Monday, June 2, 2008

Kesungguhan dan Pengorbanan...

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaykum dan salam sejahtera buat semua.

Ada orang berkata untuk berjaya kita perlukan kesungguhan dan pengorbanan, namun kesungguhan dan pengorbanan tidak pula memastikan kita mendapatkan kejayaan. Akan tetapi sunnahnya alam, apabila seseorang itu berusaha insyaAllah dia akan berjaya. Begitulah.

Hari ini saya tidak ke kuliah, membuat ijtihad sendiri mengatakan lebih baik menggunakan masa yang ada untuk mengulangkaji di rumah, memandangkan tiada lagi muhadharah yang akan dilalui dan jika ke kuliah, hanyalah untuk mengikuti round yang entah berapa kerat sahaja yang hadir dan doktor pula seperti segan-segan untuk datang memandangkan jumlah pelajar yang tidak ramai itu. Apatah lagi peperiksaan akhir untuk klinikal ini akan dihadapi pada hari Rabu ini. Apapun itu semua alasan. Yang pasti saya tidak hadir ke kuliah hari ini dan hanya mengulangkaji di rumah, badan sendiri pun masih terasa letih dan tidak keruannya.

Biarkanlah hal itu, hari ini saya menelefon keluarga di Malaysia, sebetulnya baru 2 hari lepas saya menelefon mak dan ayah tetapi lupa untuk memberitahu tentang xm yang akan saya tempuhi rabu ini. Ketika itu mak dan ayah berada di Nilai, menghantarkan Mansur yang akan memasuki tahun peralihan untuk kursus undang-undang syariahnya di USIM. Alhamdulillah sudah empat orang anak-anak mak dan ayah telah berada di menara gading. Tinggal tiga orang sahaja lagi di rumah dan seorang lagi, Khadijah, tinggal bersama nenek saudara saya di rumah berasingan.

Segala puji dan syukur kepada Allah atas segalanya. Tiada apa sangat yang dibualkan, hanya sedikit hal-hal keluarga dan bertanya khabar saudara mara. Ternyata ayahanda begitu bahagia dengan cuti panjang yang dilalui kini. Banyak perkara yang dapat dibuatnya sepanjang sudah bergelar pesara. Dalam masa yang sama dapat berehat bersama anak-anak. Sekarang pun cuti sekolah kan? Segala puji bagiNya memberikan ayah saya kegembiraan itu. Namun seperti orang-orang tua yang lain, kesukaran untuk ayah menangkap butiran-butiran kata dari bicara saya menyebabkan sedikit terbantut minatnya untuk berbicara dengan saya, justeru mak lah yang selalu diserahkan telefon tangannya itu untuk berbicara apa-apa. Kesian ayah, dan kesian anaknya juga. Apapun bagi saya, mendengarkan suara mak dan ayah pun sudah cukup walaupun mungkin tidak dapat berkata apa-apa.

Saya agak terkilan dan kasihan apabila ada sahabat-sahabat yang berpendapat tiada guna atau tidaklah terlalu penting untuk menelefon ibu atau bapa sedang tidak tahu apa-apa untuk bercerita dan mak ayah pun kadang-kadangnya tidak menunjukkan minat untuk tahu apa-apa. Sepertinya tidak mengingati ingatan kita kepada mereka, yang penting kita sihat dan teruskan belajar dan belajar. Namun pada saya, walau begitu keadaannya kita tetap seorang anak dan kewajipan kita untuk berbuat baik kepada mereka dan kadang-kadangnya dalam banyak hal perlu untuk kita mengalah. Justeru, janganlah jemu untuk menelefon mak dan ayah sementara kita masih punya mereka. Renungan dan nasihat untuk diri sendiri dan semua. So ape lagi?

Hari ini satu lagi musibah dihadapi oleh seorang pelajar perubatan di perlembahan nil ini, kali ini kes pukau pula. Habis wang 1900le dikebas oleh si pemukau tadi yang begitu pandai mencipta dramanya yang tersendiri. Sebetulnya saya malas untuk bercerita panjang lebar tentang apa yang berlaku cuma sekadar peringatan buat semua sahabat-sahabat di sini supaya lebih berhati-hati apabila di sapa oleh mana-mana arab lebih-lebih lagi yang tidak dikenali. Takut kes yang terjadi berlaku lagi. Ya itu memang satu musibah yang telah ditentukanNya dan sememangnya apa yang boleh dilakukan hanyalah bersabar atas apa yang berlaku dan tanamkan keyakinan bahawa walaupun wang tersebut pernah berada di tangan kita dan pernah menjadi milik kita namun bukan rezeki kita untuk membelanjakannya sebaliknya rezeki pemukau tadi walaupun dengan jalan yang haram. Namun langkah-langkah pencegahan wajib diambil sebelum kita bertawakkal kepadaNya.

Buat Apes adikku sayang, walau semua pun sudah mengucapkannya,bersabarlah ya. Moga Dia memberikan ganti yang lebih baik. Mana tau lepas ni dikurniakan zaujah yang solehah ke?

Baiklah, setakat ini dulu coretan saya, oh ya setelah pening memikirkan apa yang nak dimasak hari ini akhirnya saya punya idea untuk memasak sesuatu pada hari ini. Hasilnya, entah saya belum merasa, rupanya, maaf saya memang tiada kamera. Tapi nampaknya semua pun berpuas hati, cuma mungkin ada antaranya yang suka masakan berkuah agak kecewa dengan santapan hari ini. Untuk itu, maaf ye akhi. Lain kali saya masak lain pula. Wafi menamakan masakan itu "menanti" entah apalah yang dinantinya. Syazwan menamakannya sesuatu tadi, tapi lupa pula, ape ye wan? Idil pula, apa nama yang nak diberi? Apapun moga ianya berbaloi untuk merai sama ulang tahun kelahiran ahli bait saya, Ahmad Rashidi yang ke… berapa ya Di? Ke 21 ya? Moga diberikan keberkatan dalam umur dan dipermudahkan segala urusan yang dirancang.

Sekian, bittaufeeq buat semua, moga dapat menggapai bintang-bintang kecemerlangan yang bergemilangan itu.

Jazakumullah Khairan Kathiraa…

PS: Maaf jika entry ini tidak sesuai dengan tajuk yang diberi...

4 comments:

Anonymous said...

sy stuju. sepatutnya tak kiralah kita sebagai anak ni perlu inform ibu bapa walaupun mereka tidak bertanya. Mungkin diam mereka diam kesedihan. Lunak percakapan mereka lunak kesayuan. siapa tahu ? "Bukan mudah nak jadi anak soleh, tak susah nak jadi anak derhaka"

Anonymous said...

'Mungkin diam mereka diam kesedihan. Lunak percakapan mereka lunak kesayuan. siapa tahu ?' betul2...moga2 diri ini tergolong di kalangan anak penyejuk mata ayah bonda~

Dr Kadir said...

Ya begitulah,

Mungkin hadith yang pernah diceritakan ini boleh menambah rasa cinta kepada ibu bapa apabila Nabi ditanya tentang amalan yang lebih baik, lalu dijawab baginda solat pada waktunya, kemudiaan berbuat baik kepada ibu bapa, dan kemudian berjihad fi sabilillah.

Berbuat baiklah ya walau hanya dengan melemparkan sekuntum senyuman atau sekiriman sms ucapan salam... :)

Anonymous said...

Saya 100% setuju dengan kata-kata saudara. Ibu bapa adalah dua insan yang tiada nilainya dan tanpa mereka kita tidak mungkin dapat melihat dunia ini. Saya sendiri tidak pernah lupa menelefon ibu bapa saya semasa saya di Uni. di dalam Malaysia tapi di luar W.P dan selepas itu berkhidmat di luar negara selama 5 tahun dan tidak pernah lupa kepada mereka sehinggalah sekarang menetap jua di negara orang, setiap minggu 3X menelefon mereka. Allah akan memanjangkan usia umatnya yang menjaga atau mengingati ibu bapa mereka dan jangan lupa ibu bapa banyak berkorban untuk membesarkan anak-anak, jadi anak janganlah lupa jasa besar ibu bapa pula setelah berjaya.