Friday, May 30, 2008

Lagi isu di Malaysia, Kisah Ezam dan saya...

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Maka gegak gempitalah seluruh kota berkenaan kemasukan semula saudara Ezam Mohd Nor kedalam UMNO yang ditinggalkannya sekian lama. Pelbagai ulasan yang dibuat, ramai orang yang berkata, mengomen dan sebagainya, ada yang menyokong, ada yang mencemuh dan tak kurang juga yang memperkecilkan agenda perjuangan reform yang diperkatakan oleh beliau sebagai alasan untuk kembali menyertai UMNO. Saya sendiri tak pasti yang mana satu yang wajar untuk saya percayai.

Saudara Ezam sebetulnya seorang tokoh yang pernah saya kagumi suatu ketika dahulu,di era 98' di saat DSAI dipecat dari kerajaan, kepetahan beliau berbicara, semangat muda yang ada, mempamerkan bukti dan syarahan yang mantap untuk mempengaruhi rakyat bahawa kerajaan yang ada sememangnya kerajaan yang jauh daripada perjuangan yang sebenar membela nasib rakyat dan mengutamakan kepentingan negara. Saya sendiri sedikit hairan dengan perkembangan ini, walau ramai yang tidak sedikit pun terkejut dengan perkembangan yang berlaku kerana mereka telah lebih mengenali Ezam ini bagaimana orangnya berbanding saya.

Ya saya akui, saya memang tidak pernah mengenali Ezam dengan lebih dekat, berjumpa secara live pun belum pernah, justeru pastinya saya tidak boleh membuat apa-apa komen dan andaian berkenaan peribadi beliau, cuma saya agak musykil dengan kenyataan dan alasan beliau yang ingin kembali kepada UMNO kerana dasar pro reform yang telah diperkenalkan oleh PM yang semestinya dia sebagai seorang yang pro reform juga wajib untuk membantu merealisasikannya. Bagi saya tidak perlu untuk masuk UMNO kalau memang mahu merealisasikan dasar kerajaan tersebut.

Saya tertarik dengan apa yang disebut oleh MB Kedah, YAB Ustaz Azizan dalam majlis ramah mesra di Hayyul Sabiek semalam, Ustaz Azizan mengatakan bahawa walau PAS yang memerintah Kedah, namun sebagai kerajaan, mereka perlu bertanggungjawab kepada semua rakyat, menjaga kebajikan untuk semua rakyat tanpa mengira fahaman politik dan kepartian, begitu juga dengan rakyat, perlu bersatu padu dan berusaha untuk membantu kerajaan memajukan negeri dan negara yang dicintai walaupun berbeza fahaman politik tanpa rasa takut kerana ia dijamin oleh semangat demokrasi di negara kita.

Kenyataan ini cukup dekat di hati saya (seperti nada Ezam berbicara) kenapa perlu masuk UMNO untuk membantu negara merealisasikan dasar yang dibuat. Kerajaan Malaysia adalah kerajaan untuk semua rakyatnya, dan walau apapun fahaman politik yang dianuti semua rakyat tidak mengira agama dan bangsa wajib untuk membantu kerajaan untuk membangunkan negara merealisasikan dasar-dasar baik yang diperkenalkan kerajaan, menegur mana-mana yang silap dan tidak betul yang dilaksanakan kerajaan sesuai dengan apa yang digariskan oleh Al Quran dan As Sunnah. Saya cukup meluat dengan kenyataan-kenyataan pemimpin kerajaan yang gah berbicara mengajak rakyat untuk bersama-sama kerajaan membangunkan negara dalam masa yang sama perlu menyokong parti yang didokonginya. Kerajaan soal lain, parti pula soal lain. Titik tolak ini lah yang menyebabkan timbulnya soal pilih kasih dalam mengagihkan perbendaharaan negara.

Apapun Ezam pastinya punya agenda dan pendapat sendiri apabila dia bersama UMNO, saya sendiri tak pasti dan sukar untuk mengerti apatah lagi saya bukannya orang politik, hanya seorang pelajar yang masih belajar-belajar erti sebuah kehidupan. Apapun jika benar perjuangan menghapuskan rasuah dan mengembalikan hak rakyat yang dilaung-laungkan oleh saudara Ezam sebagai alasan untuk dia bersama UMNO dan niat murninya untuk membantu kerajaan menghapuskan penyelewengan-penyelewengan dalam pentadbiran, maka tugas utama yang perlu dilakukannya adalah memastikan segala dasar-dasar tersebut terealisasi dengan cara yang sepatutnya, dan bukannya sekadar dasar yang berupa cover yang menutup isi sebenarnya yang busuk lagi meloyakan dan bukannya terlebih dahulu membuat roadshow memberikan penerangan kepada rakyat dan menarik simpati rakyat menceritakan mengapa beliau kembali kepada UMNO. Hadapkan mereka yang rasuah itu kemuka pengadilan, bawa mereka yang menyeleweng itu ke mahkamah dan dibicarakan kemudiaan barulah beliau boleh mendabik dada untuk mengatakan inilah perjuangan saya sepertimana perjuangan pengasas-pengasas negara ini yang beliau kagumi.

Apapun saya mendoakan yang terbaik buat saudara Ezam dan moga Dia menunjukkan jalan yang sebaiknya untuk beliau melaksanakan amanah besar memelihara agama dan negara seperti yang sering beliau laung-laungkan lewat ceramah-ceramah beliau sebelum ini.

Rasanya itu sahaja komen saya tentang isu ini, alamak, habislah blog saya ini dah jadi blog politik, saya sebenarnya tidak dapat menahan diri untuk turut berbicara mengenainya kerana pada saya ia suatu yang besar dan penting untuk semua pun memahami erti sebuah perjuangan dan apa yang sebenarnya kita mahukan dalam hidup yang sementara ini. Moga Allah memelihara saya dan menunjukkan saya jalan yang sebenarnya.

"Cukup dulu la tu Dir, nanti-nantilah politik tu, belajar baik-baik dulu ni."mungkin begitu kata teman-teman bila membaca tulisan ini, ya saya sendiri tidak suka berbicara politik di sini namun sedikit buah fikir boleh saya kongsikan bersama-sama sahabat yang singgah ke sini, dan sebenarnya saya sentiasa mengharapkan ada sahabat-sahabat yang sudi pula berbicara apa-apa meninggalkan komen apa-apa, memberikan nasihat atau kritikan apa-apa terhadap diri saya di sini dengan akhlak yang sebaiknya. Moga di situ saya akan dapat lebih membaiki diri.

Apapun semalam adalah hari yang serba tidak keruan bagi saya, bermula dengan sedikit letih kerana berpuasa, petangnya berlaku kebocoran pam di rumah menyebabkan keputusan air beberapa ketika, tiada air menyebabkan saya sedikit depress apatah lagi saya memasak hari ini, nasib baik saya sudah memasak lauk lebih awal cuma nasi sahaja yang tak sempat untuk saya tanak sebelumnya. Hampir maghrib, air pun ada, saya terus mandi dan bersiap untuk menghadiri majlis bersama MB Kedah di hayyul sabiek pada jam 8:00 malam seperti yang dijadualkan, kerana takut tidak sempat dan tidak mahu kelewatan, saya terus bersama idil membonceng motosikal Effy ke sana sebelum azan maghrib berkumandang. Terima kasih kepada Effy kerana mahu meminjamkan motosikalnya, maaf lambat hantar pulang.

Sampai di tahrir masuk waktu maghrib, tiada apa yang boleh dikunyah untuk berbuka, kami meneruskan perjalanan dan sampai di sana pada jam 8:10 malam, kami terus ke masjid kerana rata-rata sahabat yang datang pun memang menuju ke masjid kerana majlis bermula selepas solat.Seusai solat saya masih tidak menemui apa-apa untuk berbuka puasa, dengan harapan ada lah sesuatu yang boleh dikunyah ketika di majlis itu nanti saya dan idil terus masuk ke dewan,majlis bermula, saya mula terketar-ketar, tremors menahan lapar, dan akhirnya idil menawarkan diri untuk mendapatkan sesuatu di luar untuk saya mendapatkan sedikit glucose bagi mengawal diri, sebiji sugus diberikan, saya menikmatinya alhamdulillah hilang sedikit rasa lapar yang saya alami.


Selepas ucapan YAB Ustaz Azizan, jam sudah menunjukkan jam 10:30malam, Idil bercadang untuk pulang terlebih dahulu sedang saya masih teragak-agak untuk pulang kerana saya hadirpun atas jemputan, takutlah nanti dikatakan tidak menghormati majlis dan apa pula kata tuan rumah, saya izinkan idil untuk pulang terlebih dahulu, 10 minit selepas idil pergi terasa menyesal pula tidak pulang sama memandangkan tentatif majlis seperti masih panjang dan saya sendiri semakin tidak keruan kerana ketidak cukupan glucose dalam badan,(sebenarnya glucose cukup je dalam badan tetapi proses untuk mendapatkan glucose daripada metabolisi badan itu agak memenatkan dan membebankan).

Saya terus bertahan, majlis berakhir sekitar jam 11:30 saya menunggu-nunggu, bila mahu makan. Saya sendiri tidak pasti bagaimana proses untuk majlis jamuan tersebut dan saya sendiri setelah berjumpa dengan beberapa kenalan yang hadir sedikit terpisah dengan para jemputan yang lain dan saya sendiri tidak pasti adakah mereka telah dibawa ke tempat tertentu untuk jamuan makan, akhirnya saya membuat keputusan untuk pulang sahaja bersama adik-adik tahun satu yang menaiki coaster kerana diri sendiri pun sudah tidak tahan lagi menahan diri. Mujurlah ada nasi lebih pada mereka, jadi dapatlah saya makan satu :). sepanjang perjalanan saya terasa pening, pendek cerita tanpa bercerita apa yang berlaku di sepanjang perjalanan, saya sampai kerumah sekitar jam 1:00pagi. Alhamdulillah akhirnya saya dapat menikmati rezeki makanan yang dikurniakanNya. Hilang rasa lapar dan pening yang dirasa.

Seusai makan saya sempat untuk memeriksa YM dan email sehinggalah pada jam 2:30 pagi saya mula untuk tidur. Tibalah masa yang paling menyedihkan saya apabila saya bangun untuk bersolat subuh di masjid, ada satu perkara yang tiba-tiba terlintas di fikiran saya, "Ya Allah, saya tak solat isyak semalam" saya langsung tak ingat, saya langsung terlupa, akhirnya saya mengqada solat isyak saya di rumah selepas solat subuh tersebut. Sedih bukan, moga Allah mengapuni dosa saya atas kelalaian tersebut. Dan moga dia sentiasa memberikan saya selepas ini hati yang sentiasa ingat kepadaNya, hati yang khusyuk kepadaNya setiap waktu dan ketika dan itulah nikmat yang tiada tolok bandingnya.

Begitulah, apa saya bicarakan ini tiada niat apa-apa tau, Us Fadhil janganlah terasa pula jika membaca, hanya luahan hati saya yang sememangnya suatu perkara biasa yang saya lakukan di blog ini. Dan saya sendiri sebenarnya tak mahu sangat orang baca mender ni, sebab itulah saya kecilkan sedikit fontnya.Majlis semalam pun suatu yang cukup baik dan banyak manafaat yang saya dapat daripadanya. Baiklah rasanya setakat itu dahulu,masih pening-pening lagi :) hingga jumpa lagi .


Jazakumullah Khairan Kathiraa...

4 comments:

[ taicho ] said...

salam

siannye tuan presiden, smlm ingt nk tegur lepas balik tu. tp ingt mesti penat. xsgka plak pnjg citenye~

Anonymous said...

hari ini, seolah-olah ada hijab yang menghalang para pelajar untuk bersuara tentang isu politik tanah air. ana sendiri cukup kesal dengan perkara sedemikian kerana ianya umpama racun yang mampu merencat kecerdasan minda dan menghalang kematangan fikiran mahasiswa-mahasiswi tanah air. suatu ulasan yang baik, ana kira.

Dr Kadir said...

salam,

ye paan begitulah ceritanya...

Anonymous said...

Ada hikmah di sebalik semua yang berlaku ; Ezam masuk UMNO, terpaksa berlapar, qadha solat isyak.

Cuma manusia yang lemah ini tiadalah dayanya untuk mengetahui segalanya.