Monday, June 9, 2008



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Saya sebenarnya tidak pasti untuk meletakkan tajuk apa yang sesuai untuk entry saya pada kali ini. Antara dilema melayu ataupun agenda melayu, saya tercari-cari di mana letak mula dan pencetus kepada permasalahan yang dihadapi oleh bangsa saya,umat melayu di Malaysia ketika ini. Setelah apa yang telah diberikan oleh kerajaan kepada mereka, hak istimewa yang telah mereka nikmati, perhatian lebih yang diberikan kepada mereka namun mereka tetap ketinggalan dan ketinggalan sebaliknya menjadi jaguh pula dalam kebejatan akhlak, budaya kuning, penghuni utama di pusat-pusat serenti dan pelbagai lagi gejala-gejala yang tidak baik yang dipelopori mereka. Justeru saya kembali rungsing memikirkan apa yang tidak kena, dimana silapnya dan apakah natijah yang akan terus dihadapi dan diterima oleh bangsa Melayu yang saya kasihi ini.

Semalam saya berpeluang menghadiri majlis bersama Dato' Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan Malaysia. Saya difahamkan majlis itu adalah majlis makan dan penerangan tentang kenaikan biasiswa yang akan dinikmati oleh pelajar-pelajar perubatan tajaan MARA disini namun akhirnya majlis itu adalah majlis beramah mesra dengan beliau dan sessi penerangan tentang beberapa isu di Malaysia ditambah dengan beberapa kalam-kalam politik berkenaan agenda Melayu yang sememangnya sebati dengan ideologi UMNO dulu kini dan moga tidak selamanya begitu (ada sebab saya mengharapkan sebegitu). Tidak dikisahkan hal itu, kerana memang adatnya tetamu datang, perlulah kita meraikan mereka walaupun di musim peperiksaan begini.Ada sahabat-sahabat yang tidak berpuas hati kerana ingatkan hanya majlis makan-makan tetapi majlis ramah mesra pula, maaf saya dahulukan apepun moga majlis semalam ada manafaatnya buat kita semua.

Saya tertarik dengan apa yang disebut, begitu banyak kelebihan yang dinikmati umat Melayu di Malaysia sebagai masyarakat peribumi (baca bumiputera) di Malaysia ini dan diperakui sendiri oleh perlembagaan Malaysia yang luhur sepertimana di dalam rukun negara. Melayu yang ditakrifkan sebagai mereka yang

  • beragama Islam,
  • bertutur dengan bahasa Melayu
  • dan mengamalkan adat resam melayu
telah diberikan beberapa keistimewaan yang dijamin oleh perlembagaan. Suatu yang termaktub di dalam kontak sosial (social contract) yang menjadi asas pembentukan negara ini apabila orang Melayu sanggup menerima masyarakat cina dan india sebagai warganegara tanah ini dan masyarakat Cina dan India pula bersetuju untuk meletakkan beberapa keistimewaan kepada Orang Melayu sebagai balasannya. Itu cerita 50 tahun yang lalu.

Namun saya sendiri tidak pasti adakah melayu yang berada di Malaysia kini memang benar Melayunya, kerana jika melihat kepada Islam, sudah berapa ramai umat Melayu yang murtad kini, walaupun kita masih dapat mempertahankan nama Islam di kad pengenalan bagi mereka yang murtad ini seperti kes Lina Joy umpamanya namun hakikatnya mereka tetap murtad dan berapa ramai lagi melayu Islam yang masih lagi tidak celik dan mengamalkan Islam sebagai gaya hidup mereka dalam semua aspek tidak hanya dalam soal pembangunan. Bertutur bahasa melayu juga semakin ramai yang berasa bodoh bila menuturkannya, sementara mengamalkan adat resam melayu juga semakin ditinggalkan dek kerana mengagung-agungkan budaya barat yang penuh dengan hedonisme, kelalaian, hiburan dan sebagainya. Justeru siapa lagi melayu yang ada di Malaysia kini sepertimana yang ditakrifkan perlembagaan?

Kita kembali bersama Dato' Noh Omar, saya sekali lagi tertarik kepada kenyataan beliau apabila berkata, pelbagai badan kerajaan telah diwujudkan semata-mata untuk membantu Melayu ini bagi merealisasikan apa yang terdapat di dalam perlembagaan tersebut. Antaranya MARA yang memberikan banyak peruntukan untuk kebajikan pendidikan kepada anak melayu, UDA, TEKUN, Bank Rakyat, Bank Pembangunan, JAKIM, IKIM dan pelbagai lagi agensi-agensi yang diwujudkan untuk mencapai maksud tersebut. Begitu jugalah dengan Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan Tun Abdul Razak yang banyak memberikan kelebihan kepada Orang Melayu untuk lebih berpotensi untuk maju dalam pelbagai bidang. Sehingga pada saya,tiada sebab untuk orang Melayu tidak maju-maju dan berjaya sebaliknya semakin punah pada hari ini (tidak menolak semakin rama profesional melayu yang intelek telah dilahirkan). Namun begitulah hakikatnya. Di mana silapnya ya, kadang-kadang apabila memikirkan terdapat ketidakadilan yang berlaku daripada pelaksanaan dasar tersebut kepada kaum-kaum lain mungkin menjadi suatu balasan yang ditentukan kepada umat Melayu ini. Malah mungkin juga kerakusan dan ketidakcekapan pemimpin sendiri yang berbangsa Melayu tetapi lebih memikirkan diri sendiri berbanding mengutamakan kepentingan rakyat. Entahlah,saya katakan mungkin, kerana saya tiada bukti, namun orang yang cerdik pandai pastinya dapat memikirkan dan mencari sendiri bukti-bukti yang ada.

Entahla ya, saya sepertinya semakin kabur dengan apa yang berlaku di negara ketika ini, cukup banyak pincangnya cukup banyak ralatnya. Akhirnya antara agenda melayu dan dilema melayu, umat melayu semakin hilang jatidirinya malah semakin jauh daripada agamanya dalam meniti hari-hari mencapai kemajuan dan kegemilangan pada tahun 2020 nanti. Sebagai penutup saya ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat suatu artikel yang ditulis oleh seorang tokoh muda, yang diperkenalkan syazwan ketika malam kami tadi, Nik Nazmi Nik Ahmad, setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, walau ia sedikit berkaitan politik namun saya ingin membawa sahabat menyelusuri pendapat beliau berkenaan Mengangkat Martabat Generasi Muda hari ini. Moga Sinar Baru untuk Malaysia akan muncul tidak lama lagi. Berusahalah dan berdoalah.InsyaAllah...

Sekian, Jazakumullah khairan kathiraa...

2 comments:

Anonymous said...

Jika dahulu orang melayu suka diberi hak kerana dirasakan terpelihara dengan keistimewaan. Orang melayu juga dulu ceria dalam kehidupan yang dibentengi oleh undang2.

Tapi kita lupa bahawa apabila kita sering dimanjakan kita akan alpa dan tidak berusaha untuk belajar meneroka.

Analoginya, kita adalah seorang anak yang sering dimanjakan, di dodoi dan di dokong dgn penuh kasih sayang oleh ibu bapa kita. Walaupun ketika itu kita mampu bertatih berdikari. Adakah kita ingin memulakan langkah sendiri sedangkan kita mempunyai nikmat yang tak perlu dicari ?

Ini yang kita kurang sedar selama ini. Kita bangsa melayu terlalu sgt mendapat keistimewaan, sehingga keinginan untuk mencapai kejayaan masih lagi dalam lopak yang sama.

Mentaliti kita adalah "ah..melayu ada keistimewaan. Melayu ada kelebihan." Memang melayu ada ketuanan di bumi Malaysia ini, tapi kemana ketuanan itu dihalakan ? Untuk kecemerlangan bangsa atau kekayaan pihak tertentu ?

Ketuanan itu sememangnya perlu, tapi lebih perlu lagi agama yang diterapkan dalam diri setiap mereka yang bergelar melayu. Kerana dengan agama, Melayu akan terus terbela.

Usah kita asyik berkata memperjuangkan bangsa tapi tidak pada agama. Kerana jika kita memperjuangkan agama, Melayu akan turut serta dalam perjuangan...

Dr Kadir said...

:) Segala keistimewaan yang ada bagaikan candu kepada Melayu. Mereka khayal dalam segala kenikmatannya padahal sedikit demi sedikit ia membunuh bangsa Melayu itu sendiri.

Apabila ingin ditarik dan dipersoalkan, pasti mereka akan mula memberontak dan menagih apa yang sudah menjadi ketagihan kepada mereka dan pastinya mereka tidak mampu untuk bersaing dalam keadaan lemah dan tiada upaya sebegitu, sedang bangsa lain begitu gah dan sekian lama terdidik dengan cabaran dan persaingan.

Saya sendiri tidak menolak kenyataan bahawa Melayu yang susah perlu dibantu, perlu dibela dan diberikan upaya untuk terus bersaing mencapai kemajuan namun apa yang dapat kita lihat melayu yang kaya semakin kaya, melayu yang miskin terus papa kedana.

Islam mengajar kita untuk membela semua orang tidak mengira batasan bangsa dan agama, jika mereka sememangnya miskin dan susah maka mereka wajib dibantu dan diberikan pertolongan dengan sebaiknya. Itulah keadilan Islam yang cukup indah jika dihayati oleh orang Islam atau orang bukan Islam sekalipun. Apapun sekali lagi, moga sinar baru untuk Malaysia kini bakal menjelma... :)