Thursday, August 2, 2007

Jangan Marah!

Abu Hurairah, radiyallahu 'anhu, reported that a man said to the Prophet, sallallahu ‘alayhi wasallam: "Advise me! "The Prophet said, "Do not become angry and furious." The man asked (the same) again and again, and the Prophet said in each case, "Do not become angry and furious."


Saya cuba mengingati kembali hadith di atas. Cuba untuk kembali menginsafi dan memuhasabah diri. Malam ini, dalam perjalanan untuk ke kelas Habib Omar di Rumah Pahang di Hayyul Asyir sahaja ada tiga peristiwa yang saya lalui yang meluapkan kemarahan saya. Saya sendiri tidak pasti mengapa saya cukup mudah untuk marah sejak akhir-akhir ini. Sebelum ini saya tidak begitu. Kata orang (saya tidak pasti ini hadith ataupun tidak) "Kemarahan itu datangnya daripada syaitan"

Peristiwa pertama ketika hendak memulakan sembahyang Maghrib di Masjid Fath di Ramses. Kebetulan ketika kami tiba di sana, jemaah sedang melaksanakan solat. Saya bersedia untuk mengangkat takbir, tiba-tiba seorang jemaah di sebelah kiri saya menarik-narik baju melayu saya untuk membetulkan saf. Takbir saya terganggu. Saya mebetulkan saf dan cuba untuk mengangkat takbir sekali lagi. Kali ini saya ditarik pula ke belakang sedikit oleh orang yang sama membuatkan saya menepis tangan pakcik tersebut. Saya marah kerana sekali lagi takbir saya terganggu. Akhirnya saya bergerak sedikit ke belakang untuk menyamakan kedudukan saf dan barulah saya dapat mengangkat takbir dengan tenang. Benarkah tenang? sedikit sebanyak saya terkesan dari peristiwa itu. Saya tak pasti adakah tindakan reflex saya menepis tangan pakcik itu adalah betul ataupun tidak. Bagi saya, cukuplah kalau pakcik itu hanya menepuh peha saya sebagai isyarat supaya saya membetulkan saf dan saya pastinya faham dan akan kembali membetulkan saf setelah bertakbiratul ihram. Itulah yang cuba saya sampaikan kepada pakcik tersebut seusai menunaikan solat. Dan akhirnya sebelum meninggalkan pakcik tersebut, saya menyalaminya. Itu peristiwa pertama.

Saya, Idil dan Farhan menyambung perjalanan kami untuk ke asyir. Kali ini kami perlu menaiki sebuah microbas ataupun tremco yang merupakan pengangkutan biasa berupa van untuk ke sana. Saya bertanya kepada kumsari (konduktor) tremco tersebut yang melaung-laungkan sabiek! sabiek! menunjukkan tremco itu akan menuju ke sabiek.

Saya bertanya "Ha kamil Asyir (Akan teruskan ke asyir kah?).

Kumsari tadi cuba meninggikan suara kepada saya dengan menyebut dengan jelas "Sabiek! sabiek!".

Saya kembali bertanya "oo ariftu lakin hakammil asyir? (Ye saya tahu tapi akan sambung ke asyir ke?).

Kumsari tadi membalas kembali "Baulak Sabiek! sabiek! (Aku kata sabiek! sabiek!).

Entah kenapa saya tiba-tiba merasa cukup panas dan akhirnya berkata "masyi khalas! (dah cukuplah!) sambil menepuk2 bahu kumsari itu tiga kali dengan agak keras lalu meninggalkannya. Terasa seperti diperbodohkan! Akhirnya kami mengambil tremco lain yang juga sebenarnya menuju ke sabiek sebelum kami menukar tremco lagi untuk ke asyir. Itu peristiwa kedua.

Peristiwa ketiga pula berlaku apabila driver yang memandu tremco dari sabiek ke asyir itu pula buat-buat merajuk untuk tidak mahu meneruskan perjalanan kerana katanya ujrah atau tambang yang dibayar oleh penumpang dalam tremco itu tidak cukup kerana ada yang tidak membayarnya. Menyebabkan saya terpaksa meninggikan suara akhirnya apa yang berlaku, rupa-rupanya pemandu itu tersilap kira. Setelah turun daripada tremco tersebut, saya sempat mengangkat tangan kepada driver tadi sebagai tanda meminta maaf kerana terpaksa meninggikan suara. Saya berjalan menuju ke rumah pahang sambil mengurut-ngurutkan dada sambil menyebut la taghdhab! la taghdab!

Ketika itu saya kembali mengingati sabda Rasulullah bahawa orang yang paling kuat, bukannya orang yang boleh menumbangkan seberapa banyak manusia. tetapi orang yang mampu untuk menahan marahnya. Bukan tidak marah kerana pengecut atau tidak berani menyatakannya. Tetapi tidak marah ketika mana dia mampu untuk menzahirkan kemarahan pada dirinya. Inilah orang yang berani dan kuat sepeti yang digambarkan oleh Rasulullah.

Saya kembali mengenang diri apabila Habib Omar mengatakan, bagi orang yang sayangkan Rasulullah dan menyintai baginda, mereka akan sentiasa cuba untuk mengikut sunnah dan perbuatan yang dilakukan baginda dalam apa keadaan sekalipun. Bagaimana kedudukan saya di sisi baginda sedangkan dalam hal marah pun saya masih belum mampu untuk mengawalnya. Mudah-mudahan selepas ini saya lebih beringat dan berusaha untuk mengamalkan sunnah dengan sebaiknya. Justeru lepas-lepas ni janganlah marah-marah selalu ya.

Baiklah, cukuplah sekadar sedikit luahan untuk kala ini. InsyaAllah saya cuba untuk bawakan pengalaman lain pula selepas ini. Apapun nak saya tekankan juga, bukan semua perkara kita perlu "tidak marah". Terdapat perkara-perkara tertentu yang memerlukan kita untuk mempamerkan marah kita itu terutama ketika agama kita dipersenda dan dipermainkan. Di sini perlunya untuk kita mempertahankan keizzahannya. Apapun marahlah ketika perlu dan tenanglah pada ketikanya pula. Moga Allah sentiasa memberikan kita peluang untuk mengecapi nikmat ubudiyyah dan pengabdian kepadaNya. Wallahu'alam. Jazakumullah Khairan Jaza'



Ps: Oh ye. Idil dah selamat kembali dari umrah semalam. Tak sempat lagi berkongsi kisah diaorang di sana. Mudah-mudahan umrah mereka diterima hendaknya... First time tengok idil botak hihi :D

No comments: