Saturday, April 19, 2008

Kepelbagaian...



Jika kamu boleh menerima bahawa manusia ini dijadikan Allah pelbagai ragam dan feil, kamu akan sentiasa berlapang dada dan tenang menghadapi segala karenah mereka” Kalam nasihat Ustazah Hamidah, guru Bahasa Arab Tinggi saya ketika semasa di tingkatan empat di SHAMS itu kembali terngiang-ngiang di telinga saya. Saya kembali memikirkannya.

Sememangnya antara kebesaran dan Maha Hebatnya Allah, apabila diciptakannya manusia itu dari pelbagai keadaan, pelbagai sifat dan perangai yang masing-masingnya mempunyai karektor-karektor tersendiri yang tidak sama antara satu sama lain. Maha Suci Allah apabila Dia menciptakan manusia ini dengan nafsu dan akal fikiran untuk membolehkan manusia sendiri memikirkan yang mana baik dan yang mana buruk untuk dirinya sendiri dan masyarakat sekeliling. Begitulah hebatnya Allah dengan segala kekuasaanNya.

Saya menyedari hakikat kepelbagaian tersebut. Dari sini saya cuba untuk mengenali diri dan orang di sekeliling. Mengenali dalam erti kata menerima kepelbagaian tersebut sebagai suatu ketentuan untuk kita sentiasa berfikir dan berfikir tentang alam, bumi, langit dan segala yang wujud di antara keduanya.

Al Quran banyak bercerita perihal manusia sepanjang zaman, bagaimana feil dan perangai manusia yang akan sentiasa wujud setiap masa dan ketika selagi bumi ini masih ada dan kiamat belum sampai waktunya. Akan sentiasa ada watak-watak seperti Firaun, Haman dan Qarun yang menjadi pemerintah dan penguasa yang zalim, tidak berhati perut dan menganggap diri seperti tuhan dan mampu melakukan apa sahaja.

Akan terus ada watak-watak seperti nabi-nabi dan pengikut-pengikut mereka yang setia yang mampu melalui segala fitnah dan ujian demi mempertahankan aqidah dan keyakinan yang terpateri dalam sanubari mereka bahawa Allah lah tuhan yang menciptakan seluruh alam ini dan wajib disembah dan ditaati.

Akan terus ada watak-watak seperti saudara-saudara Yusof Alaihissalam, yang sentiasa iri hati dan mencari jalan untuk mendapatkan kasih dari bapa sendiri sehingga sanggup melakukan khianat kepada adik sendiri.

Ada yang bersikap seperti binatang yang walaupun berakal namun tidak menggunakannya dengan sebaiknya untuk mengenali tuhan.


Begitu juga dengan wataknya Zulaikha, seorang wanita yang kaya, mendapat tempat yang tinggi dan terhormat di mata masyarakat namun alah kepada nafsu sendiri dan akhirnya sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang dihajati.

Tidak kurang dengan watak-watak muslimah solehah seperti ditunjukkan pada watak-watak Asiah, isteri Firaun yang beriman walau dirinya adalah isteri kepada penguasa yang begitu angkuh dan sombong, Masyitah, tukang sisir rambut puteri Firaun yang nekad terjun kedalam api bersama anak-anak demi mempertahankan iman di hati, begitu juga Mariam, perempuan suci yang sentiasa mendekatkan diri kepada tuhannya sehingga dikurniakan Allah seorang anak yang hadir untuk membelanya dan seluruh ummatnya. Dan banyak lagi watak-watak yang dihadirkan oleh Al Quran untuk manusia sentiasa menghayati dan mengenali bahawa watak-watak inilah yang akan sentiasa dihadapi sehingga akhir zaman.

(Kekalahan orang-orang yang menentang Rasul Allah sudah tetap menurut) "Sunnatullah" (peraturan Allah) yang telah berlaku semenjak dahulu lagi dan engkau tidak akan mendapati sebarang perubahan bagi cara dan peraturan Allah itu. (Surah Al Fath : 23)

(Demikianlah) peraturan (Kami yang tetap mengenai) orang-orang yang telah Kami utuskan sebelummu dari Rasul-rasul Kami dan engkau tidak akan dapati sebarang perubahan bagi peraturan Kami yang tetap itu ( surah Al Israq :77)

Jika sebelum ini, saya memahami apa yang ingin disampaikan oleh Ustazah Hamidah itu adalah untuk kita sentiasa berlapang hati dan sentiasa memaafkan dalam semua keadaan yang kita hadapi kerana menyedari bahawa itulah adalah sifat yang telah ditentukan Allah untuk dirinya. Namun kini saya merasakan bahawa apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh beliau adalah untuk kita kembali menilai semua itu dan bagaimana untuk kita menghadapi segala kepelbagaian karenah dan ragam ini dengan cara yang sepatutnya.

Personaliti dari sudut psikologi

Jika kita kembali menelaah apa yang kita pelajari dalam subjek psychology, kita didedahkan kepada karakter-karekter serta personaliti yang dipunyai oleh setiap orang. Masing-masing ada ciri-ciri yang tersendiri, sikap dan pola berfikir sendiri yang banyak dipengaruhi oleh suasana, persekitaran mereka dibesarkan, bentuk pendidikan dan tarbiyah yang diterima mereka masing-masing.

Antaranya,
Extraversion: sentiasa ingin bergerak dan mengikut stimulus yang diterima sementara ada pula yang bersikap pasif dan menjauhi sebarang stimulus dalam dirinya..
Neurocitism : ada pula yang sentiasa beremosi, menerima sesuatu perkara dengan emosi yang agak keterlaluan sementara dalam masa yang sama ada pula yang sentiasa tenang dan optimis dalam segala tindakannya.
Agreeableness: suka berkawan, menghormati pandangan orang lain dan sentiasa ingin menjalinkan hubungan yang baik dengan semua orang, sementara ada pula yang terlalu agresif, hanya tahu dirinya sahaja yang betul dan tidak mahu mengalah.
Conscientiousness : sentiasa bertanggungjawab, selalu merancang dan merencana dengan baik sebaliknya ada pula yang bersikap acuh tak acuh dalam semua perkara, menyerahkan segalanya tanpa cuba untuk merancang apa-apa dan sentiasa tidak relevan dalam tindakan yang diambil.
Openness to experience : dan ada juga yang bersikap terbuka, menerima segala idea baru yang baik untuk dicuba sedang ada yang agak jumud dalam bertidak, tidak mahu menerima pembaharuan dan selesa dengan kebiasaan.

Itu adalah antara teori-teori personaliti yang ditonjolkan oleh Lewis Goldberg berkenaan dimensi-dimensi personaliti yang mungkin dipunyai oleh semua manusia di dunia ini. Dan saya pasti kita sendiri mempunyai pengalaman berhadapan dengan manusia-manusia sebegitu. Saya sendiri mempunyai personaliti tersendiri yang saya senangi dan banyak juga antaranya merupakan kelemahan-kelemahan diri yang saya sedari dan cuba perbaiki.

Rasulullah contoh terbaik sepanjang zaman.

Apapun dalam Islam, kita diajar untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang terbaik dalam semua aspek kehidupan yang kita hadapi dalam hidup ini. Bagaimana akhlak dan sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam setiap situasi yang baginda lalui itulah yang sepatutnya cuba kita amalkan setiap waktu dan ketika. Jika kita kembali menyingkap perjalanan sirah baginda yang agung, kita akan dapati betapa Rasulullah adalah suatu contoh manusia yang terbaik dan perkara yang dilakukan baginda adalah berdasarkan panduan wahyu yang telah ditentukan oleh Allah di samping akhlak baginda yang terpuji yang sepatutnya diwarisi oleh kita sebagai ummat yang mengasihi baginda melebihi segala-galanya.

Kita dapat melihat bagaimana sifat dan sikap baginda sebagai seorang pemerintah dan penguasa, bagaimana akhlak baginda sebagai seorang pendakwah, sebagai seorang panglima tentera, sebagai seorang anak, sebagai seorang bapa, seorang suami, seorang peniaga seorang sahabat dan sebagainya. Begitulah kita diajar untuk sentiasa menjadikan baginda panduan dan teladan dalam apa sahaja suasana yang kita hadapi sehari-hari..

Kepelbagaian adalah suatu yang baik jika kena caranya.


Justeru apa sebenarnya yang ingin saya sampaikan dalam tulisan yang panjang berjela ini.
1. Pentingnya untuk kita kembali menilai dan mengenal diri sendiri untuk kita menyesuaikannya dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah SAW, mengawalnya dan berusaha untuk menjadikannya sebagai suatu yang positif dalam mencapai tujuan kehidupan kita ini untuk mendapatkan redhaNya.
2. Mengenali feil dan perangai manusia di sekeliling kita dan bagaimana untuk kita menghadapi mereka dengan cara yang sebaiknya.
3. Sebagai seorang pendakwah, semestinya perlu mengenali mad’u kita dengan baik, jika tidak bagaimana mungkin dakwah itu dapat disampaikan dengan baik.
4. Menyedari bahawa kepelbagaian yang ada itu adalah suatu yang baik jika dipandu sebaiknya untuk kebaikan dan boleh menjadi suatu yang memudharatkan.
5. Berasa lapanglah dan jauhilah rasa sedih dan rendah hati apabila seluruh manusia tidak bersama kita namun Allah tetap redha dan melihat kita dengan rahmatNya sebaliknya sewajarnya kita berasa gerun dan gundah jika seluruh manusia redha dengan kita sedangkan kita jauh dari rahmat Allah dan redhaNya. Nauzubillah min zalik.

Akhirnya sama-samalah kita bermuhasabah diri dan mengenali diri sendiri untuk menghadapi kehidupan dan dunia ini dengan lebih baik. Wallahu a’lam. Jazakumullah Khairan Kathiraa…

2 comments:

Amermeftah said...

Walk the talk...

Dr Kadir said...

Yerp, communication is so important. Kadang-kadang kita berkomunikasi dengan 'body language' kita kadang-kadang kita berbicara dengan tutur kata kita.

Dengan pembicaraan yang baik dapat menyelesaikan banyak masalah dalam hidup kita. Dalam masa yang sama, kena buang dulu tanggapan awal,"mesti dia akan cakap sekian-sekian" serta bersedia dan berlapang dada dalam semua perkara... :)

wallahu a'lam