Saturday, July 21, 2007

Penjagaan Kesihatan Menurut Pandangan Perubatan dan Islam

Penjagaan Kesihatan Menurut Pandangan Perubatan dan Islam

Islam memandang berat soal penjagaan kesihatan ummatnya. Islam mengajar kepada kita untuk menjaga kesihatan dengan cara pencegahan sebelum ditimpa sebarang penyakit, “Mencegah itu lebih baik daripada berubat” sementara apabila ditimpa penyakit, maka kita disuruh untuk mengubatinya.
“وننزل القرءان ما هو شفاء ورحمة للمؤمنين - سورة الإسراء : 82

Kesihatan dalam perubatan

“Complete physical, mental and social well being” – Kesempurna aktiviti fizikal, mental dan sosial yang baik. Dalam tahun 1985, WHO telah menambah spiritual – rohani sebagai suatu aspek yang menggambarkan seseorang itu mempunyai kesihatan yang baik ataupun tidak.

Konsep Pencegahan di dalam Islam. “Mencegah lebih baik daripada berubat” (preventive medicine)

1. Penjagaan kebersihan diri dan persekitaran
2. Pemakanan yang seimbang
3. Perlakuan dan aktiviti fizikal – senaman
4. Hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah dalam aspek kerohanian

Kebersihan

Kebersihan amat dititikberatkan di dalam Islam. Sebagaimana yang disebutkan di dalam Hadith “Kebersihan itu sebahagian daripada Iman” Wajib untuk kita menjaga kebersihan yang seterusnya akan mengelakkan seseorang itu daripada pelbagai jenis penyakit samada penyakit berjangkit (communicable) ataupun tidak (non communicable)

Firman Allah SWT

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri."

Dari aspek perubatan, kebersihan memainkan peranan yang cukup penting dalam mengelakkan seseorang ditimpa penyakit, kebersihan yang dimaksudkan adalah meliputi kebersihan diri dan kawasan persekitaran. Diri dan persekitaran yang kotor akan mengundang pelbagai jenis vektor pembawa penyakit ke kawasan tersebut.

Makanan yang disediakan juga hendaklah dipastikan kebersihannya dan hendaklah dibasuh dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna. Jangan sambil lewa dalam menyediakan juadah dan hidangan untuk keluarga.

Pemakanan Yang Seimbang

Dalam kehidupan seharian kita sering dihidangkan dengan pelbagai jenis masakan dan juadah bagi memenuhi keperluan jasmani kita dan membekalkan tenaga yang secukupnya dalam melakukan aktiviti sehari hari.

Allah telah menukilkan di dalam Al Quranul Karim melalui firmannya:

“Wahai manusia, makanlah apa-apa diatas dunia ini dari makanan yang halal dan baik dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya dia adalah musuhmu yang nyata.”

Firman Allah juga:

Wahai orang-orang yang beriman, makanlah dari apa-apa yang baik daripada rezeki yang dikurniakan oleh kami kepadaMu dan bersyukurlah kepada Allah dan kepadanyalah kamu bersembah sujud (beribadat)

Makanan yang kita makan sehari-hari adalah merupakan salah satu ibadat terhadap Allah apabila kita meniatkannya untuk membolehkan kita melakukan ibadat kepadaNya, oleh yang demikian amat perlu untuk kita memilih makanan yang kita makan dari jenis makanan yang berkhasiat dan baik bagi membolehkan kita mendapat manafaat yang optimum daripada apa yang kita makan.

Secara umumnya kaedah pemakanan yang seimbang adalah berdasarkan teori piramid makanan sebagaimana di bawah.

Aras Pertama:

LEMAK, MINYAK dan GULA Lemak. Minyak dan gula, juga makanan yang kaya dengan bahan ini terletak di Aras 1 Piramid. Ini menunjukkan hanya sedikit sahaja makanan daripada kumpulan ini yang perlu dimakan.

Aras Kedua:

HASIL TENUSU Hasil tenusu juga terletak di Aras 2 Piramid. Contoh hasil tenusu adalah susu, keju dan dadih. Makanan ini kaya dengan protein, kalsium dan biasanya diperkaya dengan vitamin D. Pilihlah hasil tenusu rendah lemak.

SATU SAJIAN HASIL TENUSU

• 1 gelas susu
• ½ cawan dadih rendah lemak
• 1 keping keju


Aras Ketiga

DAGING, AYAM, IKAN dan KEKACANG Daging, ayam, ikan dan kekacang terletak di Aras 3 Piramid. Makanan ini kaya dengan protein, vitamin b, zat besi, zink dan magnesium. Pilihlah daging rendah lemak dan buang semua lemak yang kelihatan pada daging dan ayam. Sekali sekala tukarkan penggunaan daging dengan kekacang, kerana ianya rendah lemak dan kaya dengan serat. Contoh kekacang adalah kacang soya dan hasilnya (seperti tauhu dan tempe), kacang dhal dan kacang merah

SATU SAJIAN DAGING, AYAM, IKAN, DAN KEKACANG

• 1 ketul peha ayam bersaiz sederhana
• 1 ekor ikan kembong bersaiz sederhana
• 2 ketul daging tanpa lemak sebesar kotak mancis
• 5 sudu makan ikan bilis tanpa kepala
• 2 biji telur bersaiz sederhana
• 2 keping tempe
• 2 keping taukua
• 4 sudu makan mentega kacang

Aras Keempat

SAYUR-SAYURAN dan BUAH-BUAHAN Sayur-sayuran dan buah-buahan terletak di Aras Piramid Makanan. Makanan ini kaya dengan vitamin, mineral dan serat. Makanlah buah-buahan dan sayur-sayuran dengan banyak, dan pelbagaikan pilihan di dalam setiap hidangan.

SATU SAJIAN SAYUR-SAYURAN

• ½ cawan sayur berdaun hijau bersama batangnya (dimasak)
• ½ cawan sayuran buah berumbi, seperti terung, tomato (dimasak)

SATU SAJIAN BUAH-BUAHAN

• ½ biji jambu batu bersaiz sederhana
• 1 biji oren, pir atau epal bersaiz kecil
• 1 biji pisang bersaiz sederhana
• 1 hiris betik, nenes atau tembikai

Aras Kelima:

BIJIRIN, HASIL BIJIRIN dan UBIAN-UBIAN Aras 5 Piramid Makanan mengandungi kumpulan makanan yang kaya dengan karbohidrat kompleks, yang merupakan sumber tenaga yang utama. Makanan ini juga membekalkan vitamin, mineral, serat dan sedikit protein. Di dalam setiap hidangan, makanan daripada kumpulan ini perlu diambil paling banyak. Contoh makanan bagi kumpulan ini adalah nasi, bubur, mi, mihun, roti, pasta, bijirin sarapan, capati, thosai, biskut, dan ubi keledek, keladi dan kentang. Pilihlah bijirin atau hasil bijirin mil penuh seperti beras perang, tepung gandum mil penuh atau tepung atta, dan roti atau biskut mil penuh.

SATU SAJIAN BIJIRIN DAN UBI-UBIAN

• 1 keping roti mil penuh
• ½ cawan nasi
• ½ cawan bihun/ mi/ pasta
• ½ keping capati bersaiz kecil
• 1 cawan bubur nasi kosong
• ½ cawan bijirin sarapan
• 1 biji kentang bersaiz sederhana
• 3 keping biskut kraker kosong

Begitulah pembahagian kelas-kelas makanan yang dianjurkan bagi membolehkan seseorang antara kita mendapatkan manafaat yang secukupnya dari apa yang dimakan dan supaya apa yang dimakan tidaklah kurang daripada yang sepatutnya dan tidak pula sebaliknya, lebih daripada apa yang diperlukan oleh badan.

Kategori zat-zat makanan.

Secara amnya makanan-makanan yang kita makan terbahagi kepada 4 kategori iaitu Karbohidrat, Protein, Lemak dan zat vitamin dan mineral.

Jumlah tenaga bagi setiap kategori atau kelas makanan tersebut boleh dilihat dari jadual di bawah:

KELAS MAKANAN NILAI KALORI (kilokalori) SUMBER Karbohidrat 4 nasi Lemak 9 minyak masak protein 4 ikan dan daging

Karbohidrat

Karbohidrat adalah merupakan kategori makanan yang paling utama dalam menu kita sehari-hari kerana tenaga yang dijana dalam badan kita adalah majoritinya diambil daripada kumpulan ini. Ini kerana makanan daripada kumpulan karbohidrat akan melalui proses penghadapan dan pencernaan untuk membolehkannya ditukarkan kepada bentuk yang paling ringkas iaitu sebagai gula penurun atau glukosa yang merupakan sumber utama tenaga dalam badan. Hasil atau lebihan karbohidrat yang tidak ditukarkan kepada glukosa akan terus disimpan oleh badan di bahagian hati sebagai glikogen dan akan digunakan apabila glukosa habis digunakan.

Glukosa yang dihasilkan ini akan digunakan oleh badan selama lebih kurang 2 jam sebelum ianya habis. Pada waktu inilah glikogen yang disimpan di dalam badan kita ditukarkan kembali kepada bentuk glukosa untuk memberikan tenaga yang diperlukan oleh badan sehinggalah ianya habis digunakan. Simpanan glikogen di dalam badan dapat bertahan dalam menyalurkan sumber tenaganya kepada badan sehingga 12 jam apabila bekalannya habis.

Selain glikogen, badan juga mendapat sumber glukosanya daripada sumber-sumber bukan karbohidrat seperti gliserol, asid amino dan lactate, Bahan-bahan ini akan memberikan sumber glukosa yang berterusan kepada badan bagi memastikan fungsi-fungsi berjalan dan berperanan dengan baik.

Lemak

Lemak juga adalah merupakan komponen makanan yang penting untuk badan, namun kita tidaklah memerlukannya dalam kuantiti yang banyak. Lemak perlu dalam membekalkan tenaga kepada badan ketika senaman dan melakukan kerja berat, sebagai lapisan membran bagi sel-sel badan, sebagai pengangkut nutrisi di dalam darah, sebagai sulfactant pada peparu dan banyak lagi.

Kita tidak memerlukan lemak yang banyak kerana lebihan lemak yang banyak dalam badan akan ditukar dan disimpan dibawah lapisan kulit sebagai tisu adipose dan boleh menyebabkan kegemukan dan obesiti kepada seseorang dan seterusnya mengundang pelbagai jenis penyakit kepadanya, seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan sebagainya. Lemak-lemak yang berlebihan juga akan terkumpul dan melekat pada saluran darah dan menebalkan saluran darah tersebut sehingga menyempitkan laluan atau lumen saluran darah tersebut. Keadaan ini boleh menyebabkan seseorang itu mengalami asteroclerosis dan tekanan darah tinggi. Keadaan ini amat merbahaya dan boleh membawa kepada maut.

Selain itu hasil daripada pelekatan asid-asid lemak kepada lapisan salur darah ini juga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami aneurisme dan boleh menyebabkannya pecah dan mengalami pendarahan dalam badan. Oleh itu, langkah yang terbaik adalah dengan mengurangkan pengambilan lemak didalam makanan kita lebih-lebih lagi lemak daripada kategori lemak tepu sebaliknya banyakkanlah penggunaan lemak tak tepu dalam menu harian kita kerana lemak tidak tepu dapat membantu mengurangkan kandungan kolesterol dalam saluran darah dan organ-organ lain dalam badan.

Protin.

Protin juga adalah suatu komponen yang penting bagi badan kita, ia merupakan benda asas dalam membina sel-sel dalam badan kita dan diperlukan oleh badan secukupnya. Tanpa protin perkembangan dan tumbesaran seseorang itu boleh terbantut selain akan menghidapi pelbagai menyakit seperti kwashyiokor, merasmus dan sebagainya.

Selain itu, protin juga merupakan sumber tenaga yang penting apabila kandungan glukosa dan glikogen sudah habis digunakan bagi membolehkan tenaga dibekalkan dengan secukupnya kepada badan terutamanya otak dan bahagian yang tidak boleh menjana tenaga sendiri seperti sel-sel darah, retina, dan sebagainya.

Oleh itu, amatlah penting bagi kita untuk mengawal pemakanan kita agar tidak terlebih dan tidak terkurang agar apa yang kita makan adalah sesuai dengan keperluan badan kita seperti sabda Rasulullah SAW

“Kami adalah umat yang makan sebelum lapar dan berhenti sebelum kenyang”

Selain itu, sabda Rasulullah juga.

“Tiada bekas yang diisi oleh anak adam yang lebih keji daripada perut”

Bermakna di sini jangan lah kita mengisi perut kita dengan sewenang-wenangnya sehingga akhirnya nanti kita akan menghadapi pelbagai masalah kerana tabiat pemakanan kita yang tidak dijaga sejak awal lagi.

Senaman dan kesihatan fizikal

Sebagai individu amnya dan penuntut khususnya, senaman dan kecergasaan merupakan antara komponen utama di dalam kehidupan kita. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana yang diriwayatkat oleh Muslim mengatakan

Muslim yang kuat itu lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding mukmin yang lemah.

Hadith lain pula adalah sabda Rasulullah yang berbunyi,

“Ajarlah anak kamu berenang, memanah dan menunggang kuda”

sebagai justifikasi betapa Islam mengambil berat soal bersukan untuk melahirkan individu yang kuat dan sihat dan bersedia untuk melakukan apa jua tugas yang diberikan.

Begitu juga dengan Firmah Allah SWT yang berbunyi:

Sesungguhnya Allah memilihnya menjadi rajamu, dan menganugerahinya dengan ilmu yang luas dan tubuh yang perkasa

Jelas menunjukkan kita disini betapa Islam mementingkan umatnya supaya menjaga kesihatan mental dan fizikal dan berusaha untuk menjadi umat yang kuat dan cergas sepanjang masa.Namun, kebanyakan daripada kita agak mengabaikan perkara ini dengan beralaskan tugas dan pelajaran. Sikap sebegini amat merugikan kerana banyak faedah yang boleh diperolehi dengan mengamalkan senaman dan mengekalkan kecergasan. Senaman dapat membantu:

" Mengekalkan berat badan yang ideal
" Memberi lebih tenaga dan stamina untuk bekerja
" Memudahkan anda menangani stress dan kerunsingan
" Mengurangkan risiko darah tinggi, sakit jantung dan kegemukan
" Memberi kerehatan dan tidur yang lena
" Melicinkan peredaran darah dan pernafasan
" Memperbaiki penampilan diri anda

Apabila anda bersenam atau bersukan, anda sebenarnya membakar kalori yang menyumbang kepada pembentukan lemak di dalam badan. Pengambilan 500 kalori sehari di dalam seminggu ( 500 x 7 ) bermakna anda menambah berat anda sebanyak 2 pound!

Kita dapat mengelaskan senaman ini kepada empat jenis senaman

Pertama : Senaman aerobik
Kedua : Senaman anaerobik
Ketiga : Senaman isometrik
Keempat : Senaman isotonik

Senaman aerobik adalah senaman yang kita lakukan dalam keadaan oksigen dapat disalurkan secara terus kepada sel-sel badan dan seseorang itu tidak akan mengalami ketidakcukupan oksigen (hutang oksigen) berbanding senaman anaerobik yang menyebabkan seseorang itu tercungap-cungap selepas melakukannya.

Dalam hal ini, kita disarankan untuk mengamalkan senaman aerobik dalam aktiviti harian yang kita lakukan, tentu bila memperkatakan tentang senaman aerobik anda akan terbayang senaman yang dilakukan beramai-ramai dengan beberapa orang jurulatih di depan dan diiringi dengan alunan musik bukan? Namun pemahaman senaman aerobik adalah lebih luas daripada itu, apa jua bentuk aktiviti yang melibatkan pergerakan badan dan tidak menyebabkan keletihan yang melampau disebabkan kekurangan oksigen adalah merupakan senaman aerobik. Cara untuk anda memastikan samada aktiviti atau senaman yang anda lakukan itu adalah senaman aerobik ataupun tidak adalah dengan memastikan bahawa anda masih boleh melakukannya dalam keadaan anda masih boleh bercakap-cakap tanpa termengah-mengah. Dalam hal ini, berjalan adalah merupakan salah satu senaman yang baik untuk diamalkan. Berjalanlah setiap hari selama lebih kurang 30 minit setiap hari bagi memastikan anda telah melakukan senaman yang secukupnya.

Ini tidak termasuk perjalanan anda untuk kemana-mana, tetapi peruntukkan lah masa untuk berjalan secara terus menerus seperti pada waktu petang dan awal pagi. Berjalan dan beriadah pada waktu petang dapat membantu anda mendapatkan tidur yang cukup dan nyenyak pada waktu malamnya.

Selain berjalan, anda juga mungkin boleh melakukan apa sahaja jenis sukan yang anda minati seperti bermain bola sepak, berlari dan sebagainya, namun anda dinasihatkan tidak melakukannya dalam tempoh yang lama kerana senaman yang dilakukan ini agak merbahaya kerana ia menyusutkan bekalan oksigen kepada sel-sel badan.

Penutup

Sekadar perkongsian biasa. Moga sedikit sebanyak memberi manafaat buat semua. Wallahu ‘alam

Salam perkongsian,

Tengku Abdul Kadir bin Tengku Zainal Abidin, Tahun 4, Kuliah Perubatan, Universiti Ain Shams, Kaherah, Mesir.

3:13 petang 21 Julai 2007

PS:Kertas kerja ni tak lengkap lagi. Juz untuk pembentangan petang ni

9 comments:

Iqbalmunauwir bin Ab Rashid said...

yeah betul tuh..jom pakat ramai2 jage kesihatan. dan jangan lupe kesihatan, kebersihan dan kecantikan gigi anda...hehe

Anonymous said...

sdr..saya ambik ilmu yg saudara tulis ni untuk buat kertas kerja saya..harap di redhai.


Kak rudiah

Anonymous said...

Assalamualaikum saudara, kakak sangat tertarik dengan artikal yang saudara tulis. Kakak sedang buat buku resipi sihat khas untuk yang ingin menjaga kesihatan badan terutama yang ingin megurangkan berat badan, harap saudara membenarkan kaka mengambil kata yang bersemangat dari artikal saudara untuk dimasukan kedalam buku kakak. Sekian terima kasih.

Anonymous said...

salam...sy juga ambil sedikit ilmu hasil tulisan saudara....harap dihalalkan...

Anonymous said...

Assalamualaikum..izinkan sy ambil ilmu hasil dari idea saudara ini sebagai bhn dlm pprksaan sy..Harap dihalalkan dan diredhai..

Anonymous said...

terima kasih ...amat berguna untuk kertas kerja saya...

Angin Selat Melaka said...

Assalamualaikum, doktor.
Panjang lebar dan terperinci tips yg dr bagi. Tapi kepada mereka yg bermasalah jerawat, malang sekali sb kalau jaga kesihatan mcm mana sekalipun, jerawat kadang-kala tk mau hilang. Jadi, kepada sesiapa yg terlibat dgn masalah jerawat, boleh pelajari info menghapuskannya di:

Info penghapusan sumber jerawat

Bila kulit muka dah elok, maka semangat nak menjaga kesihatan secara rutin akan jd lebih bersemangat. Semoga berjaya. Thanks.

zal said...

assalamualaikum mohon copy...sbb ade assignment in arabic pasal kesihatan dalam islam...harap sudi kongsi ilmu..

Unknown said...

Banyaknya info yang sangat menarik. Islam itu indah dan merangkumi seluruh kehidupan.