hari ini tidak mampu untuk memukul anak kecil pun, tangannya sentiasa bergoyang bagaikan bertasbih, suaranya senada tanpa ekspresi, wajahnya sudah tiada seri. Dia disahkan mengalami Parkinson's syndrome.

Seorang bapa yang cukup rajin bekerja, mencari rezeki sesuap nasi untuk keluarga, namun dengan sekelip mata, jatuh rebah, kebas seluruh tangan dan kakinya tidak dapat bergerak lagi. Dia kaku akibat strok yang menyerang setelah bertahun-tahun menghidapi penyakit darah tinggi dan kencing manis yang kronik.

Seorang gadis pula, petah dan riang bersama rakan-rakannya ke sekolah, belajar dan bermain-main bersama-sama. Namun hingga suatu ketika, dari masa ke masa, merasakan sukar untuk mengeluarkan kata-kata, lemah tubuh badan dan hilang daya untuk mengagak jarak dan pandangan. Akhirnya, tidak mampu lagi untuk tersenyum lagi apabila cerebellum di kepalanya sudah gagal menjalankan fungsi.

Berada di round Neurology menjadikan diri begitu menginsafi. Setiap hari kami dihidangkan dengan perbincangan berkenaan penyakit-penyakit berkaitan otak dan segala sistem urat sarafnya yang begitu kompleks untuk difahami dan punya misteri yang tersendiri. Maha suci Allah yang Maha Besar. Bagaimana hebatnya Dia menciptakan manusia dengan penuh kesempurnaan dan sekompleks ini. Namun seketika itu pula Dia tidak pernah serik untuk menguji,

"(Dia) yang mana menjadikan kematian dan kehidupan untuk menjelaskan kepada kamu siapa antara kamu yang terlebih baik amalannya"


Sedih dan pilu apabila melihat pesakit-pesakit neurological disorders ini yang kadang-kadangnya tidak pernah menyangka mereka akan menghadapi ujian sedemikian. Bagi sesiapa yang pernah menonton kisah jepun bertajuk A little of tears mungkin dapat memahami apa yang cuba saya sampaikan. Mereka kerap kali bertanya samada mereka ada peluang untuk sembuh dan kembali seperti biasa ataupun tidak, dan sekerap itu jugalah doktor-doktor yang merawat sentiasa menasihati bahawa "Allah menurunkan penyakit itu pasti bersama penawarnya. Tiada yang mustahil bagiNya dan jika Allah mengkehendaki, pasti kita akan dapat kembali seperti sedia kala" Terangguk-angguk pesakit itu mendengarkan kalam tersebut walaupun kadang-kadang jauh di sudut hatinya, kurang meyakini...

Sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang sanggup untuk bersabar menghadapi segala dugaan yang mendatang ini dengan penuh rasa taqwa kepadaNya.Percaya kepada segala janjiNya bahawa setiap yang ditentukan itu ada hikmahnya dan setiap kesabaran itu ada balasan kasih sayahngNya. Oleh itu, sama-samalah kita memuhasabah diri. Mungkin hari ini kita merasakan diri cukup sihat dan kuat melakukan apa saja. Namun tidak mustahil selepas beberapa ketika kita kehilangan kekuatan itu, kita hilang keupayaan itu, apatah lagi jika ajal kematian pula yang turut menyapa kita. Bekerjalah dengan tekun sementara tenaga masih ada, beramallah dengan ikhlas sementara masa masih milik kita. Sesungguhnya orang yang paling bijak itu adalah orang yang sentiasa  mengingati mati.

Apapun doakanlah diri ini yang akan menghadapi exam neuro pada esok hari ya. Moga kita senantiasa diberikan hidayah olehNya dalam apa jua amal buat kita sehari-hari. Tahniah buat miss daing yang dah bergelar auntie daing hari ini. Buat Kak Ainah dan Ustaz Ismail moga cahaya mata yag hadir memberikan seribu satu kebahagian buat makna tersendiri buat kalian. Moga keluarga bahagia ini sentiasa dalam rahmatNya...  Begitulah hidup ini yang penuh dengan kehidupan dan kematian...

Hingga jumpa lagi. Jazakumullah Khairan Kathiraa...

Sunday, December 23, 2007

Salam Aidil Adha

SALAM AIDIL ADHA
Selamat Hari Raya Aidil Adha diucapkan buat semua sahabat-sahabat yang selalu datang bertandang ke sini. Afwan kerana lambat mengucapkan Salam. Apapun moga hari-hari yang kita lalui sepanjang Dzulhijjah ini, amalan yang kita lakukan diterima Allah sebagai amal soleh disisinya yang bakal memberatkan mizan kebaikan kita di akhirat kelak. Tak ada entry baru untuk kali ni walaupun banyak yang boleh diceritakan terutama Majlis korban Aidil Adha PERUBATAN 1428H yang kali pertama diadakan. Mabruk kepada adinda Abdul Azim Abrar dan sahabat-sahabatnya yang bertungkus lumus memastikan majlis julung-julung kali diadakan ini berjaya dilaksanakan dengan sebaiknya.

Pada kesempatan yang ada, hari ini juga merupakan hari yang mengembirakan buat diri, ucapan mabruk alaik kepada my schoolmate Hanisah binti Azhari yang selamat diijab qabulkan pada hari ini dengan akhi Shamin bin Mohd Saffian.Barakallahu lakuma dan mudah-mudahan dapat menjadi isteri yang solehah, dalam bersama-sama membina sebuah keluarga yang bahagia dan diredhaiNya. Mabruk...! Mabruk...! Mabruk...!

Akhirnya sempena aidiladha ni, nak kongsi satu cerita dipetik daripada harakahdaily.net untuk renungan dan keinsafan kita bersama... Jumpa lagi,

Jazakumullah Khairan kathira...


Kisah Dari Tanah Suci: Berkat sayang, muliakan kucing
Abdul Wahab Muhammad Nor


Sempena wukuf di Arafah hari ini (18 Disember) dan Hari Raya Korban esok (di Arab Saudi), disiarkan Kisah Dari Tanah Suci ini untuk iktibar bersama. Kisah ini mengenai seorang wanita Muslimah Melayu berasal dari Perak yang menunaikan haji kira-kira enam tahun lalu.

Wanita ini kerana sudah tua dan uzur, lutut pun lemah dan sentiasa sakit, menggunakan kerusi roda semasa tawaf dan saie. Dia mengupah petugas Arab menolaknya, tujuh kali pusingan tawaf dan tujuh kali berulang alik antara Bukit Safa dan Marwah.


Beliau menunaikan tawaf rukun dan saie saja. Yang sunat tak mampu kerana uzur. Lagi pun wangnya hanya cukup-cukup saja.


Namun, ada satu amalan mulia dimiliki Muslimah ini. Yakni mencontohi sunnah Nabi s.a.w., mengasihani dan menyayangi kucing di desanya.


Dia amat suka memelihara kucing. Di rumahnya banyak kucing. Dia melayan makan dan minum kucing. Dia pungut kucing yang dibuang orang, diberikan makan dan minum, dirawat dan dimandikan dengan sabun wangi.


Walaupun banyak kucing jalanan itu lemah, sakit, kurus kering atau lumpuh, tetap diambilnya untuk dirawat di rumahnya. Ada yang berkudis dan sakit serius. Pendeknya rumahnya menjadi pusat kucing kurap.


Maka terkenallah rumahnya jadi pusat rawatan kucing. Mana-mana kucing yang mati dikuburkan di kebunnya. Demikian begitu kasih Muslimah ini kepada makhluk Allah yang lemah lembut itu.


Justeru, ada kucing-kucing peliharaannya manja, gemuk dan sihat, serta cantik-cantik belaka, berkat khidmatnya, yang ikhlas.


Tahun itu beliau berangkat, menunaikan haji dengan menggunakan perkhidmatan Tabung Haji. Gembira dan sayu nian kalbunya, kerana hajatnya untuk ke Tanah Suci, solat di Masjidilharam dan melihat Baitullah di depan mata sudah terkabul sudah.


Ingin di hatinya untuk tawaf banyak-banyak seperti orang muda dan sihat. Tetapi apakan daya, lututnya sakit manakala badan uzur. Setelah solat fardu sentiasalah beliau memanjatkan doa dan pertolongan Allah, agar hajatnya dimakbulkan.


Pada suatu hari, semasa hendak pergi solat di Masjidilharam dengan keadaan bertongkat, beliau terjumpa seekor kucing yang kurus, comot, lemah dan lapar.


Apabila kucing itu hendak bangun berjalan, ia jatuh berkali-kali. Kasihan nian wanita tua itu melihat makhluk Allah itu menderita dan sengsara di kota suci Makkah.


Lantas diambilnya kucing itu, diurutnya tubuhnya yang lemah itu. Dibelikan sebungkus nasi berlauk dan diberikan minum air zam-zam yang murni.


Dengan takdir Allah, kucing itu pulih dan sihat. Kucing itu telah menggesel kaki Muslimah tadi, lalu menjilat kedua-kedua tapak kakinya. Ajaib sungguh, kaki dan lututnya yang sakit tadi, tiba-tiba menjadi sihat dan kuat, seperti orang muda.


Muslimah tua tadi dapat tawaf sebanyak-banyaknya, ikut suka hatinya. Tertunailah hajat yang terbuku di hatinya selama ini, berkat menolong seekor kucing di Makkah yang mulia itu..

Setelah tawaf wida (selamat tinggal) dan menziarahi Masjid Nabawi, hajah yang solihah tadi berserta rombongannya bersiaplah untuk pulang ke Malaysia.


Sewaktu hendak menaiki tangga pesawat di Jeddah, Muslimah tua tadi terlopong melihat seekor kucing yang mirip kucing yang ditolongnya sewaktu di Makkah dulu.


Kucing itu duduk di sisi tangga pesawat itu sambil matanya merenung sayu padanya. Apabila Muslimah tadi sampai ke anak tangga teratas, kucing tadi ghaiblah daripada pandangannya.

Demikianlah ganjaran dan berkat orang yang mengasihi kucing, seperti Nabi kita s.a.w. mengasihinya di dunia ini, lebih-lebih besarlah pahala menunggunya di alam akhirat nanti. Amin. - lanh

Wednesday, December 12, 2007

Awail Zulhijjah

Assalamualaikum wbt...

Sempena kedatangan bulan Zulhijjah yang mulia ini, sama-sama kita check kembali antara amalan-amalan yang dituntut untuk kita lakukan sepanjang menyambutnya.

Sumber:http://pcmansurah.blogspot.com


KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH SEPULUH HARI PERTAMA.


Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas RA bahawa Baginda Nabi SAW bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu sepuluh hari Zulhijjah-”. Para Sahabat Baginda bertanya : “Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah ?” . Ujar Baginda : “Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun”.

Imam Ahmad RA meriwayatkan dari Ibnu ‘Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda : “Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Ibnu Hibban di dam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir RA bahawa Baginda SAW bersabda : “Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah”.

JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN PADANYA.

Pertama : Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :

Sabda Nabi SAW: “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

Kedua : Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah - . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi :

“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”. Dari Abu Sa’id al Khudri RA berkata : ‘Rasulullah SAW bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih). Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

Ketiga : Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”, hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar RA yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya :

“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”. Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai.

Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]”. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“( Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”. Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.

Keempat : Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi SAW bersabda :

“Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi).

Kelima : Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah SWT jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

Keenam : Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

Ketujuh : Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim AS setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Kelapan : Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah RA bahawa Nabi SAW bersabda :

“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”, dan di dalam riwayat lain : “Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”.

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya : “(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”. Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

Kesembilan : Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini ; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.

Kesepuluh : Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.

:: petikan dari : mufti.islam.gov.my ::

Wednesday, December 5, 2007

KEMPEN PEMURNIAN JIWA



KEMPEN PEMURNIAN JIWA

OBJEKTIF:

1. Mendekatkan manusia kepada Allah.
2. Mempraktikkan apa yang dipelajari dalam kelas pengajian.
3. Menyediakan diri untuk menyambut Hari Raya Korban dengan lebih bermakna.
4. Merapatkan ukhuwah sesama ahli PERUBATAN.

tarikh : 5/12/2008 bersamaan 25 Zulkaedah 1428H.
tempat : rumah masing-masing.
anjuran : unit pembangunan insan kaherah.

AKTIVITI-AKTIVITI:

1. kempen doa harian.
2. kempen membaca quran.
3. kempen Hari Arafah ( puasa sunat )
- iftar jamai'
4. kempen zikir.
5. bertakbir raya beramai-ramai.
6. ceramah Hari Raya Korban
7. kuiz sempena Aidil Adha ( ada hadiah )

diharapkan kepada semua mahasiswa/i mengikhlaskan niat dan berusaha untuk mencapai objektif-objektif yang disenaraikan diatas. Disamping itu, berusahalah untuk menghidupkan kempen ini dengan mewujudkan usaha saling mengingati antara satu sama lain.

" Ya Allah, semoga kempen yang dilancarkan ini dapat menjadi pemangkin untuk kami beramal dan beristiqamah dengan amalan Islam. Bantulah kami dan berikanlah kepada kami taufik dan hidayah-Mu "

Tuesday, December 4, 2007

Exam Stress Syndrome lagi...

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket


“Aaah… exam dah dekat!! Tu tak baca lagi, yang ni tak baca lagi. Camana ni?” Gerutu seorang pelajar perubatan di dalam bilik bacaannya.

“Kenapa muram je ni, Mi? ada apa-apa masalah ke?” Tanya Rahmat kepada Suhaimi. “Entahlah Mat, exam dah dekat, tapi satu ape pun aku tak studi lagi. Cam tak sempat je nak baca semua” Suhaimi cuba untuk memberikan penjelasan.

Situasi-situasi di atas mungkin selalu kita lihat dan perhati terutamanya ketika fatrah imtihan semakin hampir. Perasaan berdebar-debar menduduki ujian disamping persediaan yang belum cukup rapi untuk menghadapinya kadang-kadang mengundang pelbagai rasa yang biasanya berbentuk negatif. Saya sendiri tidak dapat lari daripada perasaan-perasaan sedemikian. Inilah yang kita kenali sebagai stress.

Ia bermula apabila badan kita bertindak balas terhadap persekitaran luar yang memelukannya untuk bersedia dan berhati-hati menghadapi sesuatu ancaman atau peristiwa yang mendebarkan. Di kala ini, bahagian hipotalamus pada otak akan terangsang untuk mengaktifkan kelenjar adrenal untuk merembeskan hormon adrenalin dan kortisol. Kandungan kedua-dua hormon ini akan meningkat di dalam aliran darah kita dan seterusnya memberikan gambaran seperti berikut :

1. Kadar denyutan jantung meningkat.
2. Kadar pernafasan meningkat.
3. Tekanan darah meningkat.
4. Meningkatnya kadar metabolisma badan.
5. Anak mata membesar
6. Kandungan glukosa dalam darah meningkat untuk sumber tenaga
7. Berpeluh


Semua gambaran di atas adalah merupakan suatu keadaan yang dikenali sebagai tindak balas stress yang memberikan badan kita lebih tenaga dan waspada untuk menghadapi sesuatu keadaan yang tegang dan memberikannya keupayaan untuk mengatasinya. Proses yang natural ini cukup baik. Namun, apabila tahap tekanan yang dihadapi adalah terlampau tinggi dan tidak tertanggung, maka stress yang ada akan memberikan masalah.

Di sini kita dapat melihat, adanya stress yang baik dan ada pula stress yang buruk. Sebagai contoh, ketika kita akan menghadapi ujian, kita akan merasa sedikit stress yang akan menjuruskan kita untuk duduk menelaah pelajaran dan mengulangkaji pelajaran sebaiknya. Namun apabila kita sampai kepada suatu situasi tidak cukup masa, banyak bahan untuk di baca dan sebagainya, kita akan menghadapi masalah sukar untuk menumpukan perhatian dan fokus kepada apa yang dibaca.

Adalah lebih buruk lagi apabila kita menghadapi sindrom-sindrom yang lebih ketara seperti:

1. Kebimbangan yang keterlaluan dan panik
2. Perasaan menghadapi tekanan sepanjang masa.
3. Tidak keruan dan murung
4. Masalah kesihatan seperti sakit perut, kepala atau mungkin sakit dada
5. Allergik, alahan.
6. Masalah tidur
7. Terlebih makan, merokok terlampau banyak
8. Sedih dan lain-lain.


Keadaan inilah yang akan membawa kita kepada suatu keadaan yang memungkinkan kita bertindak dengan tidak sewajarnya. Kita mungkin akan terus berasa murung dan menyendiri. Atau mungkin akan bertindak agresif, marah dan sebagainya. Atau mungkin akan makan dengan tidak berhenti-henti . Apapun semuanya bergantung kepada bagaimana seseorang itu mengawal dan menghadapi tekanan yang dihadapi dan sememangnya tekanan atau stress ini dapat dikawal dengan baik.

Bagaimana untuk mengawal stress terutamanya ketika menghadapi saat-saat peperiksaan sebegini? Keadaan stress yang melampau kerap kita hadapi terutamanya apabila kita turut dibebankan dengan perkara-perkara lain selain dari pembelajaran. Ini sering dihadapi oleh mereka yang terlibat dengan kepimpinan dan berpersatuan. Antara perkara yang boleh kita aplikasi dalam pengurusan stress dan tekanan ini adalah dengan:

1. Ubahsuai jadual dan keutamaan dalam aktiviti harian. Jika terdapat terlampau banyak aktiviti dalam masa terdekat, kurang aktiviti dengan mengutamakan apa yang lebih utama dan bersifat segera. Sebagai contoh, kita akan menghadapi ujian round tidak lama lagi, justeru mengulangkaji pelajaran adalah lebih utama daripada perkara-perkara lain.

2. Cuba jadi seorang yang realistik. Jangan cuba menjadi terlalu sempurna hingga dapat lakukan apa sahaja. Jika perlukan pertolongan, minta pertolongan dari mereka yang boleh membantu.

3. Dapatkan tidur yang cukup. Tidur yang cukup akan memberikan badan kita kemampuan yang optimum untuk melakukan sebarang pekerjaan.

4. Belajar untuk bersikap tenang. Ini dapat diperoleh dengan menganggap apa yang mendatang hanyalah sebagai ujian dari Allah dan peluang untuk mendekatkan diri kepadaNya. Kita juga boleh cuba bersikap tenang dengan melakukan aktiviti-aktiviti santai seperti bermain dengan binatang perliharaan, membaca bahan bacaan yang menarik, mandi dan sebagainya.

5. Jaga kesihatan dengan sebaiknya, dengan bersenam dan mendapatkan keperluan tenaga yang cukup. Makan makanan yang seimbang.

6. Cuba selesaikan masalah-masalah yang kecil. Dengan menyelesaikan masalah-masalah yang kecil, akan memberikan isyarat kepada diri kita bahawa kita mampu untuk menghadapi masalah dengan baik. Namun jika kita bertindak dengan mengelakkan diri dari menyelesaikannya, ia akan memberikan perasaan bahawa kita sememangnya tidak mampu untuk mengawal keadaan sekeliling dan menambahkan stress yang ada.


Selain itu, penting untuk kita terus mendekatkan diri dengan Allah dengan memperbanyakkan solat sunat, berzikir membaca Al Quran dan sebagainya untuk mendapatkan petunjuk sepanjang menghadapi hari-hari genting menjelang peperiksaan tersebut. Teruslah tetapkan di dalam hati, bahawa apa yang akan kita hadapi ini hanyalah cebisan kecil daripada ujian-ujian dunia sebelum kita akan sama-sama menghadapi ujian getir di akhirat kelak. Justeru semoga kita dapat menjalani segala ujian yang diterima dengan penuh rasa ketaqwaan kepadanya. Study smart study hard. Moga kejayaan milik kita bersama...

Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin
Tahun 5,
Kuliah Perubatan,
Universiti Ain Shams.

Sunday, December 2, 2007

Pesan Pak Hamka...

Pak Hamka suatu ketika pernah ditanya "Mengapa ya pak,ada orang yang pada rupanya elok, berkupiah bertudung, solat lima waktu namun kadang-kadangnya cukup buruk akhlaknya, tiada santunan dan kesat bahasanya.Tetapi, ada pula orangnya yang tidaklah baik baju pakainya, solat pun terkadang lalai mengerjakannya, namun baik akhlak dan budi pekerti, elok bahasa dan santunannya"

Mungkin pada kita atau orang yang bertanya,baik kita jadi seperti orang yang tidak terlalu menjaga dari rupa luarnya, tidak menutup aurat, tak solat dan sebagainya namun baik dari segi akhlak dan pergaulan berbanding orang yang sebaliknya. Namun apa jawab Pak Hamka?




"Nasib baik orang yang tidak solat itu penyantun, kalau tidak ada apa-apa kebaikan lagi pada dirinya dan nasib baik orang yang tidak penyantun itu solat, jika tidak cukup teruklah dirinya di sisi Allah dan pada pandangan manusia..."

Sekadar noktah renungan untuk sama-sama kita terus mengoreksi diri, jadilah orang yang sentiasa menjaga hubungan kita dengan Allah dengan menjaga segala perintah dan suruhannya namun dalam masa yang sama, jagalah hubungan kita sesama manusia, kerana itu juga modal untuk perlukan untuk menuju ke syurga...

Taqwa, Syifa, Rahmah :D


PS: Ayat yang digunakan Pak Hamka mungkin berbeza tapi tu la lebih kurang bunyinyer :D