Muhammad s.a.w.: Insan teladan terunggul yang dipuja sepanjang zaman
Muhammad s.a.w.: Insan teladan terunggul yang dipuja sepanjang zaman Oleh : Muddin Beting Meskipun zahir bentuk bashari, Batinnya bangsa terlalu safi, Kerana peri haknya ruhani Pernah berkata lisannya murni: Sebagai nabi aku terkandung Dalam rahasia di Balai Agung, Padahal Adam masih terapung Antara air dan tanah lempung. Meskipun rupaku anak Adam, Darjatku asal terlebih kiram. Tatkala Adam belum teringat, Tatkala Kalam belum bersurat Dan Papan tulis belum tercatat, Sudah terpandang oleh kunhi Zat Seri wajahku di dalam mirat. Sinaran sani cahaya kamalat, Pancaran murni asma dan sifat, Rumusan seni segala makhlukat Yang zahir pada cermin hakikat Dalam diriku semua terlibat. (Puji-pujian Ke Atas Junjungan Besar Nabi Muhammad salla’ Llahu alayhi wa sallam oleh Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam buku Risalah Untuk Kaum Muslimin) Utusan Terakhir Suatu ketika Nabi Muhammad s.a.w. mendapat ejekan daripada Abu Jahal, Abu Lahab, Al-`As bin Wa`il, Uqbah bin Abi Mu`ith dan lain-lain bahawa Baginda akan terputus keturunan kerana semua anak lelaki Baginda meninggal dunia. Salah seorang daripada mereka berkata, “Biarkanlah dia. Dia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki. Dan perjuangannya tidak lama lagi akan berakhir begitu sahaja”. Tipu daya kecil mereka memberi kesan sedikit sebanyak, menusuk hati dan membuatkan Baginda berasa sedih. Arab Quraisy sememangnya amat bermegah dengan anak yang banyak lebih-lebih jika anak lelaki. Namun telahan mereka meleset sama sekali. Mereka memikirkan Baginda sebarangan orang, sama seperti tokoh-tokoh dan pemuka Quraisy yang lain. Hakikatnya, hingga kini Baginda sentiasa diingati, bukan sahaja sewaktu awal kewafatannya bahkan hingga ke akhir zaman. Berjuta lidah sentiasa menyebut dan menyeru namanya tanpa henti di sepanjang longitud bumi, berjuta manusia bersilih ganti menuruti sunnahnya, dan berjuta hati sentiasa mencintainya di seluruh pelusuk dunia. Baginda sentiasa diberi ucapan salawat dan salam oleh Allah subhanahu wa ta`ala, para malaikat dan oleh kaum muslimin. Kaum muslimin mengingati dan menyebut nama Baginda lebih kerap daripada menyebut dan mengingati nama ibu bapa sendiri. Baginda diingati kerana Baginda Nabi Allah, penghulu dan penutup segala nabi dan rasul terdahulu sejak Nabi Adam a.s hingga Nabi Isa a.s, kekasih Allah dan kekasih malaikat. Bagindalah satu-satunya insan teladan yang dapat dijadikan panduan dan ikutan dalam serba-serbi lapisan dan lapangan kehidupan. Beriman kepada Allah tidak lengkap tanpa beriman kepada Baginda kerana Bagindalah yang menyampaikan perintah Allah. Nama baginda sentiasa seiring dengan nama Allah dalam kalimah shahadat. Seseorang yang beriman dengan Allah tetapi menolak kerasulan Baginda, sama ada menolak sepenuh atau sebahagian daripada ajarannya, adalah kufur. Pengakuan dan penyaksian kepada Nabi Muhammad s.a.w. inilah yang membezakan kaum muslimin dengan penganut-penganut agama lain. Teruskan pembacaan di sini... Wallahu'alam...:D
No comments:
Post a Comment