Wednesday, December 26, 2007

Hargailah sebuah kehidupan...

Seorang lelaki yang cukup kuat, beberapa kali menjuarai pertandingan tinju sejak di peringkat light weight hingga ke peringkat heavy weight dan profesional. Namun, hari ini tidak mampu untuk memukul anak kecil pun, tangannya sentiasa bergoyang bagaikan bertasbih, suaranya senada tanpa ekspresi, wajahnya sudah tiada seri. Dia disahkan mengalami Parkinson's syndrome.

Seorang bapa yang cukup rajin bekerja, mencari rezeki sesuap nasi untuk keluarga, namun dengan sekelip mata, jatuh rebah, kebas seluruh tangan dan kakinya tidak dapat bergerak lagi. Dia kaku akibat strok yang menyerang setelah bertahun-tahun menghidapi penyakit darah tinggi dan kencing manis yang kronik.

Seorang gadis pula, petah dan riang bersama rakan-rakannya ke sekolah, belajar dan bermain-main bersama-sama. Namun hingga suatu ketika, dari masa ke masa, merasakan sukar untuk mengeluarkan kata-kata, lemah tubuh badan dan hilang daya untuk mengagak jarak dan pandangan. Akhirnya, tidak mampu lagi untuk tersenyum lagi apabila cerebellum di kepalanya sudah gagal menjalankan fungsi.

Berada di round Neurology menjadikan diri begitu menginsafi. Setiap hari kami dihidangkan dengan perbincangan berkenaan penyakit-penyakit berkaitan otak dan segala sistem urat sarafnya yang begitu kompleks untuk difahami dan punya misteri yang tersendiri. Maha suci Allah yang Maha Besar. Bagaimana hebatnya Dia menciptakan manusia dengan penuh kesempurnaan dan sekompleks ini. Namun seketika itu pula Dia tidak pernah serik untuk menguji,

"(Dia) yang mana menjadikan kematian dan kehidupan untuk menjelaskan kepada kamu siapa antara kamu yang terlebih baik amalannya"


Sedih dan pilu apabila melihat pesakit-pesakit neurological disorders ini yang kadang-kadangnya tidak pernah menyangka mereka akan menghadapi ujian sedemikian. Bagi sesiapa yang pernah menonton kisah jepun bertajuk A little of tears mungkin dapat memahami apa yang cuba saya sampaikan. Mereka kerap kali bertanya samada mereka ada peluang untuk sembuh dan kembali seperti biasa ataupun tidak, dan sekerap itu jugalah doktor-doktor yang merawat sentiasa menasihati bahawa "Allah menurunkan penyakit itu pasti bersama penawarnya. Tiada yang mustahil bagiNya dan jika Allah mengkehendaki, pasti kita akan dapat kembali seperti sedia kala" Terangguk-angguk pesakit itu mendengarkan kalam tersebut walaupun kadang-kadang jauh di sudut hatinya, kurang meyakini...

Sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang sanggup untuk bersabar menghadapi segala dugaan yang mendatang ini dengan penuh rasa taqwa kepadaNya.Percaya kepada segala janjiNya bahawa setiap yang ditentukan itu ada hikmahnya dan setiap kesabaran itu ada balasan kasih sayahngNya. Oleh itu, sama-samalah kita memuhasabah diri. Mungkin hari ini kita merasakan diri cukup sihat dan kuat melakukan apa saja. Namun tidak mustahil selepas beberapa ketika kita kehilangan kekuatan itu, kita hilang keupayaan itu, apatah lagi jika ajal kematian pula yang turut menyapa kita. Bekerjalah dengan tekun sementara tenaga masih ada, beramallah dengan ikhlas sementara masa masih milik kita. Sesungguhnya orang yang paling bijak itu adalah orang yang sentiasa  mengingati mati.

Apapun doakanlah diri ini yang akan menghadapi exam neuro pada esok hari ya. Moga kita senantiasa diberikan hidayah olehNya dalam apa jua amal buat kita sehari-hari. Tahniah buat miss daing yang dah bergelar auntie daing hari ini. Buat Kak Ainah dan Ustaz Ismail moga cahaya mata yag hadir memberikan seribu satu kebahagian buat makna tersendiri buat kalian. Moga keluarga bahagia ini sentiasa dalam rahmatNya...  Begitulah hidup ini yang penuh dengan kehidupan dan kematian...

Hingga jumpa lagi. Jazakumullah Khairan Kathiraa...

2 comments:

Ummu Afeera said...

hmm..exam final nervous system esok jugak..bagus tulisan ni..muhasabah kembali diri..

Anonymous said...

sekadar tambahan..ayat quran td ayat ke-2 surah al mulk kan..dan tajuk cerita jepun tu one liter of tears..bukan one little...

syukran atas perkongsian(^^)