Wednesday, May 14, 2008

Warna Warni Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Sudah lama saya tidak memulakan bicara di blog ini dengan kalimah salam begitu, walau mungkin terteranya mungkin tidak diperasan atau tidak diendahkan oleh sesiapa, namun begitulah kita diajar apabila memulakan bicara. Moga saya lebih menjadikannya kebiasaan selepas ini.

Lama saya tidak menulis, sepertimana yang saya sebut sebelum ini terlalu banyak yang ingin saya kongsikan dengan semua namun saya sendiri tidak pasti apa yang sering menghalang saya melakukannya. Apapun dalam fatrah saya senyap dan tidak menaip apa-apa untuk tatapan pengunjung ke blog ini, saya rajin pula untuk menjelajah blog-blog yang semakin banyak di laman maya ini. Macam-macam rupanya, macam-macam bentuknya, pelbagai gaya, pelbagai genre yang digunakan namun tidak pernah menghalang saya untuk terus membaca dan membaca.

Saya cukup gembira apabila dapat berkenalan dengan beberapa blog yang cukup baik dan menarik untuk diambil manafaat darinya dan insyaAllah jika berpeluang saya akan cuba untuk memperkenalkannya kepada semua, kenapa tak perkenalkan sekarang? kerana saya sendiri sedang cuba untuk lebih mengenali blog-blog ini terlebih dahulu. Apapun saya secara peribadi cukup gembira dengan suasana begitu, dengan adanya blog-blog ini, saya lebih dapat mengenali manusia, saya lebih dapat mengetahui perjalanan-perjalanan hidup yang dilalui manusia yang sebenarnya mempunyai cerita-cerita yang tersendiri. Semuanya rakaman pengalaman-pengalaman hidup yang mungkin sukar untuk kita perolehi dan lalui dalam hidup kita sendiri. Walau mungkin kadang-kadang ada antara blog-blog tersebut ditulis dengan bahasa yang mungkin kurang kena atau tidak bertujuan atau apa-apa tapi ia tetap punya nilai tersendiri. Kita sendiri menilai dan meletakkan kedudukannya di hati kita.

Moga akan lebih ramai blogger-blogger yang akan lahir yang mampu untuk menyampaikan sesuatu sesuai dengan apa yang diharapkan oleh Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) apabila baginda mengatakan "sampaikanlah dariku walau sepotong ayat" Ya, sampaikan daripada baginda walaupun dengan sepotong ayat, untuk kita saling menasihati, untuk kita saling mengingati antara satu sama lain.

Dan yang lebih penting lagi untuk kita menyedari tujuan kita dilahirkan ke dunia ini. Jika sahabat-sahabat perasan sepanjang minggu ini saya sering meletakkan ungkapan 'warna warni kehidupan' di status YM saya. Ungkapan itu sebenarnya menggambarkan apa yang sedang saya rasai dan saya alami kini. Rasa syukur yang saya rasakan apabila diberikan peluang oleh Allah taala untuk hidup di dunia ini sebagai hamba yang mengabdikan diri kepadaNya dalam dunia yang sementara ini. Peluang untuk melalui episod-episod kehidupan yang pelbagai rupa dan gaya ini dan semuanya adalah suatu nikmat yang tak terkira nilainya yang saya rasakan kini. Walaupun kadang-kadang kita sedih, kadang-kadangnya kita gembira itulah warna-warni kehidupan yang kita lalui sehari-hari. Di samping keluarga kita, di samping sahabat-sahabat kita, di samping tugasan harian yang kita pikul dan pelbagai lagi komitmen lain yang kita jalani dan manusia-manusia yang kita hadapi sehari hari. Itulah warna warni kehidupan yang perlu kita syukuri.

Dan semua itu tidak lain dan tidak bukan adalah kerana firmanNya,

Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Dia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat); (Al Mulk:2)

Siapa antara kita yang terlebih baik amalannya.. Moga kita tergolong dalam golongan yang beruntung disisiNya...

InsyaAllah di lain masa saya akan cuba untuk kembali berkongsi cerita, berkongsi pengalaman dan rasa untuk sama-sama kita dapatkan manafaat, untuk menyedarkan saya, menyedarkan diri kita yang sering terleka. Hingga jumpa lagi.

Jazakumullah Khairan Kathira...

5 comments:

SoalHati said...

warna warni malaysia:P

As said...

baguslah melihat dunia dengan warna warni nya. Looking from the bright side. Nice enuf

:)

barakallahufeek

Dr Kadir said...

warna warni tak semestinya hanya warna-warna yang ceria, antara warna-warna itu ada warna-warna yang kelam dan gelap yang memberikan kita masa untuk merenung dan memikirkan hikmah di sebaliknya.

Moga hidup dipandu dengan panduan nurilahi... :)

Anonymous said...

tul2..
warna-warni kehidupan cukup tersirat jika diselami kerna ia mengambarkan jua perjalanan hidup penuh suka duka...

::sinar::

Dr Kadir said...

:)