Tuesday, December 4, 2007

Exam Stress Syndrome lagi...

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket


“Aaah… exam dah dekat!! Tu tak baca lagi, yang ni tak baca lagi. Camana ni?” Gerutu seorang pelajar perubatan di dalam bilik bacaannya.

“Kenapa muram je ni, Mi? ada apa-apa masalah ke?” Tanya Rahmat kepada Suhaimi. “Entahlah Mat, exam dah dekat, tapi satu ape pun aku tak studi lagi. Cam tak sempat je nak baca semua” Suhaimi cuba untuk memberikan penjelasan.

Situasi-situasi di atas mungkin selalu kita lihat dan perhati terutamanya ketika fatrah imtihan semakin hampir. Perasaan berdebar-debar menduduki ujian disamping persediaan yang belum cukup rapi untuk menghadapinya kadang-kadang mengundang pelbagai rasa yang biasanya berbentuk negatif. Saya sendiri tidak dapat lari daripada perasaan-perasaan sedemikian. Inilah yang kita kenali sebagai stress.

Ia bermula apabila badan kita bertindak balas terhadap persekitaran luar yang memelukannya untuk bersedia dan berhati-hati menghadapi sesuatu ancaman atau peristiwa yang mendebarkan. Di kala ini, bahagian hipotalamus pada otak akan terangsang untuk mengaktifkan kelenjar adrenal untuk merembeskan hormon adrenalin dan kortisol. Kandungan kedua-dua hormon ini akan meningkat di dalam aliran darah kita dan seterusnya memberikan gambaran seperti berikut :

1. Kadar denyutan jantung meningkat.
2. Kadar pernafasan meningkat.
3. Tekanan darah meningkat.
4. Meningkatnya kadar metabolisma badan.
5. Anak mata membesar
6. Kandungan glukosa dalam darah meningkat untuk sumber tenaga
7. Berpeluh


Semua gambaran di atas adalah merupakan suatu keadaan yang dikenali sebagai tindak balas stress yang memberikan badan kita lebih tenaga dan waspada untuk menghadapi sesuatu keadaan yang tegang dan memberikannya keupayaan untuk mengatasinya. Proses yang natural ini cukup baik. Namun, apabila tahap tekanan yang dihadapi adalah terlampau tinggi dan tidak tertanggung, maka stress yang ada akan memberikan masalah.

Di sini kita dapat melihat, adanya stress yang baik dan ada pula stress yang buruk. Sebagai contoh, ketika kita akan menghadapi ujian, kita akan merasa sedikit stress yang akan menjuruskan kita untuk duduk menelaah pelajaran dan mengulangkaji pelajaran sebaiknya. Namun apabila kita sampai kepada suatu situasi tidak cukup masa, banyak bahan untuk di baca dan sebagainya, kita akan menghadapi masalah sukar untuk menumpukan perhatian dan fokus kepada apa yang dibaca.

Adalah lebih buruk lagi apabila kita menghadapi sindrom-sindrom yang lebih ketara seperti:

1. Kebimbangan yang keterlaluan dan panik
2. Perasaan menghadapi tekanan sepanjang masa.
3. Tidak keruan dan murung
4. Masalah kesihatan seperti sakit perut, kepala atau mungkin sakit dada
5. Allergik, alahan.
6. Masalah tidur
7. Terlebih makan, merokok terlampau banyak
8. Sedih dan lain-lain.


Keadaan inilah yang akan membawa kita kepada suatu keadaan yang memungkinkan kita bertindak dengan tidak sewajarnya. Kita mungkin akan terus berasa murung dan menyendiri. Atau mungkin akan bertindak agresif, marah dan sebagainya. Atau mungkin akan makan dengan tidak berhenti-henti . Apapun semuanya bergantung kepada bagaimana seseorang itu mengawal dan menghadapi tekanan yang dihadapi dan sememangnya tekanan atau stress ini dapat dikawal dengan baik.

Bagaimana untuk mengawal stress terutamanya ketika menghadapi saat-saat peperiksaan sebegini? Keadaan stress yang melampau kerap kita hadapi terutamanya apabila kita turut dibebankan dengan perkara-perkara lain selain dari pembelajaran. Ini sering dihadapi oleh mereka yang terlibat dengan kepimpinan dan berpersatuan. Antara perkara yang boleh kita aplikasi dalam pengurusan stress dan tekanan ini adalah dengan:

1. Ubahsuai jadual dan keutamaan dalam aktiviti harian. Jika terdapat terlampau banyak aktiviti dalam masa terdekat, kurang aktiviti dengan mengutamakan apa yang lebih utama dan bersifat segera. Sebagai contoh, kita akan menghadapi ujian round tidak lama lagi, justeru mengulangkaji pelajaran adalah lebih utama daripada perkara-perkara lain.

2. Cuba jadi seorang yang realistik. Jangan cuba menjadi terlalu sempurna hingga dapat lakukan apa sahaja. Jika perlukan pertolongan, minta pertolongan dari mereka yang boleh membantu.

3. Dapatkan tidur yang cukup. Tidur yang cukup akan memberikan badan kita kemampuan yang optimum untuk melakukan sebarang pekerjaan.

4. Belajar untuk bersikap tenang. Ini dapat diperoleh dengan menganggap apa yang mendatang hanyalah sebagai ujian dari Allah dan peluang untuk mendekatkan diri kepadaNya. Kita juga boleh cuba bersikap tenang dengan melakukan aktiviti-aktiviti santai seperti bermain dengan binatang perliharaan, membaca bahan bacaan yang menarik, mandi dan sebagainya.

5. Jaga kesihatan dengan sebaiknya, dengan bersenam dan mendapatkan keperluan tenaga yang cukup. Makan makanan yang seimbang.

6. Cuba selesaikan masalah-masalah yang kecil. Dengan menyelesaikan masalah-masalah yang kecil, akan memberikan isyarat kepada diri kita bahawa kita mampu untuk menghadapi masalah dengan baik. Namun jika kita bertindak dengan mengelakkan diri dari menyelesaikannya, ia akan memberikan perasaan bahawa kita sememangnya tidak mampu untuk mengawal keadaan sekeliling dan menambahkan stress yang ada.


Selain itu, penting untuk kita terus mendekatkan diri dengan Allah dengan memperbanyakkan solat sunat, berzikir membaca Al Quran dan sebagainya untuk mendapatkan petunjuk sepanjang menghadapi hari-hari genting menjelang peperiksaan tersebut. Teruslah tetapkan di dalam hati, bahawa apa yang akan kita hadapi ini hanyalah cebisan kecil daripada ujian-ujian dunia sebelum kita akan sama-sama menghadapi ujian getir di akhirat kelak. Justeru semoga kita dapat menjalani segala ujian yang diterima dengan penuh rasa ketaqwaan kepadanya. Study smart study hard. Moga kejayaan milik kita bersama...

Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin
Tahun 5,
Kuliah Perubatan,
Universiti Ain Shams.

No comments: