Monday, July 21, 2008

Bimillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Lama tidak mencoret apa-apa kan? Sibuk? Ya pastinya agak sibuk membuat persiapan yang sepatutnya menghadapi hari-hari penting dalam hidup. Kebetulan pula akhir-akhir ini kuliah subuh di masjid, kuliah maghrib di surau, rancangan-rancangan agama di TV1, TV2 mahupun Al Kuliyyah di TV3, banyak pula yang bercerita tentang perkahwinan dan institusi keluarga. Pelbagai ingatan diberi, pelbagai teguran diajukan, pelbagai nasihat pula diutarakan bagi memeberikan panduan kepada mereka-mereka yang akan berumah tangga. Agaknya sekarang memang musim orang mendirikan rumah tangga apatah lagi tarikh 080808 yang bakal menyusul, pastinya menjadi tumpuan ramai pasangan untuk memulakan kehidupan bergelar suami atau isteri.

Namun begitulah, walau diri tidak mampu untuk meluangkan masa duduk mendengar, menadah telinga mendengar nasihat-nasihat tersebut dan menuntut ilmu sebagai persediaan melayari kehidupan bekerluarga dengan baik dek kerana pelbagai komitmen dan persiapan yang perlu saya lakukan, namun dalam masa yang sama saya rajin pula untuk menelaah buku-buku berkaitan rumah tangga seperti karangan Ustaz Pahrol Mohd Juoi, “Satu Rasa Dua Hati” serta buku Ustaz Hasrizal pastinya “Aku Terima Nikahnya”. Oleh kerana saya sudah terlalu kerap membaca artikel-artikel Ustaz Hasrizal tentang kekeluargaan di SaifulIslam.com maka buku Ustaz Pahrol lebih menarik minat saya ketika ini untuk mengutip segala pengalaman-pengalaman dan rencah hidup berumah tangga sebagai panduan di hari muka. Banyak yang saya dapati dari buku ini dan apa yang terpenting yang mungkin dapat saya keluarkan daripada buku ini adalah matlamat asas dan utama apabila seseorang memilih untuk mendirikan rumah tangga adalah kemahuannya untuk memberi dan mengasihi pasangannya dan pastinya ia diasaskan atas rasa taqwa dan cinta mereka kepada Allah Subhanahu Wataala. Semoga ia menjadi suatu cara terbaik untuk saya kembali mengingati segala teori-teori dan panduan bait muslim yang pernah dipelajari sebelum ini untuk dipraktikkan dalam kehidupan realiti nanti insyaAllah.

Dalam hidup ini, selain belajar melalui pengalaman sendiri, pengalaman orang lain juga kerap kali menjadi panduan untuk kita membina pengalaman sendiri, justeru saya begitu teruja apabila mak dan ayah banyak bercerita tentang kehidupan berumahtangga dan asam garam yang telah mereka lalui selama ini. Dan sebagai anak yang lahir seawal setahun selepas mereka diijabkabulkan saya dapat melihat sendiri bagaimana peranan yang dimainkan mereka dalam membina keluarga. Ayah sebagai ketua keluarga dan emak sebagai pengurus rumahtangga begitu komited menjalankan peranan masing-masing dalam memastikan kami adik beradik terbela dan mendapat pendidikan yang sebaiknya. Namun begitu, masih banyak yang belum saya ketahui dan banyak pula yang masih perlu saya pelajari daripada mereka terutama berkenaan menjaga perasaan dan mendidik kesabaran dalam perhubungan. Ya, moga saya lebih cepat untuk belajar. Dan yang pastinya pembelajaran itu adalah suatu proses yang lama dan menuntut kesabaran justeru kepada mereka yang masih punya waktu dan masih belum bercadang untuk berumah tangga, tidak jadi masalah untuk anda menambah ilmu dan pengalaman berkenaan hal ehwal rumahtangga, semoga ia dapat membantu anda menyediakan diri dengan sebaiknya menjadi ketua keluarga mahupun isteri yang baik dalam membina usrah muslimah solehah toyyibah yang anda impi-impikan insyaAllah.

Begitulah… apapun pelbagai persiapan yang sedang dilakukan sekarang sedikit sebanyak membuka mata saya bahawa bukan senang untuk melangsungkan sesebuah perkahwinan. Dari memilih hari, membuat kad, menghantar jemputan, mengubah hantaran, mencari lembu, mengikuti kursus kahwin, menyewa khemah, memasak, bermajlis dan lain-lain lagi memerlukan perancangan dan pandangan mereka yang berpengalaman dalam hal ini. Apatah lagi masa yang ada begitu singkat. Ada yang bertanya, “kenapa terlalu cepat untuk kahwin? Sedang belajar pun belum habis.” Pastinya suatu soalan yang sememangnya sukar untuk saya berikan jawapan namun saya hanya meletakkan keyakinan bahawa inilah jalan terbaik yang saya dan bakal isteri telah pilih dan dengan keyakinan itu saya mengharapkan sakinah mawadah dan rahmah dariNya dalam menyusuri jalan yang telah ditentukan ini. Tersenyum saya apabila seorang sahabat telah menelefon dan menyatakan “Tak sangka dahulu senyap je kat sekolah, akhirnya kahwin dulu” Tak sangka pula saya pendiam dahulu di sekolah. Apapun saya agak menyedari sifat pendiam saya itu akhir-akhir ini.

Baiklah, rasanya setakat ini dahulu buat kali ini. Terima kasih kepada sahabat-sahabat yang sudi mencoretkan apa-apa di ruangan komen ataupun shoutbox dalam entry yang lepas. Dan seperti yang saya sebut sebelum ini, ketiadaan talian internet mahupun telefon di rumah menyebabkan ruang dan peluang untuk saya mengakses internet agak terbatas sementara saya sendiri sudah tidak berapa gemar pula untuk ke cc.

Apapun jazakumullah khairan kathiraa sekali lagi diucapkan dan buat sahabat-sahabat saya yang berada di Malaysia, saya kehilangan banyak contact number kalian dek kerana handset lama saya tidak dapat dihidupkan. Justeru harap dapat menghubungi saya ya. Yang nak dapatkan kad jemputan pun boleh hubungi saya, nyatakan pengenalan diri dan alamatnya sekali. Yang tak dapat datang tu, takpe je, mengharapkan doa kalian dari kejauhan. Yang akan datang, moga akan ketemu nanti, pastinya saya amat merindui kalian setelah sekian lama tidak bersua. Moga pertemuan itu menjadi milik kita, insyaAllah… 

Jazakumullah khairan kathiraa…

Sunday, July 13, 2008

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum warahmatullah dan salam sejahtera buat semua.


Saya mulakan entry pada kali ini dengan penuh rasa syukur ke hadratNya atas segala kurnia dan limpahan rahmat yang dianugerahkan kepada saya, keluarga saya, sahabat-sahabat dan sesiapa jua dalam kita meniti hari-hari yang kita lalui saban hari. Pastinya rasa syukur tersebut tidak setara dengan segala kurniaan yang telah dianugerahkanNya kepada kita.

Ramai yang sudah menduga, ramai yang sudah berbicara, ramai yang sudah mengagak-agak dengan pelbagai dugaan dan reka cerita. Yang pasti, kembalinya saya ke pangkuan keluarga pada kali ini bukanlah sekadar untuk melepaskan rindu di hati, pulang ke desa melihat riak-riak air di kali, kembali menghirup udara nyaman di pinggiran sawah padi, di tepi tali air sepanjang bendang yang tidak berapa jauh daripada rumah. Namun kembalinya saya ke tanah air pada kali ini, ketika sahabat-sahabat yang lain sedang bertarung menyediakan diri di ambang peperiksaan di tahun lima. Saya pula dengan segala kedhaifan yang ada sedang merencana pula untuk membina keluarga. Pastinya ia bukan keputusan yang mudah untuk dilakukan tetapi dengan penuh rasa tawakkal saya teruskan rencana tersebut dan pastinya saya cukup mendambakan doa dari kalian agar segala yang dirancangkan akan berjaya dilaksanakan.

Ampun dan maaf saya dahulukan kepada sahabat-sahabat yang mungkin pernah bertanyakan tentang rencana saya ini namun tidak mendapat jawaban terbaik untuk pertanyaan itu, saya terpaksa berdalih dan terpaksa mengelak apabila ditanya memandangkan semuanya masih samar dan di peringkat perancangan, sementara masih belum ada apa-apa ketetapan yang diambil pada masa itu. Mudah-mudahan saya tidak dikira berdusta apabila secara berseloroh mengatakan bahawa kembalinya saya ke Malaysia kali ini adalah untuk menjadi PM apabila ditanya oleh seorang pembaca blog suatu ketika. Ya pastinya PM yang dimaksudkan bukanlah Perdana Menteri, namun terpulanglah kepada sahabat-sahabat untuk membuat apa-apa tafsiran kepada ‘PM’ tersebut sesuai dengan apa yang akan saya lalui nanti.

Justeru, dengan penuh rasa merendah diri dan penuh takzim, saya menjemput semua sahabat-sahabat, yang mengenali diri ini, samada di PERUBATAN, sahabat-sahabat di Mesir, sahabat-sahabat di INTEC, sahabat-sahabat di KMNS, sahabat-sahabat di SMKA Sheikh Abdul Malek, mahupun di SK Ladang dan Tadika Kemas serta siapa sahaja mengenali diri saya. Termasuklah guru-guru yang pernah mendidik saya selama ini, saya dengan penuh hormat menjemput semuanya ke majlis kesyukuran sempena perkahwinan saya ini pada hari Sabtu, 9 Ogos 2008 bersamaan 7 Syaaban 1429 H di rumah saya di alamat, 654, Kampung Kubang Tangga, 20050 Kuala Terengganu. Moga dengan kehadiran sahabat-sahabat memberikan kegembiraan kepada kami insyaAllah.

Akhirnya saya sekali memohon doa dari semua agar majlis aqad dan perkahwinan yang akan berlangsung pada 2 Ogos 2008 di rumah pengantin perempuan dipenuhi barakah dan berjalan dengan lancar dan sebaiknya insyaAllah. Saya suka untuk kita sama-sama kembali mengingati dengan janji dan pernyataan yang pernah dikirimkan Allah melalui firmanNya yang bermaksud “dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan rahmatNya bahawa dia menciptakan untuk kamu (wahai lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan” (surah Ar Rum ayat 21). Atas keyakinan itulah saya berdoa semoga hubungan suci ini dipenuhi barakah dan rahmat dariNya, InsyaAllah...

Sekian, jazakumullah khairan kathiraa…

PS: Talian saya di Malaysia, 019 9588639.Perkenalkan diri dulu ya.

__________________________________________________________

-Walimatul Urus-

TENGKU HAJI ZAINAL ABIDIN BIN TENGKU HAJI AWANG
dan

HAJJAH WAN NORMAZIAH BINTI HAJI WAN MANSOR

Dengan segala hormatnya mempersilakan Tengku / Engku / Dato / Datin / Tuan / Puan / Encik / Cik

…………………………………………………………………………………..

suami isteri ke Majlis Kesyukuran sempena perkahwinan putera kami,

TENGKU ABDUL KADIR BIN TENGKU ZAINAL ABIDIN
dengan
ZAATIL IFFAH BINTI ASMAWI

Pada hari Sabtu, 9 Ogos 2008 bersamaan 7 Syaaban 1429H

Di kediaman kami beralamat:

654, Kampung Kubang Tangga, 20050 Kuala Terengganu.

Semoga dengan kehadiran tuan puan akan menambahkan lagi keberkatan majlis ini di samping mendapat keredhaan dan rahmat daripada Ilahi. InsyaAllah.

Aturcara Majlis:

Jamuan : 11:00 – 5:30 petang
Majlis sambut menantu : 2:00 petang

Friday, July 4, 2008

Majlis Pemangku Presiden

Assalamualaykum warahmatullah wabarakatuh.

Sedikit makluman buat semua.

Dalam Mesyuarat AJKT PERUBATAN bertarikh 29 Jun 2008 yang lalu suatu majlis pemangku Presiden telah dilantik untuk memangku segala tugas presiden bersempena ketiadaan Presiden PERUBATAN di Mesir bermula 4 Julai 2008 sehingga 26 Ogos 2008.

Majlis ini dianggotai oleh :

1. Ahmad Haikal bin Idris (012-8931237)
- Tahun 5 Universiti kaherah


2. Mohd Husmar Israq bin Husin (010-8693139)

- Tahun 5 Universiti Ain Shams


3. Zawil Farhiha binti Razali (016-7037726)
- Timbalan Presiden II, Tahun 5 universiti Ain Shams


Majlis ini akan diketuai oleh saudara Ahmad Haikal bin Idris. Justeru, majlis ini akan bertanggungjawab melaksanakan bidang tugas dan kuasa presiden sepertimana yang termaktub di dalam perlembagaan PERUBATAN.

Sekian, Wassalam.




Tengku Abdul Kadir Tengku Zainal Abidin
Presiden
Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Malaysia-Mesir
PERUBATAN

Thursday, July 3, 2008

Pergimu buat selamanya...

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Saya sedikit tidak menyangka hari itu akan tiba, walau saya percaya setiap yang bermula pasti berakhir, setiap pertemuan itu bakal disusuli perpisahan, namun saya tidak pernah menyangka perpisahan itu akan berlaku dengan begitu pantas. Tidak ramai yang tahu tentang cerita kami, sahabat-sahabat yang rapat juga tidak begitu arif tentang perkara itu, Idil juga mungkin kurang tahu . Selain seorang yang pendiam, saya juga seorang perahsia. Justeru tidak ramai yang tahu.

Pertemuan kami berlaku kira-kira tiga tahun yang lalu, saya terpesona dengannya setelah diperkenalkan oleh Iqbal pada suatu hari. Keayuannya (kecil molek) cukup menarik hati saya untuk lebih mengenalinya. Sikap tegasnya juga adalah suatu perkara yang cukup dekat di hati saya. Akhirnya tidak lama beberapa ketika kami menjadi cukup intim dan begitu akrab sekali. Pada awal perhubungan kami, saya amat menjaga hubungan ini. Saya tidak pernah sesekali melakukan apa-apa perkara yang boleh menyakitkannya. Ya seperti pasangan-pasangan yang baru bertemu dan berkenalan pastinya semuanya dijaga dengan sebaik mungkin. Jangan katakan memukul, menjentiknya pun saya tidak pernah. Kami sentiasa bersama, walau pernah dikatakan bagaikan belangkas kerana selalu bersama, namun itu semua tidak pernah kami hiraukan. Yang penting pada kami, kami tahu kami ikhlas dalam menjalinkan hubungan ini.

Suatu yang sangat saya kagumi adalah kerana kesanggupannya untuk mengejutkan saya setiap pagi di kala subuh. Ya, setiap pagi. Kerana itu jugalah saya sukar untuk terlepas untuk solat subuh berjemaah di masjid. Mengingatkan perkara itu, saya seolah-olah merasakan hubungan ini cukup islamik. Kami sering mengingatkan untuk tidak pernah culas melaksanakan tanggungjawab mengerjakan solat pada setiap waktu.

Namun semakin masa berlalu, semakin waktu berganjak, hubungan kami menjadi semakin kurang serasi. Saya sendiri tidak tahu mengapa lewat perhubungan kami saya semakin berkasar terhadap dirinya. Saya tidak melayannya seperti waktu-waktu dahulu. Mungkin saya sudah berubah, atau mungkin juga dirinya sudah tidak lagi menarik hati saya. Saya semakin sering untuk tidak bangun atau terjaga walau dikejutkannya pada waktu pagi. Saya menjadi culas. Tidak mahu untuk bangun. Namun dia tetap setia. Tidak pernah jemu mahupun bosan untuk terus mengejutkan saya setiap pagi. Sungguh saya sendiri tidak faham mengapa saya sudah tidak menghargai apa yang dilakukan pada saya selama ini.

Hinggalah pada dua hari yang lalu, suatu yang tidak pernah saya jangkakan, dia telah meninggalkan saya buat selama-lamanya. Dia ditemui tidak bernyawa dipercayai lemas setelah tidak dapat dikesan beberapa ketika. Ketika itu saya berada di rumah Abang Ilhan, menunaikan solat Maghrib di situ. Saya cuba berusaha untuk menyelamatkannya dan berharap untuk dia kembali, namun semuanya telah terlewat dan saya terpaksa menerima hakikat bahawa sememangnya dirinya sudah tiada lagi. Ya, suatu yang cukup perit, perpisahan yang tidak pernah terduga namun segala jasa dan pengorbanan yang pernah dia berikan selama perhubungan kami ini suatu yang akan saya kenang sehingga ke akhir hayat. Moga dirimu tenang selamanya…

“Mengenang ‘mati’nya henset Panasonic saya yang telah sekian lama bersama. Moga henset yang baru dapat memberikan saya khidmat yang lebih baik dan menjadi medium yang lebih berkesan dalam meneruskan perjuangan saya di bumi Allah ini. InsyaAllah…”

PS: Ketika ini saya terpaksa menggunakan henset Wafi untuk mengaktifkan simcard saya. Hanya beberapa hari lagi sebelum pulang dan rasanya hanya akan beli handset baru sekembali ke Malaysia nanti. Doakan saya dapat menempuh hari-hari tanpa handset kesayangan itu dengan baik dan selamat untuk pulang ke Malaysia jumaat ini.

Oh ya, dipercayai ‘pembunuh’ henset saya itu adalah sofiy, anak kepada Abang Ilham yang merendamkannya ke dalam air… hisy…

Jazakumullah Khairan Kathiraa…

Tuesday, July 1, 2008

Doakan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.




Indahnya pabila setiap detik, waktu dan ketika, hati sentiasa mengingati Allah, lidah sentiasa menyebut namaNya, seluruh amal perbuatan mencari redhaNya... -puas-

Banyak yang ingin dikongsi, banyak yang ingin dicoret peringatan buat diri dan semua. Hanya padaNya dimohon keluangan waktu dan tenaga.

Doakan exam kami hari ini!

Jazakumullah Khairan Kathiraa...